Selama ini ramai yang beranggapan penyakit toksoplasmosis hanya berlaku kepada pembela kucing kerana dikenali sebagai penyakit bawaan kucing. Sedangkan terdapat pelbagai lagi cara penularan yang lain boleh berlaku secara langsung dan mengakibatkan pelbagai risiko kepada kesihatan tubuh badan manusia.
Toksoplasmosis berpunca daripada sejenis parasit di dalam sel, toxoplasma gondii yang boleh menjangkiti manusia dan haiwan bertulang belakang, berbulu, dan berdarah panas.
Pensyarah Kanan Jabatan Teknologi Makmal Perubatan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Tunku Shahrul Anuar Tunku Ahmad Basri, parasit ini bersifat zoonotik kerana walaupun berasal daripada haiwan boleh juga menyebabkan penyakit kepada manusia melalui tiga fasa hidup, iaitu wujud dalam bentuk oosista, takizoit, dan sista tisu.
“Parasit ini boleh mengalami dua proses pembiakan iaitu seksual dan aseksual (reproduksi aseksual terjadi ketika sebuah sel tunggal membelah membentuk dua sel anak yang secara genetik sama dengan sel induk).
“Apabila parasit ini berada di dalam badan kucing, haiwan tersebut menjadi perumah definitif dan parasit ini juga memerlukan perumah perantara untuk meneruskan proses hidupnya seperti haiwan bertulang belakang dan manusia.
“Parasit ini tidak membawa apa-apa jangkitan kepada kucing tetapi parasit yang menyerang perumah perantara memberi kesan yang amat besar.
“Terdapat lebih 350 spesis vertebrata yang boleh menjadi perumah perantara tetapi yang paling kita titikberatkan adalah haiwan seperti tikus, burung, ayam, itik, lembu, khinzir, dan kambing kerana kita boleh mendapat jangkitan toksoplasmosis secara terus atau melalui apa yang kita makan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Teknologi Makmal Perubatan, Fakulti Sains Kesihatan UiTM Puncak Alam, baru-baru ini.
Ujarnya, toxoplasma gondii yang membiak di dalam usus kucing akan dikeluarkan melalui najisnya yang mengandungi oosista dan kitaran hidupnya adalah selama setahun dalam keadaan tanah yang lembab dan teduh.
Terdapat kajian mengatakan lipas dan lalat menjadi vektor mekanikal apabila disebarkan secara tidak sengaja kepada makanan dan meningkatkan lagi risiko untuk sesiapa sahaja dijangkiti.
Secara umumnya, 25 peratus daripada penduduk dunia dijangkiti toksoplasmosis dan di Malaysia pula, pemeriksaan darah yang dilakukan kepada golongan sihat menunjukkan sebanyak 30 hingga 40 peratus didapati positif dengan tanpa disedari.
Katanya, apa yang membimbangkan, toxoplasma gondii yang lebih sinonim sebagai parasit pembunuh, masuk ke dalam tubuh dan menyerang sel-sel sistem pertahanan tubuh dan membahagi terlalu cepat.
Kepada mereka yang sihat, jangkitan ini tidak begitu memudaratkan kerana gejalanya hanya seperti demam selesema biasa, tetapi mereka akan berisiko sekiranya berada dalam keadaan immunosuppresive, iaitu sedang menjalani rawatan kemoterapi dan pemindahan organ dan immunocompromised iaitu mempunyai virus HIV/AIDS.
Menurut Dr. Tunku Shahrul Anuar, apa yang paling menakutkan, parasit ini boleh disebarkan secara pasif melalui ibu hamil kepada bayi di dalam kandungan.
Risiko kematian bayi dalam kandungan agak tinggi sekiranya jangkitan berlaku dalam tempoh tiga bulan pertama dan kedua kehamilan.
“Jangkitan parasit ini juga boleh mengakibatkan kelahiran bayi pra matang dan kecacatan pada bayi. Ini termasuklah pertumbuhan terencat, gangguan kecerdasan atau autisme, kelainan kongenital pada bayi, pembesaran hati dan limpa, korioretinatis yang menyebabkan buta, kepala kecil, dan kepala besar setelah dilahirkan,” jelasnya.
Disarankan agar ujian saringan TORCH (Rubella, Toxoplasmosis, Cytomegalo Virus, Herpes Simplex, dan HIU), dilakukan pada trimester pertama jika ibu hamil mempunyai sejarah keguguran, pernah melahirkan bayi cacat atau bayi mati dalam kandungan.
Ujarnya, penularan turut berlaku secara aktif.
“Sebagai contoh, penularan aktif boleh berlaku apabila kita makan sayur-sayuran atau buah-buahan yang tidak dibersihkan dengan baik yang telah dicemari oosista atau tanpa disedari, kita mempunyai hubungan langsung dengan najis kucing sama ada ketika membersihkan najis atau tanah semasa berkebun telah dicemari dengan najis kucing, kita juga boleh mendapat jangkitan ini.
“Perkara sama juga boleh berlaku jika kita mengambil daging mentah atau daging separuh masak yang telah dicemari dengan sista tisu. Kadang kala peralatan dapur yang tidak dibersihkan selepas digunakan untuk memotong daging telah dijangkiti parasit ini yang kemudiannya disebarkan kepada daging lain lalu dijangkiti manusia jika tidak dimasak dengan betul,” katanya.
Bagaimanapun, ujarnya, perkara ini bukanlah halangan kepada mereka yang gemar memelihara kucing kerana apa yang paling penting adalah menjaga kebersihan haiwan tersebut sebaik mungkin. Jika perlu, individu terbabit boleh menjalani ujian darah di makmal yang menyediakan khidmat mendiagnos parasit ini.