BANNER KEMANGI
FACILITIES
Friday, August 7, 2015
PERLU BALAI BOMBA DI KUKUP
PONTIAN - Penduduk di beberapa kampung di Kukup merayu, agar sebuah balai bomba dibina di sini memandangkan jumlah penduduk makin bertambah, susulan pembangunan pesat hasil kewujudan kawasan industri pesisir pantai di Tanjung Bin.
Penduduk, Bachok Abdullah, 55, berkata, penduduk mengharapkan sebuah balai bomba baharu di Kukup yang mempunyai banyak kampung dan pekan kecil seperti Rambah, Penerok, Permas, Belokok, Telok Kerang, Tanjung Piai dan Kukup.
Katanya, kewujudan sebuah balai bomba baharu di situ amat membantu penduduk bagi menghadapi situasi getir terutama membabitkan kebakaran rumah dan sebagainya.
Selain itu, gerakan mencari dan menyelamat juga mudah dilakukan jika berlaku situasi tidak diduga seperti kehilangan nelayan dan pemancing di laut.
“Buat masa ini, terdapat sebuah pasukan bomba sukarela di Permas Kukup.
“Namun bagi kes-kes kebakaran besar, pasukan bomba dari bandar Pontian akan dipanggil, bagaimanapun jarak antara Pontian dan Kukup agak jauh iaitu kira-kira 20 minit masa perjalanan,” katanya.
Bagi Mohd Rusly Abas, 39, kebanyakan rumah di kawasan Kukup Laut masih dibina dengan kayu dan kedudukannya rapat berisiko tinggi terdedah kepada bencana tidak diduga seperti kebakaran.
“Kebanyakan rumah kayu dibina rapat, jika berlaku kebakaran api cepat merebak.
“Jika ada balai bomba, bantuan segera dapat diberikan, mungkin risiko tinggi dapat dielak," katanya.
Selain itu, katanya, penduduk tidak mahu kejadian kebakaran pada tahun 2009, mengakibatkan 11 rumah kedai terbakar berulang kembali pada masa depan.
Labels:
LOKALITI
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment