Sunday, November 27, 2011

SUSHI KING: MEMANG TIDAK DISAHKAN HALAL


Berikut adalah petikan dari email, persoalan dari Abdul Rahman Omar (seorang pengguna) kepada pihak pentadbiran Sushi King sendiri mengenai status halal atau tidak restaurant tersebut.
Question:
Dear Marilyn,
Another element of halal is on the use of alcohol in food preparation / cooking or the presence of alcohol in the ingredient use such as sauces etc.
Can you tell me whether Sushi King use alcohol or use materials
(such as sauces) that content alcohol?
Answer:
Dear Mr. Abdul Rahman Omar,
Thank you for your email. For your information, we are not a Halal restaurant as we do not have certification from JAKIM, but we only can claim us as Pork free. All our meat based products like chicken and beef are Halal Certified and we do not use any pork or pork derivatives in our restaurant.
Sushi King is not certified ‘Halal’. This is due to some of our food contains ‘Mirin’.
Mirin is derived from fermentation of rice and it is commonly used in Japanese cooking to enhance the taste of food.
Following are products that contains Mirin:
1. Unagi Kabayaki
2. Unagi Slice
3. Karei Nitsuke
4. Saba Misoni
5. Mamakari
6. Ikura
On top of that, some of our restaurants do sell beer
However, our meat materials such as chicken, beef and seafood are from Halal Certified source.
Hope this clarifies your concern.
Thank you.
Warmest Regards,
Marilyn Lim
Marketing Department
Sushi Kin Sdn. Bhd.
Tel: 03-56319060 Ext: 283 

Wednesday, November 23, 2011

EDL BEROPERASI JANUARI 2012

JOHOR BAHRU 23 Nov. – Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Timur (EDL) sepanjang 8.1 kilometer di bandar raya ini yang sedang dibina dengan kos hampir RM1 bilion dijangka beroperasi Januari depan.
Pengarah Projek Malaysian Resources Corporation Bhd. (MRCB), Shaharuddin Mohamed berkata, projek itu kini siap 95 peratus dan hanya bahagian di kawasan Bakar Batu dan persimpangan Pandan masih dalam pembinaan.
“Semua kerja tersebut akan siap hujung tahun ini walaupun MRCB mengalami masalah sebelum ini antaranya pemindahan penempatan setinggan dan rekaan yang diubah semula.
“Apabila dibuka Januari ini 55,000 hingga 70,000 kenderaan akan menggunakan lebuh raya ini termasuk dari Singapura,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Cemerlang Tokoh Murid dan Projek Pemimpin Muda MRCB 2011 di Sekolah Kebangsaan (SK) Tebrau, Bakar Batu, hari ini.
Projek yang dimulakan pada 2007 itu masing-masing tiga lorong bagi sehala bakal menyelesai masalah trafik terutama di Jalan Tebrau dan Jalan Pandan.
EDL akan menjadi laluan penting antara Jalan Lingkaran Dalam, Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ), Jalan Tebrau, Jalan Pandan dan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS).
Projek yang mempunyai empat laluan bertingkat sepanjang 4.4 kilometer itu akan dilengkapi 12 kamera litar tertutup (CCTV) untuk memantau pergerakan dan memastikan keselamatan kenderaan di sepanjang lebuh raya tersebut.
Lebuh raya itu juga dilengkapi Sistem Pengenalan Nombor Pendaftaran Kenderaan Automatik untuk membolehkan ia dipantau dari segi pergerakan dan had laju ketika menggunakan EDL.
Shaharuddin berkata, apabila beroperasi Januari ini pengguna tidak akan dikenakan tol di CIQ bagi mempromosikannya dan bayaran hanya dikenakan bermula Februari ini.
Beliau berkata, tol hanya dikenakan untuk kenderaan yang keluar masuk dari Singapura dan sempena pembinaan EDL, MRCB turut menaik taraf Jalan Stulang Darat dan Jalan Pasir Pelangi.
Mengenai masalah banjir kilat di kawasan Stulang Luat dan Stulang Darat dikatakan berpunca daripada projek EDL, beliau berkata, masalah itu akan diatasi dengan mengepam air keluar.

JAJ ANJUR KARNIVAL HALAL

JOHOR BAHRU 22 Nov. - Jabatan Agama Johor (JAJ) dengan kerjasama Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri akan menganjurkan Karnival Kepenggunaan dan Transformasi Halal Johor 2011 selama tiga hari mulai 2 Disember ini.
Timbalan Pengarah JAJ, Ramly Jusoh berkata, karnival itu yang berlangsung di Dataran Tanjung Emas, Muar turut mendapat kerjasama Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Majlis Perbandaran Muar (MPM) dan Pejabat Daerah Muar (PDM) dan dijangka menarik 20,000 pengunjung.
Menurutnya, acara tersebut adalah bersempena sambutan Maal Hijrah 1433 dan diuruskan oleh Institut Pembangunan Pengurusan Johor Sdn. BHd. (IPPJ) dan Convenue Marketing Sdn. Bhd., syarikat di dalam kumpulan Johor Corporation (JCorp).
"Tujuan kita menganjurkan karnival ini untuk mendedahkan kepentingan dan keperluan halal serta memaksimumkan standard serta pensijilan halal yang dibangunkan oleh kerajaan bagi dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengguna, pengeluar, usahawan dan masyarakat.
"Selain itu, ia juga untuk memastikan lebih banyak produk dan premis halal dapat diguna pakai oleh pengguna dan orang ramai. Secara tidak langsung kerajaan telah menjalankan tanggungjawab dalam memenuhi keperluan asasi rakyat dan pengguna," katanya di sini hari ini.
Menurut Ramly, karnival itu juga bertujuan meningkatkan kesedaran dan kefahaman tentang aspek halal kepada setiap peringkat umur masyarakat serta mengetengahkan perkhidmatan sokongan yang disediakan oleh agensi kerajaan dalam sektor halal.
Katanya, ia juga memberi peluang kepada pengunjung memperolehi maklumat terkini berkaitan produk dan peluang perniagaan halal melalui kaunter pameran serta menyediakan platform kepada usahawan untuk mempromosi produk mereka dan meneroka peluang pasaran.
Beliau berkata, pelbagai pengisian dirancang sepanjang karnival merangkumi pameran dan jualan produk, Forum Perdana, Konsert Hijrah Bersama: Rahmat Ekamatra & Kumpulan Almawlid, seminar kepenggunaan halal, klinik usahawan dan pertandingan mewarna bersama Upin dan Ipin.
Selain itu, turut diadakan pertandingan karaoke nasyid, pertandingan kompang berirama, demonstrasi produk, cabutan bertuah, pertunjukan fesyen busana Muslim serta pelbagai lagi aktiviti menarik.
Mereka yang berminat untuk membuat tempahan ruang pameran, jualan dan menyertai aktiviti di tapak karnival boleh menghubungi Azuan Ahmad di talian 07-2221767/70, 012-9554550 atau emel azuan@ippj.com.my atau melawat http://www.facebook.com/ halal.johor.

Monday, November 21, 2011

31 PEKEBUN TERIMA BANTUAN

PONTIAN 20 Nov. - Seramai 31 pekebun di sini menerima bantuan sampingan keseluruhannya bernilai RM17,500 sebagai insentif untuk menggalakkan mereka membuat tanaman selingan di kebun atau ladang yang diusahakan.
Pemangku Pegawai Pertanian Daerah Pontian, Saadon Hashim berkata, pemberian bantuan wang tunai RM500 kepada setiap pekebun itu merupakan antara program berterusan pihaknya dalam membantu meningkatkan lagi pengeluaran hasil pertanian dengan tanaman selingan seperti pisang, gaharu dan herba.
"Biarpun mempunyai hasil utama seperti kelapa sawit, tetapi mereka memastikan setiap kawasan kebun dimanfaatkan sepenuhnya dengan mengusahakan tanaman selingan.
"Sememangnya usaha yang dilakukan pekebun ini harus dijadikan contoh dalam meningkatkan lagi hasil pertanian negara," katanya pada majlis penyampaian bantuan itu kepada pekebun dari empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Benut, Pulai Sebatang, Pekan Nenas dan Kukup di sini baru-baru ini.

Thursday, November 17, 2011

TPA PONTIAN RM3 JUTA MULA BEROPERASI

PONTIAN 17 Nov. - Terminal Pengangkutan Awam (TPA) di Pusat Perdagangan Pontian di sini mula beroperasi sepenuhnya selepas semua pengusaha pengangkutan awam memindahkan operasinya kelmarin.
Yang Dipertua Majlis Daerah Pontian (MDP), Miswan Yunos berkata, dengan pembukaan terminal bernilai RM3 juta itu perhentian bas lama akan ditutup.
"Pembinaan TPA bertujuan meningkatkan lagi kemudahan pengangkutan awam dan seterusnya menampung keperluan pengguna yang semakin bertambah.
''TPA juga berperanan sebagai hab pengangkutan memandangkan daerah ini juga termasuk di dalam kawasan pembangunan Iskandar Malaysia," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Sementara itu tinjauan Utusan Malaysia mendapati kerja-kerja penambahbaikan di bahagian bumbung serta laluan bas dan kereta sewa sedang giat dijalankan bagi memberikan keselesaan kepada orang ramai.
TPA juga akan digunakan oleh bas ekspres ke Kuala Lumpur, Kelantan, Trengganu, Pulau Pinang dan Johor Bahru serta bas-bas henti ke Benut,Kukup serta Johor Bahru.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Peniaga Kompleks Pengangkutan Awam berkenaan, Mohd. Joni Rajab berkata, perpindahan operasi bas dan teksi ke terminal berkenaan menghidupkan suasana terminal yang sebelum ini sunyi.
Dianggarkan lebih 50 peniaga yang rata-ratanya golongan bumiputera telah memulakan perniagaan setahun lebih awal meskipun operasi bas dan teksi belum dipindahkan ke terminal berkenaan.

Tuesday, November 15, 2011

BANYAK MAKANAN PUNCA OBESITI

KUALA LUMPUR 15 Nov. – Masalah obesiti yang dihadapi oleh kebanyakan rakyat negara ini dipercayai berpunca daripada sumber makanan yang terlalu banyak dan mudah diperoleh orang ramai.
Ketua Jabatan Pemakanan dan Dietetik Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Norhaizan Mohd. Esa berkata, masyarakat di negara ini mempunyai budaya makanan tersendiri yang lazimnya mengambil sumber karbohidrat yang tinggi.
“Kebanyakan rakyat Malaysia mengambil hidangan nasi yang diiringi pelbagai lauk pauk. Selain itu, nasi lemak, teh tarik, roti canai dan makanan manis turut diambil secara berlebihan tanpa melakukan senaman dan aktiviti fizikal.
“Kita juga lihat terdapat pelbagai gerai yang menjual makanan di kaki lima yang memudahkan orang ramai mendapatkan makanan tanpa berfikir panjang mengenai kalori dalam juadah tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang memberitahu, Malaysia berada di tempat pertama kalangan negara ASEAN dan keenam di rantau Asia Pasifik yang rakyatnya menghadapi masalah obesiti.
Selain itu, Norhaizan berkata, golongan obesiti dalam kalangan pekerja meningkat kerana penggunaan teknologi serba moden yang menyebabkan tenaga tidak digunakan sepenuhnya.
“Kebanyakan pekerja kini duduk di hadapan komputer dan tidak bergerak aktif. Kanak-kanak juga tidak terkecuali untuk menghadapi obesiti kerana terlalu asyik dengan permainan komputer dan menonton televisyen.
“Ada juga yang membudayakan mengambil makanan ringan ketika menghadap skrin komputer. Walaupun dinamakan makanan ringan, kandungan kalorinya didapati tinggi berbanding nasi kerana mengandungi lemak dan pewarna yang tinggi,” jelasnya.
Sementara itu, Doktor Kesihatan Pekerja Hospital Pusrawi, Dr. Rosli Rahim berkata, pemakanan yang tidak terkawal dan gaya hidup tidak sihat perlu diubah segera bagi mengelak masalah kegemukan.
“Kesibukan bekerja dan tiada masa untuk melakukan senaman dan aktiviti riadah di samping mengambil makanan yang pelbagai tanpa mengira kalori, merupakan punca obesiti.
“Tubuh kita memerlukan makanan yang seimbang seperti mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran yang banyak.
Menurutnya, jika peningkatan obesiti dalam kalangan rakyat Malaysia semakin meningkat, ia akan memberi kesan buruk kepada individu dan juga negara.
“Kesan jangka panjang akibat masalah obesiti mengakibatkan masalah kesihatan lain termasuk penyakit jantung dan salur darah tersumbat.
“Tenaga kerja juga akan berkurangan kerana kekurangan kepakaran akibat masalah kesihatan yang dihidapi oleh rakyat,” katanya.

Monday, November 14, 2011

OBES: MALAYSIA NOMBOR 1



KUALA LUMPUR 14 Nov. – Dewan Rakyat hari ini diberitahu Malaysia berada pada kedudukan pertama di kalangan negara-negara ASEAN dan keenam di rantau Asia Pasifik yang berhadapan masalah obesiti di kalangan penduduk.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, antara punca masalah itu adalah kerana pengambilan gula berlebihan di kalangan rakyat.
“Justeru, semua pihak perlu mengambil perhatian serius tentang isu ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dr. Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Menyentuh isu sama Rosnah berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sendiri menyarankan pengambilan gula tambahan tidak melebihi 10 peratus atau bersamaan dengan 200 kalori daripada jumlah tenaga harian.
Sehubungan itu katanya, pengambilan gula tambahan yang disarankan untuk orang dewasa adalah tidak melebihi 10 sudu teh sehari yang bersamaan dengan 50 gram.
“Berdasarkan kajian pengambilan gula di kalangan orang dewasa pada tahun 2002 dan 2003, didapati jumlah pengambilannya mencecah 51 gram iaitu 21 gram gula pasir dan 30 gram susu pekat manis di dalam minuman.
“Jumlah minuman ini sahaja telah melebihi saranan WHO dan panduan diet Malaysia. Untuk itu Kementerian Kesihatan telah menjalankan inisiatif mengurangkan pengambilan gula melalui kempen cara hidup sihat yang dimulakan sejak 1991,” katanya.
Menjawab soalan asal yang dikemukakan oleh Datuk Md. Sirat Abu (BN-Bukit Katil) Rosnah berkata, berdasarkan Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 selain daripada gula pasir, terdapat 12 bahan pemanis lain dibenar digunakan dalam makanan.
Beliau berkata, bahan pemanis itu terdiri daripada bahan pemanis semula jadi dan tiruan.
“Bahan pemanis semula jadi yang dibenarkan ialah seperti stevia, sorbitol, malitol dan mannitol manakala bahan pemanis tiruan yang boleh digunakan di dalam makanan ialah aspartame, sucralose, saccharin dan acesulfame potassium,” katanya.
Beliau berkata, semua bahan pemanis tiruan yang dihasilkan secara kimia itu telah menjalani penilaian keselamatan dan disahkan selamat berdasarkan piawaian antarabangsa.

MAKMAL HALAL DIBINA DI BANDAR ENSTEK

NILAI: Makmal kajian halal milik kerajaan yang akan dibina di Bandar Enstek, di sini akan mula ditenderkan hujung tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom. 

Beliau berkata, pada masa ini, Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) sudah mengenal pasti lokasi makmal itu dan dalam proses akhir sebelum projek tersebut boleh ditender.
"Kita juga sudah lihat rekaan awalnya (bangunan makmal), memang menarik dan kita mahu ia menarik kerana kedudukannya berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
"Makmal itu akan dibina, jika dilihat dari atas, dari kapal terbang, susunan bangunan makmal itu akan dilihat menyerupai logo halal," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Ihtifal Institusi Pengajian Tinggi Asean 2011 hari ini. 

Jamil Khir berkata, fasa pertama pembinaan makmal itu, yang menelan belanja RM27 juta, dijangka beroperasi menjelang 2014. 

"Buat masa sekarang, kita masih menggunakan makmal halal kita yang berada di Petaling Jaya," katanya. 

Sunday, November 13, 2011

HERBA PENAWAR PENYAKIT

Pengasas Herba An-Naabat, Dr. Nurmawati Syakroni menyifatkan setiap herba memiliki keistimewaan tersendiri.
"Di peringkat Sarjana Muda saya belajar dalam bidang farmasi di Universitas Gadjah Mada, Yogyakarta (UGM) dan banyak mempelajari jenis-jenis ubat sintetik dan fungsinya.
"Ketika melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan peringkat Doktor Falsafah di Universiti Putra Malaysia (UPM), saya telah merubah haluan dengan membuat kajian dalam bidang herba sebagai ubat-ubatan alternatif.
"Kebetulan, saya sekeluarga juga jarang mengambil ubat sintetik dari klinik, tetapi menggunakan dan menghasilkan sendiri ubat daripada herba.
"Tahun demi tahun, saya telah menghasilkan pelbagai ramuan herba untuk merawat pelbagai penyakit. Semuanya terjadi secara tidak langsung apabila rakan-rakan di kampus berkongsi masalah kesihatan yang mereka hadapi.
"Dari situ, saya mendapat idea untuk menghasilkan herba bagi merawat penyakit yang saya ramu dengan teliti berdasarkan pengalaman dan ilmu yang telah saya dapatkan selama ini," ujarnya yang kini bertugas sebagai penyelidik di Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM Serdang.
Mengulas lanjut tentang pengalamannya bersama testimoni herba ramuannya, Dr. Nurmawati pernah membantu seorang kakitangan makmal di UPM. Pada awalnya, beliau melihat wanita itu seperti letih dan tidak bermaya.
"Apabila saya bertanya pada wanita tersebut, ternyata dia menghidapi penyakit tekanan darah tinggi dan kolestrol tinggi. Kemudian saya cuba membantu untuk menghasilkan ramuan herba bagi merawat penyakit-penyakit tersebut. Dalam proses menyediakan setiap ramuan selalu saya sertai dengan solat hajat agar diberi manfaat tanpa ada mudarat.
Selepas tiga minggu wanita itu menggunakan ramuan yang saya sediakan, doktor menyatakan bahawa wanita tersebut bebas kolestrol dan tekanan darah tinggi.
Bermula daripada ramuan Herba Turun Kolestrol itulah, makin ramai yang mula mengenali saya dan berkongsi masalah kesihatan mereka. Kini saya sudah menghasilkan 77 ramuan herba dengan jenama An-Nabaat," jelasnya ketika ditemui di Bandar Baru Bangi, Selangor baru-baru ini.
Meskipun pengenalan Herba An-Nabaat hanya 'mulut ke mulut' dan sesekali menyertai ekspo di beberapa tempat, namun sambutannya sangat menggalakkan termasuk dari Syarikat Sakmoto, Jepun.
Menurut wakil Sakmoto di Malaysia, Mohd Dali Abdullah, selepas tsunami melanda Jepun dan alam sekitar mereka tercemar dengan radiasi radio aktif, permintaan terhadap ubat-ubatan herba dari luar Jepun terutama Malaysia semakin meningkat.
"Selepas mencuba beberapa produk Herba An-Naabat dan melakukan perbincangan, pihak Sakmoto di Jepun berminat mengadakan usaha sama bagi memasarkan herba tersebut di sana. Pada tahun hadapan, pihak syarikat kami akan membawa Dr. Nurmawati ke Jepun untuk meneruskan penyelidikan dan mengkomersialkan Herba An-Naabat di Jepun. Tahun ini, Sakmoto telah menempah minyak kelapa dara dan minyak herba," ujar Mohd Dali.
Ujarnya lagi, pihak Sakmoto telah berbincang dengan Profesor Dr. Rozita Rosli bagi pihak Institut Bio Sains (IBS), UPM, untuk menjadikan IBS sebagai Pusat Penyelidikan Herba di Asia. Hasil penyelidikan tersebut akan turut dikomersial ke Jepun dan Korea Selatan.
Kesemua ramuan herba tersebut diperolehi daripada bahan-bahan alam semula jadi seperti akar-akar kayu dan tumbuh-tumbuhan yang terdapat di Malaysia.

MEWUJUDKAN JOHOR YANG SELAMAT

JANGAN terkejut sekiranya ada sekumpulan pegawai dan anggota polis termasuk Ketua Polis Daerah (OCPD) mengetuk pintu rumah anda.
Kunjungan mereka bukan bermakna anda seorang penjenayah tetapi ia merupakan pendekatan terbaru yang diambil oleh polis Johor. Jadi, layanilah kunjungan mereka dengan baik dan mesra.
Pendekatan ‘agresif tapi mesra’ untuk mengenali penduduk sesuatu kawasan dengan lebih dekat itu diperkenalkan oleh pegawai polis nombor satu di Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff.
Ia adalah cara terkini digunakan polis Johor bagi membanteras dan mengurangkan kadar jenayah sejajar usaha untuk mencapai sasaran ditetapkan kerajaan dalam Bidang Kerberhasilan Utama Negara (NKRA).
Program yang akan digerakkan tidak lama lagi itu dilihat lebih dekat dengan masyarakat memandangkan ‘rombongan’ terbabit bakal bertemu penduduk setempat dalam kumpulan kecil bagi mendengar pandangan serta masalah mereka. Ia membabitkan kawasan ‘panas’ yang dikenal pasti dan dijalankan pada hujung minggu, sekali gus menuntut pengorbanan besar daripada pihak polis kerana perlu mengetepikan masa bersama keluarga pada waktu itu.
“Ini tidak bermakna pendekatan lama tidak berkesan, tetapi ia antara langkah diambil kami untuk merancakkan lagi usaha yang digerakkan polis Johor sebelum ini. Kami ingin terus perangi jenayah,” kata Mohd. Mokhtar kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Menurutnya, pendekatan ‘mencegah lebih baik daripada merawat’ iaitu dengan mengarahkan semua pegawai dan anggota mencari maklumat bagi langkah pencegahan dan sejak diperkenalkan pada tahun 2009 sebanyak 140,440 maklumat diperoleh.
Selain itu, polis Johor turut melancarkan pelbagai operasi berterusan dan pada masa sama meningkatkan kemahiran siasatan menerusi sains forensik supaya pengumpulan bahan bukti lebih banyak, sekali gus memudahkan penjenayah didakwa.
Sejak NKRA diperkenalkan, ia memberi nafas baru kepada polis mengoptimumkan penggunaan ‘manpower’ serta kepolisan bijak dan bermula dengan penambahbaikan itu Johor terus mencatatkan penurunan kadar jenayah memberansangkan, ujarnya.
“Sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini, kita mencatatkan penurunan sebanyak 586 kes jenayah kekerasan dan menjadikannya 3,763 kes berbanding 4,349 tahun lalu.
“Bagi jenayah harta benda pula, kita berjaya menurunkan sebanyak 200 kes menjadikannya 13,700 kes berbanding 13,900 yang dicatatkan pada tahun sebelumnya,” katanya.
Beliau berkata, dengan kadar itu Johor terus cemerlang terutamanya dalam menarik pelaburan kerana bagi pelabur perkara paling mustahak perlu diambil kira adalah keselamatan, pendidikan dan kesihatan.
Menurutnya, Johor mencatat pelaburan langsung asing (FDI) tertinggi di negara ini terutamanya di Iskandar Malaysia yang kini mencecah RM76 bilion, sekali gus membuktikan bahawa negeri itu selamat bukan sahaja untuk dikunjungi malah didiami.
Sebagai contoh, jumlah rakyat Singapura sahaja yang memasuki negara ini mencecah 150,000 orang pada hari biasa dan 200,000 pada hujung minggu serta mereka juga merupakan antara pelabur tertinggi di Johor.
Justeru, tegasnya, dakwaan sesetengah pihak yang menggambarkan Johor tidak selamat adalah tidak benar sama sekali kerana penjenayah menjalankan ‘kerja’ mereka apabila wujudnya ruang dan peluang.
“Penjenayah tidak memilih dari mana awak datang atau sebagai contoh adakah anda rakyat Singapura ke, tentu tidak sama sekali. Mereka (penjenayah) ini ada peluang saja buat ‘kerja’ tak kira siapa,” tegasnya.
Mohd. Mokhtar memberitahu, dalam melaksanakan tugas yang diberikan, beliau sering memberikan penekanan terhadap aspek integriti kerana ia merupakan kunci kepada sesuatu kejayaan.
“Kita bermula dengan integriti, kita boleh wujudkan pelbagai piagam atau program sekali pun, tetapi tanpa integriti, tanggungjawab yang diberikan tidak mungkin dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya

Friday, November 11, 2011

HIDUP SEDENTARI

MENGEKALKAN kesihatan yang baik pasti menjadi keinginan setiap individu dan ia sangat penting dalam kehidupan seharian.
Namun, kebanyakan daripada kita kurang mengendahkan aspek itu menyebabkan ramai yang mudah mendapat penyakit.
Biarpun sibuk di pejabat tetapi kesibukan kita sebenarnya hanya menghadap komputer tanpa perlu melibatkan aktiviti fizikal.
Malah di rumah pula, ramai yang suka menghabiskan masa dengan menonton televisyen dan menghadap komputer.
Tahukah kita gaya hidup tidak aktif atau dalam bahasa perubatan dikenali sebagai sedentari sebenarnya membahayakan diri dan kesihatan.
Tetapi ia kini merupakan gaya hidup yang semakin menjadi fenomena global.
Kebergantungan kepada mesin dan sistem yang automatik dalam kehidupan harian mengurangkan keperluan untuk kita melakukan aktiviti fizikal dan juga senaman.
Teknologi moden abad ke-21 membolehkan kita melakukan hampir segala-galanya dengan hanya menekan butang.
Meskipun ia menyenangkan hidup kita semua tetapi hakikatnya ia mampu membawa kesan yang tidak sihat.
Gaya hidup sedentari itu bukan sahaja mengganggu kesihatan diri dengan penyakit-penyakit merbahaya tetapi juga boleh menyumbang kepada masalah lemah tulang.
Perkara ini diakui oleh Pakar Perunding dan Pembedahan Ortopedik dan Trauma, Hospital Gleneagles, Dr. Chin Chee Howe.
"Tulang kita adalah tisu hidup, sungguhpun nampak keras, tulang sentiasa melalui proses penguraian dan pembinaan semula.
"Gaya hidup sedentari tidak membantu kesihatan tulang, kita perlu mengambil langkah untuk melindungi tulang sejak muda sebaik-baiknya sebelum jisim tulang mencapai puncaknya,'' katanya ketika ditemui sempena bengkel media Fonterra-Anlene mengenai kesihatan tulang, baru-baru ini.
Tegas beliau, kekurangan jisim yang berterusan boleh mengakibatkan osteoporosis, satu proses yang tidak boleh dikembalikan.
"Osteoporosis, penyakit yang menyebabkan tulang rapuh dan retak bukan lagi masalah yang dihadapi golongan tua semata-mata," ujarnya.
Katanya lagi, satu-satu cara untuk melindungi tulang ialah dengan mengamalkan diet yang seimbang dan mengamalkan gaya hidup yang sihat.
"Tidak kira tua ataupun muda, kita perlu bersenam secara sederhana, mengamalkan tabiat makan yang sihat dan memastikan kita memenuhi keperluan kalsium harian kita,'' ujarnya lagi.
Tegasnya, keadaan ini penting untuk membina dan mengekalkan jisim tulang dan membolehkan kita meregang dan menggunakan potensi tulang kita dengan sepenuhnya.
Katanya, dengan hanya melakukan aktiviti fizikal, kita dapat mencergaskan badan dan mencerdaskan mental kita.
Selain aktiviti fizikal, pengambilan kalsium yang mencukupi setiap hari juga adalah penting.
"Perkara ini penting bagi memastikan tulang kita sentiasa kuat dan mengelakkan daripada ia reput,'' ujarnya lagi.
Sementara itu, Pengurus Insight Fontera Brands Malaysia, Sheua Yea pula memberitahu, ramai yang menyangka osteoporosis hanya akan berlaku kepada warga emas sahaja.
Malah ramai juga percaya bahawa penyakit yang berkaitan tulang tidak membawa maut. Bagaimanapun, ramai yang tidak sedar bahawa penyakit tersebut juga boleh menyerang golongan muda dan membawa maut sekiranya tidak ditangani secara awal
Hasil kajian penyelidikan yang dijalankan baru-baru ini menunjukkan wanita dalam usia pertengahan hingga lewat 60-an yang mengalami masalah pinggul adalah lima kali ganda lebih berkemungkinan mati dalam masa setahun.
Tambah Yea lagi, ramai wanita menganggap kemerosotan tulang hanya berlaku di usia yang lanjut, hakikatnya ia juga boleh berlaku kepada golongan muda sekiranya tidak mendapat bekalan kalsium yang secukupnya.
"Sebab itu, ramai yang tidak mengambil perhatian sehinggalah mereka sendiri merasai kesakitan tersebut, lebih malang keadaan itu adalah kritikal,'' ujarnya.
Sambil menasihati golongan muda supaya mengamalkan meminum susu setiap hari, amalan gaya sihat juga perlu diterapkan dalam kehidupan seharian.
"Senaman bukan saja membina tulang kuat, ia juga memperbaiki imbangan dan kordinasi kita. Kita perlu memastikan tulang mempunyai bahan mentah yang diperlukannya secukupnya. Malah, cara yang paling baik untuk melindungi tulang kita adalah dengan menjaganya dari usia muda dan sepanjang hayat," ujarnya

Wednesday, November 9, 2011

SELERA SENIBONG SEAFOOD

MOHD. FAUZI (kanan) bersama adiknya, Hasbullah menunjukkan antara makanan laut yang menjadi kegemaran pelanggan di Selera Senibong Seafood.
KAMPUNG Senibong di Permas Jaya, Johor Bahru memang terkenal dalam kalangan penggemar makanan laut tidak kira penduduk tempatan mahupun luar Johor. Bagi pengunjung luar terutamanya yang pertama kali ke Johor, kehadiran anda seakan-akan tidak lengkap jika tidak dibawa menjamu selera di situ.
Dengan pelbagai pilihan restoran serta seleksi spesies hidupan laut antaranya ketam bangkang, siput gong-gong, udang, udang kara dan ikan yang dimasak enak pasti membuat siapa-siapa kecur air liur.
Tambahan pula, para pengunjung dapat menjamu selera dengan berlatar belakangkan laut dan curahan cahaya lampu pada waktu malam dari negara jiran, Singapura.
Antara restoran yang terkenal di kawasan berkenaan ialah Selera Senibong Seafood atau lebih dikenali sebagai SSS yang diusahakan dua beradik, Mohd. Fauzi Saadon, 44, dan adiknya, Hasbullah, 41.
Kedua-dua mereka telah mengusahakan perniagaan itu sejak 10 tahun lalu malah, saiz restoran SSS telah dibesarkan dua tahun lepas untuk memberi keselesaan kepada para pelanggan.
Hasbullah yang lebih mesra dengan panggilan Pak Lah memberitahu, keistimewaan restorannya kerana sumber bahan mentah iaitu makanan laut diperoleh segar daripada pembekal.
Bahkan, ujarnya menu-menu yang dihidangkan merupakan menu asli yang dipelajari daripada kenalan yang mahir dengan masakan laut dan Thailand selain daripada buku masakan.
“Dari situ, maka hasilnya kami dapat mencipta menu sendiri. Bahkan, bagi memastikan rasa serta mutunya sentiasa konsisten, kesemua bahan termasuk perencah kami sediakan sendiri,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut Pak Lah, antara hidangan yang cukup popular dan menjadi tarikan utama pengunjung di situ termasuklah ikan kukus limau, ikan tiga rasa, kupang berlada, udang kara, ketam atau gong-gong lada hitam dan sotong berlada.
SIPUT GONG-GONG menjadi satu lagi sajian signatur dari dapur Selera Senibong Seafood
Jelas Pak Lah, ikan kukus limau merupakan antara menu yang dicipta dan diubah suai sendiri hinggakan ia mempunyai rasa yang tersendiri dan mendapat sambutan menggalakkan.
Menurutnya, salah satu lagi kelebihan dan keistimewaan restoran itu ia terletak betul-betul di persisiran pantai yang menghadap Singapura iaitu di kawasan Senokor dan Sembawang.
Tambah Pak Lah, suasana itu membolehkan para pengunjung menikmati juadah sambil melihat panorama di sekelilingnya terutama pada waktu malam.
Sementara itu mengimbau kembali kejayaan mereka berdua mengusahakan restoran tersebut, kata Mohd. Fauzi kepayahan yang dilalui semasa merantau dari tanah kelahirannya di Pokok Sena, Kedah ke bandar raya itu pada tahun 1987 banyak mengajarnya.
Kata Mohd. Fauzi, pada peringkat awal tiba di bandar raya tersebut dia telah mengusahakan jualan kuetiaw kerang menerusi kereta tolak di satu kawasan di Permas Jaya selama empat tahun. Kuetiaw itu dijual pada harga RM1.20 sen sepinggan.
“Keuntungan yang diperoleh dari jualan tersebut, saya bersama adik (Hasbullah) berpakat untuk mengusahakan restoran di Senibong dengan modal permulaan kira-kira RM40,000. Kalau peringkat permulaan kami hanya mampu menampung kira-kira 200 pelanggan dalam satu-satu masa, tetapi kini selepas diubah suai sejak dua tahun lalu restoran ini mampu menampung kira-kira 500 pelanggan,” katanya.
Mohd. Fauzi berkata, antara hari yang paling ramai pengunjung ialah pada hujung minggu, musim cuti perayaan dan cuti sekolah dengan pengunjung termasuk dari negara jiran Singapura.
Mengenai harga makanan, Mohd. Fauzi berkata, ia masih di paras berpatutan dan masih mampu dinikmati mereka yang berpendapatan sederhana.
“Adalah menjadi kepuasan bagi kami apabila orang berpendapatan sederhana dapat menikmati juadah yang kami tawarkan malah, kami turut membuat jamuan amal untuk masjid dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Senibong apabila ada aktiviti di kedua-dua institusi tersebut,” katanya yang turut memberitahu restoran itu kerap dikunjungi orang kenamaan.

HARGA CILI MERAH NAIK DI SELURUH NEGARA

IPOH - Kenaikan harga barangan keperluan harian khususnya yang melibatkan cili merah serta sayuran tertentu hangat diperkatakan.

Justeru, kenaikan harga bagi barangan berkenaan di beberapa lokasi di seluruh negara telah mengakibatkan timbulnya rungutan dalam kalangan orang ramai.

Golongan peniaga pula memberi alasan harga bagi barangan berkenaan terpaksa dinaikkan kerana harga telah ditetapkan pemborong.

Dipercayai pihak pemborong telah menetapkan kadar harga berkenaan berikutan faktor cuaca yang tidak menentu di Malaysia pada hari ini.

Selain itu, pemborong turut memberikan alasan keadaan banjir yang berterusan di Thailand sejak beberapa bulan lalu mengakibatkan bekalan barangan berkenaan agak sukar diperoleh dan terpaksa menetapkan kadar harga sedemikian.

Sinar Harian sempat menemui segelintir warga bandar raya Ipoh bagi mendapatkan maklum balas mereka berhubung kenaikan harga bagi barangan berkenaan.

Kakitangan Kerajaan, Abd Ghafar Mohd Nusi, 58 berkata, memang didapati ada berlaku kenaikan pada harga barangan keperluan harian seperti sayur-sayuran khususnya cili merah, cili padi dan cili hijau.

Menurutnya, kenaikan harga barangan berkenaan turut didapati mencecah hingga RM8 hingga RM12 sekilogram.

“Harga cili memang mahal sekarang tetapi bagi sayur-sayuran lain seperti bayam, kangkung, sawi dan sebagainya pula saya lihat harganya masih terkawal,” katanya.

Bagaimanapun, bagi, S.Sundram, 51, ketika ditemui berkata, kadar harga barangan berkenaan di Ipoh masih pada tahap terkawal dan tidak membebankan pengguna.

Menurut kakitangan swasta ini lagi, kenaikan harga barangan berkenaan mungkin disebabkan oleh faktor cuaca terutamanya pada musim hujan pada hari ini.

 “Tetapi sebagai pengguna kita seharusnya lebih berjimat ketika berbelanja bagi membeli barangan keperluan harian pada ketika kenaikan harga barangan berkenaan pada hari ini,” katanya.

Berbeza pula pendapat Anita Mohd Ariffin , 42, yang menganggap kenaikan harga ini adalah sesuatu yang wajar berdasarkan kepada faktor cuaca pada hari ini.

Katanya, kenaikan ini tak perlu dibesar-besarkan kerana ianya adalah satu perkara biasa yang berlaku kepada para petani atau peladang.

“Bagi saya, memang wajarlah harga barangan ini naik. Saya sendiri pernah bercucuk tanam suatu ketika dahulu dan memang faham akan masalah yang dihadapi oleh para petani terutamanya pada ketika musim hujan sebegini,” katanya.

Bagi peniaga, Mohd Anuar 57, berkata, memang berlaku kenaikan ketara pada barangan berkenaan khususnya cili api serta bawang besar.

Bagaimanapun katanya, orang ramai tetap berkunjung ke pasar berkenaan bagi mendapatkan barangan keperluan harian tersebut.

“Harga barang-barang ini memang mahal sekarang. Cabai masak, cabai hijau semua naik harga. Kami ambil daripada pemborong pun harganya mahal.

“Oleh itu, kami terpaksa meletakkan harga tinggi kepada orang ramai. Bukan kami sengaja naikkan harga, tetapi keadaan semasanya memang begitu,” katanya lagi.

Pendapat itu dipersetujui seorang lagi peniaga, Mohd Saiful Abd Rashid, 25, yang mengatakan bahawa bekalan cili agak sukar untuk diperoleh.

Tegasnya, cili yang biasa di borong dari tanah tinggi Cameron Highlands juga mengalami kenaikan daripada RM12 hingga RM14 sekilogram.

“Harga bagi cili memang melambung tinggi pada hari ini. Apatah lagi, cili yang diambil dari kampung-kampung, lagilah mahal.

“Sebagai peniaga, saya agak sukar untuk dapatkan bekalan cili, sebab itu di gerai saya tidak banyak menjual cili sekarang,” katanya.

Monday, November 7, 2011

KICAP PELENGKAP HIDANGAN

 Kicap berasal dari negara China dan diperkenalkan di Jepun beribu tahun dahulu. Kicap diperbuat daripada kacang soya yang diperam bersama beberapa bijirin seperti gandum, barli atau nasi.

Proses pembuatan kicap turut melibatkan penggunaan yis istimewa yang turut dicampurkan bersama bahan perisa dan garam. Adunan campuran itu kemudiannya dibiarkan sebati selama beberapa bulan, sebelum ditapis untuk mendapatkan hasil cecair dikenali kicap. Ia kemudian dibotolkan bagi tujuan jualan.

Adunan kicap boleh menjadi pekat kepada cair malah rasanya juga berbeza-beza. Terdapat pelbagai jenis kicap di pasaran, tetapi majoritinya adalah kicap cair dan pekat.

Kicap cair bersifat kurang likat, rasa sedikit masin dan sesuai digunakan dalam mana-mana masakan kerana ia tidak merubah rupa hida­ngan. Selain itu, ia juga boleh dijadikan sebagai pencicah.

Berbeza dengan kicap pekat di mana ia lebih likat dan berwarna gelap kerana proses yang lebih lama dan terdapat tambahan bahan semasa proses pembuatannya.

Kebiasaannya, kicap pekat digunakan bagi yang ingin menambah atau menukar warna masakan kerana rasanya tidak semasin kicap cair.

Kacang soya bahan utama

Kacang soya adalah antara bahan utama yang digunakan dalam proses penghasilan kicap. Kacang soya terbukti mempunyai pelbagai khasiat adalah sejenis tumbuhan berasal dari Asia Timur. Ia dianggap sebagai sumber protein lengkap, seperti protein yang mengandungi sejumlah besar kesemua asid amino penting diperlukan tubuh manusia kerana ketidakupayaan badan manusia menghasilkannya.

Menyedari hakikat itu, maka kacang soya penting bagi kebanyakan pemakan sayuran atau vegan. Proteinnya sama dengan biji legum lain. Kacang soya adalah legum berprotein tinggi ditanam sebagai makanan bagi manusia dan ternakan. Di Asia, ia adalah penting bagi penghasilan barangan makanan seperti kicap dan tempe.

Selain itu, ia juga boleh diproses dengan pelbagai cara dan bentuk ­biasa hasil soya termasuk makanan yang digunakan untuk ternakan, tepung soya, tauhu, makanan pemakan sayuran.

Pembuatan kicap

Secara umum, kicap boleh dihasilkan dalam perusahaan skala kecil dan sederhana atau di rumah sahaja. Kesedapan rasa kicap bergantung kepada resipi pembuat di samping bahan ramuan yang digunakan semasa proses menghasilkannya. Walaupun pada mata kasar kicap kelihatan sama dari segi warnanya yang hitam, namun kualiti atau kesedapannya dibezakan dengan lidah.

Proses menghasilkan kicap bermula dengan proses kacang soya yang diperam atau ditapaikan terlebih dahulu sehingga menjadi tempe kacang soya. Tempe itu kemudian dikeringkan dan direndam dalam larutan garam, di mana ia adalah sebatian yang selektif terhadap pertumbuhan mikrob.

Mikrob yang dapat bertahan daripada garam yang tumbuh dalam larutan kacang soya pada umumnya terdiri pelbagai jenis ragi dan bakteria tahan garam. Mikrob ini memecahkan protein menjadi asid amino dan komponen perasa serta menghasilkan asid. Penapaian terjadi apabila kadar garam cukup tinggi, iaitu antara 15 hingga 20 peratus.

JB WATERFRONT CITY YANG TERBENGKALAI

Bangunan JB Waterfront yang terbiar sejak sekian lama di pesisiran Selat Tebrau, Johor Bahru
PERTUBUHAN Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM) menggesa kerajaan negeri supaya melakukan sesuatu terhadap bangunan JB Waterfront City di sini yang menjadi projek gajah putih sejak lebih 15 tahun lalu.


Presiden PPPMM, A. Rahman Mahadi berkata, bangunan di Jalan Persiaran Tun Sri Lanang itu mencemarkan pemandangan Selat Tebrau dan keadaan tersebut amat merugikan kerana kewujudannya tidak dapat dimanfaatkan.
"Kita minta kerajaan negeri melalui Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) supaya mengadap dan memohon perkenan Sultan Johor untuk melakukan sesuatu terhadap bangunan itu.
"PPPMM mencadangkan bangunan itu dijadikan pusat sehenti untuk orang awam, tempat rujukan untuk pelancong, bangunan kerajaan atau apa sahaja yang difikirkan sesuai," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
A. Rahman berkata, sekiranya bangunan berkenaan tidak dapat dimanfaatkan adalah lebih baik ia dirobohkan dan tapaknya dijadikan tempat untuk rekreasi.
Katanya, semua cerucuk berdekatan bangunan itu juga perlu dicabut bagi memastikan kawasan tersebut yang menghadap Singapura tidak menjejaskan imej bandar raya ini.
"Kami dukacita dengan kegagalan projek mega seperti ini yang melibatkan wang rakyat melalui pinjaman institusi kewangan, ini bererti setiap rakyat menanggung hutang," katanya.
Beliau berkata, dikhuatiri jika bangunan tersebut terus dibiarkan akan menjadi sarang penagih dadah atau tempat melakukan kegiatan sumbang.
Menurut beliau, sudah sampai masanya masalah tersebut diselesaikan kerana bangunan itu telah lama terbengkalai dan tiada siapa pun yang mempedulikannya.

Sunday, November 6, 2011

7 BILLION BANYAK MANA ?



DI MANA-MANA bahagian dunia pada minggu ini, kelahiran bayi dianggap sesuatu yang sangat istimewa kerana mereka merupakan penduduk ke-7 bilion bumi.
Bilangan penduduk bumi mencecah angka tujuh bilion Isnin lalu, cuma 12 tahun selepas ia mencapai enam bilion. Peralihan angka satu bilion itu hakikatnya memberi cabaran yang besar untuk tahun-tahun akan datang.
Bagaimanapun, sesetengah orang bertanya sebesar mana angka tujuh bilion itu?
Individu seperti genius matematik, Adi Putra Abdul Ghani, mungkin menyukai permainan angka itu. Sekali pandang, ia tidak jauh berbeza daripada enam bilion.
Kalau ditulis dalam nombor, ada sembilan nombor sifar dalam 6,000,000,000, sama seperti sembilan nombor itu dalam 7,000,000,000.
Tetapi jika anda mengira semua nombor yang ada di antara enam bilion dan tujuh bilion, ia akan mengambil masa selama 30 tahun untuk diselesaikan. Ya, tiga dekad.
Bilakah kali terakhir anda menggunakan angka tujuh bilion dalam kehidupan seharian? Pernahkah anda makan tujuh bilion sesuatu atau memiliki tujuh bilion benda?
Pada awal tahun ini, cuma ada 140 orang di dunia yang mempunyai kekayaan bernilai kira-kira AS$7 bilion (RM21 bilion), menurut majalah Forbes.
“Nombor itu berada di luar pemikiran harian kita,” kata profesor madya matematik di Universiti Villanova, Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS), Klaus Volpert.
“Kita mengira hingga angka 10 menggunakan jari tangan dan itulah skala kita. Malah untuk mengira hingga sejuta pun bukanlah satu kebiasaan. Angka yang besar itu membuatkan kita keliru,” tambah beliau.
Ada banyak cara untuk kita membayangkan angka tujuh bilion. Tujuh bilion saat yang lalu ialah tahun 1789. Di Amerika Syarikat, ia merupakan tahun George Washington menjadi Presiden pertama negara itu.
Jika anda membuat tujuh bilion langkah di sepanjang garisan Khatulistiwa, iaitu kira-kira setengah meter bagi setiap langkah, anda boleh berjalan mengelilingi bumi sebanyak 106 kali.
Katakanlah purata ketinggian manusia ialah 1.6 meter. Jika anda menyusun mereka secara menegak, ia akan mencecah kira-kira 1 per 14 jarak matahari atau 27 kali jarak di antara bumi dengan bulan, kata Volpert.
Tujuh bilion semut, purata tiga miligram seekor pula boleh menjadi seberat 23,000 kilogram.
“Minda kita cuma menerawang apabila memikirkan betapa besarnya tujuh bilion,” kata Volpert.
Beliau berkata, perasaan yang sama akan hadir apabila kita cuba membayangkan ukuran yang sangat kecil atau sesuatu yang berada di luar angkasa.
“Setiap kali kita mendongak ke langit dan melihat bintang, kita akan terpegun dengan skalanya yang besar dan menakjubkan,” ujarnya.
Bumi belum sampai ke angka satu bilion penghuni sehingga tahun 1800, menurut Biro Referen Populasi AS, dan mencecah dua bilion pada tahun 1930.
Tetapi dengan kemajuan perubatan moden, ia hanya mengambil masa selama 30 tahun untuk mencatat tiga bilion, 14 tahun untuk empat bilion, 13 tahun untuk menjadi lima bilion dan 12 tahun untuk mencapai enam dan tujuh bilion.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan populasi dunia akan bertambah kepada 9.3 bilion menjelang tahun 2050.
Pertambahan itu menimbulkan kebimbangan tentang banyak perkara daripada makanan hinggalah ruang untuk tempat tinggal.
Pakar-pakar di National Geographic berkata, tujuh bilion manusia muat untuk bandar Los Angeles di AS yang seluas 800 kilometer persegi – jika kita berdiri dari bahu ke bahu. Mujurlah bumi mempunyai keluasan 149 juta kilometer persegi.
Pertambahan penduduk bermakna lebih banyak proses perbandaran berlaku. Pada tahun 1950, kira-kira 730 juta orang penghuni dunia adalah penduduk bandar.
Ada hampir 3.5 bilion penghuni bandar pada tahun 2009 dan dijangka 6.3 bilion manusia tinggal di bandar-bandar pada 40 tahun akan datang.
PBB juga menganggarkan pertambahan sebanyak 70 peratus terhadap keperluan makanan untuk sembilan bilion orang pada tahun 2050.
Kegunaan air juga dijangka meningkat dua kali ganda. Malangnya, lebih satu bilion manusia sekarang tidak mendapat bekalan air minuman.
Dijangkan bilangan lelaki dan wanita adalah sama. Namun, jangka hayat khususnya di negara maju akan bertambah.
Menurut Biro Perangkaan AS, sekarang terdapat hampir 390,000 orang yang berumur 100 tahun atau lebih, hampir 13 juta berumur lebih 90 tahun dan 1.5 bilion melebihi usia 50 tahun.