BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Saturday, June 18, 2011

PRODUK HP SAUCE DAN TABASCO DISAHKAN HALAL


KUALA LUMPUR 17 Jun – Pemilik jenama HP Sauce and Tabasco, HJ Heinz and Mclhenny Company, hari ini menyangkal dakwaan baru-baru ini bahawa kedua-dua jenama itu tidak disahkan halal.
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat-syarikat itu berkata, kedua-dua jenama itu mematuhi sepenuhnya garis panduan kawal selia oleh badan pensijilan masing-masing.
"HP Sauce disahkan halal oleh HAC (Halal Audit Company), iaitu pihak berkuasa pensijilan Islam di Belanda, di mana terletaknya kilang itu.
"Dalam soal yang sama, pengilang HP Sauce, Heinz juga telah menjalankan tiga ujian bagi mengesan DNA babi dan didapati tiada kesan DNA babi,” kata kenyataan itu.
Hasil ujian-ujian itu telah dikemukakan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, Tabasco juga disahkan halal oleh Infanca (Majlis Nutrisi dan Makanan Islam Amerika) yang merupakan pihak berkuasa Islam di Amerika Syarikat dan mendapat akreditasi Jakim bagi mengesahkan produk itu bagi pihaknya.
Dalam masa sama, Ayam Brand dalam satu kenyataan menegaskan, tiada produk Ayam Brand telah ditarik balik dari pasaran dan syarikat itu tiada kena-mengena dalam apa jua cara atau berkaitan dengan syarikat produk babi salai yang ditarik balik dari pasaran Selasa lepas.
"Ayam Brand hanya mengeluar dan mengedar produk halal dan semua produk Ayam Brand disahkan halal,” kata kenyataan itu.
Pada 14 Jun, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengarahkan tiga jenama produk babi salai, satu daripadanya cap Ayam ditarik balik dari pasaran. – Bernama

Jakim sahkan HP Sauce, Tabasco Pepper Sauce mengandungi DNA babi

KUALA LUMPUR 15 Jun - Semua pemegang dan pemohon baru Sijil Halal Malaysia yang menggunakan produk HP Sauce dan Tabasco Pepper Sauce diarahkan menukarnya kepada produk lain yang memiliki sijil halal berikutan penemuan asid deoksiribonukleik (DNA) babi dalam produk berkenaan.
Menurut Pengarah Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Sazali Harun, mereka juga diminta melakukan proses samak dan mengemukakan bukti surat akuan samak daripada Jabatan Agama Islam Negeri masing-masing kepada Jakim.
"Jakim sebelum ini telah mengambil sampel produk tersebut dan keputusan Jabatan Kimia Malaysia mengesahkan terdapat DNA babi di dalamnya.
"Mereka juga dikehendaki untuk mengemukakan resit pembelian produk baru kepada pihak kami," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam kenyataan yang berasingan, beliau turut memberitahu, Sijil Pengesahan Halal Malaysia bagi Syarikat Lucky Food Processing Sdn. Bhd., ditarik balik berkuat kuasa serta-merta berikutan penemuan DNA babi dalam produk Chicken Burger Patties dan Chicken Taiwan Sausage keluarannya.
Penarikan sijil halal terhadap syarikat tersebut dilakukan berdasarkan keputusan mesyuarat Panel Pengesahan Halal Malaysia yang diadakan pada 22 April lalu.

No comments:

Post a Comment