BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Monday, November 30, 2015

LEMPENG KELAPA WARUNG SUNGAI PINANG, KLANG

Sebut saja hendak makan apa, semuanya ada di Warong Sungai Pinang yang terletak di Kapar, Klang, Selangor. Berkonsepkan kampung, terdapat beberapa gerai yang khusus untuk makanan Barat, sate, nasi ayam, bakso dan sup, roti canai serta paling istimewa lempeng.
“Di sini memang ramai pelanggan yang gemarkan lempeng kelapa yang dihidangkan dengan sambal tumis ikan bilis enak digandingkan dengan kopi O, Mungkin menu ini jarang ada di tempat lain. Malah ramai pelanggan yang datang berkali-kali hanya untuk merasa pelbagai menu yang ada di sini,” kata pemilik Warong Sungai Pinang, Mazlin Diana Mokhtar.
Mazlin yang mesra dengan panggilan Kak Lin menguruskan Warong Sungai Pinang dengan suaminya Roni Nuzirwan atau lebih dikenali sebagai Gaban serta dibantu 13 orang pekerja tetap dan beberapa pekerja sambilan pada hujung minggu.
Selain lempeng, Mazlin berkata nasi telur berlada iaitu nasi putih yang dihidangkan dengan sambal telur hancur juga antara menu ringkas yang menjadi kegemaran pelanggan dan lebih istimewa, menu makanan Barat sejuk beku dibekalkan oleh DJ Hot FM, Kieran.
Pelanggan boleh memilih chicken chop yang dihidangkan dengan telur mata lembu, salad, kentang goreng serta sos yang menyelerakan atau jika mahu sesuatu yang ringkas -takoyaki golden yang enak atau mungkin ayam penyet yang dihidangkan dengan nasi putih, salad, sup, dan sambal yang boleh membangkitkan selera.
Tidak lupa juga dengan pemilihan pelbagai jenis jus seperti belimbing atau tembikai, ice blended strawberi, vanila atau coklat atau pelbagai pilihan minuman panas atau sejuk lain.
Ditanya mengenai pemilihan menu, Mazlin berkata, mereka yang gemar makan di pelbagai restoran akan meninjau menu yang menarik dan tukang masaknya akan mengubahsuai sedikit sebanyak bagi menepati selera sendiri.
“Kami mempelbagaikan menu bagi memudahkan pelanggan membuat pilihan kerana pelanggan yang datang dengan keluarga tentu banyak kerenah dalam pemilihan makanan. Di sini mereka boleh memesan sama ada makanan panas, pelbagai jenis mi atau nasi,” kata graduan dalam bidang perniagaan dan pernah berkhidmat sebagai guru sekolah menengah.
Ditanya perancangan masa depan, Roni berkata, mereka bercadang untuk menambah menu seperti stimboat serta meningkatkan perkhidmatan yang ada untuk keselesaan pelanggan di warong yang boleh menempatkan lebih kurang 200 pelanggan pada satu-satu masa.
“Dengan tema rileks, lepak, santai, kami sentiasa membuka ruang untuk pelanggan bersantai, lepak dan rileks walaupun warong telah tutup kerana lampu di perkarangan warong tetap dibuka sehingga pagi,” katanya.

Sunday, November 29, 2015

G MAN CORNER: KELAPA PELBAGAI PERISA & ROTI BAKAR-AU2 KERAMAT

Apa istimewa roti bakar arang?

MEMPERTARUHKAN menu air kelapa pelbagai perisa dan roti bakar arang, sebuah gerai kecil terletak di Jalan 23/56 AU2, Keramat, di sini nyata menawarkan kelainan yang mungkin sukar ditemui di ibu kota.
Beroperasi bermula jam 1 petang hingga 10 malam, G Man Corner yang diusahakan oleh pasangan suami isteri ini menawarkan sekurang-kurang enam perisa berbeza air kelapa bagi memenuhi citarasa pelanggan.
Pemilik gerai, Azman Mohd Som, 43, berkata, air kelapa madu, laici, gula merah, soda dan lemon merupakan antara perisa yang boleh dipilih pelanggan.
“Air kelapa biasa juga kami jual, namun paling digemari pelanggan adalah perisa lemon dan madu. Air kelapa ini dijual dengan harga RM4 hingga RM5.
“Kira-kira 150 biji kelapa boleh habis jika hari panas dan bekalan kelapa saya ambil terus dari Kuala Selangor,” katanya.
Selain air kelapa, roti bakar arang menjadi satu lagi tarikan utama gerai G Man Corner dan dijual dengan harga RM4.50.
“Memang susah nak cari di Kuala Lumpur. Saya bakar roti dengan arang dan dihidangkan dengan dua biji telur separuh masak,” katanya kepada Sinar Harian.
Azman yang sebelum ini bertugas sebagai jurukamera produksi belakang tabir berkata, G Man Corner beroperasi sejak 2013 dengan hanya berbumbungkan payung.
“Lama-kelamaan saya fikir gerai perlu dibina dengan lebih kemas, jadi kami buat sikit demi sikit.
“Saya ada hasrat mahu kembangkan perniagaan ini dengan buka beberapa cawangan terutamanya untuk menu roti bakar arang,” katanya.
Sementara itu, isterinya, Saida Maria Said, 40, berkata, dari masa ke semasa mereka cuba mempelbagaikan menu digerai untuk memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna.
“Terbaru kami juga tawarkan nasi sotong, udang, dan ayam telur yang dijual dengan harga RM5 ke RM6.
“Khidmat penghantaran juga kami buat jika ada tempahan 10 bungkus ke atas,” katanya.

Friday, November 27, 2015

TARIF AIR TERTINGGI DALAM NEGARA

NUSAJAYA - Rakyat Johor berdepan tarif air paling tinggi dalam negara sehingga menimbulkan kesengsaraan kepada rakyat.
Adun Pekan Nanas, Yeo Tung Siong berkata, kenaikan tarif air di negeri ini bermula Ogos lalu dilihat tidak munasabah memandangkan Syarikat Air Johor Holdings Sdn Bhd (SAJ) telah mengaut keuntungan sebanyak RM71.59 juta tahun lepas.
Menurutnya, penjelasan diberikan bahawa margin keuntungan SAJ terikat dengan kawalan pihak Suruhanjaya Air Negara (SPAN) pada kadar tidak melebihi 8 peratus bagi tempoh tiga tahun tidak boleh diterima.
“Saya berpandangan tarif air di Johor tidak harus dinaikkan apabila SAJ memperoleh keuntungan yang besar.
“Adakah kerajaan berhasrat mencipta rekod supaya tarif air negeri ini akan kekal menjadi paling tinggi di seluruh negara?,” katanya pada perbahasan Persidangan Dun di Kota Iskandar, semalam.
Tung Siong berkata, kerajaan memerlukan strategi yang komprehensif untuk menyelesaikan masalah tarif air tinggi secara menyeluruh.
Menurutnya, kerajaan perlu menyediakan lebih banyak peruntukan untuk membina infrastruktur bekalan air di Johor supaya SAJ tidak perlu membayar caj sewa pajakan yang semakin tinggi kepada Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB).
“Kerajaan BN harus mengakui dasar penswastaan bekalan air di negeri ini mengalami kegagalan dan menjadi punca utama bangsa Johor menderita akibat terpaksa menanggung bayaran air tertinggi.
“Untuk mengatasi masalah ini, kerajaan negeri perlu mendapat semula semua aset di bawah PAAB supaya caj sewa pajakan infrastruktur bekalan air tidak lagi menjadi kos sehingga menjadi faktor kenaikan bayaran air,” katanya.

PULUHAN KUBUR DIKHUATIRI HILANG

Puluhan kubur dikhuatiri hilang

PONTIAN - Kubur lama di Tanah Perkuburan Kampung Rimba Terju di sini, dianggarkan berusia puluhan tahun dikhuatiri ‘hilang’ akibat kerap ditenggelami air laut setiap kali berlaku kejadian air pasang sejak 10 tahun lalu.
Difahamkan, benteng yang dibina penduduk menggunakan bahan binaan terbuang juga tidak mampu menyekat air laut masuk ke kawasan perkuburan yang mempunyai lebih 500 kubur.
Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rimba Terju, Abdul Kamal Suboh, 60, berkata, kejadian air pasang berlaku sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh seminggu menyebabkan kubur lama itu ditenggelami air.
"Sebenarnya, masalah hakisan ini sudah lama berlaku dan ia semakin serius sejak kebelakangan ini sehingga merosakkan kubur-kubur lama ini," katanya.
Tambah Abdul Kamal, kira-kira 30 kubur mula mendap dan bakal 'ghaib' sekali gus menyukarkan waris dan penduduk kampung untuk mengenal pasti kubur saudara mereka.
"Orang dulu-dulu guna kayu sahaja sebagai penanda, bukan batu nisan seperti sekarang. Jadi bila air dah kering, susah untuk kenal pasti kubur berkenaan milik siapa.
"Kami juga bimbang lebih banyak lagi kubur akan 'ghaib' kesan kejadian air pasang ini," katanya lagi.

Jelas beliau lagi, penduduk ada mencadangkan supaya sebuah parit dibina di kawasan tali air yang terletak di sebelah tanah perkuburan bagi mengelak air laut melimpah ke kawasan kubur.
"Oleh sebab kos gali parit agak tinggi, kita merayu agak pihak berkaitan bantu kami.
"Walaupun sudah ada benteng tetapi air laut tetap melimpah. Justeru cadangan bina parit itu dilihat dapat mengurangkan risiko air melimpah," katanya.
Sementara itu, bagi penduduk, Mohd Safuan Ali, 52, pula berkata, tanah perkuburan terbabit masih lagi digunakan penduduk kampung dan taman-taman perumahan berdekatan.

"Tanah perkuburan seluas kira-kira 1.2 hektar ini adalah tanah perkuburan paling awal dibuka di sini.
"Bilangan kubur juga semakin bertambah, memandangkan banyak taman-taman perumahan baharu dibuka kerana kedudukan Kampung Rimba Terjun hampir dengan bandar Pontian," katanya.
Katanya lagi, musim tengkujuh pada akhir tahun menyebabkan kejadian air pasang berlaku lebih kerap sekali gus meningkatkan risiko terjadinya hakisan.

Wednesday, November 25, 2015

RESTORAN SEDAP WEH-BUKIT RANGIN, KUANTAN, PAHANG

Restoran Sedap Weh saji 50 jenis masakan kampung

SESUAI dengan namanya ditambah dengan kelazatan menu masakan kampung menjadikan Restoran Sedap Weh sentiasa menjadi tumpuan pelanggan untuk menikmati makan tengah hari.

Mempertaruhkan beberapa menu masakan tradisi, restoran yang terletak di jalan Pintasan Kuantan, Bukit Rangin, Pahang ini menjadi pilihan ramai yang teringin menikmati hidangan ikan patin masak tempoyak, pais patin, daging salai masak kicap, daging salai cili api, kari kambing, masakan ayam kampung dan ikan percik.

Bukan sekadar itu, pelanggan juga pasti ‘rambang selera’ untuk memilih 50 jenis masakan yang disediakan.

Bagi pengusahanya, Wan Zawawi Wan Mustafa, 45, pelanggan yang singgah ke restorannya tidak perlu risau kerana harga yang ditawarkan amat berpatutan.

“Kadang-kadang ada yang teragak-agak untuk menikmati masakan ikan patin kerana bimbang terkena harga mahal tetapi di sini seketul ikan patin sama ada masak tempoyak atau pais harganya hanya RM6 (ekor) dan RM7 (kepala), kari kambing hanya
RM5 manakala ayam kampung RM7.

“Istimewanya di sini pelanggan boleh mengambil sendiri pelbagai jenis air minuman dalam balang yang disediakan dengan harga hanya RM1 segelas,” katanya.

Harga yang ditawarkan amat berbaloi untuk pelanggan dan paling penting 25 peratus dari keuntungan bersih setiap bulan akan disumbangkan ke Maahad Bahasa dan Ilmu Al-Quran (MABIQ) Pantai Sepat Kuantan,” katanya.

“Selain menikmati hidangan istimewa yang disajikan, pelanggan juga secara tidak langsung dapat beramal jariah melalui harga makanan yang dibayar.

“Kami beroperasi setiap hari bermula jam 11 pagi hingga 4.15 petang dan hanya untuk makan tengah hari,” katanya.

Semua bahan masakan termasuk ikan patin diperoleh secara segar daripada pemborong bagi memastikan kualitinya terjamin untuk rasa yang terbaik.

“Bagi memenuhi permintaan pelanggan, sebanyak 60 kilogram ikan patin diperlukan setiap hari.

“Setakat ini menu pais patin antara masakan yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan setiap hari,” katanya.

Wan Zawawi sentiasa mendapatkan maklum balas dan komen terhadap rasa dan mutu masakan sebagai satu cara untuk meningkatkan keyakinan pelanggan.

Monday, November 23, 2015

SEGAMAT RAIL CAFE-SEKSYEN 14 SHAH ALAM

Segamat Rel saji masakan Johor

MEMASUKI ruang Restoran Segamat Rel memberikan suasana unik seperti di stesen keretapi lama di Johor. Sinonim dengan nama restoran ini sendiri, sudah tentu dekorasinya mempunyai signifikan tertentu.
Ternyata, si empunya restoran merupakan warga Johor yang kini bermastautin di Shah Alam dan merupakan seorang peguam.
Pengurus Besar restoran, Chef Mazlan Othman berkata, idea mengetengahkan dekorasi stesen keretapi Johor dengan elemen vintage ini sememangnya bertujuan menyampaikan maksud hidangan restoran ini sendiri.  
Segamat Rel Cafe merupakan restoran yang beridentitikan masakan Johor, bertujuan menjadi peneraju makanan Johor di bandar-bandar utama negara ini, bermula dari Shah Alam.

Restoran ini boleh memuatkan sehingga 80 orang pada satu-satu masa dan menyediakan hidangan ala cart serta boleh menyediakan tempahan katering.

Hidangan menyelerakan

Kunjungan penulis bersama editor dan para wartawan di atas jemputan Chef Mazlan tidak melepaskan peluang untuk menikmati menu yang menjadi ‘signature’ restoran ini.
Antaranya, nasi ambeng yang dihidangkan bersama ayam masak kari Johor serta daging dan nasi ayam berempah.
Keenakan dan keunikan ayam masak kari Johor begitu menyelerakan tekak bukan warga Johor seperti penulis dan terus-terang, penulis menyukainya.
Selain itu, kami turut dihidangkan dengan aneka jenis kek seperti redberry dan cheese cake serta durian crepe yang empuk lagi menyelerakan.

Selera kembali terbuka apabila dihidangkan dengan mi bandung, meski pun tekak telah menelan lebih empat jenis menu sebelum itu.
Menurut Chef Mazlan, Segamat Rel mensasarkan tiga outlet berdekatan Shah Alam dalam radius 15 ke 30 kilometer dalam tempoh tiga bulan akan  datang.
“Restoran yang menelan belanja sehingga RM700,000 kos keseluruhan ini dijangka berkembang menjadi 10 outlet kesemuanya, menjelang hujung tahun  hadapan.
“Kami telah membuat kajian pemasaran dan menyusun strategi untuk menjadi perintis dalam mempromosikan makanan tradisional Johor secara    menyeluruh dan outlet pertama dikhususkan untuk warga Shah Alam,” katanya.
Lebih 31 jenis menu disediakan di Segamat Rel Cafe yang terletak di Seksyen 14 berdekatan Anggerik Mall.

“Menu utama kami adalah mi jawa, mi rebus, nasi tomato, rendang daging dan juga ayam goreng berempah. Kami akan mempertingkatkan lagi jenis menu dari segi hidangan snack dan makanan ringan yang lain dengan mengekalkan identiti Johor, khususnya makanan orang dulu-dulu, seperti lontong   darat dan sebagainya.
“Selain nasi ambeng kami juga hidangkan ubi rebus yang boleh dimakan dengan sambal hijau atau sambal ikan bilis atau bersama kuah asam pedas.
Pisang goreng sambal hitam dan kari juga ada,” sambung Chef Mazlan yang mempunyai 22 tahun pengalaman sebagai Chef dan pernah bertugas di Melbourne Australia ini.
Restoran Segamat Rel dilancarkan secara rasmi pada 9 November lepas dan akan turut menghasilkan produk lain seperti kopi campuran dan merchandise.

Sunday, November 22, 2015

MAIN JUDI ONLINE GUNA TABLET

PONTIAN - Penggunaan tablet untuk kegiatan perjudian haram di sekitar daerah ini mula dikesan digunakan bagi menarik lebih ramai pelanggan.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Zakaria Abdul Rahman berkata, sindiket perjudian haram mengubah modus operandi mereka mereka dengan menjadikan tablet sebagai alat untuk berjudi.
Menurut beliau, sebanyak sembilan buah premis yang disyaki menjalankan perniagaan judi atas talian telah diserbu anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, dua minggu lalu.
"Siasatan awal mendapati, pelanggan akan diberikan kata laluan sebelum dapat mengakses judi dalam laman web.

"Wang pertaruhan dan hasil kemenangan judi boleh diperoleh melalui transaksi akuan dan pelanggan boleh menggunakan kad kredit," katanya pada sidang media di sini, kelmarin.
Kata Zakaria, dalam serbuan itu, polis berjaya merampas 22 buah tablet, empat telefon bimbit, 12 buah komputer riba, satu set komputer meja, 10 buah modem dan wang tunai RM2,624.

"Polis turut menahan 33 individu yang berada di dalam premis ketika serbuan dilakukan. 10 daripada mereka telah dituduh di mahkamah dan mengaku bersalah," katanya.
Tegasnya, operasi berterusan akan dilakukan bagi membanteras kegiatan judi haram yang sukar dikesan memandang modus operandi sindiket judi selalu berubah-ubah dari segi lokasi dan taktik digunakan.
“Saya ingatkan ibu bapa agar memantau anak mereka supaya tidak terlibat dengan judi 'online' haram. Pantau pergerakan anak ketika cuti persekolahan ini," katanya.
Sementara itu, Zakaria berkata, polis berjaya menahan seorang suspek curi kenderaan berusia dalam lingkungan 30 tahun pada 14 November lalu.
“Suspek yang mempunyai 71 rekod jenayah lampau ditahan bersama seorang lagi rakannya selepas Toyota Hilux yang dicuri mereka dikesan anggota polis melalui alat navigasi GPS yang dipasang pada kenderaan itu.
"Hasil pemeriksaan air kencing mendapati kedua-dua positif dadah," katanya.

Friday, November 20, 2015

MOTO GARAGE CAFE-DENGKIL



INGINKAN kepelbagaian makanan dengan hidangan pencuci mulut yang enak? Mungkin Moto Garage Cafe atau (MG Cafe) yang terletak di Jalan Putra Perdana 2/1, Taman Putra Perdana, Dengkil ada jawapannya.
Menyediakan masakan panas dengan resipi hasil air tangan pemiliknya sendiri, bukan sahaja makan di kedai, pelanggan juga boleh membuat tempahan dan ia akan dihantar terus melalui perkhidmatan penghantaran yang disediakan.
Pemiliknya, Mohamad Nizam Mohamad Ghaus, 38, berkata, antara menu yang sering menjadi tempahan pelanggan termasuk Nasi Goreng MG, ais krim kelapa, nasi kerabu dan mi celup.

Bagi nasi kerabu, pelanggan boleh memilih dihidang bersama ayam berempah, ayam kampung goreng atau daging bakar.
Mi celup yang ditawarkan di MG Cafe pula adalah resipi isterinya, Samihah Pa’adek, 34, yang mempelajari menu itu daripada ibu mertua serta kakak ipar yang merupakan bekas tukang masak istana.

Katanya, kebanyakan bahan-bahan ‘diimport’ dari Kelantan.
“Selain masakan panas, kami juga menawarkan hidangan pencuci mulut istimewa ‘brownies ice cream’, ‘coconut shake’ dan ais krim kelapa,” katanya.
Bekas pelajar Diploma Jurusan Pengurusan Hotel Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ini berkata, kepuasan makanan menjadi keutamaannya dalam perniagaan yang dikongsi bersama rakannya, Azizul Abdullah, 39.
"Prinsip saya apa yang dimasak di kedai mesti sedap, sama macam nak makan di rumah," katanya.

Dibuka sejak sebulan lalu, premis beroperasi dari jam 9.30 pagi hingga 11 malam ini menawarkan harga sederhana.
Bagi kawasan Putra Perdana, perkhidmatan penghantaran ditawar percuma manakala kawasan lain dicaj mengikut jarak lokasi, paling jauh perkhidmatan ditawar hingga ke Putrajaya.
“Kita ada sediakan ‘big screen’ bila musim bola. Segelintir pengunjung mulanya takut masuk ke dalam kedai sebab ingat ia hanya untuk penunggang motosikal berkuasa tinggi, tetapi sebenarnya ia terbuka kepada semua pelanggan," katanya.

Saturday, November 14, 2015

RESTORAN MARUGAME UDON & TEMPURA-SUNWAY PUTRA MALL KL

SINGGAH Makan kali ini menampilkan menu istimewa dari Jepun yang dinamakan Udon. Udon merupakan sejenis hidangan tradisi Jepun yang diperbuat daripada tepung gandum. Ia biasanya dihidangkan dengan sup panas yang ringkas berasaskan rumpai laut, ikan dan sos soya.
Baharu sahaja bertapak di Malaysia dengan pembukaan dua cawangannya di sekitar Lembah Klang awal tahun ini, restoran Marugame Udon, Udon & Tempura menawarkan cita rasa makanan tradisi Jepun yang semakin digemari di negara ini.
Bagi masyarakat Melayu, Udon ini bolehlah dikatakan hampir sama dengan laksa. Namun, cara pembuatan dan kuah sup membuatkan rasa Udon begitu menepati selera masyarakat Malaysia.
Bagi penggemar makanan Jepun, lokasi restoran ini sudah pasti tidak akan menjadi masalah kerana dua cawangannya terletak di Sunway Putra Mall, Jalan Putra, Kuala Lumpur dan Setia City Mall, Setia Alam, Shah Alam mudah dilawati.
Terdapat lapan menu utama yang menghidangkan Udon iaitu Niku Udon (dihidangkan bersama daging dan sup yang direneh bersama stok ikan dan rumpai laut); Mentai Kamatama Udon (dimakan bersama telur ikan dan telur separuh masak); Zaru Udon (Udon sejuk bersama sos soya Jepun); Kake Udon (Udon bersama sup stok ikan dan rumpai laut); Tori Baitang Udon (Udon bersama kuah sup ayam); Kamaage Udon (Udon rebus dihidang secara panas dengan sos soya) dan Ontama Udon (dihidang bersama telur separuh masak dan sos soya).
Sementara menu nasi pula mempunyai empat pilihan iaitu Sukiyaki Beef Bowl, Tendon Chicken Rice, Beef Curry Bowl dan Tendon Seafood Rice.
Bagi menu tempura, terdapat lapan pilihan iaitu udang, ikan, ayam, kroket daging, cili merah dan pes ikan, sayur campur, ubi keledek, nasi dan terung bersama ayam.
Rangkaian restoran Marugame Udon, Udon & Tempura sebenarnya telah lama bertapak di Jepun dengan hampir 800 cawangan. Ia juga mempunyai banyak cawangan di Indonesia, Australia, Vietnam, Rusia, Korea, China, Hawaii, Thailand, Taiwan dan Hong Kong.
Pengurus restoran itu, Fazruly Amiruddin berkata, Udon yang dihidangkan itu dihasilkan sendiri di restoran berkonsepkan dapur terbuka. Justeru, pelanggan dapat melihat sendiri proses penyediaan dan memasak hidangan Udon serta menu lain ketika dipesan.
Katanya, walaupun menggunakan mesin, Udon yang dihasilkan masih mengekalkan rasa tradisional makanan Jepun yang asli. Kekenyalan mi Udon yang dihidangkan pasti membuatkan pelanggan menikmati makanan tradisi Jepun itu dengan penuh selera.
Menyentuh mengenai harga, beliau berkata, harga setiap menu berbaloi dengan hidangan yang menyelerakan iaitu bermula dari RM9.80 sehingga RM14.80 bagi semangkuk Udon atau tempura serta tiada caj perkhidmatan memandangkan ia adalah restoran layan diri yang selesa.
“Setiap hidangan dibuat terus di dalam dapur sebaik sahaja ia dipesan oleh pelanggan. Jadi, kita dapat memastikan Udon yang dihidangkan benar-benar segar dan berkualiti,” katanya.

Thursday, November 12, 2015

WALNUT TINGKATKAN KESUBURAN LELAKI


KANDUNGAN zink yang tinggi dalam walnut memperbaiki fungsi prostat sekali gus meningkatkan
 kualiti sperma pada golongan lelaki.


UMUM mengetahui kebaikan kacang walnut terhadap kesihatan tubuh, namun kajian terbaharu mendapati kacang ini juga bermanfaat untuk meningkatkan ghairah ketika hubungan intim, lebih baik daripada mana-mana ubat perangsang seks.
Menurut portal berita kesihatan Boldsky, walnut bukan sahaja tinggi antioksida, malah kaya dengan vitamin B1 dan B2 selain mengandungi pelbagai elemen penting yang diperlukan kelenjar seks untuk berfungsi pada tahap optimum.
Selain itu, walnut juga memiliki kandungan zink yang tinggi bagi membantu memperbaiki fungsi prostat sekali gus meningkatkan kualiti sperma pada golongan lelaki.
“Walnut kaya protein, serat dan asid lemak. Ia juga mengandungi vitamin A, C, D, E, K dan B-kompleks. Meskipun rasanya sedikit pahit, kacang ini sesuai dijadikan snek yang menyihatkan bagi pasangan yang menginginkan kehidupan ranjang yang lebih baik,” kata portal tersebut.

Sunday, November 8, 2015

RESTORAN BUMBU DESA- KUCHING SARAWAK

TERINGIN menikmati keenakan masakan Sundar asli, anda tidak perlu terbang jauh ke Indonesia tetapi boleh berkunjung ke Restoran Bumbu Desa di pusat dagangan I-com Square, Jalan Pending di Kuching, Sarawak.
Bukan hanya masakan, malah restoran ini turut menampilkan suasana seolah-olah anda berada di restoran Sundar di negara jiran itu apabila kehadiran disambut dengan senyuman penyambut tetamu diiringi bau wangian nasi liwet serta alunan muzik tradisional orang Sundar.
Hiasan dalaman restoran ini melambangkan keunikan kehidupan orang sundar yang tidak lari dengan buluh yang berwarna kecoklatan.
Antara keunikan Restoran Bumbu Desa ialah ia menyediakan empat jenis sambal istimewa yang mempunyai tahap kepedasan tertentu.
Sambal Bomba (mengandungi epal) menduduki hieraki tertinggi tahap kepedasan, diikuti sambal Terasi (mengandungi belacan), cabe ijo (mengandungi cili hijau) dan sambal tomat (sambal tomato).
Sambal-sambal ini akan dihidangkan kepada pelanggan bersama dengan ulam-ulaman tanpa had dan mereka boleh menambahnya jika mahu.
Selain itu, hidangan disediakan bagi satu juadah juga dalam kuantiti yang banyak iaitu boleh dinikmati oleh dua hingga tiga orang.
Saiz juadah yang besar ini membolehkan pelanggan lebih daripada dua orang mendapatkan harga makanan dengan lebih murah berbanding jika makan di restoran makanan laut.
Kira-kira 20 juadah terdiri daripada pelbagai jenis lauk-pauk masakan Sundar disediakan untuk pilihan pelanggan dan mereka boleh cuba merasainya dahulu sebelum mengambil hidangan.
Pelanggan hanya perlu memilih hidangan dan memberitahu nombor meja untuk makanan dihidangkan kemudian.
Tidak sampai beberapa minit, juadah mereka akan dihidangkan di atas meja. Juadah bagi 10 orang hanya mengambil masa kira-kira 10 minit sahaja untuk disediakan termasuk juadah ‘ala carte’.
Antara juadah paling mendapat sambutan di restoran ini ialah ayam bakar kicap, ikan terbang, cumi bakar, kulit ayam, iga bakar (tulung rusuk lembu), daging dendeng dan sup buntut (sup ekor asli sundar).
Menurut pemilik restoran, Abang Adib Izzaniq Abang Iskandar, 23, sambutan yang diterima begitu menggalakkan daripada orang ramai terdiri pelbagai kaum meskipun restorannya baru beroperasi pada 12 Jun lalu.
“Konsep restoran ini ialah masakan Sundar asli yang mengekalkan keasliannya dari semua sudut bermula daripada layanan sehinggalah masakan.
“Kami juga mementingkan layanan bagi memastikan para pelanggan yang datang mendapat layanan baik dan cepat. Ketika ini, kita mempunyai 30 kakitangan bagi menjalankan operasi restoran,” katanya kepada wartawan S2 baru-baru ini.
Abang Adib memberitahu, bahan-bahan digunakan dalam masakan juga dijaga kualiti dengan membeli terus daripada pembekal daging lembu dan ayam yang halal serta dijamin bersih.
Menurutnya, restoran terbabit boleh menempatkan 120 pelanggan dalam satu masa iaitu 80 orang di dalam dan 40 orang di bahagian ruang terbuka di luar yang mempunyai kerusi unik yang rendah bagi membolehkan anda duduk bersantai.
Selain menawarkan hidangan biasa, katanya, pelanggan juga boleh membuat tempahan bagi majlis hari jadi dan keraian. Bagi menyambut hari jadi, pihaknya menyediakan sekali pemuzik dalam kalangan kakitangan yang akan bermain gitar dan memainkan lagu selamat hari jadi.
“Kejayaan membuka restoran ini adalah hasil sokongan dan dorongan ibu bapa saya. Insya-Allah... saya bakal membuka cawangan Restoran Bumbu Desa di pusat beli-belah CityOne di sini pada November depan.
“Ikutilah laman Facebook Bumbu Cabe iaitu www.facebook.com/Bmbucabe bagi mengetahui sebarang promosi dan memberikan maklum balas tentang restoran kami,” ujarnya.
Mengakhiri pertemuan, beliau mengingatkan agar orang ramai yang mahu merasai keenakan masakan Sundar asli ini agar membuat tempahan terlebih dahulu supaya tidak dikecewakan kerana bimbang meja dipenuhi pelanggan.