BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Thursday, April 7, 2016

BEBAN DIABETES

KITA perlu sedar, cabaran untuk mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020 bukanlah suatu perkara yang mudah.
Kesihatan juga diukur sebagai satu petunjuk tahap kemajuan sesebuah negara serta kesejahteraan rakyatnya.
Dunia sedang berhadapan masalah penyakit tidak berjangkit akibat gaya hidup tidak sihat yang diamalkan oleh masyarakat sekarang.
Diabetes adalah merupakan salah satu daripada ancaman penyakit tidak berjangkit yang dinyatakan di atas.
Diabetes disyaki apabila paras glukosa dalam darah seseorang melebihi daripada paras normal dan diagnosa akan disahkan melalui ujian Oral Glucose Tolerance Test (OGTT).
Umum mengetahui bahawa diabetes mengakibatkan komplikasi seperti kerosakan pada buah pinggang, jantung, mata dan saraf. Selain itu, pesakit diabetes juga berisiko tinggi mendapat penyakit hipertensi dan serangan jantung.
Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan sejak tahun 1986 hingga kini, serta Global Non-Communicable Disease Report 2014 menunjukkan rakyat negara kita juga tidak terkecuali daripada penularan penyakit ini.
Jumlah penghidap diabetes di Malaysia mahupun seluruh dunia menunjukkan peningkatan saban tahun dan lebih ketara dilaporkan berlaku di negara-negara berpendapatan rendah serta sederhana.

Pada 2006, 11.6 peratus penduduk negara ini menghidap diabetes. Terdapat peningkatan sebanyak 3.6 peratus pada 2011 menjadikan peratusan pesakit diabetes 15.2 peratus dan seterusnya meningkat kepada 17.5 peratus pada 2015.
Peratusan ini sangat tinggi berbanding dengan beberapa negara lain di Asia Timur. Sebagai contoh, walaupun China mempunyai 96 juta pesakit tetapi meliputi hanya 9.2 peratus daripada penduduknya.Begitu juga India, mempunyai 66 juta pesakit, iaitu 8.6 peratus daripada jumlah penduduknya.
Data di atas menjadikan seramai 3.5 juta penduduk dewasa di Malaysia menghidap diabetes dan daripada jumlah tersebut, separuh (9.2 peratus) tidak mengetahui bahawa mereka menghidapi penyakit tersebut.
Ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia bukan sahaja merupakan populasi yang tidak sihat, tetapi yang lebih membimbangkan adalah ramai dalam kalangan masyarakat kita tidak mengetahui bahawa mereka adalah penghidap diabetes.
Impak penyakit diabetes terhadap negara adalah besar. Negara dibebankan dengan bukan sahaja kos untuk sistem penjagaan kesihatan, tetapi kerugian ekonomi akibat kehilangan produktiviti dan kesejahteraan hidup pesakit.
Kekerapan pekerja bercuti sakit, kurang berupaya untuk menghasilkan kerja yang optimum dan bekerja dalam keadaan yang lemah serta kurang bersemangat akan meninggalkan kesan kepada produktiviti dan pulangan kepada ekonomi negara.
Ini belum mengambil kira impak besar terhadap ekonomi keluarga akibat kematian pra matang disebabkan oleh komplikasi serangan jantung atau strok.
Bahagian Perkhidmatan Farmaseutikal, Kementerian Kesihatan dalam laporan bertajuk The Cost Of Diabetes Care for Ambulatory Patients in Malaysian Ministry Of Health Facilities 2011-2012 menyatakan, anggaran purata kos langsung rawatan bagi setiap pesakit Diabetes Mellitus ambulatori setahun ialah RM2,684.
Ini bermakna jika separuh daripada 3.5 juta penghidap diabetes mendapat rawatan, kos yang dibelanjakan hanya untuk rawatan akan mencecah sehingga RM4 billion.
Secara purata, seorang pesakit diabetes yang mengalami kegagalan buah pinggang perlu membelanjakan tambahan RM1,400 hingga RM3,200 sebulan untuk menjalani dialisis.
Selaras dengan Global NCD Target 2025, Kementerian Kesihatan telah menetapkan sasaran untuk mengekalkan peratus diabetes di paras kurang daripada 15 peratus menjelang tahun 2025.

Perubahan tingkah laku masyarakat kepada amalan dan gaya hidup yang lebih sihat memainkan peranan utama untuk mengawal dan mencegah diabetes.
Gaya hidup sihat yang dimaksudkan adalah melakukan aktiviti fizikal secara tetap mengikut saranan, mengekalkan berat badan unggul dan mengamalkan diet yang seimbang.
Individu yang berumur 30 tahun dan ke atas disarankan menjalani ujian saringan penyakit tidak berjangkit, termasuk diabetes sekurang-kurangnya sekali setahun dan lebih kerap jika mempunyai faktor risiko lain.
Saringan berkala ini wajar kerana diabetes tidak menunjukkan tanda atau gejala di peringkat awal. Malangnya, budaya menjalani saringan kesihatan bukanlah budaya yang popular di Malaysia.
Adalah amat penting bagi masyarakat Malaysia untuk mengubah minda daripada sikap tidak peduli dan ‘lebih baik tidak tahu’, kerana apabila diabetes telah terjadi, tiada yang dapat menyekat berlakunya komplikasi seperti kegagalan buah pinggang, strok, serangan jantung dan pemotongan kaki kecuali dengan rawatan awal dan berterusan.
Hari Kesihatan Sedunia disambut pada 7 April setiap tahun sempena ulang tahun kewujudan Pertubuhan Kesihatan Sedunia sejak tahun 1948.
Diabetes telah menjadi tema sambutan tahun ini dengan slogan Tumpaskan Diabetes: Tingkatkan Pencegahan, Kukuhkan Rawatan dan Mantapkan Saringan.
Majlis pelancaran peringkat kebangsaan akan diadakan pada 7 April 2016 di Dewan Serbaguna, Taman Seri Keramat AU2, Taman Keramat, Kuala Lumpur yang akan dirasmikan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam.
Pelbagai aktiviti akan dijalankan pada hari tersebut seperti aktiviti senaman, seminar diabetes, pameran dan juga saringan kesihatan. Buku Clinical Practice Guideline for Management of Type 2 Diabetes 2015 yang akan diguna pakai sebagai dokumen rujukan rasmi dalam merawat pesakit diabetes akan turut dilancarkan pada hari itu.

Diabetes menular dalam kalangan remaja
DIABETES merupakan penyakit tidak berjangkit yang turut mengancam nyawa golongan muda berusia 18 tahun dan ke atas.
Pakar Perunding Endokrin, Jabatan Perubatan Hospital Putrajaya, Dr. Zanariah Husin berkata, statistik yang dikeluarkan melalui kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 menunjukkan 17.5 peratus rakyat di negara ini yang berusia 18 tahun dan ke atas menghidap penyakit diabetes.
Katanya, angka tersebut amat membimbangkan apatah lagi separuh daripada statistik tersebut menunjukkan bahawa penghidapnya tidak mengetahui mereka menghidap penyakit tersebut.
“Diabetes jenis 2 pada asalnya merupakan penyakit ‘eksklusif’ orang dewasa khususnya mereka yang berusia 40 tahun ke atas.
“Bagaimanapun setelah semakin ramai kanak-kanak yang mengalami berat badan berlebihan, ditambah dengan tidak aktif bergerak, diagnosis diabetes jenis 2 dalam kalangan golongan ini semakin meningkat.
“Sebahagian peningkatannya juga dipercayai daripada pemakanan, makanan diproses tinggi lemak dan berserat rendah dan tidak ketinggalan amalan gaya hidup yang tidak sihat.
“Remaja yang menghidap penyakit ini akan berdepan dengan keadaan tersebut seumur hidup mereka, bagaimanapun sekiranya dapat dikesan pada peringkat awal ia masih boleh dirawati dan ada sesetengah kes pesakit akan bebas sepenuhnya daripada penyakit ini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Mengenai cara rawatannya, Dr. Zanariah membahagikan kepada dua cara, iaitu rawatan bukan ubat dan rawatan dengan ubat-ubatan.
“Untuk rawatan bukan ubat, pesakit perlulah memastikan pemakanan harian yang diambil adalah sihat dan memastikan diet harian teratur.
“Selain itu pesakit juga perlu melakukan aktiviti fizikal seperti senaman dan tidak ketinggalan pemantauan tahap gula darah secara teratur.
“Bagi rawatan secara pengambilan ubat pula, pesakit boleh mengambil ubat oral atau pun melalui suntikan tetapi berdasarkan pada tahap penyakit tersebut,” kataya.
Ternyata apa jua jenis penyakit yang dihidapi, sekiranya dapat dikesan pada peringkat awal bukan sahaja dapat dirawat malah tinggi peluangnya untuk sembuh.
Oleh yang demikian, jalani ujian saringan pada kadar segera dan kepada golongan warga emas mereka digalakkan melakukannya setahun sekali untuk mengetahui tahap kesihatan badan masing-masing.

Monday, April 4, 2016

THIRTEEN STREET CAFE-SEKSYEN 13 SHAH ALAM


AROMA menyelerakan menusuk hidung sebaik melangkah masuk ke Thirteen Street Cafe di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor.
Waktu itu menghampiri pukul 4 petang. Suasana di dalam restoran sudah kelihatan sesak dengan orang ramai sama ada bersama keluarga atau rakan-rakan menunggu hidangan masing-masing.
Menariknya, restoran ini menggabungkan konsep deko moden, santai dan elegan. Awalnya, pemilik, Mona Din bersama rakan kongsi iaitu anaknya, Muhammad Izzul Haziq dan adiknya, Fauziah Din tidak menyangka restoran ini menjadi pilihan golongan berkeluarga untuk menjamu selera. Hanya dengan promosi di laman sosial, sambutan terhadap restoran ini di luar jangkaan.
“Pada awalnya, saya mencadangkan sebuah kafe yang sesuai untuk minum petang. Santai dan relaks. Namun, ramai yang datang berkeluarga atau dengan rakan-rakan. Setiap hari kami akan mengubah dan menambah hidangan yang sesuai untuk sarapan, makan tengahari dan malam,” katanya.
Dengan harga yang sangat berpatutan, restoran yang baru sebulan dibuka ini menyediakan pelbagai pilihan makanan, daripada nasi sehingga ke pencuci mulut. Terdapat ruang yang menyediakan aneka kek berwarna-warni. Terdapat juga makanan ringan ala Melayu seperti keropok lekor.
Malah hidangan disediakan dalam bekas atau pinggan besar. Penulis dan jurugambar memulakan dengan menu Special Waffle Ice Cream. Hiasan menu ini sangat cantik dan menarik. Sebaik-baik sahaja kami memakan manisan mulut ini, memang tidak dapat disangkal lagi keenakan waffle apabila dimakan bersama aiskrim vanilla serta sedikit rasa masam buah beri yang dihidang bersama.
Mona berkata, dia amat mementingkan selera pelanggan dan konsep itu diterapkan dalam menu restorannya.
“Kami mahu pelanggan bebas memilih makanan kegemaran dengan variasi menu menarik.
“Tidak hanya menumpukan golongan muda, menu juga disediakan untuk setiap lapisan umur dan masyarakat. Selain pelbagai hidangan Barat seperti stik, kami juga menyajikan aneka sup dan nasi,” katanya.
Bercerita tentang dekorasi, Mona gemarkan konsep hipster yang berbeza dengan restoran lain. Sebab itulah, setiap lukisan yang ada pada dinding restoran ini sebenarnya sesuatu yang baru dan hanya dapat dilihat di restoran ini.
Malah, ia dihiasi dengan pelbagai dekorasi menarik seperti meja dan kerusi tempahan khas menggunakan kayu palet Pine.
Mona mahu pelanggannya menikmati hidangan dengan selesa, seolah-olah berada di rumah sendiri.
Terdapat juga ruang Love Corner bagi pasangan yang ingin menikmati hidangan dalam suasana romantis.
Mula operasi jam 9 pagi sehingga 11 malam, restoran tersebut mampu menampung 78 pelanggan dalam satu-satu masa. Restoran ini turut menerima tempahan untuk majlis hari jadi dan keraian lain.
Antara makanan tempatan yang terpadat di restoran ini ialah ikan bakar, nasi lemak sotong, nasi daging air asam, mi rebus Utara, laksa Utara, bihun sup Utara dan lontong soto.
Penggemar makanan Barat pula boleh mencuba aneka hidangan seperti ayam roasted dan panggang, kambing, salmon panggang, spageti dan banyak lagi.
Restoran ini menawarkan lebih 100 menu dengan harga makanan serendah RM3 hingga RM30 (premium) kepada penggemar makanan tempatan dan Barat.

GIGI PUTIH SENYUM MENARIK

Semua orang mahukan gigi yang putih berseri. Ini dikaitkan dengan keyakinan diri. Bagaimanapun dengan pemakanan, penambahan usia, saraf gigi mati, pereputan gigi atau pengambilan beberapa ubat tertentu boleh menyebabkan gigi berubah warna, kusam atau kehitaman.
Mereka yang mengalami masalah ini pasti malu untuk berdepan dengan masyarakat malah ada yamg sangggup menghabiskan sejumlah wang bagi mendapatkan gigi yang cantik sekaligus mengembalikan keyakinan diri masing-masing.
Menurut Ketua Pakar Runding Prosthodontist, Pusat Pergigian Pusat Kesihatan Tawakal Kuala Lumpur, Dr. Mohd Muzafar Hamirudin, perubahan warna gigi boleh dibahagikan kepada dua iaitu faktor luaran dan faktor dalaman. Faktor luaran disebabkan oleh merokok, minum minuman berwarna seperti kopi, teh, wain merah atau minum berkarbornat berwarna gelap. Selain itu permukaan dentin yang terdedah mengakibat gigi haus menyebabkan perubahan pada warna gigi,
“Faktor dalaman pula biasanya disebabkan oleh saraf di bahagian gigi tidak berfungsi atau gigi telah mati biasanya perubahan mengambil masa berbulan bulan hingga bertahun. Pengaruh usia, penyakit genetik, rawatan kanal akar gigi boleh mengubah warna gigi, pereputan gigi dan ubatan seperti tetracyline menyebabkan perubahan warna pada gigi,” katanya.
Pelbagai cara dilakukan untuk menjadikan warna gigi menjadi putih. Antaranya ialah penggunaan ubat gigi, penggilapan, rawatan korona, veneer oleh pegawai pergigian dan yang paling popular adalah bleaching yang juga dilakukan oleh pegawai pergigian.
Paling mudah adalah menggunakan ubat gigi pemutih boleh menghilangkan kotoran pada permukaan jika sering digunakan. Setiap kali memberus gigi dengan ubat gigi pemutihan kotoran yang disebabkan oleh makanan, minuman, tembakan atau tompokan plak dapat dilambatkan.

Dr.Mohd Muzafar berkata, bleaching atau pemutihan gigi adalah rawatan yang biasa dilakukan dan diakui kejayaannya. Sebanyak 90 peratus kejayaan telah dilaporkan untuk pemutihan gigi.
Banyak pilihan pemutihan gigi ditawarkan kepada pesakit di klinik gigi. Ini termasuklah jel dan lampu pemutihan. Jel itu mengandungi tahap peroksida yang tinggi yang menembusi gigi untuk mengurangkan kekotoran.
“Pesakit juga melakukan rawatan di rumah seperti yang ditetapkan oleh pakar pergigian.
“Pesakit boleh memutihkan gigi di rumah dengan produk yang ditetapkan oleh doktor,” katanya.
Doktor gigi akan membuat acuan dari gigi pesakit dan kemudian memberi pesakit bekas plastik yang dibuat khas untuk seseorang pesakit. Di rumah, pesakit akan mengisi bekas yang dibuat khas itu dengan jel pemutih.
“Jel ini akan kekal pada gigi pesakit sekurang-kurangnya satu jam. Jel pemutihan diletakkan pada gigi hadapan. Jel itu dibiarkan selama 15 hingga 20 minit sebelum dibersihkan.
“Letakkan jel pemutih di dalam bekas yang dibuat khas itu. Pakai bekas sekurang-kurangnya sejam,” katanya.
Keberkesanan pemutihan gigi adalah berbeza pada bergantung kepada kepekatan bahan yang digunakan dan berbeza setiap satu gigi.
Ada gigi cepat putih dan ada gigi yang mengambil masa lebih lama untuk lebih cerah. Ada kalanya proses perlu diulang beberapa kali.

Saturday, April 2, 2016

NOTA CAFE-BANDAR BARU SELAYANG



‘JOM LEPAK,’ perkataan inilah yang sering didengar dalam kalangan remaja apabila mengajak kawan-kawan keluar. Melepak sudah jadi amalan biasa bagi remaja apabila selesai kuliah atau pada hujung minggu.
Restoran makanan segera, kedai mamak dan kafe antara lokasi yang digemari remaja untuk melepak kerana makanan yang dijual tidak terlalu mahal dan persekitaran juga selesa. Selain minum-minum dan makan mereka juga boleh berwifi dan boleh menggunakan komputer riba untuk membuat tugasan.
Shazlira Hamzah, 35, semasa remajanya juga suka melepak di kafe-kafe sekitar ibu kota sambil menyiapkan tugasan dan bertukar-tukar nota dengan kawan-kawan.
Ini ujarnya bagi menghilangkan stres dan mendapatkan suasana yang berbeza untuk menyiapkan tugasan selain boleh dilakukan di bilik asrama, di dalam kelas dan sebagainya.
Zaman melepak bagi Shazlira telah pun berlalu, namun masih kukuh dalam kenangan. Justeru apabila hendak memilih nama untuk kafenya, dengan segera dia teringat tentang zaman lepaknya dahulu dan mungkin nama kafenya boleh dikaitkan dengan waktu itu.
Baru dibuka tiga bulan lalu di Bandar Baru Selayang (berhadapan dengan Stadium Majlis Perbandaran Selayang), asal pembukaan kafe ini kata Shazlira, adalah bagi mereka yang mencari tempat makan yang selesa dan moden untuk berjumpa kawan-kawan atau mahu mengadakan perbincangan.

Menurut bekas penerbit dan penyelaras di Grand Brilliance ini, semasa hendak membuka kafe ini dahulu dia ada bertanya kepada kawan-kawan nama yang sesuai hendak diberikan.
Kawan-kawannya lantas menyarankan supaya dia memberikan nama ‘Nota’ kerana sesuai dengan kafe tersebut yang santai, nama yang menarik dan mudah diingat.
Shazlira juga banyak membuat kajian mengenai konsep kafe dan makanan yang orang suka dengan pergi ke banyak kafe yang ada di Kuala Lumpur dan apa yang disukai penduduk di kawasan kejiranan tersebut.
“Dahulu saya suka melepak di Coffee Beans, Starbuck dan beberapa buah kafe lagi. Saya ambil sedikit idea dan persekitaran kafe-kafe yang ada dan terkenal di sini.
“Bagaimanapun idea keseluruhan adalah daripada suami dan saya sendiri. Bukan sahaja daripada soal hiasan dalaman malahan menu yang kami sediakan juga adalah gabungan makanan Barat dan Melayu serta fusion.
“Menu yang disediakan tidak terlalu banyak sesuai dengan saiz kafe ini. Terdapat sembilan menu utama. Makanan yang paling laris dan disukai oleh pelanggan ialah bebola daging lembu dan sos perang, Pasta oglio olio ayam panggang, Nasi goreng mentega Nota Noti (campuran makanan laut).

“Pelanggan yang menyukai makanan yang manis-manis pula boleh mencuba beberapa pilihan kek seperti kek lobak merah, kek coklat, kek keju mangga, penkek aiskrim skon serta makanan minum petang yang popular di Malaysia, iaitu keropok lekor.
“Kek-kek di sini saya buat sendiri dan diambil daripada kawan-kawan yang membuat kek di rumah. Paling disukai oleh pelanggan ialah kek keju mangga, butter scotch salted caramel dan blueberry cheese cake. Pelanggan sanggup datang dari jauh untuk makan kek ini. Harga untuk sepotong kek juga tidak mahal, di antara RM4 hingga RM15.
“Semuanya terdapat sebanyak 20 jenis makanan pencuci mulut yang disukai oleh semua peringkat umur pelanggan daripada dewasa hingga kanak-kanak.
“Bersama-sama dengan kakitangan di bahagian dapur, kami akan berbincang dan olah semula menu kesukaan ramai mengikut selera orang tempatan. Contohnya, bebola daging yang cukup disukai pelanggan ini kami tambahkan dengan salad dan jejari kentang goreng.
“Biasanya orang ramai akan pergi ke pasar raya perabot terkenal di Damansara untuk makan bebola daging tetapi kini mereka boleh menikmatinya di sini dan ada yang memberi komen rasa bebola daging di Nota lebih sedap,” kata Shazlira yang kini bertugas sebagai pensyarah sambilan di beberapa buah kolej dan universiti di ibu negara.
Tambahnya, menu yang baru diperkenalkan pula ialah pasta makanan laut pedas yang lemak berkrim. Rasa pasta ini sedikit pedas kerana dimasak bersama cili api, ditabur dengan serbuk cili dan dimakan bersama krim yang telah diolah.
Dia berkata, ramai pelanggan yang menyukai pasta pedas ini dan setelah berasa sekali mereka akan datang lagi kerana mungkin pasta yang dijual di restoran-restoran lain tidak pedas.

Jelas Shazlira lagi, ramai juga pelanggan yang berkeluarga datang ke kafe bersama anak-anak terutamanya pada hujung minggu.
Sambil ibu bapa menikmati makanan yang dipesan, anak-anak pula boleh bermain di pentas mainan yang disediakan di bahagian tepi dalam kafe. Banyak permainan yang disediakan dan mereka juga boleh mewarna dan melukis. Lukisan yang cantik ditampal ke dinding kafe bagi tontonan pelanggan.
Setelah anak-anak lapar, mereka boleh pula membuat pesanan menu untuk kanak-kanak seperti bebola daging, pasta dan nasi goreng dalam kuantiti kecil. Menu untuk kanak-kanak disediakan bersama jus dan pencuci mulut.
Kafe yang boleh memuatkan seramai 40 orang pelanggan pada satu masa ini dibuka setiap hari bermula pukul 12 tengah hari hingga 10 malam, kecuali Jumaat dibuka pada pukul 5 petang.
Kafe Nota turut menerima tempahan mengadakan majlis hari jadi, pelancaran produk, perjumpaan rakan lama dan sebagainya. Ingin lebih maklumat layari Facebook: notacafe.my.