BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Wednesday, April 27, 2011

HUTANG GALAK KEKUFURAN


KEADAAN umat Islam semakin memilukan apabila aktiviti berhutang menjadi asas kehidupan masyarakat hari ini. Ia mungkin tidak pelik bagi yang tidak berkemampuan, tetapi menjadi kaedah dan teknik terbaik (sebagaimana didakwa) bagi mencapai keuntungan serta mengekalkan kekayaan sesebuah syarikat atau individu.
Maka lahirlah ramai individu yang mampu membuat pembayaran secara tunai tetapi suka berhutang dalam membeli kereta dan rumah. Hujah mereka mudah, iaitu jika membayar secara tunai mereka akan rugi.
Ini satu fenomena kurang sihat, tapi dianggap sihat oleh masyarakat hari ini. Ia berpunca daripada kurangnya maklumat mengenai bahaya hutang dalam keadaan berkemampuan.

Dalam konteks semasa, kita dapat melihat bagaimana ramai peminjam enggan membayar hutang pengajian, rumah, kereta dan syarikat mereka hingga ada yang lebih rela diisytiharkan muflis asalkan tidak perlu membayar hutang menimbun. Ia kelihatan enak untuk tidak membayar hutang di dunia, tetapi pasti akan menjadi malapetaka di akhirat.

Minggu ini, sama-sama kita pelajari pandangan Islam dalam hal hutang. Nabi Muhammad SAW bersabda: “Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban syahid, kecuali jika dia mempunyai hutang (kepada manusia).” (Riwayat Muslim, 6/38)

Lebih buruk lagi, ada individu yang meminjam dengan niat untuk tidak memulangkan kembali. Sebagaimana sabda Rasulullah: “Barang siapa meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun siapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah akan merugikannya.” (Riwayat Al-Bukhari, 2/83)

Baginda kerap mengajar umat Islam supaya berdoa dilepaskan daripada hutang: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada dosa dan hutang.” Lalu baginda ditanya: “Mengapa engkau sering meminta perlindungan daripada hutang, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Jika seseorang berhutang, apabila berbicara dia dusta, apabila berjanji dia mengingkari.” (Riwayat Al-Bukhar, 1/214)

Ada juga dalam sebuah hadis lain, ertinya: “Ya Allah, aku berlindung daripada kekufuran dan hutang.” Mendengar itu, seseorang bertanya, “Apakah engkau menyamakan kekufuran dengan hutang, wahai Rasulullah?” “Benar,” jawab Rasulullah. (Riwayat An-Nasaie, 2/316; Ahmad 3/38; Al-Hakim berkata sahih dan disepakati oleh Az-Zahabi; Menurut Albani: Dhoif)

Ini jelas aktiviti berhutang kurang sihat menurut pandangan Islam. Justeru, kita sewajarnya menjauhinya semampu boleh.

Beberapa cadangan di bawah perlu difikirkan demi memastikan tanggungan dan beban hutang kita dikecilkan. Ia seperti berikut:

1. Kad kredit: Jauhkan diri daripada menggunakan kad kredit. Selain isu riba yang hampir dengan kad kredit, ia menggalakkan hutang secara berlebihan. Malah, jika seseorang ingin menggunakannya, dinasihatkan supaya digunakan untuk memudahkan urusan pada saat yang benar-benar terdesak. Adalah lebih baik menggunakan ‘charge card’ atau ‘debit card’ saja. Jauhkan diri daripada ketagihan penggunaan kad kredit.

2. Pinjaman peribadi: Ini satu lagi produk yang boleh mengakibatkan penyakit ketagihan duit di kalangan masyarakat. Perlu disedari, seluruh jenis pinjaman peribadi secara konvensional diharamkan oleh Islam dengan sepakat seluruh ulama. Cuma hari ini, ada beberapa bank Islam dan perbankan Islam menawarkan pinjaman (pembiayaan) peribadi secara Islam.

Sebagai makluman, tidak semua bank Islam menawarkannya kerana produk ini berlandaskan konsep ‘bai inah’ (jual dan beli semula antara dua pihak sama). Konsep ini sangat kontroversi dan ditolak kebanyakan ulama Timur Tengah, namun ia diterima ulama Malaysia dan Brunei.

Apapun, kebiasaannya kadar dikenakan tinggi. Oleh itu, penggunaannya tanpa keperluan yang sangat mendesak perlu dikurangkan atau dihapuskan terus demi mengurangkan beban hutang yang ditanggung.

3. Perumahan dan kereta: Dua item ini mungkin keperluan asas bagi kebanyakan individu. Bagi saya, seelok-eloknya hutang peribadi kita dihadkan kepada dua jenis ini saja. Itupun mesti menilai kemampuan kewangan dengan sebaik-baiknya supaya tidak mendedahkan diri kepada bahaya ketidakmampuan membayar hutang. Sebarang pinjaman kereta dan rumah secara konvensional disepakati haram oleh seluruh ulama dunia.

4. Umrah dan haji sunat (kali kedua): Haji sememangnya wajib bagi umat Islam yang berkemampuan daripada segi fizikal dan kewangan. Bagaimanapun, yang wajib hanya sekali. Justeru, umat Islam perlu memahami keutamaan atau ‘awlawiyyat’ di dalam pengendalian wang peribadi.

Menurut Islam, menggunakan wang yang diperuntukkan untuk ke umrah dan haji kali kedua lebih baik dan besar pahalanya jika disalurkan bagi melupuskan pembayaran hutang peribadi.

Malangnya, ketidakfahaman umat Islam hari ini menyebabkan mereka kerap mendahulukan sesuatu yang kurang penting berbanding yang lebih penting.

WASPADA KAPSUL GELATIN B*B*

UTUSAN MALAYSIA: Rabu 27 April 2011

KUALA LUMPUR 26 April – Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dalam memilih produk berkaitan farmaseutikal kerana kajian bioteknologi menunjukkan 15 peratus produk yang dibungkus dengan kapsul gelatin sebenarnya diperoleh daripada sumber babi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, dalam hubungan ini, pihak pembekal dan pengilang perlu bekerjasama dengan kerajaan dalam memastikan produk yang dikeluarkan perlu mempamerkan label kandungan bahan yang digunakan.
Kata beliau, berdasarkan akta sedia ada, kementerian melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak mempunyai kuasa untuk menyekat dan mengambil tindakan terhadap pembekal yang menjual produk seumpama itu.
“Tindakan hanya boleh diambil oleh Jakim jika produk berkenaan mempunyai logo halal atau apa-apa yang membawa maksud sama. Bagaimanapun, di bawah Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan, setiap produk perlu mengisytiharkan sumber bahannya pada label.
“Kementerian tetap berusaha untuk menghalang situasi tersebut. Justeru itu, kita akan menggiatkan promosi maklumat kepada orang ramai selain mewujudkan akta halal yang kini dalam proses diperkemaskan sebelum dibentangkan nanti,” katanya ketika menjawab soalan Senator Muhamad Yusof Husin pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.
Jamil Khir berkata, sehingga kini sebanyak 141 syarikat farmaseutikal telah mendapatkan sijil halal bagi produk mereka dan orang ramai khususnya umat Islam boleh membuat semakan melalui laman web www.halal.gov.my.
“Kita tahu ramai yang keliru dengan label-label yang ada pada setiap produk kerana ia menggunakan istilah sains seperti porcine.
“Bagi mereka yang tidak tahu, ramai yang tidak mengendahkannya walhal istilah itu sebenarnya menunjukkan ia mengandungi bahan daripada babi,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang turut menjawab soalan berkaitan berkata, selain tuntutan agama Islam bahawa kandungan babi adalah bahan yang diharamkan, sumber bahan itu juga boleh mengakibatkan alahan kepada pemakai.
Kata beliau, kementerian boleh menggantung dan membatalkan lesen pembekal atau pengilang yang gagal memberi maklumat tentang kandungan ubat dan yang memberikan maklumat palsu.
Menurutnya, dasar kementerian adalah untuk memastikan produk yang dipasarkan dalam negara adalah produk yang berdaftar dengan kementerian melalui Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan bahagian penguat kuasa farmasi.
“Setakat ini kementerian bersedia untuk mengkaji logo halal bagi semua produk yang dikeluarkan oleh kementerian.
“Dalam pada itu juga, kita menggalakkan masyarakat untuk membuat rujukan terhadap notifikasi produk yang dipasarkan dengan laman web kementerian,” kata beliau.
Rosnah menjawab soalan ahli Dewan Negara, Senator Dayang Madinah Tun Abang Openg yang menyatakan bahawa produk kesihatan dan kosmetik yang terdapat di pasaran mengandungi bahan yang memudaratkan.

FAHAMI LABEL PEMAKANAN

Oleh Prof. Madya Dr. Zaitun Yassin & Mahenderan Appukutty
LABEL pemakanan atau panel maklumat pemakanan (NIP), adalah jadual yang terdapat pada label makanan berpaket yang menunjukkan jumlah tenaga, karbohidrat, protein dan lemak dalam produk makanan.
Kebanyakan pengilang produk makanan turut menyenaraikan vitamin, zat galian dan nutrien-nutrien lain. Ia boleh dianggap sebagai indikator kualiti pemakanan produk tertentu.
Label pemakanan menggalakkan penggunaan prinsip pemakanan yang betul dalam pemilihan dan penyediaan sajian makanan untuk keluarga. Sebagai ibu bapa yang prihatin, pemahaman mengenai maklumat ini akan membantu anda membuat pilihan makanan yang lebih berkhasiat untuk anak-anak anda. Seterusnya ia membantu memenuhi keperluan pemakanan di samping mengehadkan pengambilan lemak dan gula yang berlebihan dalam dietnya. Sentiasa amalkan membaca label pemakanan walaupun anda pernah membeli makanan yang sama sebelum ini, kerana formula dan kaedah pemprosesan makanan mungkin sudah berubah seiring dengan masa.
Sentiasa baca senarai kandungan ramuan! Maklumat ini penting sekiranya si manja anda mempunyai alahan atau alergi terhadap satu atau beberapa jenis komponen makanan. Pengetahuan tentang kandungan produk dapat membantu mengelak kemudaratan. Anda juga boleh mendapatkan maklumat makanan dari laman web Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Dengan menyemak senarai nutrien dan jumlah nutrien dalam setiap hidangan produk makanan tertentu, sudah pasti anda dapat menganggarkan jumlah nutrien makanan yang boleh menyumbang kepada pengambilan harian si manja anda. Maklumat ini boleh digunakan sebagai panduan dalam membuat pilihan makanan yang bijak bagi merancang sajian yang sihat dan seimbang untuk si manja anda. Petua berikut boleh dijadikan panduan:
Jangan sesekali membeli makanan hanya kerana anda sukakan bungkusannya. Sentiasa ingat bahawa produk makanan yang mahal tidak semestinya lebih baik atau lebih berkhasiat. Sebagai ibu bapa yang prihatin, sentiasa bandingkan produk makanan dengan membaca NIP.
Ingatlah, buat perbandingan berdasarkan jumlah nutrien setiap 100g atau 100ml produk. Saiz hidangan mungkin tidak sesuai untuk dibuat perbandingan kerana ia mungkin berbeza di antara jenama.
Jangan mudah terpengaruh dengan semua tuntutan yang anda baca pada label makanan. Misalnya, sesuatu produk dituntut mempunyai "rendah lemak" tetapi mungkin mengandungi kandungan gula yang tinggi, manakala produk yang mendakwa "tiada kolesterol" mungkin mempunyai kandungan lemak yang tinggi.
Bagaimana untuk membuat keputusan yang lebih baik berdasarkan dakwaan pengeluar? Mudah sahaja, bacalah label pemakanan.
Jika anda memerlukan panduan selanjutnya mengenai cara menggunakan label pemakanan, mintalah nasihat pakar pemakanan atau pakar diet.

Tuesday, April 26, 2011

SM SRI KUKUP

Selasa 26 April 2011 @ 8.00 malam- Sempena meraikan perpisahan Guru Penolong Kanan Kokurikulum Encik Rosman Bin Bachok

Monday, April 25, 2011

Sunday, April 24, 2011

PERTUBUHAN PELADANG KAWASAN PONTIAN TENGAH

Pertubuhan Peladang Kawasan Pontian Tengah diketuai Pengurus Besar Encik Mahadir bin Salman telah menganjurkan buffet jamuan tengahari pada Sabtu 23 April 2011.