BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Wednesday, February 27, 2013

PROJEK KERETAPI LAJU KL-SINGAPURA MASIH SAMAR


SINGAPURA 26 Feb. - Meskipun mencetuskan keterujaan di kedua-dua belah pihak, Moody's mengambil pandangan berhati-hati dengan projek Kereta Api Laju antara Singapura dan Kuala Lumpur sehingga lebih banyak butiran terperinci mengenai projek tersebut didedahkan.
Naib Presiden-Penganalisis Kanan, Moody's Investors Service Singapore Pte. Ltd., Christian de Guzman berkata: "Ia pastinya menjadi bualan hangat, tetapi saya rasa kami memilih untuk berhati-hati dengan perkara ini.
"Untuk satu perkara, apabila anda melihat pada kereta api laju, kita masih belum mengetahui banyak perkara terperinci," katanya kepada Bernama menerusi temu bual telefon.
Beliau berkata demikian sebagai memberi reaksi kepada pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya Lee Hsien Loong di Pemukiman Pemimpin pada 19 Februari lepas mengenai projek kereta api laju antara Singapura dan Kuala Lumpur.
"Kita tidak tahu di mana lokasi kereta api Singapura akan terletak, yang boleh mempengaruhi sejauh mana kejayaan projek ini.
"Pertukaran tanah KTM telahpun berlaku antara kedua-dua kerajaan sejak dua tahun lepas. Adakah ada lagi pertukaran tanah sekiranya anda mahu memulihkan perkhidmatan kereta api ke pusat bandar Singapura?" kata de Guzman.
Beliau juga memberikan faktor ketidak pastian berhubung pilihan raya akan datang di Malaysia, sambil menambah tiada siapa yang tahu sekiranya akan berlaku perubahan kerajaan kelak.
"Daripada perspektif kami, tidak kisahlah siapa pun yang menang, tetapi kepastian dasar adalah penting," katanya.
Ditanya mengenai impak projek itu, beliau berkata: "Sudah tentunya akan ada peningkatan pelancongan, hubungan am, tetapi ia juga bergantung kepada harga.
"Jika harga tiket sama mahal dengan harga tiket kapal terbang ke KL, mungkin tidak akan ada banyak impak, tetapi pada masa yang sama ia boleh memudahkan perdagangan dan aliran pergerakan penduduk." - Bernama

Monday, February 25, 2013

SILVER POT STEAMBOAT, TTDI K.L



PAPAN tanda Restoran Silver Pot mudah dikenal pasti pengunjung.

PERUT yang kosong selalu saja meronta-ronta untuk minta diisi dengan makanan. Dalam membuat pilihan untuk makan di luar rumah, restoran ala stimbot tentunya tidak terlepas dalam senarai cadangan.
Di bandar-bandar besar seperti di Kuala Lumpur misalnya, terdapat banyak restoran yang menawarkan konsep masakan stimbot.
Faktor tata rias dalaman restoran yang selesa, pilihan hidangan yang beraneka dan apatah lagi kalau menjadi sebutan ramai, tentu saja seseorang ingin melangkah masuk untuk menjamu selera.
Begitupun, timbul pula keraguan tentang status halal lebih-lebih lagi kalau tiada sebarang tanda atau sijil pengesahan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kelihatan di restoran tersebut.
Hal sebegitu boleh membantutkan niat untuk menjamu selera. Walau bagaimanapun, isu tersebut tidak perlu dikhuatiri jika berkunjung ke Restoran Silver Pot yang diusahakan oleh pengusaha makanan Cina Muslim, Johan Tai Abdullah.
Restoran itu mula beroperasi pada tahun 2004 dengan nama asalnya Jolly Express.
“Para pengunjung tidak perlu meragui status halal di restoran ini kerana kami telah mendapat pengesahan dan mempunyai sijil daripada Jakim,” ujar Johan ketika ditemui di restorannya yang terletak di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.
Tambahnya, memang wujud kesukaran untuk mencari restoran stimbot yang benar-benar halal. Disebabkan itu, Johan mendapat idea untuk membuka restoran yang boleh dikunjungi oleh semua kaum tidak mengira pegangan agama.
“Istimewanya restoran Silver Pot, setiap pengunjung akan mempunyai satu periuk masakan sendiri, berbeza dengan kebanyakan restoran stimbot yang lain,” jelas Johan.
Oleh yang demikian, mereka boleh memilih menu makanan sendiri tanpa perlu berkongsi periuk dengan rakan atau ahli keluarga lain.

PELANGGAN tentu rambang mata melihat pilihan makanan yang disediakan.

Selera yang berbeza membolehkan pengunjung membuat pilihan sup yang digemari antaranya sup tomyam, sup ayam atau sup sayuran.
“Sesetengah pengunjung tidak boleh makan makanan laut atau mereka seorang vegetarian, maka konsep sebegini bersesuaian dengan semua lapisan masyarakat,” kata Johan yang mendapat ilham membuka restoran stimbot ketika berkunjung ke Taiwan.
Sempena kedatangan tahun baharu, Silver Pot telah mengubah konsep ala-carte kepada bufet yang jauh lebih murah dan berpatutan.
“Sejak perubahan konsep tersebut, kami menerima maklum balas positif daripada para pengunjung yang berpuas hati dengan hidangan dan harga ditawarkan oleh Silver Pot,” luah Johan.
Sebelum ini, Silver Pot menawarkan hidangan makanan secara ala carte dengan pilihan menu yang telah ditetapkan. Menerusi konsep bufet, pengunjung boleh memilih variasi makanan dan membayar pada harga yang sama iaitu RM19.90 seorang.
JOHAN menunjukkan pilihan menu yang terdapat di restorannya
Antara pilihan yang terdapat dalam menu bufet ialah udang basah, sotong, ketam dan kerang-kerangan. Selain itu, terdapat juga beberapa jenis sayur-sayuran, mi dan bebola sejuk beku.
“Saya juga mencipta sos istimewa yang mengambil masa selama dua bulan untuk menghasilkan ramuannya,” ujar Johan.
Memandangkan tempoh makan bufet yang mengambil masa lama, Johan menggalakkan orang ramai untuk membuat tempahan awal sebelum datang ke Silver Pot.

BERIANA ASLI KATERING SKDP, PADANG JAWA, KELANG.



ABDULLAH (kiri) dan Mohamad Saiful menunjukkan nasi beriani asli daripada dapur Selera Kampung Daun Pisang.


PERNIAGAAN katering bukan terjadi dalam masa sehari, ia memerlukan masa yang lama daripada menu yang sudah pasti sedap dan menepati kehendak semua lapisan masyarakat sehinggalah layanan terbaik untuk pelanggan.
Semua itu telah ditempuhi oleh Abdullah Mail, 57, yang berasal dari Sungai Besar, Selangor. Pengalamannya bermula dengan perniagaan kecil-kecilan menjual soto, laksa dan lontong di sebuah gerai.
Selain tiga jenis hidangan tersebut, nasi lemak yang dimasak oleh isterinya juga menjadi makanan yang begitu terkenal pada waktu itu.
"Kami perlu menanak nasi lebih kurang 16 gantang dalam sehari dan pasti kesemuanya habis dijual. Nasi lemak kami beralas daun pisang. Nama katering kami bersempena dengan alas pisang itu," katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur.
Nama syarikat katering milik keluarga Abdullah ialah Selera Kampung Daun Pisang (SKDP) yang kini diuruskan oleh pasangan itu dan tiga orang anak mereka.
Selepas mendapat maklum balas yang positif dan saranan daripada rakan-rakan, dia membuka sebuah restoran. Namun, hari tidak selalunya indah, restorannya di Padang Jawa, Selangor dirobohkan demi memberi laluan pembinaan jalan raya.
Tidak berputus asa, Abdullah dan isteri, Umi Kalsum Suratman, 56, berniaga di kafeterina, kilang CCM Fertilizer selama 11 tahun. Ketika itu muncul idea dalam diri bapa tujuh orang anak itu untuk memulakan perniagaan katering.
"CCM Fertilizer kerap mengadakan acara makan-makan dan meminta kami menyediakan hidangan. Melihat peluang yang ada saya perlahan-lahan menceburi dunia katering," katanya ketika ditemui di pejabat Kosmo! baru-baru ini.
Menurutnya, rasa makanan yang sedap merupakan inti pati sesebuah perniagaan yang melibatkan makanan sama ada restoran, katering mahu pun gerai kecil-kecilan.
Ujarnya: "Saya sentiasa berasa iri hati dan mahukan masakan saya sentiasa sedap."
Lantaran itu, rasa iri hati tersebut diambil secara positif olehnya dengan mengembara sehingga ke Batu Pahat, Johor untuk mempelajari sendiri masakan nasi beriani asli dari negeri itu.
Anaknya yang juga pengurus operasi SKDP, Mohamad Saiful Apandi Abdullah, 31, berkata, nasi beriani mereka menggunakan resipi asli dan dalam masa yang sama diberikan penambahbaikkan.
"Kami tidak menanak nasi seperti resipi asal, tetapi nasi dikukus menghasilkan butiran nasi lebih muai dan berderai," ujar Mohamad Saiful.
Tambahnya, nasi beriani yang dikukus bukan tugas mudah kerana nasi dan rempah-ratus perlu diasing terlebih dulu serta tempoh mengukus yang lama iaitu kira-kira empat jam.
Selain nasi beriani, masakan kampung seperti ikan keli berlada, sambal goreng Jawa dan nasi ambeng turut menjadi identiti SKDP.
Kambing golek barbeku SKDP juga merupakan keistimewaan katering milik keluarga Abdullah itu dengan gaya masakan yang dapat mengekalkan rasa dan aroma kambing.
Kerja-kerja penyediaan makanan seperti memotong daging dan menanak nasi sehingga mengaul dilakukan oleh ramai individu kerana kuantiti yang besar memerlukan banyak tenaga.
Namun, ibu Mohamad Saiful menjadi satu-satunya individu yang mengawal rasa setiap hidangan yang dimasak termasuk sewaktu menumis rempah-ratus.
Katering SKDP turut menyediakan perkhidmatan lain seperti majlis keraian, seminar dan majlis perkahwinan yang terdiri daripada kad jemputan, pelamin, andaman serta kompang.
Daripada bajet, Mohamad Saiful dapat memberi cadangan yang bersesuaian untuk bilangan tetamu, menu atau memerlukan penambahan modal.
"Bajet paling ideal buat masa sekarang lebih kurang RM12,000 untuk 1,000 tetamu," ujarnya. Khidmat nasihatnya tidak dikenakan sebarang caj.

IKAN BAKAR BAGAN LALANG DI DAMANSARA


BAGAN Lalang yang terletak di pesisiran pantai di Sepang, Selangor, sememangnya terkenal dengan keenakan hidangan ikan bakar dek kerana ikan-ikannya segar dari laut.
Restoran HM Sri Bagan Seafood, terletak di muara Sungai Pelek, Sepang, yang beroperasi sejak 1993 antara restoran buruan penggemar ikan bakar.
Kini, pemburu makanan laut yang berada di sekitar Lembah Klang tidak lagi perlu menghabiskan sehingga dua jam perjalanan ke sana kerana cawangan HM Sri Bagan sudah dibuka di Kota Damansara sejak setahun yang lalu.
Diuruskan oleh Siti Hanis Juriah, HM Sri Bagan Ikan Bakar mengekalkan konsep dan gaya masakan sama seperti di Bagan Lalang cuma menyuntik kelainan dengan turut menyediakan masakan ala kampung.
“Set masakan ala kampung seperti daging, kupang dan keli salai masak lemak cili api serta sambal tumis bagi memenuhi permintaan mereka yang mahu sesuatu yang cepat dihidang terutamanya ketika waktu tengah hari.
“Bagi hidangan ikan segar pelbagai kuah serta ikan bakar, bermula dari pukul 4 petang dan ia mengambil masa sedikit.
“Hampir kesemua ikan diambil dari pantai Bagan Lalang sendiri serta pantai-pantai berdekatan kerana kami mahu mengekalkan kesegaran rasanya.
“Pelbagai jenis ikan disediakan termasuk yang sukar dijumpai seperti tetuka, neniur, daun baru dan tetanda untuk dicuba pelanggan," ujarnya yang menguruskan perniagaan keluarga bersama suaminya.
Menariknya, HM Sri Bagan Ikan Bakar masih mengekalkan keaslian cara masakan menggunakan arang yang membuatkan aromanya lebih harum.
Rasa cili yang dikisar bersama lengkuas, ketumbar, jintan dan serai yang meliputi ikan bakar tidak menenggelamkan rasa manis ikan bahkan membuatkan tambah menyelerakan.
Dicicah pula dengan sambal kicap mahupun kuah asam, rasanya tidak kurang daripada yang disediakan di Bagan Lalang.
Tidak sah jika tidak memesan ikan tiga rasa kerana resipinya yang tersendiri menggunakan nanas, asam boi dan minyak merah resipi tersendiri yang sungguh unik.
Hidangan ketam masak serai turut memikat hati. Masakan ini digemari bangsa Cina kerana rasanya tidak seperti sup ketam biasa.
HM Sri Bagan Ikan Bakar kini merancang menawarkan khidmat penghantaran ke kawasan sekitar selain menyediakan ikan hidup

Friday, February 22, 2013

RESTORAN TAK TAZ, SERI KEMBANGAN SELANGOR


BAGI kebanyakan restoran yang menyediakan masakan dari negara Asia Barat, mereka lazimnya popular dengan hidangan nasi mandy atau nasi Arab.
Jadi untuk merasakan sedikit kelainan daripada hidangan nasi mandy apa kata kunjungi Restoran Tak Taz untuk menikmati hidangan masakan Iran dan Parsi.
Cukup popular dengan hidangan kebab, di sini para pengunjung boleh memilih pelbagai jenis kebab seperti kebab ayam, kebab kambing, kebab kambing dan ayam (dicampur), dan kebab ayam campur sayur-sayuran.
Menurut jurucakapnya yang juga merupakan anak kepada pemilik Restoran Tak Taz, Parvin Aminifard, 23, restorannya menyajikan hidangan yang terbaik dari Iran untuk masyarakat setempat.
Untuk itu, selain mengekalkan cita rasa asliyang dibawa dari Iran pihaknya turut menggunakan bahan-bahan yang berkualiti dalam setiap masakan.
“Untuk masakan Iran yang disediakan di sini, kami seboleh mungkin mengekalkan rasa aslinya kerana kami menghidangkan sajian dari sana.
“Tujuan kami adalah untuk memberi masyarakat setempat merasai hidangan kami yang sebenar.
“Bagaimanapun untuk sesetengah hidangan, kami ada menyediakan cili ataupun sup bagi disesuaikan dengan selera masyarakat Malaysia yang suka makan berkuah dan pedas," katanya ketika ditemui di premis perniagaannya yang terletak di B-G-3, Blok B, Persiaran Serdang Perdana, Seri Kembangan, Selangor.
Tambahnya lagi, keenakan kebab ini terletak pada tekstur dagingnya yang lembut dan berperisa.
Ujar Parvin lagi, masyarakat Iran sangat menggemari kebab yang dimakan bersama nasi safron, nasi dill atau roti.
Hidangan ini agak berbeza daripada hidangan negara Asia Barat yang lain terutama dari segi rasanya yang lebih berperisa.
Selain itu setiap hidangan juga pasti dinikmati bersama salad segar, minyak zaitun dan yogurt.
Berbicara lanjut mengenai sajian yang terdapat di situ, ulas Parvin lagi, kebanyakan bahan mentah seperti rempah ratus, herba serta beras diimport dari negara Iran.
Ini kerana selain susah didapati di pasaran tempatan mereka juga ingin mengekalkan aroma serta rasanya yang sebenar.
Dan untuk itu juga Parvin menjelaskan chef yang berkhidmat di restoran itu turut ‘diimport’ dari Iran.
“Kerana inginkan keaslian masakan Iran serta memberi citar asa sebenar kepada pengunjung terutama sekali masyarakat setempat kami mengimport bahan-bahan mentah seperti beras, rempah ratus dan juga herba.
“Tidak ketinggalan tukang masak kerana hanya warga Iran yang mampu menghasilkan masakan Iran yang sebenarnya," katanya lanjut.
Menampilkan lebih daripada 40 jenis hidangan, restoran yang dibuka setiap hari bermula 11.30 pagi hingga 12 tengah malam itu boleh memuatkan 70 orang pelanggan pada satu-satu masa.
Bagi peminat piza pula, anda juga boleh mencuba piza ‘Iran’ yang dilambakkan dengan keju mozarela, hirisan ayam, cendawan, dan tomato.
Apa yang membuatkan piza ini berbeza daripada yang lain ialah rotinya yang tebal tetapi tidak memualkan biarpun dimakan sejuk.
Menurut Parvin, piza ditawarkan dalam dua saiz sama ada sederhana atau besar dengan 14 jenis pilihan berbeza.
“Piza di sini adalah resipi Restoran Tak Taz dan menjadi antara pilihan menu utama pengunjung.
“Ia hanya akan dimasak sebaik sahaja menerima permintaan pelanggan kerana piza lebih enak dimakan ketika panas," kata Parvin menutup bicara.

FESTIVAL MAKANAN ANTARABANGSA DI PASIR GUDANG


Kakitangan Hotel Selesa menunjukkan sebahagian menu dalam majlis Pelancaran Festival Makanan Antarabangsa sempena Festival Layang-Layang Sedunia di Pasir Gudang, semalam.

JOHOR BAHRU 21 Feb. - Sempena penganjuran Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang Ke-18, Hotel Selesa Pasir Gudang mengambil peluang untuk melancarkan Festival Makanan Antarabangsa.
Pengurus Besarnya, Roslan Abdul Rahman berkata, sebanyak 100 jenis makanan Jepun, Korea, Asia Barat dan makanan tradisional Melayu akan dihidangkan sepanjang seminggu festival berkenaan diadakan.
Beliau berkata, penganjuran Festival Makanan Antarabangsa yang membawa tema Cita Rasa Dunia itu sudah masuk edisi kedua dan diadakan bagi memeriahkan Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang kali ini.
"Hotel Selesa telah terpilih untuk menjadi hotel rasmi untuk program berkenaan. Sehubungan itu kami rasa terpanggil untuk memeriahkan festival itu dengan mengadakan festival makanan.
"Orang ramai dan para peserta akan dihidangkan dengan pelbagai makanan sepanjang seminggu menginap di sini. Malah, mereka akan dihiburkan dengan pelbagai persembahan ketika makan malam," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Festival makanan berkenaan dirasmikan oleh Ketua Jabatan Bangunan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Ismail Mat Taib mewakili Yang Dipertua MPPG, On Jabbar.
Tambah Roslan, bagi bufet makanan tengah hari, ia akan bermula hari ini sehingga 28 Februari manakala untuk makan malam dari Isnin ini hingga 24 Februari ini.
"Pihak hotel juga menyediakan ruangan pameran dan jualan di pekarangan lobi hotel untuk memudahkan para tetamu mendapatkan cenderamata," katanya.

Thursday, February 21, 2013

BERATNYA SEKEPING ROTI



PADA suatu masa dahulu ada seorang ahli ibadah yang tekun mengerjakan ibadatnya selama 70 tahun. Namun, pada suatu hari, dia didatangi seorang wanita yang cuba menggoda si lelaki itu. Akhirnya, lelaki itu tewas dan telah melakukan maksiat bersama wanita tersebut selama tujuh hari.
Namun, lelaki itu sedar akan kesilapan diri dan kemudiannya bertaubat bersungguh-sungguh kepada Allah SWT. Malah si lelaki itu telah sanggup keluar mengembara dengan harapan untuk melupakan kenangan dosa-dosa maksiat yang lalu itu.
Akhirnya, beliau tiba di sebuah rumah tumpangan yang dihuni oleh 12 orang miskin. Dia ingin tumpang bermalam dan kebetulan, ada seorang kaya yang selalu menderma 12 keping roti ke rumah itu setiap hari.
Pemberian orang kaya itu sebenarnya tidak dikhaskan kepada 12 penghuni tetap di situ tetapi diberikan kepada mana-mana insan yang berjaya mendapatkannya terlebih dahulu.
Kedatangan lelaki itu tadi telah menyebabkan salah seorang daripada 12 orang miskin itu tadi tidak mendapat roti seperti hari-hari lain.
Lantas, si lelaki tadi terdengar salah seorang daripada orang miskin itu menyuarakan ketidakpuasan hatinya kerana tidak mendapat bahagian daripada pemberian orang kaya itu.
Oleh kerana terasa dirinya bersalah kerana telah mengambil hak orang lain, maka lelaki itu telah memberi roti yang di tangannya kepada si miskin tadi. Dek kerana terlalu lapar, tidak lama selepas itu lelaki pengembara tadi meninggal dunia.
Lalu turunlah malaikat untuk menimbang amalannya bagi menentukan nasibnya di alam yang kekal kelak. Allah SWT menyuruh malaikat menimbang antara amalan soleh lelaki itu tadi selama 70 tahun dan maksiat yang dilakukannya selama tujuh hari.
Malangnya, amalan soleh 70 tahun lelaki itu lebih ringan berbanding dosa maksiat yang dilakukan sesingkat tujuh hari.
Ini menandakan lelaki itu bakal diazab, maka malaikat mencari-cari mana-mana amalan lain yang dapat menyelamatkan lelaki tadi daripada diazab Allah SWT.
Lalu tertulis di dalam kitab amalannya bahawa dia pernah bersedekah sekeping roti kepada seorang miskin di saat dia juga di dalam kelaparan. Maka Allah menyuruh malaikat menimbang ganjaran memberi roti kecil itu dengan dosa berbuat maksiat selama tujuh hari oleh lelaki tersebut.
Subhanallah, rupa-rupanya perbuatan yang dikira kecil iaitu memberi sekeping roti, sebenarnya lebih besar ganjarannya hingga mampu menewaskan dosa maksiat selama seminggu! Lalu lelaki itu tadi mendapat pengampunan daripada Allah SWT dan beroleh syurga-Nya.
Jelaslah di sini bukti kasih sayang Allah tanpa batasan kepada siapa sahaja yang dikehendaki-Nya. Kalau direnung semula kisah ini, pengajarannya bahawa amalan yang dilakukan demi kesenangan orang lain lebih besar ganjarannya berbanding amalan yang tekun didirikan hanya untuk kesenangan diri sendiri.
Hakikatnya, kasih sayang Allah cukup tinggi kepada kita, walaupun seorang hamba itu kembali kepada-Nya dengan membawa dosa sebesar gunung sekalipun, selagi kita tidak menyekutukan Allah SWT, ada ruangan pengampunan.
Ayuh! berdoalah kepada-Nya dan luahkan kecintaan kepada-Nya kerana Dia iaitu Allah SWT sentiasa menanti dan mendengar doa hamba-Nya.
Firman Allah SWT: Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku... (al-Baqarah: 186)

ISKANDAR MALAYSIA PERLU PERSIAPAN AWAL


NUSAJAYA 20 Feb. - Iskandar Malaysia memerlukan sistem pengangkutan awam yang efisien dan efektif dengan sasaran nisbah pengangkutan awam kepada pengangkutan persendirian 50:50 menjelang 2025.
Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim berkata, sasaran tersebut perlu dicapai menerusi kemudahan pengangkutan awam yang integratif seawal 2018 berserta pendidikan, promosi dan kempen secara berterusan.
"Perjalanan rancangan pembangunan Iskandar Malaysia adalah mencapai kematangan pada tahun 2025, tetapi ada sasaran-sasaran yang tidak boleh menunggu sehingga tahun itu dan perlu diwujudkan serta digerakkan lebih awal untuk komuniti perniagaan dan masyarakat itu sendiri.
"Kita harap apabila siapnya keretapi laju yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, Sistem Transit Pantas (RTS), Bas Rapid Transit serta pendidikan dan kesedaran awam, Iskandar Malaysia bakal memiliki kemudahan pengangkutan integratif seawal 2018," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis makan tengah hari bersama ketua-ketua biro media di Bukit Indah, di sini hari ini.
Ismail berkata, IRDA juga sedang mengkaji pelaksanaan sistem kawalan yang mengehadkan kemasukan kenderaan persendirian di kawasan berkepadatan tinggi di Iskandar Malaysia menjelang 2025 memandangkan pertambahan penduduk sehingga tiga juta orang berbanding 1.6 juta ketika ini.
Menurutnya, metropolis di seluruh dunia mempunyai nisbah pengangkutan persendirian kepada pengangkutan awam 30:70 dan Iskandar Malaysia meletakkan sasaran 50:50 berbanding 80:20 pada hari ini.
"Kita gunakan pendekatan dua hala, satu adalah kempen kesedaran dan pada masa sama pihak pembekal menyediakan sistem pengangkutan awam yang efektif dan selesa. Kalau tidak kempen apa pun tidak akan memihak kepada kesedaran, kerana ia perlu berjalan secara seimbang.
"Pandangan saya, pembangunan di Malaysia sebelum ini lebih tertumpu kepada kenderaan persendirian jadi bila kita perkenalkan sistem pengangkutan awam dan perbandaran yang mengutamakan pejalan kaki, kita mahu wujud peralihan," katanya.
Tambahnya, peningkatan taraf pengangkutan awam perlu seimbang pelbagai mod iaitu keretapi, udara, jalan raya dan air yang membentuk rangkaian masa hadapan sebuah metropolis masa depan pada harga munasabah menerusi perancangan pada fasa awal pembangunan.

"AIR JAMPI" TAK WAJAR DIKOMERSIALKAN


KUALA LUMPUR 20 Feb. - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menasihatkan supaya air ruqyah ataupun air jampi tidak dikomersialkan kerana dikhuatiri boleh menimbulkan pelbagai tanggapan terhadap perubatan Islam.
Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha berkata, pengkomersialan air ruqyah kini dilihat telah dieksploitasi, malah ada sesetengah pihak cuba mengambil keuntungan mudah melaluinya.
“Perkara ini dikhuatiri boleh menjejaskan akidah apabila masyarakat mula menganggap kesembuhan itu datang daripada air jampi berkenaan. Contohnya, air ini boleh melariskan perniagaan dan menyembuhkan penyakit.
“Ruqyah atau jampi ini sepatutnya dibacakan oleh orang yang selayaknya dan mengikut kaifiat serta syarat-syarat tertentu. Apabila perkara ini dikomersialkan, kita khuatir air itu tidak mematuhi syarat dan kaifiat tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Jakim bagi membincangkan isu penjualan air jampi yang dilihat semakin berleluasa pada masa ini.
Jelasnya, usaha itu juga diambil untuk mengawal penjualan air jampi di pasaran sekiranya terdapat unsur penipuan dan mendatangkan kekeliruan kepada pengguna.
Tambahnya, walaupun tiada sekatan dikenakan terhadap penjualan air jampi di pasaran, garis panduan dan peraturan yang dikeluarkan haruslah ditepati peniaga produk itu terutama dari segi pengiklanan
Dalam pada itu menurut Othman, meskipun tidak dinafikan dalam Islam terdapatnya kaedah menggunakan air yang diruqyah sebagai penawar dan ubat, namun kebiasaannya pihak yang ingin mendapatkan rawatan tersebut perlu bertemu pengamal perubatan Islam yang dipercayai atau lebih baik dengan perawat yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan.

Tuesday, February 19, 2013

AFINITI MEDINI & AVIRA PROJEK IKONIK MALAYSIA-SINGAPURA



NAJIB (empat dari kiri) dan Hsien Loong (tiga dari kiri) melihat model resort yang akan dibina di Medini sempena majlis Pecah Tanah Medini Wellness Centre di Nusajaya, Johor semalam.


NUSAJAYA 19 Feb. - Dua projek kesejahteraan iaitu Afiniti Medini dan Avira di Medini, Iskandar Malaysia di sini, menjadi simbol hubungan rapat Malaysia-Singapura dan disifatkan sebagai satu permulaan kepada peningkatan jumlah pelaburan yang signifikan dari negara republik itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, projek itu merupakan realisasi daripada perbincangan mengenai sebuah projek yang bakal menjadi ikon kedua-dua negara dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong di Putrajaya awal tahun lalu.
“Ketika itu kami membicarakan tentang projek yang ikonik dan kami setuju untuk membangunkan sesuatu yang memberi makna sebenar ikonik. Daripada apa yang saya lihat hari ini, projek itu menepati ciri-ciri tersebut dan menjadi mercu tanda yang memberi faedah kepada mereka yang terlibat.

“Semasa perbincangan bilateral pagi ini, kami menekankan kepentingan kumpulan perindustrian untuk memberi galakan berterusan kepada pelabur Singapura berpindah atau membuat pelaburan baru di Iskandar Malaysia. Saya yakin dengan sokongan kerajaan Singapura, sektor swasta akan memberi maklum balas yang positif," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama Hsien Loong selepas menyempurnakan pecah tanah kedua-dua projek tersebut di Medini Mall, di sini hari ini.
Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah barisan menteri Kabinet kedua-dua negara; Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan Exco kerajaan negeri; Pengerusi Pulau Indah Ventures (PIV) Sdn. Bhd., Tan Sri Syed Anwar Jamalullail dan Pengerusi Nuri Merdu Sdn. Bhd., Datuk Azizan Abd. Rahman.

Hadir sama, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Datuk Azman Mokhtar dan Ketua Pengurusan Portfolio Temasek Holdings Private Ltd. (Temasek), Dilhan Pillay Sandrasegara dan Ahli Lembaga Pengarah PIV, Tan Sri Amirsham Abdul Aziz.
Afiniti Medini merupakan projek Urban Wellness bernilai RM350 juta di kawasan seluas 207 hektar yang disasarkan menjadi destinasi serantau keluarga, pelancong dan profesional.
Projek itu dimajukan oleh PIV yang merupakan syarikat usahasama Khazanah Nasional dan Temasek dengan masing-masing memegang 50 peratus saham.
Avira pula sebelum ini dikenali sebagai Resort Wellness bernilai RM300 juta dibangunkan oleh Nuri Merdu dengan pegangan ekuiti antara PIV dengan Eastern & Oriental Berhad.
Tujuannya, mewujudkan alternatif kepada kehidupan bandar melalui gaya hidup seperti percutian sepanjang tahun dengan persekitaran yang penuh dengan ketenangan dan pemandangan hijau dalam kawasan seluas 85 hektar.

PERJALANAN KL-SINGAPURA 90 MINIT


Najib Tun Razak dan Lee Hsien Loong (tujuh kanan) serta delegasi kedua-dua negara bermesyuarat sempena Malaysia-Singapore Leaders Retreat di Hotel Shangri-La Singapura, semalam. 

SINGAPURA 19 Feb. - Corak perhubungan antara Malaysia dan Singapura bakal melalui titik perubahan besar apabila kedua-dua negara hari ini bersetuju membangunkan projek kereta api laju yang dijadual siap menjelang 2020.
Projek itu yang reka bentuknya mengambil kira model rel kereta api laju London-Paris, Madrid-Barcelona dan Taipei-Koahsiung di Taiwan akan memendekkan waktu perjalanan Kuala Lumpur-Singapura kepada 90 minit sahaja.
Persetujuan itu dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sidang akhbar bersama rakan sejawatannya, Lee Hsien Loong selepas menghadiri Sesi Pemukiman Pemimpin-pemimpin Malaysia-Singapura Ke-4 di Hotel Shangri-La di sini hari ini.
Najib menyifatkan projek tersebut bakal menjadi titik perubahan besar dalam corak perhubungan antara kedua-dua negara dan bagaimana dunia melihat hubungan Malaysia-Singapura.

“Ini akan mengubah cara kita berurusan dalam bidang perniagaan dan bagaimana kita berinteraksi antara kedua-dua bandar raya.
“Projek itu juga akan memberi perubahan besar kepada kedua-dua negara dalam usaha saling melengkapi antara satu sama lain. Peluang yang terhidang adalah tanpa sempadan antara kedua-dua negara," katanya.
Sesi pemukiman yang turut dihadiri 10 Menteri Kabinet termasuk Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin dan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman yang bermula semalam, berakhir hari ini.
Najib berkata, projek kereta api laju tersebut turut memudahkan perjalanan serta meningkatkan interaksi antara rakyat kedua-dua negara.
Beliau berkata, Malaysia telah menjalankan kajian awal tentang projek berkenaan dan akan menawarkan bagaimana Singapura dapat mengambil bahagian dalam projek tersebut.
Ditanya tentang kos dan panjang laluan projek berkenaan, beliau walau bagaimanapun enggan mendedahkannya pada masa ini.

“Pada masa ini kos dan panjang laluan kita belum boleh beritahu, tetapi yang penting projek ini akan menjadikan perjalanan antara kedua-dua bandar raya dalam tempoh 90 minit," katanya.
Pada sidang akhbar yang berlangsung ceria selama kira-kira 15 minit itu, Hsien Loong turut menyifatkan projek kereta api laju berkenaan bukan sahaja meningkatkan hubungan antara kedua-dua negara, malah mampu melonjakkan pertumbuhan ekonomi, peluang dan kemakmuran kepada kedua-dua pihak.
“Ini akan memudahkan perjalanan antara Kuala Lumpur-Singapura dan mengeratkan hubungan perniagaan dan menjadikan rakyat Malaysia dan Singapura lebih rapat.
“Lebih utama projek ini akan meningkatkan kemakmuran dan kejayaan kepada kedua-dua negara," katanya.

Ditanya tentang Rapid Transit Sistem (RTS) yang akan menghubungkan Singapura dan Johor Bahru, Hsien Loong memberitahu, perkara itu belum diputuskan dan masih dalam kajian.
“Projek ini bersifat lokal untuk menghubungkan kedua-dua bandar raya. Kita berharap dapat selesaikan dalam masa yang singkat," katanya

PAKAR SELERA SELATAN: MS BERIANI & ASAM PEDAS, SEKSYEN 15 SHAH ALAM


KALAU singgah di Johor Bahru, tidak lengkap percutian kita jika tidak merasai kelazatan hidangan nasi beriani, kacang pool atau laksa Johor.
Antara gerai popular tumpuan ramai di bandar raya itu adalah kedai makan Kacang Pool Haji dekat Balai Bomba Larkin.
Namun jika kita berada di luar Johor Bahru dan tiba-tiba teringin untuk menikmati kelazatan kacang pool, tak mungkin ada yang sanggup memandu lebih 300 kilometer dari Kuala Lumpur semata-mata mahu menikmatinya.
Menyedari begitu ramai penggemar kacang pool, maka Restoran MS Beriani & Asam Pedas di Lot 7, Persiaran Selangor, Seksyen 15, Shah Alam, Selangor turut menyajikan menu tersebut.
Pengurus restoran itu, Hafizuddin Md. Salleh, 26, berkata:
"Menu kacang pool agak sukar didapati di sekitar ibu kota, jadi kami mengisi 'kekosongan' itu dengan menyajikannya di restoran kami."
"Menu kacang pool diperkenalkan setelah kami dapati ia agak sukar ditemui di Kuala Lumpur mahupun Shah Alam.
"Tak banyak kedai ada jual kacang pool. Sebab itulah, kami menawarkan menu ini. Jadi, tak perlu lagi ke Johor Bahru, sebaliknya mereka boleh singgah makan di restoran ini," 
Tentu enak menikmati kacang pool yang dihidangkan bersama roti, daging cincang, cili hijau potong, hirisan bawang holland, perahan limau kasturi serta telur mata separuh masak.
Selain kacang pool, restoran itu juga menawarkan nasi beriani dan asam pedas.
Restoran milik keluarga yang baru dibuka pada 3 Februari lalu itu dikendalikan sepenuhnya oleh Hafizuddin bersama ayah, ibu dan adik-beradik yang lain.
Katanya, ayahnya, Md. Salleh A. Manap merupakan pakar dalam masakan nasi beriani kambing dan beriani ayam dan sering mendapat tempahan katering untuk pelbagai majlis, sama ada kenduri kahwin, makan malam korporat dan lain-lain.
"Mak saya pula, Rasidah Mohd. Ali akan menyediakan sendiri kuah laksa Johor, mee rebus dan asam pedas. Untuk menu asam pedas, pengunjung boleh memilih ikan kembung, pari, parang, bawal, jenahak atau sembilang. Asam pedas daging tetel akan diperkenalkan tidak lama lagi.
"Selepas memilih ikan segar kegemaran masing-masing, barulah ia dimasak dan dihidangkan dalam mangkuk claypot. Masakan kari juga disediakan mengikut konsep yang sama," tambahnya.
Menurutnya, konsep menghidangkan makanan yang masih panas semakin mendapat tempat dalam kalangan orang ramai.
Justeru, pihaknya, berusaha memenuhi kehendak itu dengan menyediakan masakan mengikut konsep tersebut.
"Set asam pedas dan kari dihidangkan bersama nasi putih, ulam timun dan sambal belacan," tambahnya..
Menu lain yang turut disajikan adalah nasi tomato, nasi ayam dan nasi putih bersama ayam goreng berempah.
Dibuka dari pukul 9 pagi hingga 10 malam setiap hari, kecuali hari Isnin minggu kedua, Hafizuddin berkata, minuman istimewa pula adalah sirap bandung soda dan air belimbing.
"Mengenai harga, apa yang ditawarkan di sini berpatutan dengan kualiti dan servis yang diberi. Misalnya, harga semangkuk asam pedas bermula daripada RM6, manakala nasi beriani bermula daripada RM11 sepinggan," katanya menamatkan bicara.

WALIMATULURUS: IKUT SYARIAT ATAU IKUT HATI ?


MENGADAKAN kenduri kahwin atau dikenali sebagai walimatulurus amat digalakkan di sisi agama Islam. Bahkan terdapat hujah dalam kalangan para ulama yang mengatakan hukum menghadiri majlis sebegini adalah wajib, malah mereka turut mengharuskan berbuka puasa bagi jemputan yang sedang berpuasa sunat.
Penganjuran majlis kenduri kahwin sebenarnya dilihat bertujuan meraikan kehadiran pasangan suami isteri ke alam rumah tangga, selain dilihat menghebahkan kedua-dua mempelai yang telah mengikat talian perkahwinan kepada masyarakat umum.
Bukan sekadar itu juga, majlis kenduri mempunyai objektif mendalam iaitu ia bertujuan mengeratkan talian silaturahim antara sesama sanak-saudara dan sahabat-handai seandainya mereka tinggal berjauhan lalu bertemu kembali pada majlis raja sehari tersebut.
Sebenarnya ia merupakan satu ibadat, bahkan ia bertepatan dengan satu hadis diriwayatkan oleh Anas yang bermaksud: "Ketika tiba waktu pagi hari setelah Nabi Muhammad menjadi seorang pengantin dengan Zainab al-Jahsy, baginda telah mengundang masyarakat lalu mereka dijamu dengan makanan dan setelah itu mereka pun bersurai."
Sebaliknya pada hari ini, adakah tujuan asal majlis perkahwinan seperti dianjurkan oleh agama Islam masih terjadi lagi? Adakah budaya yang seolah-olah berlebih-lebihan atau menunjuk-nunjuk itu digalakkan dalam agama Islam?
Hal ini kerana pada masa kini, trend majlis perkahwinan dilihat melepasi batas tujuan asal. Ini dibimbangi berlakunya unsur pembaziran serta bersaing secara tidak sihat di antara satu sama lain.

Bukan hanya pembaziran dari segi persiapan tetapi juga cenderamata yang dikhaskan untuk para tetamu yang malah harganya. Pun begitu, ada segelintir suara-suara yang mengatakan apa salahnya, asalkan berkemampuan. Adakah konsep majlis perkahwinan sebegini dibolehkan agama dengan alasan berkemampuan?
Daripada pandangan Islam, segala perkara yang mempunyai unsur pembaziran dan menunjuk-nunjuk adalah dilarang. Jelas Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, sekiranya walimatulurus mempunyai unsur itu maka matlamat asal ia diadakan telah bertentangan dengan ajaran Islam.
Ujar beliau, tujuan asal walimatulurus adalah untuk memperkenalkan pengantin kepada saudara mara dan jiran tetangga. Jadi jika berlaku pembaziran sehingga terpaksa berhutang, ini adalah suatu tindakan yang sangat dilarang.
Sehubungan itu, Islam tidak menggalakkan segala perkara yang berlebihan sehingga mendatangkan kemudaratan kerana kesederhanaan dititikberatkan oleh ajaran yang dibawa oleh baginda Rasulullah SAW.
"Tidak kira, sama ada kaya atau miskin, jika mereka melakukan sesuatu perkara berlawanan dengan hukum syarak termasuk menganjurkan pembaziran, ia adalah ditegah dan dikhuatiri mengurangkan keberkatan pada majlis perkahwinan berkenaan.
"Oleh itu suka saya menyarankan kepada bakal pengantin di luar sana untuk memikirkan sehabis-habisnya tentang soal majlis perkahwinan. Seharusnya mereka mengadakan majlis perkahwinan dengan mengikut kemampuan mereka. Memadai ia diadakan dengan sederhana tetapi memenuhi matlamat asal perkahwinan diadakan," ujar Harussani yang antara sempat mengingatkan jangan disebabkan berbelanja mewah pengantin terpaksa menanggung bebanan hutang sehingga ke anak cucu.
Berbalik berhubung persoalan menunjuk-nunjuk, menurut Harussani lagi, perbuatan riak merupakan salah satu sikap mazmumah (buruk). Perkara berkenaan hendak dijauhi ketika majlis perkahwinan berlangsung.

Belanja ikut kemampuan

Tidak salah berbelanja berlebihan untuk hari bersejarah tersebut jika pengantin atau keluarganya berkemampuan berbuat demikian. Selain itu, ia adalah tanggungjawab terakhir kepada ibu bapa terhadap anak mereka dan merupakan amanah pertama kepada pengantin baru untuk menguruskan majlis perkahwinan mereka secara sendiri.
Demikian pula ulasan yang diberikan oleh tokoh agama, Datuk Mohd. Daud Che Ngah ketika dihubungi baru-baru ini dengan memberikan alasan bahawa tidak salahnya memberikan makanan kepada para tetamu yang hadir kerana ia dilihat menghargai dan memuliakan serta mengeratkan hubungan silaturahim, termasuk dalam perbuatan melakukan amalan sedekah.
Mohd. Daud menambah, majlis perkahwinan adalah sekali dalam seumur hidup maka jika pihak yang terlibat berbelanja lebih tidak salah asalkan mengikut kemampuan.
Tokoh agama itu mengambil contoh dalam soal hidangan makanan, ia merupakan satu sedekah dan penghargaan kepada tetamu yang hadir walaupun mereka terdiri daripada golongan berada. Para tetamu terdiri daripada sanak-saudara dan rakan-taulan, seharusnya mereka dihidangkan dengan juadah makanan kerana bertujuan untuk memuliakan mereka kerana sudi hadir ke hari penuh bersejarah itu.

"Saya berpendapat, tidak salah jika berbelanja untuk perkara baik contohnya dalam soal hidangan makanan kepada tetamu yang hadir. Yang salahnya apabila membelanjakan untuk perkara melalaikan contohnya mengadakan hiburan sehingga membelanjakan beribu-ribu walaupun mereka berkemampuan.
"Sebenarnya di negara-negara Arab termasuk di Kota Mekah, mereka akan turut mengeluarkan belanja untuk majlis perkahwinan sehingga RM300,000 kerana majlis itu adalah suatu yang penting menurut adat mereka. Asalnya perjalanan majlis mengikut hukum syarak," jelas beliau yang merupakan Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd.
Kata Mohd. Daud lagi, selain mengeratkan talian silaturahim, majlis perkahwinan atau walimatulurus adalah sesuatu yang penting kerana sekiranya suami atau isteri ingin bercerai dalam tempoh singkat, mereka akan beringat kerana demi perkahwinan itu mereka terpaksa berkorban wang dan tenaga.
"Mereka akan malu dengan para tetamu kerana masyarakat telah mengetahui bahawa pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga. Penceraian dalam tempoh singkat akan menjadi buah mulut orang yang akhirnya memalukan dua mempelai," ujar beliau.
Sehubungan itu, Mohd. Daud berkata yang menjadi kesalahan jika berlebih-berlebihan sehingga melampaui batas kemampuan mereka lalu terpaksa memohon pinjaman kewangan, bergolok-bergadai atau berhutang keliling pinggan.
Tanggungjawab untuk melaksanakan tugas sebagai suami isteri adalah penting daripada memikirkan majlis perkahwinan. Dalam tempoh lima tahun awal perkahwinan, pasangan suami isteri bakal dilanda pelbagai dugaan termasuk berhadapan masalah kewangan.
Berbelanja berlebihan dan pasangan terpaksa menanggung hutang, seterusnya mendatangkan masalah kewangan sehingga membawa kepada masalah perceraian adalah suatu perkara yang merugikan.

Menurut Pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Datin Dr. Noor Aziah Mohd. Awal, bakal pengantin perlu memahami akan konsep perkahwinan itu sendiri dengan mengetahui bahawa nikah dan mahar sudah memadai berbanding mengeluarkan belanja mewah untuk majlis yang berlangsung selama sehari.
Sehubungan itu, Noor Aziah menggesa pasangan di luar sana untuk memikirkan masa panjang berbanding terpaksa memohon pinjaman kewangan yang mempunyai riba, akhirnya menyusahkan perkahwinan mereka sendiri.
"Perkahwinan sebenarnya ikut syariat, bukannya mengikut hati. Kalau hendak memuas hati sendiri dan orang ramai, sampai bila tidak dapat. Oleh demikian, ikut syariat adalah jalan terbaik.
"Bahkan peratusan kadar penceraian hari ini adalah disebabkan faktor kewangan. Bebanan tersebut menyebabkan masing-masing tidak memenuhi keperluan asas sebuah keluarga lalu berpisah dianggap adalah cara terbaik untuk meleraikan masalah tersebut," kata beliau.
Dalam pada itu, Noor Aziah berkata terikut-ikut dengan rancangan program televisyen perkahwinan dan majalah sangat tidak digalakkan kerana daripada sudut itu akan dilihat menarik bakal pengantin untuk meniru contoh dipaparkan yang akhirnya menjerat diri masing-masing.

"Jika dahulu, orang kampung akan membawa beras, gula dan masing-masing menyalurkan sedekah untuk menumbang seekor lembu, maka pengantin tidak akan mengeluarkan pembelanjaan satu sen pun. Selain ia dilihat menjimatkan kos, tetapi ia dilihat mengeratkan silaturahim menerusi amalan bergotong-royong.
"Tetapi situasi seperti itu telah ditelan zaman, amalan gotong-royong sudah jarang dijumpai, terutamanya dalam kalangan masyarakat moden hari ini," kata Noor Aziah.
Beliau mencadangkan agar majlis perkahwinan antara kedua-dua pihak disatukan dan diadakan di surau atau masjid, sekali gus sebagai tanda perpaduan dan hubungan erat sesama keluarga.
"Jadikanlah walimatulurus sebagai penanda aras untuk suami bertanggungjawab mengeluarkan mahar untuk isteri dan dari sudut lain, ia mendidik dan menerapkan amanah kepada pasangan suami isteri berkenaan," kata beliau.

MENGATASI SEMBELIT BAYI



Sembelit memang selalu terjadi di kalangan bayi. Bayi mengeluarkan najis yang keras dan banyak. Kadangkala najis hanya keluar sekali dalam beberapa hari. Berapa kerapnya seseorang bayi itu mengeluarkan najis berbeza di antara satu bayi dengan bayi yang lain.
Ada bayi yang dapat mengeluarkan najis dengan senang walaupun keras dan banyak dan ada juga bayi yang bukan sahaja sukar mengeluarkan najisnya yang keras dan besar tetapi mendapat kelukaan di bahagian dubur menyebabkan pendarahan pada bahagian itu.
Perkara seperti ini perlulah dicegah daripada berlaku kerana mungkin menimbulkan masalah pembuangan najis bagi bayi itu sampai dia dewasa kelak. Sembelit adalah salah satu daripada masalah pemberian makanan yang biasa di kalangan kanak-kanak dan ia menyebabkan ketidakselesaan dalam kalangan bayi.

Sembelit bukan sekadar berapa kali bayi membuang air besar dalam sehari kerana kekerapan membuang air besar amat berbeza antara seseorang bayi dengan yang lain. Yang lebih penting ialah bentuk najis yang dihasilkan. Tanda-tanda sembelit termasuklah ketulan najis yang amat keras dan kekerapan membuang air besar yang kurang daripada biasa. Bayi anda dikatakan mengalami sembelit jika dia kelihatan sakit atau perlu menggunakan daya yang kuat untuk membuang air besar. Semasa membuang najis yang keras, dubur bayi mungkin rekah dan berdarah. Bayi yang mempunyai luka pada duburnya akan enggan membuang air besar untuk mengelakkan kesakitan. Ini memburukkan lagi keadaan sembelit.
Sembelit jarang berlaku di kalangan bayi yang diberi susu ibu. Namun, bayi boleh mengalami sembelit apabila dietnya berubah, misalnya apabila makanan pejal diperkenalkan kepadanya seperti yang dialami oleh bayi puan. Sembelit juga disebabkan oleh dehidrasi seperti yang puan maklum bahawa anak puan tidak suka minum air masak. Pembancuhan susu formula yang tidak mengikut sukatan betul juga boleh mengakibatkan sembelit. Sembelit boleh juga disebabkan oleh masalah perubatan yang serius tetapi ini jarang berlaku.

LangkahAnda boleh mengambil beberapa langkah yang mudah untuk melegakan bayi anda dan mencegah sembelit daripada berulang seperti mengalakkan bayi lebih bergerak, misalnya anda boleh membaringkan bayi lalu menggerakkan kakinya seolah-olah mengayuh. Ataupun galakkan dia lebih merangkak. Kekurangan aktiviti fizikal akan menyebabkan sembelit, perlahan-lahan urutkan perut bayi dengan pergerakan bulatan selama beberapa minit selain tambahkan serat dalam diet bayi. Misalnya, anda boleh memberikannya jus buah-buahan. Tetapi jangan beri terlalu banyak kerana ia akan mengurangkan pengambilan susu.
Jika bayi anda telah diperkenalkan makanan pejal, anda boleh meningkatkan pengambilan bran, bijiran, buah-buahan segar (contohnya prun, pisang dan aprikot) serta sayuran. Pastikan bayi anda diberi cecair yang mencukupi. Berikannya air masak atau sedikit jus buah-buahan (terutama epal, pir atau prun) di antara penyusuan terutamanya apabila cuaca panas.
Jika bayi mengalami sembelit untuk jangka masa yang panjang atau terdapat tanda-tanda kesakitan yang berulang, maka anda mesti meminta nasihat doktor atau profesional perubatan.

Jangan cuba selesaikan masalah tersebut secara sendiri dengan menggunakan laksatif dan rawatan herba. Ubat-ubatan tidak patut digunakan tanpa nasihat doktor. Susu yang paling baik bagi mengurangkan sembelit adalah susu ibu. Susu ibu adalah makanan terbaik untuk bayi anda.

Monday, February 11, 2013

LALUAN MAUT DI SIMPANG 3 KG. SAWAH


Laluan undang maut
Rasid menunjukkan keadaan jalan di simpang tiga Kampung Sawah yang memerlukan isyarat keselamatan mengelakkan kemalangan berlaku di situ.
PONTIAN - Simpang tiga Kampung Sawah yang terletak di laluan utama menghubungkan Pekan Nenas dengan Kulaijaya menjadi zon berbahaya kerana kemalangan kerap berlaku di situ, terutama pada waktu malam.

Tinjauan Sinar Harian ke lokasi mendapati, kawasan tersebut berbukit dan tiada sebarang isyarat mengelakkan kemalangan seperti papan tanda, lampu amaran mahupun pembahagi jalan yang lengkap diletakkan.

Keadaan itu sekaligus menyebabkan pengguna jalan raya khususnya pemandu lori kerap terbabas ke laluan bertentangan dan memasuki longkang.

Penduduk, Rasid Paiman, 48, mengakui pernah melihat kemalangan berlaku di lokasi berkenaan membabitkan sebuah lori yang melanggar pembahagi jalan.

“Jalan yang berbukit di sini menyebabkan pemandu tidak dapat melihat selekoh yang ada, menyebabkan mereka tersasar dari laluan utama.

“Mujur kemalangan yang saya lihat itu hanya menyebabkan pemandunya mengalami kecederaan ringan sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, sudah tiba masanya pihak berkaitan melakukan kajian mengenai keselamatan di laluan berkenaan bagi membolehkan langkah keselamatan dan mencegah kemalangan diambil segera.

Manakala, bagi Mohd Nazer Yusof, 32 yang sering menggunakan laluan itu ke tempat kerjanya berkata, pembahagi jalan amat diperlukan di lokasi berkenaan selain papan tanda jalan.

Jelasnya, apa yang lebih membimbangkan adalah jumlah pengguna di jalan berkenaan semakin banyak terutamanya pemandu kenderaan berat.

“Jika dahulu jalan ini agak lengang, tetapi kini semakin banyak kenderaan melaluinya untuk ke Plaza Tol Lebuhraya Utara-Selatan Kulaijaya,” katanya.

MEE BODO-BODO BANDAR SRI JEMPOL


FADZIL Md. Najimi bersama isteri, Sanisah (kiri) dan seorang kakitangan mereka, Maziah Muktar di hadapan premis Kedai Makan Baba di Arked Mara, Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan.

JIKA anda berkunjung ke daerah ini, jangan lupa singgah ke sebuah premis di Arked Mara, Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan.
Pastinya, anda akan rambang mata memilih menu yang disajikan di premis empat pintu milik Fadzil Md. Najimi, 39, atau lebih dikenali dengan gelaran Baba.
Premis yang dimiliki anak peneroka dari Felda Tembangau Satu, Pahang ini terkenal dengan pelbagai menu berasaskan mi, nasi ayam serta sup.
Baba yang ditemui S2 menjelaskan, dia memulakan perniagaan pada 1995 di Felda Tembangau Satu.
''Dulu, saya pernah berniaga di pasar malam selama sembilan tahun. Pada mulanya, saya hanya menjual burger goreng samurai, nasi ayam serta sup gear box.
''Melihatkan sambutan yang sangat menggalakkan, saya membuat keputusan untuk mencari premis tetap.
''Pada Oktober 2010, saya mula membuka premis di Arked Mara, Bandar Seri Jempol. Pada awalnya, saya hanya menyewa sebuah kedai sahaja. Syukur sambutan yang diterima amat luar biasa dan akhirnya hari ini, saya menyewa empat buah kedai,''jelasnya.
Bapa kepada tiga orang anak ini berkata, dia sanggup pergi ke beberapa kedai di negeri lain bagi mencuba pelbagai masakan baru, sekadar untuk belajar dan mencari ilmu tentang masakan.
''Saya memang suka memasak dan cuba perkara baru. Setiap kali ke dapur, saya akan cipta resipi baru. Memang pada awalnya, kadang-kadang tidak menjadi, tetapi saya tidak berputus asa dan mencuba semula sehingga berjaya.
''Impian saya adalah untuk mencipta jenama sendiri, masakan baru dan pastinya mahu pelanggan saya makan makanan yang tiada di tempat lain," tambahnya.
Pada hari ini, beliau telah berjaya mencipta beberapa menu istimewa yang kini menjadi permintaan pelanggan setiap kali singgah makan di kedainya.
Antara menu yang mendapat sambutan adalah nasi ayam, sup gear box, mi bandung utara, mi bandung ketam, mi kari mail lambung, mi bodo-bodo, carca marba, ayam goreng madu serta sup urat keting.
Baba bukan sahaja dikenali dengan makanan, malah minuman laici kang baba trafic light turut menjadi pilihan pelanggannya.
''Minuman ini sangat berkhasiat kerana ia mengandungi pelbagai jenis ramuan termasuk laici, buah kiwi, kacang, agar-agar serta cincau. Ia dijual pada harga yang sangat berpatutan iaitu RM3.50 segelas sahaja," katanya sambil memberitahu beliau dibantu oleh isteri, Sanisah Ahmad Nazri, 33, yang bertindak sebagai tukang masak kedua bersama 20 orang kakitangan.
Selain masakan mee, beliau turut menyajikan lebih kurang 50 jenis lauk dan biasanya masakan berlauk akan mula dihidangkan pada pukul 10.30 pagi sehingga 1.30 petang.
''Saya juga menerima pelbagai tempahan luar termasuk majlis perkahwinan di sekitar Negeri Sembilan dan Pahang. Buat masa ini, kami buka pada setiap hari kecuali hari Sabtu. Waktu perniagaan pula bermula dari pukul 10.30 pagi sehingga 10.30 malam,''jelasnya lagi.
Orang ramai yang berminat untuk membuat tempahan boleh menghubungi Baba di talian             019-6946951       atau             019-6606951      .