• Air Sungai Pontian hitam, hanyirAir Sungai Pontian yang bertukar menjadi kehitaman
 1 / 1 
PONTIAN - Busuk dan menjijikkan. Itu luahan nelayan sungai Pontian yang terpaksa menghidu bau busuk dan hanyir air sungai yang bertukar kehitaman sejak dua tahun lalu.

Nelayan, Jefri Hashim, 41, berkata, air sungai yang berubah menjadi hitam menyebabkan kemusnahan habitat ikan dan udang galah.

Akibatnya, sungai yang menjadi periuk nasi mereka hanya tinggal kenangan.

“Pembukaan kilang semakin rancak di kawasan berhampiran sungai menyebabkan berlaku pencemaran sungai.

“Dianggarkan terdapat lebih lima kilang dibuka di kawasan berhampiran,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, pencemaran turut menyebabkan nelayan dan penduduk sekitar tidak berani menjala udang dan ikan.

“Keadaan air sungai yang hitam dan berselut menyebabkan ada rakan-rakan yang mengadu dijangkiti penyakit kulit akibat air kotor,” katanya.

Sementara itu nelayan veteran, Jaafar Ahmad, 70, berkata, dahulu, sungai tersebut merupakan tempat tumpuannya dan pengunjung luar seperti Johor Bahru dan Singapura untuk menangkap udang galah.

Namun, kini mereka terpaksa mencari kerja baharu kerana tidak dapat turun mencari udang galah dan ikan.

“Sejak sungai tercemar, pak cik tidak lagi turun menjala udang. Jala terpaksa disimpan dalam rumah sahaja,” katanya.

Justeru, dia berharap masalah dihadapi nelayan dan penduduk 10 kampung berhampiran sungai tersebut mendapat perhatian pihak berkaitan.

“Setakat ini, isu sungai hanya diajukan kepada pihak kepimpinan kampung sahaja, namun keadaan semakin teruk sejak kebelakangan ini.

“Kami bimbang Sungai Pontian yang terkenal dengan udang galah akan pupus sekiranya tiada tindakan sewajarnya diambil. Jadi, kami harap rintihan kami ini didengar pihak berwajib,” katanya.