BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Thursday, October 30, 2014

DIET DETOX MEMUDARATKAN ?

Proses penyingkiran bahan toksin atau buangan dari sistem tubuh badan atau detoxification (detox) adalah untuk memastikan sistem penghadaman bekerja dengan sepatutnya, selain memastikan kulit bersih dan segar serta sistem buah pinggang dan hati berjalan lancar.
Apabila semua organ penyingkiran toksin berjalan dengan sepatutnya barulah tubuh boleh mengeluarkan toksin secara berkesan dan maksimum.
Begitupun hari ini ramai yang mengandaikan penyingkiran toksin ini boleh dilakukan dengan kaedah luaran sahaja seperti mengambil makanan tambahan seperti jus detox, teh herba, sauna, dan sebagainya, yang dijadikan oleh kebanyakan individu sebagai pelan diet bagi menurunkan berat badan.
Dikenali sebagai diet detox, ia menjadi fenomena dalam kalangan wanita mahu pun lelaki di seluruh dunia kerana dikatakan lebih mudah dan mampu menurunkan berat badan dalam tempoh yang singkat.
Pegawai Pemakanan, Hospital Pakar Ampang Puteri, Nur Hayati Azmi, tidak menolak keberkesanan diet tersebut bagaimanapun apa yang harus diketahui ramai ia tidak pernah dibuktikan secara saintifik.
Malah sebenarnya, beliau berkata, diet tersebut lebih merupakan proses pengurangan air dari dalam badan.
Walaupun ia mampu menurunkan berat badan dengan cepat dan mudah, bagi sesetengah individu ia sebenarnya boleh memudaratkan diri sendiri apatah lagi jika dilakukan secara ekstrem.
“Secara umumnya pengamal diet detox hanya akan mengambil makanan berasaskan sayur-sayuran dan buah-buahan atau pun meminum jus buah-buahan.
“Memang tidak dapat dinafikan dengan mengamalkan corak pemakanan sebegini, penurunan berat badan akan berlaku dalam tempoh masa yang singkat dan mudah.
“Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa ia merupakan diet yang sangat rendah kalori sehingga kadang kala tidak mencukupi untuk keperluan tenaga harian tubuh.
“Kekurangan kalori dalam badan akan menjadikan pengamal diet ini berasa lemah, mudah mengalami pening kepala, terasa hendak muntah, dan tidak cukup tenaga,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai diet detox tersebut, Nur Hayati memberitahu, ia sememangnya merupakan diet pembuangan air dalam badan semata-mata dan tiada langsung melibatkan sebarang proses pembakaran lemak, sebagaimana sepatutnya berlaku apabila seseorang dalam proses mahu menurunkan berat badan secara sihat, iaitu dengan bersenam dan mengamalkan pemakanan yang disarankan.
Apabila pembakaran lemak berlaku, segala toksin yang terkandung dalam badan akan dikeluarkan melalui air kencing, peluh, dan najis, tetapi perkara ini tidak akan berlaku kepada mereka yang mengamalkan diet detox.
Disebabkan itulah kata Nur Hayati, ia bukanlah satu diet sihat yang baik untuk diamalkan, sebaliknya menasihatkan orang ramai sekiranya ingin menurunkan berat badan perlulah mengamalkan diet yang sihat.
“Kepada mereka yang ingin menurunkan berat badan melalui cara diet, cara yang betul ialah dengan mengamalkan pemakanan yang sihat dan disertai dengan aktiviti fizikal seperti bersenam.
“Pemakanan yang sihat seperti umum ketahui cara masakannya adalah seperti kukus, panggang, kurang lemak dan gula. Orang ramai dinasihatkan agar memberi perhatian penuh kepada cara masakan harian mereka.
“Begitupun, kepada mereka yang ingin menikmati hidangan secara goreng ia tidak ditegah cuma seelok-eloknya minyak yang digunakan untuk menggoreng hadkan kepada dua kali penggunaan sahaja,” tuturnya.
Nur Hayati turut menambah, diet yang sihat bukan sahaja dilihat daripada segi pengamalan pemakanan yang sihat malah ia juga perlu disusuli dengan senaman harian untuk mengeluarkan peluh.
Nur Hayati juga tidak menafikan, gaya hidup masyarakat hari ini turut mempengaruhi piramid makanan hingga menyebabkan jumlah pengambilannya ‘diterbalikkan’.
Masakan tidak, jenis bahan makanan yang terletak di atas sekali di mana kuantitinya sepatutnya diambil dalam jumlah yang sikit telah pun dialihkan kedudukannya dan diletakkan di bahagian bawah sekali dan sekaligus jumlah pengambilannya telah pun ditingkatkan.
Begitu juga bagi jenis bahan makanan yang berada di bahagian bawah piramid yang sepatutnya diambil dalam jumlah yang banyak telah pun diubah kedudukannya di tempat yang teratas.
Ini secara tidak langsung ia telah mengubah tabiat pemakan harian yang dilihat semakin kritikal dari hari ke hari.
Selain mendapati masyarakat hari ini tidak mengetahui berapa banyak kuantiti zat-zat makanan yang diperlukan oleh tubuh badan masing-masing, mereka juga sebenarnya dilihat tidak mengendahkan dan mengamalkan corak pemakanan sihat.
Sambil memberitahu pemakanan adalah faktor penting bagi menjamin kesihatan dan keseimbangan emosi, Nur Hayati menasihatkan orang ramai agar mematuhi piramid makanan, lebihkan sayur dan buah-buahan dalam menu makanan dan paling penting minum banyak air kosong.
“Tidak salah untuk makan tetapi berhati-hatilah dengan makanan yang kita ambil,” ujar Nur Hayati.
Pelan diet detox 
secara sihat
Hindari: Beberapa perkara yang harus dihindari ketika melakukan diet detox adalah alkohol, rokok, produk susu, gula, madu, pemanis buatan, kopi, gandum dan segala jenis produk hasilnya, dan buah kering.
Nikmati: Segala macam buah dan sayur segar, ikan, daging merah tanpa lemak, daging ayam tanpa kulit, telur, minyak zaitun, kekacang, biji-bijian, teh hijau, teh putih, teh hitam, dan air putih.
Lakukan: Sekurang-kurangnya terdapat tujuh peraturan yang wajib dipatuhi ketika menjalani diet detox, iaitu
• Minum jus lemon setiap pagi sebelum sarapan untuk membersihkan dan melancarkan sistem pencernaan.
• Selalu bersenam selama satu jam setiap hari. Aktiviti fizikal yang dilakukan pun harus serius dan banyak menggunakan tenaga.
• Ambil makanan yang segar setiap hari, misalnya salad buah atau sayur.
• Selain membersihkan toksin dalam tubuh, diet detox sepatutnya juga mampu membuang ‘toksin’ dari fikiran. Jadi ambil masa sekurang-kurangnya 15 minit setiap hari untuk meditasi, tenang dan lapangkan fikiran.
• Berusaha untuk minum tiga liter air setiap hari, sama ada air putih, jus buah, jus sayur, atau teh herba.
• Maksimumkan diet detox dengan membersihkan tubuh secara bersungguh-sungguh, seperti urut bahagian tertentu pada tubuh untuk melancarkan peredaran darah.
• Amalkan mengunyah makanan 10 hingga 12 kali sebelum menelannya. Dengan makan secara perlahan-lahan perut cepat kenyang dan tidak menimbulkan kebiasaan makan berlebihan.
• Jangan lakukan diet detox jika sedang hamil, menyusukan bayi, sudah berusia lanjut, mengalami tekanan darah tinggi, berat badan terlalu rendah, atau masalah khusus lain sebagaimana yang disarankan oleh doktor.

Wednesday, October 29, 2014

BUBBLES & BITES CAFE-GENTING HIGHLAND

Bubbles&Bites menjanjikan pengalaman berbeza kepada pengunjung.
Bubbles&Bites menjanjikan pengalaman berbeza kepada pengunjung.
Genting Highland terkenal sebagai kota keriangan yang menghidangkan pelbagai aktiviti luar dan dalam selain tempat berhibur bersama keluarga dan rakan-rakan.
Namun demikian, aktiviti ini telah dihentikan buat seketika kerana memberi laluan kepada pembinaan taman tema terbaharu, Twentieth Century Fox dalam usaha memberi wajah baharu kepada taman tema yang berusia hampir 35 tahun berkenaan.
Hotel-hotel yang terdapat di tanah tinggi tersebut masih lagi beroperasi dan masih ramai pengunjung yang mengunjungi Genting Highland kerana ingin menikmati cuacanya yang sejuk dan menenangkan.
Bagi mereka yang sering kali ke sana, apa kata anda singgah ke Kafe Bubbles & Bites untuk menikmati makan tengahari atau minum petang anda kerana mereka menghidangkan pelbagai hidangan yang mampu membuatkan sesiapa sahaja terpikat.
Terkenal sebagai pakar menghidangkan hidangan sihat, Bubbles & Bites ternyata memberikan pengalaman berbeza kepada para pengunjung kerana rekaan dalam kafe membawa imej futiristik dan chic diiringi bersama impresi tekno yang dihasilkan melalui warna ungu di setiap penjuru kafe.
Penyediaan menu yang meluas dari hidangan permulaan seperti sup dan salad, hidangan utama iaitu pasta serta pizza buatan sendiri, burger dan sandwic, hidangan sampingan seperti stew, sosej, dan pai pastinya memberikan anda pelbagai pilihan untuk menjamu selera.
Sous Chef Bubbles & Bites, Chef Khairul Azhar Wahid, berkata, mereka menekankan keaslian rasa setiap hidangan selain berusaha menyediakan sendiri doh piza dan pasta dalam kualiti yang paling maximum.
“Kami mahu menghidangkan hidangan yang lazat tetapi dalam konsep yang lebih sihat supaya pelanggan dapat menikmati suasana yang sedia tenang dan mendamaikan sejajar dengan apa yang tubuh badan mereka perlukan.
“Pemilihan sayuran-sayuran segar seperti tomato dan cendawan yang banyak digunakan dalam menu di sini, juga dititikberatkan, selain minuman buah-buahan dari sebuah ladang di New Zealand,” katanya.
Berpeluang mencuba sendiri hidangan yang terdapat dalam menu sihat Bubbles&Bites, penulis mencuba sajian healthy warm salad yang dihidangkan bersama telur rebus, cendawan liar, tomato mascorpone, kacang pain dan hirisan roti bakar.
Mendapat idea daripada menu Amerika, hidangan ini mengutamakan pemilihan pelbagai jenis cendawan liar daripada jenis tiram, butang, shimeji, dan portobello untuk membangkitkan rasa salad bersama-sama cuka balsamik.
Tidak seperti salad caesar di restoran lain, kombinasi kepingan salmon salai, bekon daging lembu, kroton bawang putih dan sos caesar berkrim memberi tekstur rangup dan sesuai dinikmati bagi pencinta salad yang mementingkan kesihatan.
Tidak pernah mencuba piza tanpa kanji, membuatkan saya sedikit skeptikal bagaimana untuk menghasilkan doh piza yang rangup.
Apa pun chef di Bubbles&Bites berjaya membuktikan mereka mampu menghidangkan piza yang lazat walaupun tidak menggunakan kanji.
Dinamakan piza Oblong Margherita Fresco Gluten Free, ia yang dibakar rangup bersama sos tomato dan keju Bocconcini serta Mozarella yang memberikan rasa klasik walaupun hidangan mudah dan ringkas.
Melalui proses tumisan selama lapan jam, hidangan 8 Hours Slow Braised Lamb Shank langsung tidak mengganggu keseluruhan rasanya, malah mengekalkan tekstur daging betis kambing yang lembut di samping rasa berjus yang dikeluarkan sepanjang proses perapan dan tumisan.
Dengan harga serendah RM23, ia menjadi antara hidangan ‘wajib cuba’ kerana keistimewaan stik kambing yang mereka hidangkan juga bergantung kepada sos labu dan butternut yang tidak dapat dinikmati di tempat lain.
Sekadar ingin memenuhi menu minum petang anda, hidangan Pici Bolognaise boleh dicuba kerana tidak terlalu berat selain menyajikan dalam sajian yang besar. Pasta yang dibuat sendiri memberi tekstur yang berbeza berbanding pasta segera.
Beza dari kebanyakan restoran yang mengetengahkan masakan pasta, kuahnya tidak dimasak siap tetapi ia akan dimasak mengikut pesanan, membuatkan rasanya seakan-akan masakan rumah.
Jadikan percutian anda ke Genting Highland lebih bermakna dengan menikmati hidangan seperti Cioppino dan Ethiopian Chicken bersama teman-teman kerana sajian hangat yang diketengahkan ini amat sesuai dinikmati dalam cuaca yang sejuk.
Sebelum mengakhiri sajian , apa kata mencuba pencuci mulut terkenal di Bubbles&Bites seperti Pecan Walnut atau Chocolate Brownies. Hidangan pencuci mulut yang berbeza-beza setiap hari, membuatkan tetamu tidak jemu untuk menghayati hidangan yang ditawarkan di sini.
Boleh memuatkan sehingga 143 pelanggan dalam satu-satu masa, kafe yang terletak di tingkat dua Hotel Maxims itu beroperasi setiap hari.

Monday, October 27, 2014

RESTORAN AK 47-SETIAWANGSA KL

Melihat kepada nama bagai-kan senjata, terfikir bagaimana ‘ganas’ pula menu yang bakal dihidangkan. Apa pun namanya, mereka yang berkunjung ke Restoran AK47 sememangnya berpuas hati bukan saja kerana atmosferanya yang santai bahkan menunya yang memikat selera pelanggan.
Walaupun baru dibuka lebih kurang setahun dan berbekal hanya dengan cerita dari mulut ke mulut serta blog pelanggan yang pernah mencicip hidangan di sini, Restoran AK47 semakin mendapat perhatian bukan saja warga sekitar Setiawangsa tetapi mereka yang datang dari sekitar Lembah Klang, Selangor bahkan dari Johor, Kelantan dan Terengganu.
Menurut Pengurus Restoran AK47 yang juga salah seorang rakan kongsi, Ismail Ibrahim, pelanggan yang mahu makan selepas jam 7 malam seelok-eloknya membuat tempahan bimbang kerana tidak mempunyai tempat untuk duduk.
“Di sini pelanggan boleh memilih pelbagai menu daripada ala Barat hingga ala Timur termasuk hidangan masakan Thai utara yang unik tetapi menepati selera semua golongan.
“Bagi memikat hati pelanggan kami memastikan pelanggan akan mendapat hidangan dalam masa yang singkat,” katanya yang berpengalaman bekerja di hotel terkemuka selama beberapa tahun.
Pelanggan boleh memesan menu seperti Kerabu Dua Jiwa di mana seekor ikan yang dimasak dengan dua perisa berbeza, kerabu kangkung yang rangup, ayam lemon yang tidak menjemukan, chicken chop black pepper dengan kuah campuran bayam yang enak.
Terdapat juga ayam golden blue yang unik, sate yang sedap dimakan begitu saja, hamock seafood iaitu gabungan makanan laut yang dimasak dengan rempah yang menyelerakan atau tomyam Perahu Pecah iaitu tomyam utara Thai dengan pelbagai makanan laut termasuk ikan. Pesan saja apa yang ingin dirasa.
“Jangan bimbang dengan menu kerana di sini kami mempunyai lebih 50 menu lazat yang boleh dipesan termasuk itik panggang yang jarang didapati di restoran Melayu,” kata bekas anggota tentera ini.
Selain memesan ala carte, pelanggan juga boleh memesan set makanan bagi dua, empat atau lapan orang yang lebih menjimatkan tetapi masih enak dan menyelerakan.
Bagi mendapatkan bahan mentah terbaik, semuanya menjadi tugas seorang lagi rakan kongsi, Asrof Mahadi yang bertanggungjawab mengenai perbelanjaan dapur.
Tidak sah rasanya makanan yang enak tanpa minuman yang menyegarkan. Jadi pelanggan boleh memilih tiga saiz minuman kecil, biasa atau besar dengan pilihan epal asam boi, kelapa blended, blackforest, pisang blended selain ABC. Laicikang atau minuman panas.
“Semua jus buah-buahan di sini menggunakan buah-buahan segar dan pelanggan boleh memilih pelbagai jenis minuman panas atau sejuk,” katanya.
Restoran yang dibangunkan dengan beberapa rakan lain boleh memuatkan lebih kurang 350 orang pada satu-satu masa di mana pelanggan boleh memilih konsep santai dengan bersila atau duduk di atas kerusi seperti biasa.
Setakat ini, jelas Ismail, ramai pelanggan gemar membuat pelbagai majlis seperti hari jadi atau tahlil di Restoran AK47 mungkin kerana konsepnya yang santai. Ditanya mengenai perancangan masa depan, Ismail berkata pihaknya sedang merancang membuka beberapa cawangan lagi di Damansara dan Melaka dalam masa terdekat.
“Kami mendapat banyak pertanyaan dan permintaan daripada pelanggan yang mahukan kamu membuka cawangan di tempat mereka,” katanya.

GARDEN CAFE-KAJANG, SELANGOR

MENJAMU selera dengan dikelilingi pohon-pohon segar dan menghijau memang menimbulkan suasana yang mengasyikkan.
Ditambah pula apabila sajian yang dihidangkan menyelerakan dan menepati cita rasa.
Garden Cafe yang terletak di Taman Ramal Suria, Kajang, Selangor, menyajikan suasana tersebut kepada pengunjung yang inginkan ketenangan ketika sedang menikmati hidangan kegemaran mereka.
Walaupun lokasinya sedikit tersorok, pelanggan sudah dapat merasai kesegaran suasana sebaik menjejakkan kaki ke restoran tersebu.
Deretan tumbuhan menghijau yang ditanam di bahagian pintu utama sudah cukup untuk menyuntik mood tenang.
Lebih menarik dengan kehadiran beberapa deretan motosikal berkuasa tinggi daripada jenama terkemuka seperti Harley Davidson, Titan dan sebagainya, pasti mengusik mata pelanggan.
Pemiliknya, Mukhsin Selamat, 45 mengakui idea untuk membuka restoran berkonsep taman timbul apabila dia sendiri gemar mengunjungi restoran seumpama untuk menjamu selera.
“Kebiasaannya tempat yang menjadi kegemaran saya dan keluarga untuk menjamu selera adalah restoran yang berkonsep dalam taman.
“Namun, bukan semua restoran betul-betul memenuhi kepuasan dan konsep tersebut. Jadi bagi memenuhi kepuasan diri sendiri dan minat orang ramai, saya telah mengambil keputusan membuka Garden Cafe menggunakan idea dan pelan rekaan sendiri,” ujarnya yang juga seorang pensyarah sambilan dalam bidang landskap di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Tambah Mukhsin, penggunaan pokok-pokok hijau dan reka bentuk restoran memainkan peranan untuk menimbulkan suasana segar serta nyaman kepada pelanggan.
Di ruang pintu masuk utama, dia sengaja menggunakan pokok buluh. Selain berfungsi sebagai pokok hiasan, ia juga berperanan menyerap bunyi bising, habuk dan asap daripada kenderaan yang lalu-lalang.
“Ruang bahagian dalam kawasan restoran pula saya tanam beberapa pokok besar seperti pokok pulai dan pokok rhu yang berfungsi sebagai teduhan.
“Kombinasi pohon renek pula ditanam bagi menaikkan mood Garden Cafe yang berkonsep moden dan Barat.
“Pada ruang pejalan kaki yang menghubungkan pelanggan untuk ke tempat menjamu selera, ditanam dengan rumput dan dihiasi batuan granit,” katanya.
Ujar penggemar dan pengumpul koleksi motosikal berkuasa tinggi itu, persekitaran segar dan hijau yang disediakan kepada pelanggan diharap memberikan kepuasan semasa mereka menjamu selera.
Apa pun Mukhsin percaya, seindah mana pun hiasan sesebuah restoran, kekuatannya tetap pada sajian makanan yang bukan saja enak bahkan pada harga berpatutan.
Untuk dia memilih masakan asli Johor seperti mi bandung Muar, soto, mi kari, mi rebus, dan nasi ambeng, sebagai menu untma Garden Cafe.
“Resipi mi bandung menggunakan resipi asli dari Muar, Johor. Kebanyakan pelanggan yang menikmatinya mengakui rasanya asli dan harganya juga tidak mahal hanya RM6.
“Selain itu, aneka masakan Barat dan Thailand turut disediakan berdasarkan permintaan pelanggan,” katanya.
Restoran tersebut turut dilengkapi dengan kemudahan surau, tandas, tempat untuk persembahan muzik dan bilik mesyuarat kecil yang boleh menempatkan sekurang-kurangnya 15 hingga 20 orang dalam satu masa.
“Di sini kami turut menyediakan perkhidmatan tempahan perkahwinan dalam taman, katering dan acara-acara kecil kepada pelanggan yang inginkan konsep dalam taman,” jelasnya.
Dalam pada itu, kesemua koleksi motosikal berkuasa tinggi yang dipamerkan di bahagian depan Garden Cafe turut dibuka untuk sewaan bagi tujuan pemanduan sendiri atau digunakan untuk majlis perkahwinan.
Harga yang ditawarkan bermula dari RM380 hingga mencecah RM800 untuk sehari.
Garden Cafe boleh dikunjungi di alamat no 10. Jalan Ramal Suria 2, Taman Ramal Suria, Kajang Selangor. Jika berminat untuk membuat tempah layari facebook The Garden de Excel Touch Cafe.

Saturday, October 25, 2014

RISTORANTE ITALIANO CAPRICCIOSA PASTA & PIZZA-SUNWAY PYRAMID

Sajian piza dan pasta merupakan makanan yang popular di Itali, namun ini sudah jadi sajian sejagat termasuk di negara ini.
Sebut sahaja piza, pelbagai gambaran dan jenis sajian terbayang di mata satu persatu. Tambahan pula dengan aneka perisian dan sos yang menggiurkan ketika cebisan piza memasuki mulut.
Salah satunya menikmati aneka piza dan pasta istimewa adalah di Ristorante Italiano Capricciosa Pasta & Pizza, yang terletak di Sunway Piramid, Petaling Jaya, Selangor.
Melangkah masuk ke dalam restoran Itali dengan susun atur yang serba ringkas tetapi tersusun ini, pengunjung disambut dengan aroma wangi piza membuatkan selera untuk menikmati sajian semakin terbuka.
Pelanggan boleh memilih sama ada menikmati sajian tersebut dalam restoran atau mahukan suasana santai di bahagian luar tepi restoran.
Kelainan menu piza dan pasta bukan sahaja terletak pada cara pembuatan dan penyediaan bahan-bahannya, malah tarikan pada sos yang dihasilkan sendiri oleh tukang masak
Rangkaian Pertama Ristorante Italiano Capricciosa Pasta & Pizza di Malaysia yang mula di buka pada 2011, merupakan sajian asli Itali yang mendapat pengesahan sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Pengarah Urusannya, Ryan Poh berkata, mereka menggunakan bahan-bahan yang baik dan berkualiti dengan penyediaannya mengikut kaedah yang betul.
“Setiap bahan-bahan yang digunakan dalam menu di sini kami gunakan bahan yang berkualiti diimport kebanyakan dari luar negara.
“Cara penyediaan dan aspek kebersihan makanan yang dihasilkan sangat dititikberatkan melalui penggunaan bahan yang segar dan asli
“Adunan doh piza dan pasta dibuat menggunakan tangan setiap hari bagi menjamin rasa segar apabila dimakan. Rasa sos untuk pasta dan piza juga berbeza kerana dihasilkan menggunakan resipi asli dengan dua perasa iaitu tomato dan campuran sos,” katanya
Tambahnya lagi, sempena meraikan keriangan pelanggan yang meminati sajian Itali, terdapat lebih 20 menu baharu yang disajikan kepada pelanggan termasuklah hidangan pembuka selera, salad, menu pencuci mulut dan banyak lagi.
“Inovasi baharu memperkenalkan lima jenis sajian pembuka selera seperti Crispy Fried Mushrooms, Black Mussels, Garlic & Chili Shrimps, Herb Chicken Sausages dan Trio Platter Itali
“Sajian ini diadun dengan perisa sempurna dan tekstur yang lembut membuatkan pelanggan tidak sabar menunggu lama untuk menikmatinya.
“Menggunakan bahan-bahan yang baik semua aneka pasta termasuk Vongole, Neopolitan dan Chicken Basil Pesto di masak sejurus pelanggan membuat tempahan supaya kesegaran dan hanya rasa menu terbaik disediakan kepada mereka,” katanya
Katanya lagi, antara menu baharu yang dijangka mendapat sambutan dari pelanggan adalah pasta Vongole dan piza Beef Bolognaise yang disediakan dengan rasa asli Itali
“Pasta Vongole bukan sahaja pasta sederhana anda kerana ia datang dengan kepah beraneka perisa yang berjus kaldu
“Sementara piza Beef Bolognaise dimasak dengan teliti menggunakan sos daging lembu yang dimasak di atas api perlahan selama berjam-jam setiap pagi.
“Antara menu baru lain yang perlu dicuba pelanggan termasuklah Creamy Garlicky Salmon, Baked Lobster yang disajikan dengan pasta berkrim dan diadun bersama-sama sayur segar,”katanya.
Sementara itu, Capricciosa Malaysia juga merupakan rangkaian pertama di dunia menyediakan sajian pinggan besar kepada pelanggan yang ingin kepuasan ketika menikmati sajian di sini.
“Terdapat tiga jenis sajian termasuklah Ocean Platter untuk campuran makanan laut, Carnivore Platter untuk sajian daging dan Ultimate Surf & Turf untuk sajian seimbang
“Hidangan ini yang bermula dari RM 59.90 dengan pinggan besar boleh dinikmati seramai dua hingga tiga orang dalam satu-satu masa,” katanya.

Friday, October 24, 2014

HIMPUNAN 20 NASI LEMAK TERBAIK

Nasi lemak merupakan antara sarapan pagi kebanyakan rakyat Malaysia.


PENGENDALI laman web makanan pertama di Malaysia, FriedChillies Media Sdn. Bhd. (Friedchillies) sekali lagi akan menganjurkan acara I Eat Nasi Lemak bertempat di TM Covention Centre, Jalan Bangsar, Kuala Lumpur.
Acara yang dijadualkan berlangsung pada 2 November 2014 dari pukul 10 pagi hingga 5 petang itu bakal mengumpulkan 20 penjual nasi lemak terbaik dari seluruh negara.
Acara I Eat Nasi Lemak 2014 merupakan penganjuran kali kedua selepas kejayaan pada tahun 2013 apabila berjaya menarik 5,000 orang pengunjung dalam tempoh lima jam.
Pengurus acara Friedchillies, Hafeez Izwan berkata, pihaknya menjemput penjual-penjual nasi lemak yang baharu pada tahun ini selain mengekal beberapa penjual pada tahun lalu.
Antara yang menarik ialah nasi lemak ikan keli dan nasi lemak kukus goreng. Pihak penganjur juga menjemput penjual nasi lemak vegetarian dari Kepong, Kuala Lumpur dan penjual nasi lemak organik bagi mereka yang mementingkan kesihatan.
“Acara tahun lalu berjaya mengeratkan hubungan antara penjual dengan penggemar nasi lemak.
“Pengunjung pada hari tersebut tidak perlu masak di rumah kerana semua berpeluang membungkus lauk dan nasi untuk dibawa pulang,” ujar Hafeez.
Acara I Eat Nasi Lemak 2014 akan berlangsung seperti Hari Kantin. Para pengunjung perlu membeli kupon terlebih dulu sebelum menukarnya dengan nasi lemak, lauk dan minuman.
Setiap kupon bernilai RM2. Pengunjung boleh membeli dalam bentuk buku kupon yang bernilai RM10.
Selain berpeluang merasai pelbagai jenis nasi lemak, pengunjung juga boleh menyertai pertandingan makan nasi lemak pada hari tersebut.
Friedchillies juga akan melancarkan kempen Hari Nasi Lemak Sedunia.
“Mereka boleh masak atau pergi ke restoran terdekat yang menjual nasi lemak bersama keluarga atau rakan-rakan,” katanya.

AMBIL SARAPAN ELAK RISIKO DIABETIS

Bijirin sarapan terbaik untuk kesihatan.
Bijirin sarapan terbaik untuk kesihatan.
Tahukah anda pengambilan sarapan bukan sahaja memberikan tenaga harian, malahan terdapat juga bukti menunjukkan bahawa pengambilan sarapan membantu mengurangkan risiko penyakit kencing manis atau diabetis melitus jenis 2.
Diabetes adalah penyakit kronik yang kekal akan kekal seumur hidup. Sekiranya penyakit diabetis tidak dikawal ia akan membawa kepada komplikasi serius termasuk serangan jantung, kegagalan fungsi jantung, kemusnahan buah pinggang, penyakit mata, kerosakan saraf dan ulser sehingga membawa kepada amputasi kaki.
Kajian menunjukkan seramai 2.6 juta orang dewasa di Malaysia menghidap diabetis akibat amalan gaya hidup yang tidak sihat dan kurang melakukan aktiviti fizikal.
Menurut Pakar Perunding Endokrinologi, dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Norlaila Mustafa, trend rakyat Malaysia tidak mengambil sarapan semakin merisaukan.
“Tabiat mengambil atau meninggalkan sarapan boleh memberi kesan terhadap risiko diabetis.
“Secara asasnya pengambilan sarapan berfungsi untuk menghindarkan kelaparan dan membantu mengelakkan seseorang terlebih makan pada waktu kemudian.
“Ini akan menggalakkan seseorang mengambil makanan pada kadar sepatutnya dan membantu mengurangkan risiko obesiti,” katanya semasa menghadirkan diri dalam taklimat media anjuran Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia (MEMS).
Katanya lagi, pengambilan sarapan juga memberi kesan psikologi yang positif dengan kajian yang menunjukkan wanita yang mengambil sarapan akan mempunyai tahap rintangan insulin dan kolesterol yang lebih rendah.
“Tahap kolesterol yang rendah mengurangkan risiko mendapat penyakit jantung. Berkenaan rintangan insulin, ia merupakan keadaan di mana hormon tidak mampu untuk membawa glukosa ke dalam sel badan secara berkesan.
“Keadaan ini menyebabkan sel badan kelaparan sementara glukosa berkumpul dalam darah dan memusnah segala saluran darah .
“Jika keadaan dibiarkan berterusan lama-kelamaan insulin ini akan menyebabkan diabetis,” ujarnya.
Kata Norlaila lagi, penemuan juga menunjukkan sama ada kanak-kanak mahupun dewasa yang mengambil sarapan mempunyai berat badan dan kandungan lemak yang lebih baik lantas mengurangkan risiko penyakit kardiavaskular.
“ Kajian menunjukkan kanak-kanak yang mengambil bijirin sarapan tinggi serat mempunyai rintangan insulin yang lebih rendah berbanding mereka yang mengambil jenis makanan lain,” jelasnya.
Beliau turut berkongsi beberapa tip pengambilan sarapan yang sihat bagi mengurangkan risiko mendapat penyakit diabetes.
“Seeloknya ambil sarapan dalam tempoh sejam atau selepas berjalan, dan elakkan mengambil sarapan yang lewat.
“Makan makanan yang tinggi protein kerana kandungan serat yang tinggi membantu kita kurang rasa lapar dalam tempoh yang lama.
“Tambah buahan dan sayuran seperti pisang dalam bijirin dan lada benggala dalam omelette. Elakkan mengambil pastri, makan makanan manis seperti donut dan mufin ketika bersarapan. Makanan ini membuatkan kita berasa cepat lapar. Banyakkan juga minum air kosong setiap hari,” jelasnya.

Saturday, October 18, 2014

KEMANGI DI LIGA BOLA SEPAK PONTIAN 2014

Kemangi telah mengambil pendekatan baru menaja pasukan bolasepak Tanjung Bin Power Plant(TBPP FC) untuk kejohanan Liga Bola Sepak Daerah Pontian sessi 2014.Dalam perlawanan petang Sabtu 18 Oktober, buat pertama kalinya jersi berlogo KEMANGI telah diperagakan oleh TBPP FC ketika menentang pasukan dari Api-Api, GEMILANG FC.








Saturday, October 11, 2014

KEBAIKAN MANDI AIS

MANDI ais juga dapat membantu seseorang menjadi lebih kurus.

Umum mengetahui bahawa ais boleh mendatangkan banyak kesan negatif kepada tubuh badan seperti melemahkan penghadaman yang membawa kepada masalah perut buncit, menjadikan tubuh mudah letih dan sebagainya.
Tetapi itu terjadi apabila anda sering mengamalkan minum air sejuk atau mengunyah ais batu. Namun, tahukah anda, jika sering mengamalkan mandi air sejuk atau mandi ais, ia merupakan satu terapi dan mempunyai banyak kebaikan.
Malah, mandi ais juga telah menjadi salah satu teknologi dalam rawatan untuk merawat penyakit, kecantikan dan juga menenangkan minda.
Mandi air sejuk dikatakan dapat menjadi penawar untuk demam dan jangkitan kuman pada badan. Menurut satu kajian, kadar metabolisme yang tinggi hasil daripada mandi air sejuk adalah disebabkan badan kita cuba memanaskan badan secara sendiri dan mengaktifkan sistem imunisasi, sekali gus menghasilkan lebih banyak sel darah putih.
Selain itu, mandi ais juga dapat meningkatkan tenaga kerana jantung akan mengepam darah dengan lebih aktif seterusnya darah dapat mengalir dengan lancar ke seluruh badan.
Bukan itu sahaja, mandi ais juga dapat membantu untuk menjadi lebih kurus apabila ia merupakan cara terbaik untuk membakar lemak. Ini kerana kalori yang dibakar melalui haba kebanyakannya datang daripada lemak.
Apabila badan terdedah dengan suhu sejuk, lemak akan terbentuk. Sel-sel lemak inilah yang akan membakar glukosa dalam badan bagi menghasilkan haba badan. Penghasilan lebih banyak sel lemak akan membantu pembakaran lebih banyak tenaga, seterusnya dapat menjadikan tubuh lebih kurus.
Tekanan perasaan juga dapat dikurangkan dengan mandi air sejuk. Kajian dari Universiti Virginia Commonwealth mendapati air sejuk boleh merangsang ‘titik biru’ pada otak iaitu sumber utama bahan kimia yang membantu mencegah tekanan perasaan yang dikenali sebagai noradrenaline.
Air sejuk juga dapat menjadikan kulit dan rambut lebih sihat apabila ia membantu mengecilkan kutikel kulit dan pori-pori, seterusnya mengurangkan masalah jerawat. Selain itu, air sejuk dapat membantu menyingkirkan kotoran dan toksin dalam kulit menjadikan kulit lebih bersih dan awet muda.
Cara yang paling cepat untuk memulihkan otot yang tercedera adalah dengan mandi ais, selain dapat mengurangkan kesakitan sebanyak 20 peratus. Malah, untuk kaum lelaki pula, mandi ais dikatakan dapat meningkatkan kadar hormon testosterone yang akan memberikan kekuatan dan tenaga tambahan.

PERIA BERSIHKAN DARAH


Sebut sahaja peria , pastinya ramai yang membayangkan kepahitannya. Bak kata orang tua yang pahit itulah ubat. Peria atau nama saintifiknya Momordica charantia diakui sejak zaman dahulu lagi akan khasiatnya dalam perubatan tradisional berasaskan herba.
Terdapat dua jenis peria iaitu peria biasa yang berbentuk panjang dan juga peria ‘katak’ yang bersaiz lebih kecil.
Kebiasaannya, pokok peria ini mudah didapati di negara-negara beriklim tropika yang panas dan khatulistiwa seperti di negara kita, Indonesia, Sri Lanka, India dan Filipina.
Sayur peria amat diminati oleh masyarakat Cina. Walaupun pahit tetapi mempunyai banyak khasiat.
Bagi mengurangkan rasa pahit, peria direndam dalam air garam terlebih dahulu sebelum dimasak.
Habitat pokoknya memanjat menggunakan sulur paut manakala daunnya bersaiz sederhana mengandungi lima cuping dan berbau langu.
Bunganya berwarna kuning sementara buahnya pula ada yang berbentuk panjang dan bujur, bergantung kepada benih dan jenisnya, namun yang pasti peria mempunyai kulit yang berkedut-kedut.
Berdasarkan kajian, setiap 100 gram peria mengandungi 0.8 gram protein untuk membina tisu badan, 2.9 gram karbohidrat untuk tenaga, 0.9 gram fiber untuk penghadaman dan 56 miligram kalsium untuk menguatkan gigi dan tulang.
Lain-lain kandungan peria ialah lemak dan mineral. Peria juga boleh mencuci darah kotor yang menyebabkan bisul, kudis buta dan gatal-gatal. Caranya ialah dengan meminum segelas perahan buahnya yang dicampur dengan perahan limau nipis. Lakukan amalan ini selama tiga hingga empat bulan.
Ini boleh membantu mereka yang mengalami masalah gout, lelah, darah tinggi dan kencing manis. Bagi mereka yang mengalami masalah ketagihan alkohol, anda boleh cuba meminum perahan daunnya.
Perahan yang sama juga boleh digunakan untuk mengubati buasir. Caranya ialah mencampurkan perahan air daun peria dengan segelas susu dan amalkan selama sebulan; manakala akarnya dilumatkan dan airnya disapukan pada bahagian buasir.
Walaupun pahit, peria mengandungi tonik yang bertindak sebagai julap dan membuka selera makan. Selain itu, ia juga boleh dijadikan ulam oleh wanita yang baru bersalin untuk menambah susu badan.

GERD

ADAKAH anda sering merasa pedih hulu hati atau tidak selesa di bahagian dada hingga menular ke kerongkong?
Atau pernahkah anda mengalami kembung perut atau sendawa yang kerap walaupun belum menikmati makanan.
Sekiranya anda mempunyai gejala-gejala ini, anda mungkin mengalami simptom penyakit refluks gastroesofageal (GERD).
GERD adalah keadaan yang terjadi apabila refluks atau jeluak kandungan gastrik menyebabkan simptom atau komplikasi yang mendatangkan masalah.
GERD boleh menyerang sesiapa saja termasuk orang muda di peringkat paling produktif dalam hidup mereka. Penyakit ini boleh mendatangkan kesan kepada mutu kehidupan seseorang serta prestasi kerja mereka.

Di Malaysia, dianggarkan 50 peratus daripada jumlah penduduk dewasa mengidap sekurang-kurangnya satu masalah gastrousus. Kesilapan atau kegagalan mendiagnosis GERD boleh menyebabkan rawatan yang salah dan tidak berkesan.
GERD merupakan gangguan penyakit pencernaan kronik yang berlaku apabila asid di dalam perut atau kadangkala, kandungan perut, mengalir semula ke dalam saluran esofagus (laluan di antara mulut dan perut).
Keadaan ini secara lazimnya dikenal pasti melalui rasa pedih ulu hati yang kerap dan berterusan dan regurgitasi asid. Pendedahan esofagus secara berterusan kepada kandungan perut akan mengakibatkan luka pada lapisan dinding esofagus. Keadaan ini dikenali sebagai radang esofagus yang erosif.
Pada 2004, kadar kelaziman GERD di Malaysia ialah 38.8 peratus manakala kadar kelaziman radang esofagus yang erosif telah meningkat daripada dua peratus kepada 8.4 peratus dalam tempoh 10 tahun.
Ini selaras dengan kadar kelaziman di beberapa negara Asia yang turut menunjukkan trend penyakit GERD yang semakin meningkat. Pun begitu, penyakit ini masih kurang didiagnos dan kurang dirawat oleh sebab tahap keseriusan simptom-simptom penyakit ini biasanya tidak dikenal pasti.

Bergantung kepada tahap keseriusan GERD, pakar-pakar kesihatan boleh memperkenalkan PPI sebagai sejenis rawatan jangka panjang apabila terapi asas seperti ubat-ubatan di kaunter (OTC) tidak memadai untuk merawat GERD. PPI bertindak dengan mengurangkan rembesan asid selain mematikan pam asid di dalam perut.
Menurut Ketua Jabatan Gastroenterologi dan Hepatologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr. Goh Khean Lee, Kajian GERD di Asia Pasifik (GAPS) menunjukkan 94 peratus daripada bilangan pesakit masih mengalami simptom GERD dan 62 peratus daripada jumlah tersebut mengalaminya pada waktu malam.
‘’Ini berlaku walaupun mereka telah menerima PPI yang diangggap sebagai rawatan utama GERD. Terdapat juga 66 peratus daripada pesakit yang mengalami ketidak selesaan pada waktu malam disebabkan simptom pedih ulu hati dan ini mengakibatkan gangguan semasa tidur.
‘’Justeru, 56 peratus daripada pesakit terpaksa menggunakan pelbagai jenis rawatan tambahan untuk mengawal keadaan mereka," kata Dr. Khean Lee yang juga merupakan penulis utama kajian ini yang telah diterima untuk penerbitan di dalam Jurnal Gastroenterogi dan Hepatologi.
Walaupun menjalani rawatan PPI, GAPS telah mendedahkan bahawa hampir separuh daripada pesakit yang dikaji (48 peratus) merasakan simptom GERD telah mengganggu kehidupan mereka.

Hanya 24 peratus daripada pesakit dapat mengawal kesakitan dan ketidakselesaan yang dialami. Kajian itu juga menunjukkan bahawa hampir 60 peratus daripada pesakit mahukan kawalan simptom penyakit sehingga 24 jam untuk memberi kelegaan pada waktu malam dan 44 peratus pesakit memilih untuk mengambil PPI pada bila-bila masa.
"Ramai pesakit GERD di Asia melaporkan tekanan dan produktiviti kerja yang merosot akibat simptom-simptom mereka, dan ini menunjukkan impak GERD terhadap kualiti kehidupan pesakit. Oleh itu, satu ejen yang memberikan tindakan rawatan untuk jangka masa yang lebih panjang dengan risiko minimum untuk simptom kembali, terutamanya sekali pada waktu malam, harus disediakan bagi menangani batasan rawatan yang sedia ada,’’ jelas beliau pada majlis pelancaran rawatan oral sekali sehari untuk mengawal penyakit radang esofagus yang erosif iaitu Dexilant (dexlansoprazole) oleh Takeda Malaysia Sdn. Bhd. baru-baru ini.
Dalam pada itu, Profesor Emeritus Perubatan, Jabatan Gastroenterologi dan Hepatologi, Pusat Sains Kesihatan Universiti Virginia, Profesor David A. Peura memberitahu, sebagai satu jenis PPI dengan formulasi DDR, setiap kapsul Dexilant mengandungi dua jenis granul bersalut enterik.
Granul-granul ini mempunyai profil pelarutan berbeza yang bergantung kepada nilai pH, yang direka untuk melepaskan ubat di lokasi-lokasi yang berbeza di dalam saluran gastrousus.

Kajian klinikal telah menunjukkan Dexilant 30 miligram (mg) berkesan ke atas 75 peratus pesakit radang esofagus yang erosif yang kekal sembuh selepas lebih enam bulan manakala Dexilant 60mg telah terbukti berkesan dalam menyembuhkan semua gred penyakit radang esofagus yang erosif sehingga lapan minggu. Di samping itu, pesakit yang menggunakan Dexilant 30mg kekal bebas daripada pedih ulu hati untuk 96 peratus daripada tempoh masa 24 jam.
Dexilant 30mg juga menunjukkan keberkesanan yang ketara berbanding dengan plasebo dalam mengawal pedih ulu hati untuk lebih daripada 24 jam bagi pesakit yang menghidap penyakit refluks gastroesofagus tidak erosif (non-erosive gastroesophageal reflux disease; NERD) kerana lebih ramai pesakit ini mengalami kelegaan sepenuhnya daripada pedih ulu hati selama 24 jam untuk tempoh empat minggu.