Beliau berkata pada masa kini terminal feri berkenaan hanya mengendalikan feri penumpang dengan dua perjalanan pada hari biasa manakala empat perjalanan pada hujung minggu dan cuti umum.Katanya, perjalanan antara Tanjung Belungkor dan Terminal Feri Changi mengambil masa kira-kira setengah jam dan sejumlah 148,925 penumpang direkodkan menggunakan terminal feri berkenaan sejak 2010 sehingga kini.Sementara itu, Kong yang terdahulu melawat pembinaan Depoh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Kempas Baru, di sini berkata depoh berkenaan yang dibina dengan kos hampir RM42 juta dijangka siap Julai tahun depan.Beliau berkata pembinaan depoh seluas 40 hektar itu amat diperlukan bagi menggantikan sebahagian kemudahan keretapi yang terdapat di Stesen Keretapi Tanjong Pagar, Singapura, yang telah ditutup pada 1 Julai tahun lepas."Terletak berhampiran Stesen Kempas Baru, depoh itu akan dilengkapi dengan kemudahan pejabat pentadbiran, bengkel koc, bengkel lokomotif, enam landasan sisian bagi menyelenggara lokomotif dan koc, sistem semboyan serta beberapa infrastruktur seperti pondok pengawal dan kawasan letak kenderaan," katanya. - Bernama