BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES
Showing posts with label HSE. Show all posts
Showing posts with label HSE. Show all posts

Thursday, April 7, 2016

BEBAN DIABETES

KITA perlu sedar, cabaran untuk mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020 bukanlah suatu perkara yang mudah.
Kesihatan juga diukur sebagai satu petunjuk tahap kemajuan sesebuah negara serta kesejahteraan rakyatnya.
Dunia sedang berhadapan masalah penyakit tidak berjangkit akibat gaya hidup tidak sihat yang diamalkan oleh masyarakat sekarang.
Diabetes adalah merupakan salah satu daripada ancaman penyakit tidak berjangkit yang dinyatakan di atas.
Diabetes disyaki apabila paras glukosa dalam darah seseorang melebihi daripada paras normal dan diagnosa akan disahkan melalui ujian Oral Glucose Tolerance Test (OGTT).
Umum mengetahui bahawa diabetes mengakibatkan komplikasi seperti kerosakan pada buah pinggang, jantung, mata dan saraf. Selain itu, pesakit diabetes juga berisiko tinggi mendapat penyakit hipertensi dan serangan jantung.
Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan sejak tahun 1986 hingga kini, serta Global Non-Communicable Disease Report 2014 menunjukkan rakyat negara kita juga tidak terkecuali daripada penularan penyakit ini.
Jumlah penghidap diabetes di Malaysia mahupun seluruh dunia menunjukkan peningkatan saban tahun dan lebih ketara dilaporkan berlaku di negara-negara berpendapatan rendah serta sederhana.

Pada 2006, 11.6 peratus penduduk negara ini menghidap diabetes. Terdapat peningkatan sebanyak 3.6 peratus pada 2011 menjadikan peratusan pesakit diabetes 15.2 peratus dan seterusnya meningkat kepada 17.5 peratus pada 2015.
Peratusan ini sangat tinggi berbanding dengan beberapa negara lain di Asia Timur. Sebagai contoh, walaupun China mempunyai 96 juta pesakit tetapi meliputi hanya 9.2 peratus daripada penduduknya.Begitu juga India, mempunyai 66 juta pesakit, iaitu 8.6 peratus daripada jumlah penduduknya.
Data di atas menjadikan seramai 3.5 juta penduduk dewasa di Malaysia menghidap diabetes dan daripada jumlah tersebut, separuh (9.2 peratus) tidak mengetahui bahawa mereka menghidapi penyakit tersebut.
Ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia bukan sahaja merupakan populasi yang tidak sihat, tetapi yang lebih membimbangkan adalah ramai dalam kalangan masyarakat kita tidak mengetahui bahawa mereka adalah penghidap diabetes.
Impak penyakit diabetes terhadap negara adalah besar. Negara dibebankan dengan bukan sahaja kos untuk sistem penjagaan kesihatan, tetapi kerugian ekonomi akibat kehilangan produktiviti dan kesejahteraan hidup pesakit.
Kekerapan pekerja bercuti sakit, kurang berupaya untuk menghasilkan kerja yang optimum dan bekerja dalam keadaan yang lemah serta kurang bersemangat akan meninggalkan kesan kepada produktiviti dan pulangan kepada ekonomi negara.
Ini belum mengambil kira impak besar terhadap ekonomi keluarga akibat kematian pra matang disebabkan oleh komplikasi serangan jantung atau strok.
Bahagian Perkhidmatan Farmaseutikal, Kementerian Kesihatan dalam laporan bertajuk The Cost Of Diabetes Care for Ambulatory Patients in Malaysian Ministry Of Health Facilities 2011-2012 menyatakan, anggaran purata kos langsung rawatan bagi setiap pesakit Diabetes Mellitus ambulatori setahun ialah RM2,684.
Ini bermakna jika separuh daripada 3.5 juta penghidap diabetes mendapat rawatan, kos yang dibelanjakan hanya untuk rawatan akan mencecah sehingga RM4 billion.
Secara purata, seorang pesakit diabetes yang mengalami kegagalan buah pinggang perlu membelanjakan tambahan RM1,400 hingga RM3,200 sebulan untuk menjalani dialisis.
Selaras dengan Global NCD Target 2025, Kementerian Kesihatan telah menetapkan sasaran untuk mengekalkan peratus diabetes di paras kurang daripada 15 peratus menjelang tahun 2025.

Perubahan tingkah laku masyarakat kepada amalan dan gaya hidup yang lebih sihat memainkan peranan utama untuk mengawal dan mencegah diabetes.
Gaya hidup sihat yang dimaksudkan adalah melakukan aktiviti fizikal secara tetap mengikut saranan, mengekalkan berat badan unggul dan mengamalkan diet yang seimbang.
Individu yang berumur 30 tahun dan ke atas disarankan menjalani ujian saringan penyakit tidak berjangkit, termasuk diabetes sekurang-kurangnya sekali setahun dan lebih kerap jika mempunyai faktor risiko lain.
Saringan berkala ini wajar kerana diabetes tidak menunjukkan tanda atau gejala di peringkat awal. Malangnya, budaya menjalani saringan kesihatan bukanlah budaya yang popular di Malaysia.
Adalah amat penting bagi masyarakat Malaysia untuk mengubah minda daripada sikap tidak peduli dan ‘lebih baik tidak tahu’, kerana apabila diabetes telah terjadi, tiada yang dapat menyekat berlakunya komplikasi seperti kegagalan buah pinggang, strok, serangan jantung dan pemotongan kaki kecuali dengan rawatan awal dan berterusan.
Hari Kesihatan Sedunia disambut pada 7 April setiap tahun sempena ulang tahun kewujudan Pertubuhan Kesihatan Sedunia sejak tahun 1948.
Diabetes telah menjadi tema sambutan tahun ini dengan slogan Tumpaskan Diabetes: Tingkatkan Pencegahan, Kukuhkan Rawatan dan Mantapkan Saringan.
Majlis pelancaran peringkat kebangsaan akan diadakan pada 7 April 2016 di Dewan Serbaguna, Taman Seri Keramat AU2, Taman Keramat, Kuala Lumpur yang akan dirasmikan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam.
Pelbagai aktiviti akan dijalankan pada hari tersebut seperti aktiviti senaman, seminar diabetes, pameran dan juga saringan kesihatan. Buku Clinical Practice Guideline for Management of Type 2 Diabetes 2015 yang akan diguna pakai sebagai dokumen rujukan rasmi dalam merawat pesakit diabetes akan turut dilancarkan pada hari itu.

Diabetes menular dalam kalangan remaja
DIABETES merupakan penyakit tidak berjangkit yang turut mengancam nyawa golongan muda berusia 18 tahun dan ke atas.
Pakar Perunding Endokrin, Jabatan Perubatan Hospital Putrajaya, Dr. Zanariah Husin berkata, statistik yang dikeluarkan melalui kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 menunjukkan 17.5 peratus rakyat di negara ini yang berusia 18 tahun dan ke atas menghidap penyakit diabetes.
Katanya, angka tersebut amat membimbangkan apatah lagi separuh daripada statistik tersebut menunjukkan bahawa penghidapnya tidak mengetahui mereka menghidap penyakit tersebut.
“Diabetes jenis 2 pada asalnya merupakan penyakit ‘eksklusif’ orang dewasa khususnya mereka yang berusia 40 tahun ke atas.
“Bagaimanapun setelah semakin ramai kanak-kanak yang mengalami berat badan berlebihan, ditambah dengan tidak aktif bergerak, diagnosis diabetes jenis 2 dalam kalangan golongan ini semakin meningkat.
“Sebahagian peningkatannya juga dipercayai daripada pemakanan, makanan diproses tinggi lemak dan berserat rendah dan tidak ketinggalan amalan gaya hidup yang tidak sihat.
“Remaja yang menghidap penyakit ini akan berdepan dengan keadaan tersebut seumur hidup mereka, bagaimanapun sekiranya dapat dikesan pada peringkat awal ia masih boleh dirawati dan ada sesetengah kes pesakit akan bebas sepenuhnya daripada penyakit ini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Mengenai cara rawatannya, Dr. Zanariah membahagikan kepada dua cara, iaitu rawatan bukan ubat dan rawatan dengan ubat-ubatan.
“Untuk rawatan bukan ubat, pesakit perlulah memastikan pemakanan harian yang diambil adalah sihat dan memastikan diet harian teratur.
“Selain itu pesakit juga perlu melakukan aktiviti fizikal seperti senaman dan tidak ketinggalan pemantauan tahap gula darah secara teratur.
“Bagi rawatan secara pengambilan ubat pula, pesakit boleh mengambil ubat oral atau pun melalui suntikan tetapi berdasarkan pada tahap penyakit tersebut,” kataya.
Ternyata apa jua jenis penyakit yang dihidapi, sekiranya dapat dikesan pada peringkat awal bukan sahaja dapat dirawat malah tinggi peluangnya untuk sembuh.
Oleh yang demikian, jalani ujian saringan pada kadar segera dan kepada golongan warga emas mereka digalakkan melakukannya setahun sekali untuk mengetahui tahap kesihatan badan masing-masing.

Monday, April 4, 2016

GIGI PUTIH SENYUM MENARIK

Semua orang mahukan gigi yang putih berseri. Ini dikaitkan dengan keyakinan diri. Bagaimanapun dengan pemakanan, penambahan usia, saraf gigi mati, pereputan gigi atau pengambilan beberapa ubat tertentu boleh menyebabkan gigi berubah warna, kusam atau kehitaman.
Mereka yang mengalami masalah ini pasti malu untuk berdepan dengan masyarakat malah ada yamg sangggup menghabiskan sejumlah wang bagi mendapatkan gigi yang cantik sekaligus mengembalikan keyakinan diri masing-masing.
Menurut Ketua Pakar Runding Prosthodontist, Pusat Pergigian Pusat Kesihatan Tawakal Kuala Lumpur, Dr. Mohd Muzafar Hamirudin, perubahan warna gigi boleh dibahagikan kepada dua iaitu faktor luaran dan faktor dalaman. Faktor luaran disebabkan oleh merokok, minum minuman berwarna seperti kopi, teh, wain merah atau minum berkarbornat berwarna gelap. Selain itu permukaan dentin yang terdedah mengakibat gigi haus menyebabkan perubahan pada warna gigi,
“Faktor dalaman pula biasanya disebabkan oleh saraf di bahagian gigi tidak berfungsi atau gigi telah mati biasanya perubahan mengambil masa berbulan bulan hingga bertahun. Pengaruh usia, penyakit genetik, rawatan kanal akar gigi boleh mengubah warna gigi, pereputan gigi dan ubatan seperti tetracyline menyebabkan perubahan warna pada gigi,” katanya.
Pelbagai cara dilakukan untuk menjadikan warna gigi menjadi putih. Antaranya ialah penggunaan ubat gigi, penggilapan, rawatan korona, veneer oleh pegawai pergigian dan yang paling popular adalah bleaching yang juga dilakukan oleh pegawai pergigian.
Paling mudah adalah menggunakan ubat gigi pemutih boleh menghilangkan kotoran pada permukaan jika sering digunakan. Setiap kali memberus gigi dengan ubat gigi pemutihan kotoran yang disebabkan oleh makanan, minuman, tembakan atau tompokan plak dapat dilambatkan.

Dr.Mohd Muzafar berkata, bleaching atau pemutihan gigi adalah rawatan yang biasa dilakukan dan diakui kejayaannya. Sebanyak 90 peratus kejayaan telah dilaporkan untuk pemutihan gigi.
Banyak pilihan pemutihan gigi ditawarkan kepada pesakit di klinik gigi. Ini termasuklah jel dan lampu pemutihan. Jel itu mengandungi tahap peroksida yang tinggi yang menembusi gigi untuk mengurangkan kekotoran.
“Pesakit juga melakukan rawatan di rumah seperti yang ditetapkan oleh pakar pergigian.
“Pesakit boleh memutihkan gigi di rumah dengan produk yang ditetapkan oleh doktor,” katanya.
Doktor gigi akan membuat acuan dari gigi pesakit dan kemudian memberi pesakit bekas plastik yang dibuat khas untuk seseorang pesakit. Di rumah, pesakit akan mengisi bekas yang dibuat khas itu dengan jel pemutih.
“Jel ini akan kekal pada gigi pesakit sekurang-kurangnya satu jam. Jel pemutihan diletakkan pada gigi hadapan. Jel itu dibiarkan selama 15 hingga 20 minit sebelum dibersihkan.
“Letakkan jel pemutih di dalam bekas yang dibuat khas itu. Pakai bekas sekurang-kurangnya sejam,” katanya.
Keberkesanan pemutihan gigi adalah berbeza pada bergantung kepada kepekatan bahan yang digunakan dan berbeza setiap satu gigi.
Ada gigi cepat putih dan ada gigi yang mengambil masa lebih lama untuk lebih cerah. Ada kalanya proses perlu diulang beberapa kali.

Tuesday, March 29, 2016

PETUA MATA RABUN ORANG KAMPUNG

Setiap penyakit pasti ada penawarnya. Jadi tak perlu mengeluh saat nikmat dari sudut fizikal ditarik atau mula 'hilang'. Beberapa petua ini mungkin akan jadi salah satu penawar bagi anda yang ada masalah rabun mata. Jom, semak...


1. Wap nasi
Apabila memasak nasi, halakan mata ke arah wap yang keluar dari periuk nasi. Amalkan setiap kali masak nasi.

2. Sawi
Rebus secekak sawi dengan 2 gelas air sehingga mendidih dan tutup api. Minum setelah sejuk pada suhu bilik. Amalkan 3 kali seminggu.

3. Lobak merah
Boleh makan mentah-mentah atau minum air lobak merah. Amalkan selalu InsyaAllah semakin baik nanti. Lobak merah kaya dengan Betacaotene (pelopor kepada Vitamin A, nutrien yang diperlukan untuk penglihatan), Lycopene (nutrien perlindungan sinaran UV pada mata) dan Lutein (nutrien yang melindungi kerosakan pada radikal mata). Jika anda mengalami masalah penglihatan, disarankan makan lebih banyak lobak merah.

4. Teh
Mencegah katarak mata. Teh membantu mengawal pertumbuhan darah baru di belakang mata. Pakar menjelaskan jika terlalu banyak saluran darah di sebalik retina, ini akan menyebabkan kebocoran darah dan cecair yang menjurus kepada bintik buta.

5. Bawang Putih & Bawang Merah
Bawang putih dan merah sangat penting dalam pengeluaran Glutation, sejenis sulfur yang bertindak sebagai anti oksidan untuk kanta mata.

6. Kacang Walnut
Kacang Walnut mengandungi sumber Omega- 3, Vitamin E dan antioksidan yang tinggi. Nutrien ini amat penting dalam memerangi radang mata.

7. Tomato
Tomato juga mengandungi dua nutrien penting untuk mata iaitu lycopene dan lutein. Tomato juga berkesan mencegah kanser mata.

8. Kacang Soya
Kacang soya mengandungi antioksidan yang kuat yang dipanggil isoflavon. Antioksidan ini melindungi mata daripada sindrom mata kering.

9. Telur
Sebatian sulfur, protein dan cysteine dalam telur membantu melindungi mata daripada pertumbuhan katarak. Makan telur sehari sekali sudah memadai bagi penjagaan mata.

10. Brokoli
Brokoli mengaktifkan enzim anti – radang dalam badan untuk menggalakkan detoksifikasi termasuk mencegah keradangan di bahagian belakang mata.

Friday, February 19, 2016

L-CARNITINE MIX BERRIES BLAST


INGIN berkongsi ilmu serta membantu mana-mana individu yang mempunyai berat badan berlebihan menjadi ‘niat’ utama pasangan suami isteri ini apabila memilih untuk bergelar usahawan.
Mempertaruhkan jus pembakar lemak, L-Carnitine Mix Berries Blast sebagai produk pertama keluaran syarikat mereka, Fit Warriors Supplement, menurut Pengurusnya, Nik Izani Fazly Nik Ahmad, 28, jus tersebut boleh terus diminum tanpa perlu membancuh terlebih dahulu.
Jus yang dikategorikan di bawah makanan tambahan itu, dihasilkan daripada bahan-bahan semula jadi dan tiada campuran bahan kimia.
Menjadikan diri sendiri sebagai ‘bahan uji kaji’, Nik Izani menjelaskan pengambilan jus tersebut dapat membantu orang ramai menurunkan berat badan serta meningkatkan kadar metabolisme dalam badan.
“Kami melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama enam bulan sebelum mengambil keputusan untuk mengeluarkan produk pertama pada penghujung tahun lalu.
“Jus ini merupakan jus pembakar lemak dan keputusannya dapat dilihat seawal tempoh seminggu.

“Yang pasti, tiada langsung penggunaan bahan-bahan kimia selain bahan-bahan semula jadi. Pengambilan jus ini akan lebih berkesan sekiranya disusuli dengan amalan senaman harian,” katanya yang bekas pengusaha pusat kecergasan di Kuantan, Pahang.
Bercerita lebih lanjut mengenai produk tersebut, beritahu Nik Izani, ia boleh diambil oleh mereka yang berumur 18 tahun dan ke atas.
Sesuai untuk lelaki dan wanita, katanya, pengambilan jus tersebut juga tidak mempunyai pantang larang yang perlu diamalkan dan tiada kesan sampingan.
Cukup tinggi dengan kandungan vitamin C, Nik Izani berkata, pengambilan jus tersebut juga dapat membantu menjadikan kulit lebih cantik.

Selain itu, penggunaan L- Carnitine dalam produk tersebut juga dilihat satu formula baharu dalam usaha untuk membuang lemak-lemak degil yang terkandung di dalam badan.
Memberitahu dengan lebih lanjut mengenai pasaran produk tersebut, kata Nik Izani, setakat ini pihaknya telah memasarkan ke Kuantan, Pahang, Kedah, Terengganu, Johor, dan Kuala Lumpur, selain Sabah dan Sarawak yang dibeli secara dalam talian.
Sehingga hari ini sebaik sahaja jus tersebut dipasarkan, pihaknya telah mengeluarkan 11,000 biji botol dengan modal awal sebanyak RM200,000.
Turut bekerjasama dengan pelakon popular Kamal Adli, Nik Izani menjelaskan jus L-Carnitine Mix Berries Blast ini juga kini dalam proses untuk mendapatkan kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Walaupun perniagaan yang diusahakan bersama isteri, Fatimah Mohamed Hussain serta Kamal Adli terlalu baharu, mereka sudah mempunyai perancangan masa hadapan dengan memperluaskan perniagaan sedia ada.
Berkeinginan untuk memberi lebih inovasi kepada produk sedia ada, Nik Izani berkata, dia ingin menambah vitamin C dan beri dalam produk akan datang.
“Seperti yang diberitahu sebelum ini, jus ini hanya mengandungi bahan-bahan semula jadi seperti buah delima, teh hijau dan tujuh jenis buah beri yang cukup berkhasiat.
“Tanpa penggunaan serta campuran bahan-bahan kimia yang lain, l-Carnitine merupakan agen yang mampu membakar lemak di dalam badan seterusnya menukarkan menjadi tenaga.

“Insya-Allah apa yang cuba kami tampilkan adalah satu produk di mana selain dapat membantu mereka yang mempunyai berat badan yang berlebihan kami juga ingin membantu orang di luar sana untuk lebih bertenaga,” katanya lagi.
Mensasarkan jualan sehingga 11,000 biji botol dalam tempoh tiga bulan akan datang atau 10,000 biji botol dalam tempoh sebulan, Nik Izani turut mengimpikan jus ini akan dijual di semua kedai-kedai jamu dan juga kedai-kedai suplimen.
Pada masa yang sama, dia turut berharap agar produknya dapat dijual di semua negeri melalui agen-agen yang dilantik.
Kepada sesiapa yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai jus L-Carnitine Mix Berries Blast ini atau ingin menjadi agen bolehlah layari laman sosial Facebook l carnitine.mix berries, Instagram @FWS_HQ atau hubungi talian 017-9027002.

KEBAIKAN L-CARNITINE
  •  Formula terbaharu untuk membuang lemak degil.
  •  Sangat berkesan untuk membuang lemak yang telah lama terkumpul dalam badan.
  •  Meningkatkan metabolisme badan untuk mempercepatkan proses pembakaran lemak.
  •  Menukar lemak menjadi tenaga.
  •  Agen pemangkin terbaik untuk membakar lemak.
  •  Membuang toksin di dalam badan.
  •  Diperkaya dengan vitamin C.
  •  Tidak mengandungi kafein.
  •  Tiada pewarna dan perisa tiruan.
  •  Tiada kesan sampingan.
  •  Mempunyai rasa yang sedap.

UNTUK KESAN 
LEBIH OPTIMUM
  •  Minum dua sudu sebelum sarapan dan dua sudu sebelum makan malam.
  •  Untuk mereka yang sering ke gim digalakkan mengambil jus L-Carnitine Mix Berries Blast ini setengah jam sebelum menjalani sesi latihan.

Wednesday, February 17, 2016

KANSER KOLOREKTAL PEMBUNUH SENYAP

SEBAHAGIAN besar daripada kita mungkin mengenali seseorang yang meninggal dunia terlalu awal dan secara mengejut.
Mungkin ada yang tidak mempunyai pilihan, sementara yang lain mungkin mempunyai peluang untuk melakukan sesuatu bagi mengelakkan mati terlalu muda.
“Bagaimana jika”, adalah persoalan yang sering menghantui fikiran seseorang yang kehilangan orang tersayang akibat tidak mengambil langkah awal seperti pemeriksaan awal sebelum penyakit yang terkenal dengan gelaran “pembunuh senyap” menyerang.
Kanser kolorektal adalah salah satu penyakit yang digelar pembunuh secara senyap. Ramai yang tidak menyedari bahayanya sehingga simptom muncul.
Kebanyakan pesakit kanser kolorektal terutama bahagian usus besar tidak mengalami sebarang simptom pada peringkat awal.
Simptomnya yang tidak nyata dan sering disalah tafsir sebagai masalah lain membuatkan ia sering diabaikan begitu sahaja dan salah diagnos mungkin berlaku akibat tidak bertemu dengan pakar.

Apabila simptom muncul dan berterusan, penyakit tersebut sudah mara ke tahap rawatan menjadi lebih susah.
Walaupun bunyinya menakutkan, kanser kolorektal boleh dirawat jika ia ditemui di peringkat awal dan kolonoskopi merupakan alat yang paling efektif bagi mencegah kelainan di dalam usus sebelum berubah menjadi sel kanser.
Kanser kolorektal yang terdiri daripada kolon dan rektum di dalam usus besar berlaku apabila tumor terbentuk di lapisan usus besar.
Terang Dr. Shanthi, ia boleh berlaku kepada lelaki dan perempuan dan risikonya lebih tinggi bagi mereka berusia 40 tahun ke atas.
“Namun golongan muda tidak terkecuali daripada menghidap kanser usus akibat persekitaran dan gabungan faktor-faktor lain. Pesakit paling muda yang pernah saya rawati berusia 17 tahun.

“Di Malaysia, pesakit berbangsa Cina merupakan golongan yang tertinggi menghidap kanser kolorektal, dipercayai ada kaitan dengan genetik dan pemakanan mereka.
“Seperti kanser lain, apa yang paling merisaukan adalah apabila ia berada pada tahap yang tinggi dan merebak ke organ penting lain seperti hati dan paru-paru yang boleh membawa maut,” ujarnya.

Rawatan

Menemui simptom pada peringkat awal kanser kolorektal iaitu dalam bentuk polip merupakan kunci utama untuk melawannya. Tegas Dr. Shanthi, kolonoskopi merupakan cara terbaik kerana ia adalah langkah pengesanan awal ketika masih di peringkat polip.
Cara lain bagi mendiagnos kanser kolorektal ialah endoskopi dengan mengambil sel di dalam usus untuk dihantar ke makmal selain imbasan x-ray dan CT colonography turut boleh dilakukan bagi mendiagnosis kanser tersebut.
Jika disahkan menghidap kanser kolorektal, jenis rawatan pula bergantung kepada tahap kanser tersebut. Tiga rawatan utama ialah pembedahan, kemoterapi dan radiasi.
“Jika ia pada tahap masih boleh dibedah, pembedahan di bahagian usus yang mempunyai sel kanser dan lebihan sekelilingnya akan dibuang dan bahagian yang terputus akan disambung.
“Namun, jika ia berlaku di bahagian yang terlalu bawah iaitu di rektum, kemungkinan pesakit perlu memakai alat bantuan membuang bahan buangan melalui laluan khas keluar dari bahagian abdomen iaitu stoma selepas pembedahan.
“Rawatan lain termasuk kemoterapi, radioterapi dan imunoterapi, terapi yang mensasarkan terus ke bahagiam mutasi,” terangnya.
Ketika pembedahan tersebut, sempadan tisu normal usus dan nodus limfa yang berdekatan turut akan dibuang bagi memastikan kanser tidak merebak.
Peratusan pesakit yang menjalani rawatan untuk menjalani kehidupan seperti biasa adalah tinggi jika mendapat rawatan awal.

Usus besar 
dan rektum

Kanser usus besar merupakan kanser pada bahagian usus besar iaitu bahagian bawah sistem penghadaman manakala kanser rektum pula merupakan kanser beberapa inci terakhir usus besar. Kedua-duanya sering digelar kanser kolorektal.
Kebanyakan kes kanser kolorektal bermula dari ketumbuhan kelompok sel bukan kanser (benign) yang digelar polip adenomatous dan dari semasa ke semasa polip ini boleh bertukar menjadi kanser.
Dalam kebanyakan kes, punca kanser kolorektal tidak dapat dikenal pasti dan berlaku apabila sel sihat di dalam usus mengalami perubahan.
Kebanyakan permulaan kanser kolorektal tidak mempunyai simptom yang nyata dan biasanya simptom bergantung kepada bahagian mana kanser itu berada.
Jika di bahagian kanan usus besar, simptomnya kurang jelas seperti najis selalunya mengandungi banyak air dan kehilangan darah lalu menyebabkan pesakit mudah penat dan pucat.
Manakala jika pada bahagian kiri pula, pesakit selalunya mengalami simptom perubahan pembuangan air besar, sakit ketika membuang air besar, banyak lendir pada tinja, berat badan menurun dan selera makan berkurangan.
Namun simptom-simptomnya kurang jelas dan berbeza-beza. Maka mereka yang berisiko dan melihat sebarang perubahan perlu segera bertemu dengan pakar.

Friday, January 15, 2016

DIET BAIK, DIET JAHAT ?

efficient-weight-loss 

KITA perlu menyasarkan dalam lima hingga 10 peratus penurunan berat badan bergantung kepada berat badan sedia ada. Ujar Nurul Aziah, secara amnya, mungkin dalam tempoh tiga bulan pertama. penurunan berat badan yang selamat adalah dua hingga empat kilogram dalam tempoh sebulan.
Tegas beliau, dalam mengurangkan berat badan, sasaran perlulah realistik. Sasaran yang terlalu drastik akan membuatkan kita sukar untuk patuh kerana apa yang paling penting ialah menjaga momentum yang berterusan.
“Ramai yang putus asa kerana cara yang tidak betul dan ia boleh menyebabkan keadaan yang dipanggil rebound membuatkan kita makan dalam jumlah yang lebih tinggi daripada sebelum ini.

“Lagipun, tidak digalakkan turun terlampau cepat kerana selalunya apabila turun berat badan secara drastik, bukan lemak yang hilang sebaliknya adalah air kerana lemak mengambil masa yang lama untuk hilang.
“Keadaan ini akan menyebabkan penyahidratan lalu mengundang pelbagai penyakit berkaitan. Air merupakan antara asas yang penting dalam sistem badan seseorang dan pastikan pengambilan air putih sebanyak 1.5 hingga 2.5 liter setiap hari.
“Untuk melihat sama ada berlaku penyahidratan atau tidak, perhatikan air kencing, jika ia jernih maka menunjukkan jumlah air mencukupi dan jika pekat ia adalah sebaliknya. Tanda lain termasuk dahaga, sembelit, sakit kepala dan penat,” terangnya.

Tambah Nurul Aziah, antara prinsip penting lain, jangan lupa untuk makan setiap kali waktu makan kerana ia akan membuatkan kita semakin lapar. Tegasnya, sarapan pagi merupakan hidangan paling penting untuk mereka yang mahu menurunkan berat badan dan saiz hidangan perlu semakin kecil apabila petang.
Mengulas tentang pelbagai jenis diet yang wujud, ujar Nurul Aziah, tidak dinafikan ramai yang memilih pelan diet yang memberikan kesan penurunan berat badan yang drastik kerana mahu mengejar matlamat namun mereka perlu maklum tentang kebaikan dan keburukan cara pemakanan tersebut.
“Sebagai seorang pakar diet, tiada istilah makanan yang baik dan makanan yang buruk, cuma ada diet yang baik dan diet yang buruk. Selagi kita ikut cara makan dalam piramid makanan, kita boleh makan semua yang kita mahu cuma perlu tahu jumlah makanan yang sesuai,” terangnya.

Diet Yang Tidak Berkesan

1. Diet satu jenis makanan
Diet ini diamalkan dengan mengambil sejenis makanan sahaja tanpa had. Ia tidak seimbang dan tidak dapat membekalkan nutrisi lengkap yang diperlukan untuk keperluan badan.

2. Diet rendah karbohidrat tinggi protein
Diet ini boleh menurunkan berat badan tapi ada kesan jangka masa panjang yang boleh mendatangkan mudarat iaitu:
a) Penurunan berat badan pada peringkat awal adalah lebih kepada kehilangan air di dalam badan (kesan diuretik).
b) Diet tinggi protein berkemungkinan meningkatkan pengambilan lemak dan kolesterol. Ini mungkin meningkatkan risiko untuk penyakit kardiovaskular dan kanser.
c) Diet ini adalah kurang dari segi kanji dan serat. Ia boleh mendatangkan risiko sembelit.

3. Diet Sangat Rendah Kalori (menggunakan formula yang dibancuh dengan air)
Diet ini mungkin berkesan untuk satu jangka masa yang pendek tetapi ia tidak boleh dilaksanakan untuk jangka masa panjang kerana ia membosankan dan tidak seperti rutin harian makanan biasa. Ia mungkin boleh menyebabkan rasa lesu, lemah, sembelit, mual dan perlu pemantauan doktor atau pakar dietetik sekiranya ingin dilakukan pada tempoh masa yang sekejap.
Secara amnya, diet yang mempromosikan ‘makanan magik’, kadar penurunan berat badan yang terlalu banyak dalam masa yang singkat dan peng­gunaan produk yang harus diambil ber­sama, tiada senaman diperlukan adalah jenis diet yang tidak selamat untuk dipraktikkan.

Bersenam

Tidak lengkap perjalanan mengurangkan berat badan jika tidak disertakan senaman secara berkala. Selain membuatkan individu sihat dan cergas, ia amat membantu proses mengurangkan berat badan.
Sekurang-kurangnya lakukan senaman selama 30 hingga 45 minit untuk tiga kali seminggu dan pastikan mencapai 10,000 langkah sehari. Sekali lagi Nurul Aziah menegaskan tidak susah untuk memastikan senaman tersebut dicapai dengan penggunaan aplikasi telefon pintar dan gajet yang boleh merekodkan segala aktiviti.
“Jika di pejabat, cuba mencari masa untuk bersenam dengan banyakkan berjalan, menaiki tangga, elakkan menggunakan lif dan letak kereta jauh sedikit dari pejabat.
“Pastikan ada kepelbagaian aktiviti untuk mengekalkan dan meningkatkan tahap kecergasan kendiri serta dapat mengurangkan risiko pelbagai penyakit. Keseimbangan dalam aktiviti fizikal adalah penting untuk tujuan kesihatan seperti senaman kardio, kekuatan otot dan fleksibiliti untuk menjadikan kita lebih bertenaga dan sihat.
“Selain itu, keserderhanaan dalam senaman adalah penting bagi memastikan senaman adalah mengikut kemampuan badan individu dan tidak memudaratkan sekiranya terlalu kuat dan berat,” terangnya.

Diet DNA

Pelbagai jenis pelan diet mengurangkan berat badan yang muncul selain cara mengira kalori. Terbaru, satu kajian dijalankan yang bakal membuatkan mereka yang berdepan dengan masalah menguruskan berat badan kembali bersemangat iaitu diet DNA.
Kajian yang disiarkan dalam journal Obesity itu merupakan diet genom khusus, alternatif untuk mereka yang mahu mengurangkan berat badan pada tahun 2020, menurut penyelidik Institut Kesihatan Kebangsaan AS.

Saintis mengelarkan teknik tersebut sebagai pengurangan berat badan yang tepat dan efektif. Kajian tersebut melibatkan pemahaman kaitan gen dan obesiti serta gabungan diet dan senaman khas menurut struktur unik DNA setiap individu.
Ujian analisis genetik dan data perubahan berat badan serta kajian genomik dilakukan dalam mencari kaitan antara obesiti dan gen. Mereka telah mengenal pasti beberapa gen yang dapat dikaitkan dengan obesiti tetapi masih belum mengetahui bagaimana ia memberi kesan kepada badan.
Bagaimanapun, saintis menyatakan tang diet DNA tidak akan menyebabkan seseorang itu turun berat badan dengan automatik. Senaman masing memainkan peranan penting dalam memastikan penurunan berat badan yang efektif.

Wednesday, January 13, 2016

DIABETES JEJAS SARAF KAKI


RISIKO kehilangan kaki sesuatu yang sangat ditakuti oleh kebanyakan pesakit diabetes atau kencing manis, lebih-lebih lagi sekiranya mereka mengalami luka teruk pada mana-mana bahagian kaki dan sukar disembuhkan.
Hal ini terjadi kerana lebih separuh daripada pesakit diabetes ini tidak menyedari bahawa mereka menghidapnya sehinggalah penyakit tersebut berada di tahap teruk.
Begitupun, sekiranya dikesan awal, risiko pemotongan kaki boleh dielakkan dan pesakit mampu menjalani kehidupan secara lebih sihat.
Menurut Pendidik Kanan Diabetes Institut Jantung Negara (IJN), Siah Guan Jian, penyakit diabetes dan kesakitan kaki saling berkait rapat.
Katanya, ini kerana kandungan glukosa yang tinggi secara konsisten dalam darah akan merosakkan sistem saraf khususnya di bahagian kaki dan tangan.
“Bagi pesakit diabetes, mereka akan merasai denyutan atau kebas pada tangan, betis atau kaki.

“Ini dikenali sebagai neurpoati dan akan berlaku secara perlahan dan mengambil masa yang panjang kerana kandungan glukosa yang tinggi secara konsisten dalam darah akan merosakkan sistem saraf terutamanya pada bahagian kaki dan tangan.
“Apabila ini terjadi kerosakan saraf boleh menular tanpa disedari dan keadaan neuropati boleh diperbaiki apabila kawalan glukosa darah diperketatkan,” ujarnya ketika ditemui pada forum Kencing Manis dan Kaki Anda di IJN, baru-baru ini.
Diabetis adalah satu keadaan yang berlaku apabila tahap gula dalam darah lebih tinggi daripada biasa.
Keadaan ini berlaku apabila organ pankreas tidak dapat mengeluarkan insulin dengan mencukupi atau apabila badan tidak dapat menggunakan insulin yang dikeluarkan itu secara berkesan.
Apabila insulin gagal dihasilkan atau tidak berfungsi dengan baik, ia tidak dapat membawa masuk glukos atau gula ke dalam sel dan tisu badan kita sebagai simpanan.
Akibatnya, darah akan mempunyai kadar gula yang terlalu tinggi untuk sel-sel badan kita dan secara amnya seseorang dianggap menghidap penyakit diabetes apabila kadar gula dalam darah semasa berpuasa lebih daripada tahap tujuh atau kadar gula selepas makan adalah daripada tahap 11.

Mengulas lanjut mengenai hal tersebut, Guan Jian menjelaskan, kerosakan sistem saraf kaki bagi pesakit kencing manis akan menyebabkan pesakit ini kehilangan keupayaan mengesan sentuhan, kesakitan, perubahan suhu, dan perubahan pada sendi kaki sama ada pada sebelah atau kedua-dua belah.
Oleh yang demikian, Guan Jian menasihatkan pesakit diabetes terutamanya daripada kalangan kronik memberikan perhatian yang sewajarnya kepada penjagaan dan kebersihan kaki, sebagaimana anggota-anggota lain seperti mata, jantung, buah pinggang, dan kulit.
Pada masa yang sama, beliau turut menyarankan agar pesakit diabetes memeriksa celah-celah jari kaki dan tapak kaki sekurang-kurangnya sekali sehari, iaitu sebelum tidur untuk memastikan tahap kebersihan dan tiada luka atau kecederaan pada tempat-tempat yang dinyatakan tadi.
Dalam pada itu, Guan Jian memberitahu, memotong kaki atau bahagian yang luka bukan satu jalan penyelesaian kepada pesakit diabetis.
Tuturnya lanjut, sekiranya doktor memutuskan untuk melakukannya, pesakit perlu mendapatkan nasihat doktor sebelum melakukan rawatan alternatif lain.
“Rawatan mencuci dan membersihkan luka ini hendaklah dilakukan oleh mereka yang berkemahiran seperti jururawat atau mereka yang berpengalaman dan biasa mengendalikan luka pesakit diabetes.

“Ini kerana bagi pesakit diabetes, mereka tidak digalakkan untuk merendamkan kaki dan cukuplah sekadar membersihkannya seperti biasa.
“Sekiranya luka yang kecil segera dirawat dan dibersihkan, tentu sekali luka tersebut dapat disembuhkan atau sekurang-kurangnya meminimumkan luka tersebut,” tegasnya.
Memberitahu dengan lebih terperinci, Guan Jian berkata, dari segi perubatan moden, penyakit diabetis ini tidak dapat diubati tetapi boleh dikawal.
Untuk itu, pesakit digalak menggunakan pelembap semasa mengurut kaki dan dinasihatkan tidak menyapu pelembap di bahagian celah-celah jari kaki.
Mereka juga tidak digalakkan berkuku kaki panjang dan memotong kuku kaki secara lurus.
Bagi pemilihan kasut pula, pesakit digalakkan membeli atau memakai kasut yang bertutup sepenuhnya dan bahagian depannya lebar supaya kaki tidak terhimpit.

Pada masa yang sama, kasut yang dibeli juga haruslah mempunyai ruang sekurang-kurangnya satu sentimeter di bahagian hadapan untuk membolehkan kaki ‘bernafas’.
“Bagi pesakit diabetes, pemilihan kasut adalah amat penting dalam usaha menjaga kesihatan kaki masing-masing.
“Untuk itu mereka dinasihatkan membeli kasut pada waktu petang di mana pada masa ini kaki akan kembang sepenuhnya setelah melakukan aktiviti.
“Pesakit juga diingatkan mengukur saiz untuk kedua-dua belah kaki, selain jangan memakai kasut sepanjang hari dan pakailah kasut secara perlahan-lahan,” katanya.