BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Friday, September 26, 2014

PAU HALIM POPULAR DI PERLIS

Saadiah Omar dan anaknya, Raihanah Abdul Halim menunjukkan Pau Halim, yang menjadi kebanggaan mereka.

SEBUT nama Pau Halim, sinonimnya, peminat kuih pau ini akan merujuk kepada seorang lelaki yang menjaja makanan ini dari rumah ke rumah dan juga pasar-pasar malam di sekitar Arau dan Kangar, Perlis, sejak di awal tahun 1980-an lagi.
Tetapi tiada siapa yang tahu, siapa sebenarnya di sebalik tabir 'Pau Halim' sehingga berupaya menambat hati peminat kuih pau di Perlis sejak 34 tahun lalu malah masih gagah meneruskan khidmatnya sehingga ke hari ini.
Pengorbanan Saadiah Omar, 62, di sebalik Pau Halim amat besar tetapi ibu kepada lima anak ini mengakui sangat pemalu ke hadapan untuk menjual kuih pau sebaliknya, minatnya hanya membuat kuih itu sahaja.
Cerita Saadiah segala-galanya bermula dengan hasrat untuk membantu menambah pendapatan suaminya, Halim yang ketika itu cuma seorang buruh di Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
“Saya nekad meminta arwah suami, Abdul Halim Jaafar untuk menemani saya ke rumah seorang saudara di Kuala Lumpur pada tahun 1980 hanya untuk belajar teknik membuat kuih pau untuk dipasarkan secara komersial,’’ katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Belat Batu, Arau, Perlis baru-baru ini.
Beritahu Saadiah, sebaik sahaja pulang mendalami ilmu membuat kuih pau itu dia mula membuat percubaan dengan meletakkan kuih tersebut untuk diletakkan di beberapa buah kedai makan di sekitar Arau dengan tiga jenis inti iaitu kaya, kacang merah dan ayam.
“Dua bulan selepas itu saya mula nampak kuih pau yang dihasilkan sudah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai lalu mula berbincang dengan suami yang bersedia untuk memulakan jualan kuih pau panas dari rumah ke rumah selepas dia pulang dari kerja mulai pukul 5.30 petang,’’ katanya.
Beritahu Saadiah, pada peringkat permulaan dengan 100 biji kuih pau yang dijaja oleh arwah suaminya dengan menggunakan motosikal telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan kerana jualan biasanya laris pada setiap hari.
“Selepas enam bulan saya membeli sebuah van pick-up untuk digunakan oleh suami di mana dapat memuatkan sehingga 400 biji kuih pau dalam satu-satu masa dan semenjak itu Pau Halim semakin berjaya menambat hari pelanggan,’’ katanya.
Sehingga kini katanya, Pau Halim masih dihasilkan secara homemade serta tradisional termasuk proses mengisi inti kuih pau dilakukan oleh lapan pekerjanya dengan pengeluaran sebanyak 1,500 biji setiap hari.
“Pau Halim juga bebas dari bahan pengawet juga dikukus dengan menggunakan peralatan pengukus daripada kayu,’’ katanya.
Bagaimanapun katanya, perniagaan Pau Halim mula berdepan dengan cabaran apabila arwah suaminya itu mulai sakit dan kemudian meninggal dunia pada tahun 2010.
“Di saat ini saya perlu memikirkan cara untuk menukar cara jualan termasuk ‘memaksa’ anak ketiga, Raihanah yang ketika itu baru menamatkan pengajiaan diploma kejuruteraan di sebuah politeknik untuk membantu saya,’’ katanya.
Tertekan
Raihanah, 32, mengakui, desakan ibu walaupun pada mulanya membuatkan dia rasa agak tertekan tetapi mengenangkan perniagaan keluarga itu sudah hilang tempat bergantung maka dia membatalkan hasratnya untuk bekerja makan gaji.
Katanya, semenjak itu cara pasaran Pau Halim terpaksa diubah di mana pihaknya mula meletakkan set alat pengukus pau di 22 buah kedai-kedai pilihan di sekitar Kangar dan Arau untuk kemudahan kepada orang ramai menikmati pau ini panas-panas.
Dia bernasib baik kerana adik bongsunya, Amar, 27, yang merupakan lulusan seni reka fesyen dari politeknik sanggup membantu perusahaan keluarga di mana bertugas untuk menghantar Pau Halim ke semua lokasi ini.
Raihanah memberitahu, selepas secara kebetulan dia menggantikan tempat ibunya untuk mengikuti kursus dingin beku kuih tradisional anjuran MADA pada tahun 2011 juga telah membuka jalan untuknya mencubanya pada Pau Halim.
“Ini memberikan pilihan untuk pelanggan Pau Halim untuk menikmatinya pada bila-bila masa dengan mudah,’’ katanya.
Dia juga mula mempromosikan menerusi Facebook (FB) Pau Halim supaya pelanggan dapat menempah secara online atau menghubunginya menerusi talian 013-4894700.
Katanya, dia sendiri akan menghantar tempahan itu yang hanya dapat dilakukan di sekitar Perlis sahaja.
Bagaimanapun katanya, ada juga pelanggan dari luar Perlis yang datang sendiri ke rumahnya untuk membeli secara pukal. Selain itu, katanya, pelanggan juga boleh mendapatkan Pau Halim dingin beku di Afdzal Frozen di Jalan Pengkalan Asam, Kangar dan kedai runcit di Lorong Harum Manis 3, Paya Kelubi, Beseri yang didatangkan dalam dua set iaitu enam dan 12 biji dalam tiga inti iaitu ayam, kaya dan kacang.

NORAINI COOKIES KE PASARAN DUNIA

KEGIGIHAN serta semangatnya dalam mengharungi dunia perniagaan seharusnya dijadikan contoh pada anak-anak muda hari ini terutamanya kepada mereka yang baru hendak bergelar usahawan.
Masakan tidak kerana sepanjang tiga dekad bergelumang dalam dunia keusahawanan, wanita kelahiran Selangor ini tidak terkecuali daripada ‘diuji’ dengan pelbagai dugaan.
Begitupun, dek kerana ingin meneruskan segala penat lelah yang telah dicurahkan selama ini, Noraini Ahmad, mengambil keputusan untuk meneruskan apa yang diusahakan selama ini tanpa menoleh ke belakang.
Ternyata keputusan yang diambil Noraini adalah tepat kerana hari ini Noraini Cookies bukan sahaja satu jenama tempatan kebanggaan negara bahkan turut mencipta nama dengan menembusi pasaran luar negara seperti di China, Brunei, Singapura, Kemboja, dan Fiji.
Sebelum membuka mulut bercerita mengenai kejayaannya itu, wanita yang berusia 58 tahun ini, terlebih dahulu berkongsi cerita mengenai pengalaman jatuh bangunnya dalam mengusahakan perusahaannya itu.
Bukanlah sesuatu yang mudah untuk melangkah masuk ke dalam satu dunia asing tambahan pula tanpa sebarang ilmu atau pengetahuan mengenai selok belok berniaga, bagaimanapun Noraini terus mengorak langkah untuk mencipta nama dalam dunia keusahawanan.
Yang pasti, semangat yang tersemat di dalam diri Noraini telah menjadikannya seorang usahawan berjaya hari ini malah dia juga boleh berbangga kerana dengan semangat itu jugalah membuatkan produk serta perniagaannya semakin dikenali dan berkembang maju.
Pertemuan sepanjang dua jam di premis perniagaannya yang terletak di No. 21, Jalan Marikh U5/174, Bandar Pinggiran Subang, Seksyen U5, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini sedikit sebanyak berjaya mencungkil rahsia kejayaan wanita cekal ini.
Menyifatkan tindakannya berhenti kerja untuk memberi sepenuh tumpuan dan perhatian kepada anak-anak adalah satu pilihan yang tepat, Noraini berkata, tiada kejayaan yang dikecapi tanpa sebarang pengorbanan apatah lagi jalan pintas.
“Asalnya saya bekerja dengan sebuah syarikat insurans di ibu kota selama sembilan tahun dan akhirnya membuat keputusan untuk berhenti kerana ketika itu anak-anak tiada orang yang menjaganya.
“Lagipun sepanjang saya bekerja rasanya saya tidak menyumbang apa-apa pun (kewangan) kerana segala gaji yang diperoleh habis untuk membayar upah orang menjaga anak-anak.
“Begitupun, tidak lama selepas berhenti dalam tempoh sebulan setengah saya mula membuat kuih basah (kuih tradisional) untuk dijual dan dari situlah segala-galanya bermula," ujarnya yang sentiasa mendapat sokongan padu daripada suami tercinta, Mohd. Shamshi Ariffin, 62, dan anak-anak tersayang, Helmee Affendee Norsham, 38; Hezir Effez Norsham, 33; Hezlee Ezha Norsham, 31; Shuhaila Norsham, 26; dan Noratika Norsham, 20.

Keputusan terbaik

Keputusan (berhenti kerja) yang diambil Noraini ketika itu ternyata memberi pulangan berganda buat dirinya apabila bukan sahaja perniagaannya semakin maju malah anak-anaknya turut berjaya dalam kehidupan masing-masing.
Bercerita lagi mengenai perjalanan perniagaannya itu, Noraini yang juga merupakan nenek kepada dua orang cucu memberitahu dia memulakan perniagaan dengan mengusahakan perniagaan kuih tradisonal selama 10 tahun sebelum beralih kepada perusahaan kuih raya.
Ini kerana dia ingin bertukar angin apabila merasakan kehidupannya tidak normal seperti individu-individu lain di mana semasa berniaga kuih tradisional dia akan bekerja pada waktu malam.
Dan setelah genap 10 tahun berniaga kuih raya, Noraini mula mengembangkan perniagaannya dengan mempelbagaikan lagi produk makanan yang sedia ada kepada makanan harian.
Hari ini setelah mengharungi segala ‘sepak terajang’ dalam dunia perniagaan, Noraini Cookies semakin mendapat tempat di hati masyarakat setempat dengan pelbagai pilihan produk makanan harian yang ditempatkan di pasaraya-pasaraya terpilih.
Dengan memasarkan 25 jenis produk hari ini, Noraini dilihat tetap bekerja keras untuk mengembangkan lagi perniagaan sedia ada dengan membuat pelbagai perancangan untuk masa depan.
“Alhamdulillah setelah tiga kali jatuh terduduk dan tiga kali bangun daripada kegagalan, akhirnya Noraini Cookies berjaya dikembangkan.
“Daripada memasarkan kuih tradisional ke hotel-hotel di ibu kota, kini Noraini Cookies satu jenama tempatan yang memasarkan produk makanan harian termasuklah kuih raya.
“Kami turut mempunyai kilang biskut di Kazakhstan selain restoran di Batam, Indonesia dan akan dibuka sebuah lagi restoran makanan segera di Padang, Indonesia," tuturnya lanjut.
Diajak berbicara mengenai kehidupan hariannya pula, tutur Noraini, walaupun dilihat masa begitu berharga buat dirinya, dia tetap akan memperuntukkan sedikit masa untuk suami, anak-anak, dan juga cucu-cucunya.

Tidak pernah culas dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang ibu dan juga nenek, Noraini memberitahu sekiranya ada masa terluang dia dan juga seluruh ahli keluarga akan menghabiskan masa bersama-sama.
“Tidak dinafikan saya bekerja sepanjang masa hinggakan hujung minggu juga akan pergi melawat kedai-kedai ataupun berjumpa dengan pelanggan-pelanggan di seluruh Malaysia.
“Walaupun pada dasarnya saya dilihat begitu sibuk, tapi hakikatnya saya tetap akan memperuntukan sedikit masa untuk keluarga sama ada pergi bercuti ataupun makan malam bersama.
“Lagipun saya tidak mempunyai masalah untuk mengumpulkan kesemua anak-anak bersama kerana masing-masing tinggal berhampiran dengan saya," katanya lagi.
Hari ini dengan menggaji seramai 30 orang pekerja, Noraini Cookies Worldwide Sdn. Bhd., dilihat mampu melangkah jauh dengan segala perancangan yang telahpun dilakukan.
Turut mempunyai pelbagai lagi perancangan dalam usaha mengembangkan lagi perniagaan sedia ada, Noraini memberitahu tidak mustahil satu hari nanti pihaknya akan mengeluarkan pula produk sejuk beku.
Menjadikan pengalaman lalu sebagai guru, Noraini hari ini boleh berbangga dengan kejayaan yang dikecapinya melalui Noraini Cookies Worldwide Sdn. Bhd.

ADAKAH RAKYAT MALAYSIA KETAGIH INTERNET ?

CYBERJAYA 26 Sept. - Rakyat Malaysia menghabiskan masa antara tiga hingga lima jam sehari di alam siber dengan 58 peratus daripada mereka melayari laman media sosial melalui telefon pintar di mana sahaja mereka berada.
Kajian menunjukkan 41.7 peratus daripada golongan belia berumur 20 hingga 29 tahun dan 16.5 peratus kanak-kanak dan remaja berumur bawah 19 tahun adalah pengguna setia internet dan bilangan mereka terus meningkat setiap hari.
Ketua Bahagian Jangkauan dan Penglibatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Eneng Faridah Iskandar khuatir kecenderungan itu boleh menjadi suatu ketagihan dan mengundang masalah kesihatan mental, yang antaranya tekanan emosi, keresahan dan kemurungan.
"Kecenderungan boleh menjadi ketagihan, kalau lebih daripada tujuh jam sehari ia dikatakan ketagihan serius. Jadi kita perlu pantau anak supaya mereka tidak ketagih.
"Cara kita nak tahu ketagihan ialah apabila tiada internet, apa reaksi mereka? Adakah mereka mengalami tekanan perasaan, keresahan dan kemurungan atau tidak dapat menumpu perhatian terhadap pelajaran", katanya.
Penggunaan internet yang berlebihan juga boleh menyebabkan keletihan yang menjejaskan kesihatan termasuk masalah mata dan jantung serta menyumbang kepada obesiti dan kegemukan sejak kanak-kanak kecil lagi.
Bahkan, beberapa insiden buruk disebabkan ketagihan serius internet turut dilaporkan di negara serata dunia. Antaranya, kematian seorang pemuda berusia 23 tahun di Pulau Pinang dipercayai akibat bermain permainan komputer tanpa henti selama 15 jam pada akhir tahun lepas.
Begitu juga seorang pemuda berusia 30 tahun dilaporkan meninggal dunia di China akibat bermain permainan komputer dalam talian selama tiga hari tanpa henti di sebuah kafe siber di pinggir bandar Beijing.
Pemuda itu dilaporkan duduk di depan komputer selama tiga hari tanpa makan, minum dan tidur.
"Jadi internet dan pelbagai peranti telah menjadi sebahagian daripada kehidupan generasi kini sehingga ada yang tidak dapat bezakan dunia nyata dan dunia siber kerana ia saling melengkapi", katanya.
Seiring dengan lambakan pelbagai gajet canggih dalam pasaran seperti telefon pintar, iPhone, iPad, laptop, tablet, tab serta kemampuan kuasa beli orang ramai, bilangan pengguna internet juga dijangka terus meningkat kepada 25 juta orang menjelang 2015 berbanding 18.6 juta pada 2012.
Jelas Eneng Faridah, setiap maklumat yang dikongsi termasuk kandungan palsu dalam laman sosial seperti Facebook dan Twitter bukan sahaja merentasi sempadan negara, bahkan akan kekal dalam arkib selama-lamanya.
Ia memberi kesan mendalam terhadap individu dan keluarga terbabit selain mengganggu ketenteraman awam dan negara.
"Kebanyakan pengguna tidak faham tentang etika ataupun akibat daripada tindak-tanduk mereka di alam maya. Tindak-tanduk mereka tersebar tanpa sempadan, di luar batas undang-undang dan kedaulatan sesebuah negara", tegasnya.
Menurut beliau, laman sosial seperti Facebook dan Twitter adalah status dan bukan diari untuk meluahkan perasaan atau mencetuskan suasana panik, sekaligus mencari populariti murahan. Orang ramai juga mempunyai tanggapan salah bahawa segala dalam internet adalah di bawah kawal selia SKMM dan perilaku salah di alam siber boleh dimaafkan.
"Mustahil, kerana kita perlukan tenaga manusia yang banyak untuk memantau di tahap sedemikian. Namun, sesuatu yang salah di sisi undang-undang di alam nyata juga salah di alam siber", tambah beliau.
Jelasnya, walaupun sebagai badan pengawal selia, SKMM tidak mempunyai daftar pengguna internet, senarai e-mail dan nombor telefon bimbit, senarai akaun Facebook, Twitter, dan blogger di negara ini dan hanya merujuk kepada pemberi perkhidmatan seperti syarikat-syarikat telekomunikasi apabila membuat siasatan terhadap sesuatu kes.
Justeru kerjasama orang ramai amat penting ketika menjalankan sesuatu siasatan dan dalam menyalurkan maklumat benar dan tepat.
Eneng Faridah juga menolak cadangan sesetengah pihak yang mahukan Facebook disekat seperti yang dilaksanakan di beberapa negara seperti China, Cuba, Korea Utara dan Iran.
"Ia bukan satu tindakan berkesan untuk mengawal kandungan, kerana Facebook boleh diganti dengan saluran lain untuk menyebarkan maklumat

Monday, September 22, 2014

JERUK PAK ALI MAKIN POPULAR

Alias Ali bersama sebahagian daripada produk jeruk keluaran syarikatnya yang siap untuk dipasarkan.

SIAPA sangka, bermula dengan modal kecil RM15 sahaja dan hanya dihasilkan di rumah, Jeruk Pak Ali kini menjadi ‘gergasi’ dalam industri jeruk di negara ini apabila mampu meraih jualan mencecah RM10 juta setahun.
Lebih membanggakan, populariti jeruk di bawah label Pak Ali Food Industries Sdn. Bhd. kini mula menembusi pasaran antarabangsa apabila turut dijual di Ireland dan Brunei selain mula mendapat tempahan dari negara Asia Barat.
Masih mengekalkan kaedah tradisional termasuk menggunakan tenaga kerja manusia ketika proses penghasilan pelbagai jenis jeruk di bawah label berkenaan, Pengarah Urusannya, Alias Ali memberitahu ia juga merupakan salah satu rahsia kejayaan produk keluaran syarikatnya.
“Proses awal penghasilan jeruk iaitu air gula dimasak terlebih dahulu dengan penggunaan gula pasir. Kami juga menggunakan cuka epal yang terbukti baik untuk kesihatan.
“Buah pula masih dipotong secara manual iaitu menggunakan pekerja tempatan dan tidak bergantung sepenuhnya kepada teknologi moden," katanya.

Alias berkata, salah satu sebab syarikatnya masih menggunakan tenaga kerja manusia walaupun banyak syarikat kejuruteraan tampil menawarkan mesin adalah kerana permintaan arwah ayahnya, Ali Omar yang juga pengasas syarikat berkenaan.
“Ayah mahu penduduk yang tinggal berhampiran dengan kilang kami di Simpang Ampat mendapat peluang pekerjaan dan seterusnya meningkatkan ekonomi masing-masing dan ketika ini syarikat mempunyai 95 orang pekerja di kilang berbanding hanya enam orang pada 2009," katanya.
Menyedari sumber manusia merupakan antara tulang belakang Pak Ali Food Industries Sdn. Bhd., Alias berkata, pihaknya menawarkan gaji yang lumayan termasuk bagi pekerja yang dipertanggungjawab memotong buah-buahan.
“Ada yang mendapat upah lebih RM2,000 sebulan dan kalau dahulu, mereka datang bekerja menaiki basikal atau motosikal tetapi kini sudah ada yang berkereta.
“Pada masa sama, kami menjaga kebajikan mereka dan setiap tahun beberapa pekerja yang cemerlang akan ditaja mengerjakan umrah. Semua ini untuk memotivasikan pekerja di samping menghargai mereka," katanya.

Sasaran RM15 juta

Tidak memandang ke belakang, syarikat berkenaan kini terus mengorak langkah apabila bakal membuka kilang baharu dalam tempoh enam bulan akan datang bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran.
“Pada tahun lalu, syarikat berjaya mengeluarkan sebanyak 1,247 tan jeruk dengan jualan sebanyak RM10 juta dan pada tahun ini sasaran pengeluaran adalah sebanyak 1,600 tan atau peningkatan sebanyak 28 peratus dengan jangkaan pendapatan sebanyak RM15 juta," katanya.
Menurutnya, permintaan adalah melebihi pengeluaran dan bagi tujuan itu, pembukaan kilang baharu merupakan langkah penting bagi memastikan dapat menampung permintaan.
“Selepas kilang baharu beroperasi kelak, kami menjangkakan pengeluaran akan meningkat sekali ganda dan ketika itu saya sudah tidak risau lagi dengan masalah jeruk habis," katanya.
Secara bergurau Alias berkata, beliau gembira kerana akhirnya syarikatnya dapat menunaikan tempahan yang diterima dari Asia Barat.
“Sebenarnya, Pak Arab turut berminat dengan jeruk kami tetapi rancangan untuk mengeksport ke sana terpaksa ditangguhkan kerana kita terpaksa menumpukan pasaran tempatan terlebih dahulu tetapi saya bersyukur masalah ini bakal selesai," katanya.
Pada 2009, syarikat ini dikenali dengan nama Pak Ali Enterprise tetapi bermula awal tahun lalu, namanya bertukar kepada Pak Ali Food Industries Sdn. Bhd. kerana kini ia turut menghasilkan produk hiliran yang juga mendapat sambutan baik.

“Selain jeruk mangga, kedondong, betik, sengkuang, salak dan jambu batu yang merupakan produk terlaris, syarikat mula menumpukan pengeluaran produk baharu seperti jus buah pala, sabun buah pala, kuah rojak, jeruk kering selain kuih-kuih tradisional," katanya.
Selain mempunyai cawangan jualan di beberapa tempat seperti Bangi, Johor, Kuala Terengganu, Sungai Petani, Sarawak dan Kota Bharu, syarikat berkenaan juga tidak melupakan Pulau Pinang yang merupakan tempat kelahiran jeruk berkenaan.
“Di Permatang Pauh, satu pusat jualan berhampiran Lebuh raya Utara Selatan telah dibuka dan mendapat sambutan yang cukup menggalakkan.
“Di bahagian pulau, tempat jualan baharu iaitu berhadapan Tapak Pesta Sungau Nibong akan dibuka dalam masa terdekat kerana tempat sedia ada di situ terlalu sempit dan menyukarkan pelanggan kami terutamanya ketika musim cuti sekolah," katanya.
Menurut Alias, syarikat bertuah kerana mendapat sokongan padu pelbagai pihak sehingga menjadikan jeruk berkenaan sebagai produk pelancongan bagi pelancong yang berkunjung ke negeri ini.

“Antara yang banyak membantu termasuklah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda)," katanya.
Kilang dan Muzium
Dari segi pasaran, Alias berkata, sebanyak 60 peratus masih bertumpu untuk kawasan utara membabitkan negeri ini, utara Perak dan selatan Kedah.
“Selain itu, pelanggan suka berkunjung ke kilang kami di Simpang Ampat kerana di sini terdapat sebuah pusat jualan dan mereka turut berpeluang menyaksikan proses penghasilan jeruk. Pada masa depan, rancangan untuk membuka muzium jeruk akan dilaksanakan," katanya.
Menurutnya, keadaan di situ sangat meriah terutamanya ketika cuti sekolah malahan kawasan sekitar menjadi sesak kerana puluhan bas pelancong dan rombongan akan singgah di situ untuk membeli jeruk sebagai buah tangan.
Mengamalkan konsep cuba dahulu baru beli, Jeruk Madu Pak Ali membuka peluang kepada mereka yang berminat untuk menjadi pengedar dengan modal awal RM500.
Menerusinya, pengedar akan diberi 40 kilogram jeruk merangkumi lebih daripada 30 produk basah dan kering serta diberi kebebasan menentukan jualan termasuk sewa tapak di premis perniagaan.

Alias berkata, pihaknya mengalukan siswazah yang baru menamatkan pengajian untuk berkecimpung dalam perniagaan berkenaan.
“Sehingga kini lebih 10 usahawan muda telah mencuba dan ada yang berjaya membuka kedai di Bangi dengan sambutan yang cukup menggalakkan," katanya.

AZIE KITCHEN KONGSI RESEPI

cara-cara membuat assam guppa mengikut turutan.

BIDANG masakan yang cukup sinonim dalam kalangan wanita hari ini secara tidak langsung menjadikan mereka seorang individu yang cukup kreatif dalam menghasilkan setiap jenis hidangan.
Masakan yang dimasak bukan sahaja sajian untuk dinikmati bersama ahli keluarga, tetapi dengan adanya media sosial hari ini, segala hidangan yang dibuat akan dikongsi bersama-sama di alam maya.
Jika dilihat hari ini, ramai penulis blog yang memuat naik resipi dan juga gambar masakan masing-masing dalam blog mereka dengan tujuan untuk dikongsi faedahnya bersama.
Salah satu blog yang cukup dikenali ramai dalam kalangan peminat masakan ialah Azie Kitchen.
Dengan pautan laman sesawang www.aziejaya.blogspot.com, pemilik blog tersebut Haziah Jaya, menjadikan blog tersebut sebagai tempat untuk peminat-peminat masakan tempatan mahupun luar negara mengunjunginya untuk mendapatkan resipi masakan.
Dibuka pada Ogos 2011, Haziah sememangnya meminati bidang masakan sejak dari kecil lagi.
Menjadikan kakaknya sebagai idola, Haziah memberitahu, dia tidak pernah mengikuti mana-mana kelas masakan, malah mempelajarinya sendiri melalui pemerhatian dan pembacaan di majalah serta tidak ketinggalan di internet.
Mempunyai seramai 1,787 pengikut, blognya telah mencatatkan lebih 23 juta pelawat.
Ketika ditemui di kediamannya di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini, ibu kepada lima cahaya mata ini menyatakan apa yang dikongsi melalui blognya hari ini adalah sekadar suka-suka.
“Saya ni tidaklah pandai sangat memasak tetapi saya suka mencuba setiap resipi yang saya peroleh. Bukan itu sahaja, setiap resipi tersebut akan saya olah kembali untuk mendapatkan rasa yang lebih sedap.
“Jadi apa yang dikongsi di blog adalah masakan yang telah dicuba dan resipi yang turut dikongsi adalah juga bertujuan untuk simpanan anak-anak pada masa akan datang.
“Hanya melalui ini sahaja saya dapat turunkan kesemua resipi kepada anak-anak perempuan saya," ujarnya lagi.
Jika dilihat dalam blognya, Haziah banyak berkongsi resipi masakan Kelantan, negeri kelahirannya.
Tidak hanya terhad kepada sejenis masakan sahaja, blog Haziah menampilkan pelbagai jenis masakan beserta dengan cara-caranya sekali.
Pasti akan mengemaskini blognya setiap hari ataupun setiap dua hari, kepada mereka yang belum mengunjungi blog Haziah bolehlah layari hari ini.
Anda pastinya tidak akan kecewa dengan apa juga jenis masakan yang telah dimuat naik ke dalam blognya.

GANGNAM STATION-MAKANAN KOREA HALAL DI SEKSYEN 13 SHAH ALAM


Nakji Bokkeum atau sotong goreng pedas.

Korea terkenal sebagai negara yang mengamalkan pemakanan sihat kerana lebih berasaskan sayur-sayuran, tauhu, mi dan sup, selain tidak banyak menggunakan minyak.
Cara penyediaan yang kebanyakannya menggunakan kaedah mengukus, rebus dan bakar menarik perhatian orang Malaysia untuk turut mengubah cara pemakanan.
lambakan rancangan realiti dan drama Korea di kaca televisyen, sedikit sebanyak turut mempopularkan budaya makan mereka sekali gus menarik minat orang Malaysia untuk mencuba sesuatu yang baharu.
Bagaimanapun, kebanyakan restoran makanan Korea di negara ini diusahakan oleh orang bukan Islam, yang secara tidak langsung menimbulkan keraguan tentang status halalnya.
Namun, penggemar makanan Korea kini boleh menikmati keenakan menu berkhasiat Korea di Gangnam Station yang terletak di Laman Seri Business, Seksyen 13, Shah Alam, yang diusahakan oleh orang Melayu, Samsuddin Abd. Aziz.
Menurut Samsuddin, restoran yang telah beroperasi sejak dua tahun lalu diperkenalkan kerana di Malaysia amat jarang sekali orang Melayu memiliki restoran Korea.
“Pembukaan restoran ini adalah satu langkah untuk mewujudkan restoran halal Korea dan saya nampak potensi tersebut kerana orang Malaysia sekarang lebih terbuka untuk menerima hidangan-hidangan luar.
“Saya dan isteri pula adalah pencinta makanan. Kami telah menjelajah ke serata dunia untuk merasai makanan di negara-negara asing. Akhirnya kami memilih hidangan Korea untuk restoran ini," katanya.
Menceritakan budaya makan orang Korea, dia berkata, di negara itu hidangan pembuka selera atau lebih dikenali sebagai banchan, sangat dititik beratkan dan perlu ada sebelum menjamah hidangan utama.
Justeru, di Gangnam Station, pengunjung boleh mendapatkan pengalaman sama, kerana restoran itu menampilkan enam hidangan banchan untuk pelanggan.
Pengunjung boleh memilih sama ada Kimchi, salad buah, bayam goreng, kerang rebus, sambal kacang dan bilis, serta salad cendawan. Lebih menarik, pelanggan boleh menambah hidangan tersebut tanpa sebarang bayaran tambahan.
Menurut Samsudin, walaupun kimchi hanyalah hidangan samping, namun makanan yang diperbuat daripada sayur-sayuran seperti kubis cina, timun, lobak putih itu, sangat popular sehingga ada pelanggan meminta untuk dibungkus bawa balik.
“Orang Korea sangat berbangga dengan diet mereka kerana hidangan mereka kaya dengan nutrisi. Kimchi dan bulgogi adalah antara hidangan yang boleh menggambarkan budaya makan di sana," katanya.
Sambil menikmati hidangan Korea, suasana restoran turut dimeriahkan dengan tayangan rancangan realiti, Running Man selain tayangan muzik-muzik video kumpulan K-Pop terkenal seperti Super Junior, Big Bang serta 2PM yang digemari oleh anak-anak muda.
Hidangan bulgogi adalah menu signatur dan merupakan kepakaran Gangnam Station kerana resipi yang telah digarap oleh chef mereka adalah hasil khidmat nasihat dari Restoran Myung-ga, restoran makanan Korea asli di negara ini.
Begitupun, kata Samsudin, dia mengekalkan cita rasa Malaysia kerana menggunakan bahan-bahan tempatan supaya status halalnya tidak diragui.
Bulgogi adalah sajian daging yang dipanggang segar bersama bahan-bahan sampingan.
“Kami menggunakan hirisan daging tulang rusuk dan bahagian sirloin yang dibeli di pasaran Korea yang telah diperap supaya apabila dipanggang ia tidak liat dan keras.
“Gabungan bersama cendawan enoki, bawang, minyak bijan, bawang putih dan sos soya membangkitkan lagi rasa masin dan manis. Bulgogi ini sangat sesuai untuk hidangan sekeluarga," katanya.
Sama seperti di Korea, restoran ini mengambil pendekatan pelanggan boleh memasak sendiri daging bulgogi supaya ia kekal segar dan panas ketika menikmatinya.
Untuk itu setiap meja di dalam restoran tersebut mempunyai penyedut asap supaya restoran tidak dipenuhi dengan asap yang boleh mengganggu keselesaan pelanggan lain.
Pelanggan juga mempunyai pilihan lain seperti galbi tang yang pasti memenuhi selera penggemar hidangan sup panas.
Keenakan kuah yang terhasil daripada air rebusan daging tulang rusuk yang diperasakan dengan baik enak dimakan bersama nasi dan kimchi.
Sajian tambahan seperti nakji bokkeum iaitu sotong goreng pedas dan gun madu iaitu wantan cara Korea, ternyata memenuhi selera masyarakat tempatan dan orang ramai terutama orang Melayu tanpa was-was.
Jika mahukan hidangan ringan, anda boleh mencuba haemul pajeon iaitu sejenis lempeng telur seakan-akan piza yang dipenuhi dengan makanan laut dan sayur-sayuran. Dicicah dengan sos bagi yang ingin pedas, ia cukup untuk hidangan anda sekeluarga kerana saiznya yang agak besar.
Menarik untuk dicuba, tteokbokki rice cake adalah snek popular Korea yang perlu dicuba pelanggan diperbuat daripada kek nasi, kek ikan, dan sos pedas manis.
Pelanggan boleh meminta sama ada mahukan hidangan yang terlalu pedas, sederhana, atau tidak pedas.
Antara menu lain adalah sundubu jigae yang merupakan hidangan campuran daging atau makanan laut dengan tauhu lembut yang dimasak berkuah. Disajikan panas, hidangan itu membangkitkan selera pelanggan.
Selepas menjamu selera, apa kata anda mencuba pencuci mulut terkenal Korea iaitu patbingsu, hidangan seakan-akan ais kacang yang dimakan bersama ais krim.
Turut menyajikan minuman buah-buahan dalam tin yang dimport dari Korea bagi menampilkan sedikit kelainan kepada pelanggan Gangnam Station.
Set hidangan tengah hari yang berharga antara RM13.90 sehingga RM15.90 boleh dipilih sebagai hidangan individu.
“Kami mempunyai set BBQ dan set stimbot yang boleh dipilih pelanggan disamping beberapa hidangan yang disertakan bersama enam banchan, buah-buahan dan satu jug minuman melalui pelbagai promosi perayaan yang diadakan," katanya.
Dibuka setiap hari dari pukul 11.30 pagi sehingga 11 malam, restoran yang boleh memuatkan sehingga 70 orang turut menerima tempahan majlis berskala kecil.
Gangnam Station turut menawarkan servis penghantaran percuma ke kawasan sekitar Shah Alam minimum 10 set.

KULCATS BARRIO- TTDI KL



Rata-rata remaja beranggapan, pemilihan tempat makan mestilah mempunyai ciri-ciri seperti sedap, murah, selesa dan semua itu boleh didapati di kedai ini.
Bermula dengan katering dan juga pakaian jenama tempatan, Kulcats memberikan satu pengalaman baru kepada pengunjung sehinggakan ada pelanggan yang datang dari negara seberang tambak Johor, semata-mata mahu menjamu selera di kedai ini.
Salah seorang pemiliknya, Mohd Nurazman Jamaluddin berkata, konsep Kulcats menerapkan elemen seperti sukan lasak, basikal, skateboard, bola sepak, seni grafiti dan sebagainya bagi menarik golongan muda untuk menikmati juadah di sini.
“Nama Kul membawa maksud Kuala Lumpur dan Cats mewakili krew-krew kedai ini yang terdiri daripada pelbagai cabang kerja antaranya, tukang masak, pemain sukan lasak, pengurusan acara dan sebagainya.
“Adunan pelbagai kriteria ini melahirkan Kulcats yang mampu menyediakan makanan enak pada harga berpatutan, selain mempunyai elemen-elemen dari Amerika Syarikat, Perancis dan Itali," katanya.
Kulcats Barrio sudah dibuka hampir dua tahun lalu dan telah mengembangkan perniagaannya di sebuah lagi premis berhampiran dengan nama Kulcats Pastel yang mengkhususkan sajian pastri seperti kek, kek cawan, sandwic dan sebagainya.
Seorang lagi pemilik yang khusus dalam bidang pastri di kedai ini, Mohd Zulazzeriq Esmail berkata, Kulcats Pastel pada mulanya diletakkan di bawah satu bumbung bersama Kulcats Barrio, namun permintaan yang tinggi terhadap hidangan tersebut mendorong mereka mengkhususkan Kulcats Pastel sebagai sebuah cawangan yang hanya menjual pelbagai jenis pastri dan kek sahaja.
“Selepas setahun Kulcats Barrio beroperasi, kami membuka sebuah lagi cawangan di bawah nama Kulcats Pastel bagi memenuhi permintaan pelanggan yang datang hanya untuk menikmati juadah pastri kami.
“Ia memberikan lebih ruang dan pilihan kepada pelanggan kerana Kulcats Barrio sentiasa penuh dan pelanggan terpaksa menunggu giliran untuk menjamu selera. Mereka yang singgah makan di Kulcats Pastel juga boleh memesan makanan dari menu yang terdapat di Kulcats Barrio," jelasnya.
Bagi mereka yang menjamu selera di sini, pastinya akan merasakan satu suasana lain daripada yang lain kerana persekitaran yang terdapat di situ mampu membuatkan pelanggan berasa tenang dan selesa.
Pelanggan yang datang rata-rata terdiri daripada anak muda dan juga ada yang hadir bersama keluarga, membuatkan tempat ini menjadi pilihan pelbagai lapisan masyarakat.
Pelbagai sajian ditawarkan di bawah lingkungan harga RM50 yang pastinya memuaskan hati pelanggan yang mahukan makanan dan tempat makan yang selesa.
Masa beroperasi dari pukul 12 tengah hari hingga 11 malam untuk Kulcats Barrio, manakala dari pukul 8 pagi hingga 10 malam di Kulcats Pastel. Ini kerana Kulcats Pastel turut menyajikan set hidangan untuk sarapan.
Bagi mereka yang tidak mahu menunggu lama, bolehlah menghubungi Kulcats untuk tempahan meja. Segala informasi boleh didapati di laman Facebook Kulcats atau Instagram Kulcats atau Kulcats_pastel. -

ANA PATIN HOUSE-MUTIARA DAMANSARA

SEBAGAI seorang peminat tegar ikan patin masak tempoyak, umpama satu pemburuan dalam mencari hidangan yang benar-benar sedap dan menepati selera penulis di kawasan Lembah Klang seperti yang sering dinikmati kala singgah di sekitar Pahang.
Pertemuan penulis dengan pemilik restoran Ana Patin House yang terletak di Mutiara Damansara, Petaling Jaya ternyata berjaya mengakhiri pencarian penulis kerana rasa gulai tempoyaknya yang cukup masam, cukup pedasnya selain kemanisan ikan patinnya yang segar, melengkapkan rasanya.
Pada mulanya, penulis mencuba ikan patin sangkar Sungai Pahang masak tempoyak. Rasanya sudah cukup sempurna bagi penulis sehinggalah merasa sendiri keenakan patin buah pula.
Isinya yang lebih kenyal dek kerana ikan patin buah bergerak liar dan aktif melawan arus sungai yang deras selain memakan sumber bahan semula jadi menjadikan dagingnya lebih segar dan manis.
Belum lagi berbicara tentang hidangan-hidangan ikan sungai liar lain di Ana Patin House seperti ikan kerai, kelah dan geraha. Ternyata Ana Patin House berada di kelasnya tersendiri.
Bukan sekadar memuji, hidangan di Ana Patin House yang fokus dalam penyediaan masakan tradisional Melayu terutamanya dari negeri Pahang itu begitu istimewa tambahan kebanyakan masakan merupakan air tangan pemilik restoran sendiri, Datin Rohana Ismail yang merupakan anak jati Temerloh, Pahang.
Mengusahakan restoran tersebut bersama anaknya, Puteri Nur Azureen Mazran sejak lima bulan lalu, ujar Puteri Nur Azureen, resipi yang dimasak ibunya itu merupakan warisan turun-temurun keluarganya.
“Kesemua ikan sungai, kita diambil daripada pembekal di Sungai Pahang sendiri bagi menjaga kualiti rasanya," ujarnya.
Selain ikan patin buah masak tempoyak, pelbagai hidangan yang menjadi kegemaran pengunjung Ana Patin House seperti kelah goreng, geraha masak tempoyak, kerai goreng dan ikan kerai masak lemak cili api turut boleh diperolehi di sini.

Tuesday, September 16, 2014

HINDARI KEBUTAAN

Dr. Kenneth Fong ketika menerangkan mengenai Kamera Daytona Optos Fundus.

SEHINGGA 80 peratus daripada tanggapan manusia tercetus menerusi penglihatan dan membantu kita bergerak serta meneroka dunia di sekeliling kita. Dalam sekelip mata, organ ini bergandingan dengan otak bagi membentuk persepsi cahaya dan penglihatan termasuk perbezaan warna dan persepsi kedalaman.
Bagaimanapun, kebanyakan daripada kita kurang menghargai dan mungkin mengabaikan mata yang dikurniakan sehinggalah apabila kita mengalami masalah penglihatan. Ketika itu baru kita tersedar dan terpaksa mendapatkan khidmat pakar oftalmologi yang mengesahkan seterusnya merawat penyakit okular (gangguan penglihatan dan penyakit mata) dengan kaedah rawatan terkini bagi mengekalkan penglihatan.
Seperti kebanyakan penyakit lain, diagnosis awal dan rawatan perubatan boleh mengurangkan kesan penyakit okular dan membantu memperbaiki penglihatan. Namun demikian, biasanya mata tidak terasa sakit apabila terdapat masalah terutamanya pada peringkat awal penyakit okular.

Penilaian oftalmologi yang teliti boleh mendedahkan masalah dalam sistem visual dan struktur berkaitan juga penyakit yang kurang lazim tetapi sangat serius seperti tumor okular. Penilaian ini juga mungkin mendedahkan pelbagai bentuk penyakit sistematik yang menjejaskan mata seperti hipertensi dan diabetes.
Penyakit yang boleh menyebabkan kehilangan penglihatan seperti glaukoma, katarak, degenerasi makular berkaitan usia (AMD) dan retinopati diabetes merupakan penyakit okular yang paling umum didapati di Malaysia. Penyakit-penyakit ini boleh pulih jika diberikan rawatan sewajarnya.
Demikian menurut Pakar Runding Oftalmologi, Pusat Perubatan Sunway, Dr. Kenneth Fong semasa sesi memperkenalkan kamera Daytona Optos Fundus di pusat perubatan itu, baru-baru ini. Turut bersama ialah Dr. Tara George yang juga merupakan pakar runding oftalmologi pusat perubatan tersebut.

Kamera Daytona Optos Fundus merupakan peralatan sulung sepertinya di Malaysia yang berlandaskan teknologi pengimejan retina terkini yang merakamkan pemandangan 200 peratus bagi retina dalam satu imej dalam masa kurang daripada satu saat tanpa penggunaan titisan mata bagi membesarkan anak mata.
“Kamera ini menggunakan teknologi canggih bagi menguji masalah yang mungkin tidak dapat dikesan dengan menggunakan teknik dan peralatan biasa. Pesakit biasanya kurang selesa dengan titisan mata kerana penggunaannya menyebabkan penglihatan kabur selama beberapa jam. Ujian dengan peralatan ini mampu oleh kebanyakan orang dengan kos sebanyak RM70 bagi kedua-dua mata pesakit dan sangat berkesan bagi mengesahkan penyakit seperti retinopati diabetes.
“Diagnosis awal membolehkan rawatan serta-merta dan awal contohnya rawatan laser dilakukan bagi mencegah buta. Penggunaan peralatan moden seperti laser Quantel Supra Yellow membolehkan rawatan laser retina dilakukan dengan jauh lebih cepat dan selesa berbanding mesin laser lain.
“Pengesanan awal dan rawatan segera boleh mencegah atau melengahkan kehilangan penglihatan tetapi malangnya banyak penyakit ini tidak menunjukkan sebarang gejala sehingga kehilangan penglihatan sudah berlarutan. Oleh itu, pemeriksaan mata secara berkala perlu diberi keutamaan demi melindungi penglihatan anda," kata Dr. Fong.

Tanda awal penyakit mata


Beliau menambah, penggunaan teknologi serba maju untuk pemeriksaan dan diagnosis memainkan peranan penting bagi menilai tanda awal penyakit mata sebelum pesakit menyedari gejalanya. Adalah penting untuk membezakan antara pemeriksaan penglihatan biasa, yang merupakan ujian mata terhad dengan pemeriksaan mata komprehensif yang dilakukan oleh pakar oftalmologi yang melakukan ujian teliti daripada semua aspek.
Ujar Dr. Fong, berasaskan keputusan pemeriksaan, doktor akan mencadangkan pelan rawatan mengikut keperluan khusus termasuk penggunaan kaca mata dan kanta lekap, senaman mata atau pembedahan bagi masalah otot. Juga sekadar cadangan untuk datang sekali lagi bagi menjalani pemeriksaan mata dalam tempoh tertentu.
“Bagi mereka yang menghidap diabetes, perlu menjalani pemeriksaan retina mata setiap tahun. Golongan yang berisiko tinggi termasuklah mereka yang menghidap diabetes selama lebih 10 tahun, wanita hamil yang menghidap diabetes dan golongan muda yang masalah diabetes mereka tidak dapat dikawal dengan baik.

“Golongan ini memerlukan pemeriksaan yang lebih kerap dan rawatan yang awal serta agresif bagi mencegah buta. Memandangkan diabetes dijangka mencapai paras wabak di Malaysia, dengan satu dalam lima orang dewasa dijangka mengalami diabetes menjelang tahun 2020, pemeriksaan mata awal merupakan langkah yang amat perlu.
“Doktor perlu bekerjasama dengan pakar perubatan lain kerana penyakit seperti diabetes memerlukan pendekatan berbilang kepakaran," jelasnya.
Beliau berkata, sepanjang tempoh perkembangan mata sejak lahir, pemeriksaan mata bayi yang komprehensif boleh mengesan dan merawat masalah di peringkat awal bagi mencegah kelewatan perkembangan dan masalah penglihatan kekal. Dalam kalangan anak kecil, pemeriksaan mata awal dan sewajarnya boleh mengesan masalah refraksi seperti rabun jauh, rabun dekat dan astigmatisme.

Walaupun jika masalah refraksi tersebut adalah ringan, menurut Dr. Fong, mereka yang menghadapi risiko ambliopia atau strabismus lebih tinggi yang menimbulkan masalah persepsi kedalaman dan menyebabkan kecacatan penglihatan kekal. Dua keadaan ini boleh dialami secara berasingan atau bersama dan perlu diperbetulkan seawal yang mungkin sebaik-baiknya sebelum memasuki tadika.
“Jika tidak dirawat, kekurangan ini mungkin menyebabkan kehilangan penglihatan kekal sepanjang hayat yang boleh mengehadkan pilihan kerjaya dan nikmat hidup," kata beliau.

5 SAUH EMAS UNTUK PUTERI HARBOUR

KUALA LUMPUR 16 Sept. - Puteri Harbour Marina milik UEM Sunrise Bhd., dianugerahkan 5 Sauh Emas oleh Persatuan Pelabuhan Kapal Layar (YTHA), agensi pengauditan marina berpangkalan di United Kingdom.
Pengarah Eksekutif UEM Sunrise, Datuk Izzaddin Idris berkata, syarikat amat teruja dan bangga kerana ia menandakan satu lagi pencapaian terhadap kumpulan dalam mencapai kecemerlangan.
Katanya, Puteri Harbour Marina merupakan marina pertama di Malaysia dianugerahkan 5 Sauh Emas seterusnya menyertai kelompok marina di Asia Tenggara termasuk Kelab Marina ONE°15 di Singapura.
"Oleh itu, ini merupakan penilaian tertinggi dan kami percaya ia akan dapat menarik lebih ramai pelawat serta pelayar dari seluruh dunia," katanya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.
Pentaksiran bagi Anugerah 5 Sauh Emas dimulakan pada Februari 2014 dan keputusan juri diputuskan pada Jun 2014 diikuti proses pengauditan menyeluruh oleh Puteri Harbour Marina bagi memenuhi senarai cadangan TYHA.
Skim Anugerah Sauh Emas diselia oleh TYHA yang telah beroperasi selama 26 tahun berpandukan Kod Pengamalan TYHA bagi reka bentuk dan pembinaan serta operasi marina.
Ia merupakan rujukan para pemilik bot bagi mendapatkan maklumat diperlukan untuk berlabuh.
Marina yang turut serta akan melalui penilaian dan pemilik dermaga akan dinilai untuk mendapatkan maklum balas mereka secara berterusan.

PERODUA AXIA 1 LITER 21.6 KM ?

Perodua Axia dijual pada harga atas jalan bermula antara RM24,900 hingga RM45,300

KUALA LUMPUR 16 Sept. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam telah menyempurnakan pelancaran Axia, model kereta ke-10 keluaran Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua), dalam satu majlis yang telah diadakan di sini malam tadi.
Muhyiddin dalam ucapan perasmian berkata, Axia menjadi kebanggaan negara kerana merupakan kenderaan cekap tenaga (EEV) pertama Malaysia.
Jelas beliau, Axia melambangkan kejayaan Perodua dalam menghasilkan kenderaan mampu milik sejak ditubuhkan pada tahun 1993.
“Axia menjadi penanda aras baharu bagi kualiti, pengurusan kos dan produktiviti terutamanya dalam pasaran EEV.
“Model ini juga lambang kepada keupayaan serta kemampuan Perodua membangun dan bersaing dalam pasaran kereta di negara ini," katanya.
Axia didatangkan dengan empat model iaitu Standard E, Standard G, Edisi Khas dan Advance dipacu oleh enjin 1.0 liter mampu memberikan penjimatan petrol sehingga 21.6 kilometer (km) bagi setiap liter.
Sejak tempahan mula dibuka pada 15 Ogos lepas, Perodua Axia yang dijual pada harga atas jalan bermula antara RM24,900 hingga RM45,300 telah mendapat sejumlah 13,5000 tempahan.
Kenderaan ini merupakan model pertama dikeluarkan di kilang cekap tenaga baharu pengeluar kereta kedua negara ini iaitu Perodua Global Manufacturing Sdn. Bhd. di Rawang dekat sini dengan sokongan syarikat pengeluar kereta Jepun, Daihatsu Motor Company. 


Monday, September 15, 2014

SOLAT & KESIHATAN

Solat merupakan ibadah harian yang dilakukan sekurang-kurangnya lima kali dalam sehari. Bagaimanapun banyak yang belum diketahui bukan saja tentang solat tetapi juga hikmah di sebalik keperluan mengambil air sembahyang atau wudhu.
Kesempatan menemu bual Dr. Azman Ibrahim, doktor gigi lulusan Universiti Baghdad, Iraq selepas ceramahnya tentang Solat dan Sains di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya merungkai pelbagai persoalan berkaitan solat dan kesihatan apabila dilakukan dengan sempurna dan tertib.
"Saya mula menjalankan kajian solat dan kesihatan semasa melanjutkan pelajaran di Baghdad memandangkan bandar berkenaan adalah gedung ilmu yang terkemuka suatu ketika dulu," katanya.
Menurut Dr. Azman, terlalu banyak hikmah mengenai wudhu dan solat yang boleh diketengahkan dan dikaji bukan saja oleh saintis Islam dahulu malah saintis bukan Islam di zaman ini.
"Misalnya pakar perubatan mendapati di bawah lapisan kulit manusia terdapat banyak mikroorganisma yang hidup secara komensalisme dan wudhu serta mandi ialah cara membersihkan badan daripada bakteria selepas melakukan pelbagai aktiviti harian," katanya.

Apabila bakteria terkena air ia akan mati dan tidak menjangkiti orang lain sekali gus menjadikan badan bebas daripada jangkitan dan wabak penyakit tetapi dalam keadaan tiada air, umat Islam dibolehkan bertayamum untuk bersuci.
"Apabila bakteria terkena air ia akan mati disebabkan oleh perbezaan tekanan osmosis di dalam badan sehingga air boleh menerap masuk ke dalam badan dan mati akibat terhidrasi.
"Tayamum pula ialah satu simbol bersuci yang dibolehkan kerana darurat dan boleh menggantikan mandi dan wudhu semasa ketiadaan air atau ketika sakit dan tidak boleh terkena air. Ini bermakna tayamum dan wudhu boleh mematikan kuman yang boleh memudaratkan tubuh badan manusia," tambah Dr. Azman.
Merujuk kepada buku tulisan Mukhtar Salam, Prayers: A Sport for the Soul and Body, berwudhu dengan sempurna ialah amalan yang mampu mencegah seseorang daripada kanser.
Dr. Azman berkata, anggota wudhu seperti muka, tangan hingga siku, kaki, kepala dan telinga ialah anggota yang terdedah semasa menjalani aktiviti harian dan dijadualkan untuk dibasuh sekurang-kurangnya lima kali sehari.
Sementara itu kajian yang dilakukan oleh sekumpulan doktor dari Universiti Iskandariah, Mesir mendapati amalan memasukkan air ke dalam hidung semasa wudhu dapat mencuci rongga hidung daripada kuman yang melekat pada bulu hidung dan secara tidak langsung dapat mencegah penyakit seperti resdung dan sinus.

Titik

Dalam tradisi perubatan Cina pula, apa yang lebih memeranjatkan ialah anggota wudhu meliputi sebahagian besar kawasan titik akupuntur. Dalam ilmu akupuntur terdapat 700 kawasan aktif biologi di mana ia akan merangsang sistem saraf aktif yang terdapat pada bahagian bawah kulit.
Daripada sejumlah titik berkenaan 66 daripadanya ialah kawasan aktif yang sangat sensitif dan 61 berada di kawasan wudhu utama manakala bakinya di kawasan buku lali dan lutut.
"Kerana itu antara tertib semasa berwudhu ialah setiap anggota wudhu perlu digosok dengan teliti dan tidak memadai hanya sekadar disiram. Contohnya amalan membasuh muka dengan teliti akan merangsang sistem usus, perut pundi kencing dan sistem reproduksi wanita.
"Manakala membasuh dan menggosok kaki kanan dapat merangsang sistem tulang, hempedu dan kelenjar tiroid," katanya.
Dr. Azman menambah, ilmu wiring sistem saraf tubuh manusia telah dikuasai oleh pengamal perubatan Cina sejak beribu tahun lalu dan sebenarnya Islam telah lama sampai ke negara China sejak zaman sahabat Rasulullah sebelum ke Tanah Melayu," katanya.
Menyentuh tentang kewajipan solat lima kali sehari, Dr. Azman berkata, ia umpama jumlah kalori tenaga yang diperlukan oleh tubuh.
"Sebagaimana tubuh manusia yang kekurangan makanan, solat memberikan makanan rohani dan jasmani kepada tubuh," katanya.
Ini disokong oleh kajian yang dilakukan oleh pengarang buku The Return to Religious, Dr. Henry C. Link yang juga seorang pakar ujian psikologi membuat kesimpulan bahawa beliau menyedari kepentingan kepercayaan dan keimanan kepada agama dalam kehidupan manusia.

Keperibadian

Beliau mendapati mereka yang mempunyai pegangan agama dan menghadiri dan menjalankan upacara keagamaan memiliki keperibadian yang lebih kuat berbanding mereka yang tidak mempunyai pegangan agama.
Sementara itu Dr. Azman berkata, jadual solat dalam Islam ialah sesuatu yang unik kerana tidak terdapat dalam agama lain sembahyang dilakukan mengikut keadaan perubahan warna dan tenaga.
Tidur waktu malam menyebabkan jiwa berada dalam gelombang delta dengan frekuensi di bawah 4 Hertz dan seluruh tubuh akan berehat tetapi menjelang tengah malam atau sepertiga malam, alam mula bersinar dengan warna putih, merah jambu dan ungu yang selaras dengan frekuensi kelenjar pineal (otak kecil), kelenjar pituitari, talamus dan hipotalamus di mana waktu yang dituntut untuk beribadah.
"Manusia yang sedar akan kepentingan tenaga alam akan menjalani pelbagai jenis meditasi seperti taichi dan qi qong untuk menyerap tenaga alam ke dalam tubuh," katanya.
Dr. Azman berkata, dari segi perubatan, bangun sekitar pukul 3 pagi membolehkan kita menyedut oksigen yang wujud di atmofera bumi hingga masuk fajar dan hanya mereka yang bangun pada waktu itu merasai nikmat oksigen.
"Seorang ilmuwan Mesir, Fadhalla Haeri berkata, saat matahari mula terbenam kira-kira jam 6.30 petang kelenjar pineal mula bekerja mengeluarkan hormon melatonin dalam jumlah besar dan mencapai puncaknya pukul 2 hingga 3 pagi. Hormon ini membentuk kekebalan pada tubuh dan solat menjadi pemangkin untuk mengekalkan melatonin menjadi stabil," katanya.

Menurutnya, sekitar jam 3 pagi juga pengeluaran hormon adrenalin meningkat menyebabkan tekanan darah meningkat walaupun sedang tidur lena. Ketika itu bekalan oksigen ke otak berkurangan menyebabkan kita berat untuk bangun tidur dan menyebabkan gangguan kepada sistem peredaran darah manusia.
Penerima Anugeral Nobel, Furchgott dan Aignarro serta Murad telah menjalankan penyelidikan tentang nitrik oksida yang dapat melebarkan salur darah dan mengelakkan darah beku.

Dr. Azman menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang menyamakan gerakan solat sama seperti meditasi dan yoga.
"Pertama, solat ialah ibadah yang istimewa daripada wahyu Allah manakala yoga atau meditasi ciptaan manusia. Kedua, solat dilakukan dengan susunan masa khusus. Ketiga, solat hanya untuk orang Islam. Keempat solat harus suci daripada hadas kecil dan besar. Kelima solat perlu menutup aurat. Keenam solat berjemaah adalah fardhu kifayah. Ketujuh solat perlu ke arah kiblat dan kelapan solat berbeza dengan yoga dengan adanya azan," katanya yang juga penulis buku Solat dan Sains: Menyingkap Rahsia Solat dari Perspektif Sains.