BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Sunday, July 26, 2015

POTENSI INDUSTRI DAGING ARNAB



Manis! Ya, begitulah reaksi peminat-peminat daging arnab setiap kali menjamah daging tersebut sambil melakukan mimik muka yang menggambarkan keenakan.
Lebih enak apabila daging tersebut dijadikan sate, burger, rendang atau sekadar digoreng.
Penulis juga merupakan salah seorang penggemar daging arnab dan tidak dinafikan, penulisan ini bakal mengundang ketidakselesaan kepada pembaca.
Bunyinya seolah-olah peminat daging arnab merupakan individu yang kejam kerana tergamak menghidangkan haiwan berbadan gebu dan berbulu lembut itu di atas meja.
“Hal ini kerana masyarakat mengklasifikasikan arnab sebagai haiwan peliharaan ibarat memakan daging kucing,” kata Muhammad Zulfadli Zahir, 29, yang merupakan pengurus ladang ternakan daging arnab, Good Tree Garden.
Tahukah anda bahawa lagomorf atau lebih dikenali sebagai arnab merupakan sejenis haiwan liar?
Tidak seperti kucing, sifat arnab sebenarnya lebih suka bergerak bebas dan tidak gemar dibelai melainkan ia telah dilatih.
Selain itu, daging arnab pula sangat berkhasiat dan baik untuk kesihatan.
“Ia rendah kolesterol, lemak, kalori dan lemak tepu di samping daging tersebut mempunyai kadar protein dan kalsium yang tinggi,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! di ladangnya di Sepang, Selangor.
Sungguhpun begitu, industri daging arnab kurang mendapat sambutan terutamanya di Malaysia kerana kurang pendedahan.
Muhammad Zulfadli telah menguruskan ladang ternakan daging arnab seluas 1.2 hektar itu sejak tahun 2013.
Good Tree Garden berfungsi sebagai ladang ternakan dan pusat penyelidikan arnab. Syarikat tersebut turut bekerjasama dengan Persatuan Penternak Arnab Amerika (ARBA) dan Persatuan Sains Arnab Dunia (WRSA).
Baka
Pihaknya menternak hampir 2,000 ekor arnab daripada tiga jenis baka iaitu New Zealand White, Californian dan arnab kampung.
“Baka arnab lain tidak sesuai untuk pedaging kerana kebanyakannya mempunyai bulu lebat dan tulang besar namun kuantiti dagingnya kurang,” jelasnya lagi.

Arnab di ladang Good Tree Garden diberi makan palet, rumput gajah dan jerami sebanyak 200 gram sehari.


Ladang tersebut bertindak sebagai pembekal daging arnab kepada pembeli utama seperti Restoran Haji Samuri di Kajang yang terkenal dengan satenya serta industri perhotelan dan peruncitan.
Daging arnab dijual melalui dua kaedah iaitu arnab hidup atau siap disembelih dan dibungkus ke dalam paket serta dibekukan. Harga satu paket sekilogram daging ialah RM35 (bertulang) dan RM45 (tanpa tulang).
Berkenaan proses penyembelihan, ladang tersebut mengenakan prosedur ketat misalnya, penyembelihan hanya dilakukan dua kali sebulan dan dihadkan sebanyak 100 ekor dalam satu masa.
Arnab yang disembelih berumur dalam lingkungan tiga hingga empat bulan atau ia mencapai berat dua kilogram ke atas.
Seperti haiwan lain, arnab juga mempunyai carta umur. Contohnya, arnab berumur satu minggu bersamaan dengan bayi berusia setahun. Arnab berumur setahun pula bersamaan dengan remaja berusia 21 tahun.
Menurut Muhammad Zulfadli, Good Tree Garden bakal membangunkan rumah penyembelihan khas dan lebih teratur untuk arnab dalam masa terdekat. Pihaknya ketika ini sedang menunggu kelulusan daripada Majlis Perbandaran Sepang.
“Permintaan terhadap daging arnab adalah tinggi. Kami menyasarkan untuk membekalkan daging arnab sebanyak satu tan sebulan.
“Setakat ini, bekalan paling maksimum dapat kami hasilkan hanyalah 250 kilogram sebulan.
“Oleh itu, kami tidak mampu memenuhi permintaan tersebut kerana beberapa faktor seperti kekurangan tenaga kerja, bilangan penternak dan juga produktiviti arnab itu sendiri,” ujar Muhammad Zulfadli yang memberitahu, baka daging arnab terbaik ialah Californian, New Zealand White, Beveren dan Palomino.
Lazimnya, ibu arnab mampu melahirkan anak sebanyak empat hingga 12 ekor. Arnab New Zealand White mampu melahirkan lapan hingga 12 ekor dengan kadar lapan kali dalam setahun.
Kesuburan
Kadar kelahiran juga bergantung kepada beberapa faktor seperti cuaca dan tekanan yang menjejaskan kesuburan arnab.

Sate arnab mempunyai peminatnya yang tersendiri.


Suhu memainkan peranan penting kerana jika arnab berada dalam kepanasan, tahap kesuburan haiwan itu menurun sebanyak 50 peratus. Suhu yang paling sesuai ialah di bawah 30 darjah Celsius.
Hal ini kerana arnab mempunyai bulu tebal dan tidak mengeluarkan peluh atau haba, ia mengeluarkan ‘peluh’ melalui pernafasan.
Apabila arnab bernafas laju seperti tercungap-cungap, ia menggunakan tenaga yang banyak di samping tidak lalu makan atau mengawan serta tidak baik untuk kesihatan.
Sebagai penyelesaian, pihak ladang tersebut memantau suhu sekeliling dengan memasang kipas dan bumbung teduhan untuk mengurangkan haba.
Mengenai pemakanan arnab pula, kebanyakan orang pasti mengaitkan haiwan tersebut dengan lobak merah. Hakikatnya, lobak merah dan buah-buahan ibarat gula-gula dan tidak menyihatkan.
Di ladang tersebut, arnab memakan palet, rumput gajah dan jerami sebanyak 200 gram sehari.
Sementara itu, Penolong Presiden Persatuan Penternak Arnab Malaysia (MRBA), Aisyaturridha Abdullah, 36, menyarankan supaya usahawan berani menceburkan diri dalam industri tersebut.
“Hal ini kerana penternak kecil berasa sukar untuk mendapatkan bekalan daging.
“Good Tree Garden mampu membantu usahawan-usahawan muda ini,” katanya yang memberitahu, daging arnab kini mendapat perhatian negara jiran seperti Brunei dan Singapura.
Tambahnya, pihaknya akan meluaskan empayar dengan mengeksport daging arnab ke luar negara menjelang tahun depan.
Menariknya, Good Tree Garden juga bakal menjadi pusat agropelancongan yang memperkenalkan baka-baka arnab baharu dari Amerika Syarikat dan Eropah.
Terdapat haiwan-haiwan lain yang dibawa masuk seperti burung unta, rusa serta pelbagai spesies burung. Ia mengaplikasikan konsep zoo mini atau petting zoo iaitu pengunjung bukan sahaja melihat malah memberi makan kepada haiwan-haiwan tersebut.
Simposium
Sementara itu, pihak Universiti Malaya dengan kerjasama MRBA telah menganjurkan Pameran dan Simposium Arnab Antarabangsa buat kali kedua di Kompleks Perdana Siswa universiti tersebut pada bulan Mei lalu.
Acara yang berlangsung selama dua hari itu merupakan pameran arnab terbesar di samping menghimpunkan penternak dari seluruh negeri dan mempamerkan baka-baka arnab mereka.

Beginilah rupa daging arnab yang telah siap diproses.


Umumnya, arnab mempunyai lebih 40 jenis baka namun hanya 18 jenis yang diperkenalkan dalam pameran tersebut. Antaranya Netherland Dwarf, Holland Lop, Mini Rex, English Angora, English Spot dan Tan.
Netherland Dwarf merupakan arnab yang paling kecil di samping salah satu baka terkenal selain Holland Lop dan Mini Rex.
Pameran yang diadakan bukan sahaja bertujuan untuk memperkenalkan baka baharu bahkan mengeratkan hubungan antara penternak dan penyelidik arnab di Malaysia, Amerika Syarikat dan Indonesia.
Salah seorang penternak arnab yang berasal dari Rawang, Selangor, Muhammad Afdhal Syofyan, 29, berkata, dia menceburkan diri dalam bidang tersebut atas dasar hobi.
“Kakak saya ada membela Netherland Dwarf dan Mini Rex menyebabkan saya menjadi begitu tertarik pada kedua-dua baka ini. Saya mula membelanya sebagai satu hobi.
“Kemudiannya, idea untuk menternak arnab datang secara tidak langsung dan secara perlahan-lahan saya mempelajari selok-belok bidang ini,” katanya yang sibuk membetulkan postur badan arnab.
Tambahnya, dia begitu tertarik dengan Netherland Dwarf dan Mini Rex kerana bentuk badan serta bulunya. Mini Rex mempunyai bulu lembut ibarat baldu.
Penjagaan
Muhammad Afdhal yang telah menternak arnab sejak tahun 2013 itu memberitahu, penjagaan haiwan kecil seperti arnab dan hamster tidak memerlukan kos yang banyak.
“Berbanding haiwan peliharaan lain, arnab tidak memerlukan penjagaan yang rapi. Makanan arnab juga murah kerana ia memakan sayur-sayuran hijau,” jelasnya.
Muhammad Afdhal juga turut menyertai pertandingan dan pameran berkaitan arnab. Selain itu, dia menjualnya di kedai-kedai haiwan peliharaan. Ia merupakan penglibatannya yang kedua pada pameran tersebut.
Menurutnya, harga arnab berbeza-beza bergantung kepada baka, berat dan saiz badan. Misalnya, Mini Rex berharga RM180 hingga RM800 seekor.

ISKANDAR MALAYSIA TERUS KEMPETITIF

JOHOR BAHRU 26 Julai - Iskandar Malaysia kini mungkin melalui tempoh yang perlahan, namun tidak menimbulkan sebarang masalah berdasarkan momentum pesat yang dialami oleh wilayah ekonomi itu sejak lapan tahun lepas.
Hartanah hanya merupakan satu subbidang sektor yang mengalami kelembapan manakala sektor lain masih bergerak pada kadar yang konsisten seperti yang dirancang.
Ini semua adalah hasil daripada cerita kejayaan ‘menjual impian’ di peringkat domestik dan antarabangsa pada peringkat awal penubuhannya, yang kini bukan lagi sekadar ‘mimpi’ berdasarkan pelbagai tawaran dan peluang yang disediakan.
Sambil memperakui bahawa usaha memperkenal Iskandar Malaysia pada peringkat awal sangat sukar, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim berkata, kejayaan mengetengahkan daya tarikan Iskandar Malaysia dengan pelbagai elemen kepada pelbagai peringkat merupakan usaha yang sangat penting bagi IRDA.
“Sepanjang sembilan tahun lepas, kami dapat simpulkan bahawa Iskandar Malaysia telah berkembang secara konsisten dan berkualiti. Itulah yang sangat pen­ting kepada kami.
“Konsisten dan kualiti menunjukkan Iskandar Malaysia terus kompetitif dengan hakikat bahawa kami dapat mengetengahkan Iskandar Malaysia daripada pelbagai elemen yang menjadikan rantau ini wilayah menarik untuk pelaburan, bekerja serta tempat kediaman,” katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.
Menyentuh mengenai cabaran dalam membangunkan Iskandar Malaysia, Ismail berkata, mengimbangi antara pembangunan dan mengekalkan agenda mesra alam dan kelestarian merupakan tugas yang sukar buat IRDA.
“Pada peringkat awal, cabaran­nya banyak melibatkan usaha untuk memenangi hari dan minda orang ramai dan komuniti perniagaan bahawa Iskandar Malaysia sangat penting untuk mereka dan kami sudah melepasi fasa itu.
“Cabaran hari ini pula berkisar kepada sejauh mana kami dapat meyakinkan masyarakat apa yang akan ditawarkan di Iskandar Malaysia (dan) apa lagi yang akan diba­ngunkan oleh kerajaan dari segi ekosistem yang menjadikan Iskandar Malaysia lebih kompetitif serta peluang yang tersedia,” katanya.
Dengan itu, mereka akan mendapat akses kepada pasaran, peluang untuk wujudkan aktiviti ekonomi dalam kelompok itu, bentuk kualiti hidup yang akan disediakan di situ bagi membolehkan penghuninya bukan sahaja dapat menikmati
tahap pendapatan yang tinggi malah kualiti hidup yang sama baik.
Bagi sektor ekonomi, Ismail berkata, sebahagiannya sudah pun bergerak mengikut rentak masing-masing, ada yang ketinggalan, dan menilai kembali perkembangan lain sebelum memulakan projek.
“Sektor yang tumbuh secara konsisten ialah bidang pelanco­ngan, pendidikan, dan penjagaan kesihatan. Kami kini hampir memenuhi fasa kedua pelan pembangunan Iskandar Malaysia
“Kini sudah mula menyaksikan, mungkin tiga atau lebih sektor bertapak, kreatif, logistik dan minyak serta oleokimia dalam tempoh satu hingga dua tahun,” katanya.
Tiga lagi bidang, elektrik dan elektronik, makanan dan pemprosesan makanan serta perkhidmatan perbankan, menjadikan kesemua sembilan sektor dalam pelan induk Iskandar Malaysia, mungkin dimulakan lewat sedikit.
Sambil menjawab kritikal bahawa kewujudan Iskandar Malaysia ‘mengalih’ atau menjejaskan peranan Kuala Lumpur, Ismail berkata, wilayah ekonomi itu membolehkan penerokaan bidang baharu serta menyediakan alternatif untuk komuniti perniagaan.
Mengenai pelaburan baharu tahun ini, Ismail berkata, sasarannya ialah untuk meraih RM30 bi­lion, dengan kira-kira RM5 bilion menerusi logistik, selain sektor perkilangan.
Menceritakan aspirasi masa depan Iskandar Malaysia, beliau berkata, wilayah ekonomi itu matang dalam tempoh 10 tahun, dan rakyat akan menjadi penerima manfaat terbesar.
“Ia seperti papan pemuka, ba­nyak butang yang perlu akan pantau, sama seperti juruterbang yang menerbangkan kapal terbang, beliau tidak boleh hanya melihat satu butang sahaja. Anda perlu memandang banyak butang bagi memastikan pesawat terbang lancar ke destinasinya. Ini samalah dengan Iskandar Malaysia. Itu sebab saya selalu kata Iskandar Malaysia merupakan sebuah perjalanan.
“Pelepasan pada 2005, pendaratan pada 2025, dan di sepanjang jalan, kami perlu memantau papan pemuka bagi memastikan kami tidak terbang separuh kosong, pastikan bahan api sentiasa ada, sistem penyaman udara berfungsi, penumpang selesa, banyak benda yang kami nak buat,” katanya.
Apa sahaja yang berlaku pada masa depan, Iskandar Malaysia pastinya menjanjikan masa depan yang cerah

Friday, July 24, 2015

JOHOR FREE WIFI

JOHOR BAHRU 23 Julai - Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, kerajaan negeri komited untuk memberikan perkhidmatan wifi yang dikenali sebagai projek 'Johor Free WiFi'.
Ir. Hasni Mohammad
Menurutnya, pada permulaan sebanyak 100 lokasi bakal menikmati kemudahan itu dan akan diuruskan secara langsung oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan peruntukan sebanyak RM3 juta setahun.
“Kita juga mempunyai perancangan untuk menambah 40 lokasi lagi secara berperingkat-peringkat melibatkan kawasan PBT di seluruh negeri yang menjadi tumpuan orang ramai,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.
Hasni berkata, pada masa ini Unit Sains Teknologi dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) negeri sedang dalam proses akhir persiapan untuk melaksanakan perkhidmatan Johor Free WiFi tersebut.
Menurtnya, usaha mewujudkan perkhidmatan WiFi percuma di negeri ini adalah hasil maklum balas rakyat yang diterima menerusi kajian Pelan Suara Hati Johor yang banyak membangkitkan isu kemudahan WiFi dan jaringan telekomunikasi.
Beliau berkata, penembusan jalur lebar isi rumah di negeri ini sudah mencapai 72 peratus, malah kerajaan negeri juga menyediakan pelbagai program bagi menggalakkan penggunaan internet secara berterusan.
“Kita berharap dengan adanya program Johor Free WiFi ini membolehkan masyarakat khususnya golongan muda mendapat akses terhadap internet untuk mendapatkan pelbagai maklumat dengan lebih mudah,” katanya.

Thursday, July 23, 2015

RESTORAN CLAYPOT PATIN TEMPOYAK-TEMERLOH PAHANG

Daerah Temerloh yang terletak bersebelahan jajaran Sungai Pahang sememangnya sinonim dengan keenakan hidangan ikan patin yang menjadi ikon bandar berkenaan.
Tarikan hidangan ikan patin sama ada daripada spesies patin liar atau sangkar dari sungai itu sentiasa menggamit kunjungan pelancong dari dalam dan luar negeri ke daerah ini untuk menjamu selera.
Ekoran sambutan dan permintaan tinggi daripada pelanggan, maka tidak hairanlah kebanyakan kedai serta restoran di daerah ini menyajikan juadah berasaskan ikan patin khususnya masak tempoyak.
Pemilik Restoran Claypot Patin Tempoyak, Rabiah Haron, 56, mencipta kelainan dalam hidangan berasaskan ikan patin dengan menyajikan masakan di dalam mangkuk tanah liat (claypot).
Menurut Rabiah, patin tempoyak yang dihidangkan di dalam claypot itu bukan sahaja mempunyai rasa istimewa, malah kuahnya sentiasa panas.
Katanya, resipi yang diwarisi turun-temurun itu memberikan kelebihan kepada restorannya. Katanya, menu itu bukan sahaja mempunyai kelainan, malah memenuhi cita rasa penggemar ikan sungai tersebut.
“Alhamdulillah, idea daripada anak saya untuk menggunakan claypot dalam masakan ini mendapat sambutan menggalakkan. Menerusi hidangan ini, ikan patin akan disediakan setengah masak terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam claypot,” katanya.
Rabiah memberitahu, resipi patin masak tempoyak itu menggunakan bahan yang mudah tetapi memerlukan sukatan betul bagi memastikan kelazatannya.
Sehubungan itu, katanya, setakat ini hanya dua tukang masak termasuk dirinya melakukan proses memasak ikan berkenaan setiap hari.
Bagi menjamin kesegaran ikan patin berkenaan, dia tidak menyimpannya di dalam peti ais, sebaliknya hanya menggunakan ikan segar yang dibekalkan penjual.
“Saya menggunakan dua jenis tempoyak berkualiti iaitu masam dan manis yang akan dicampur mengikut sukatan tertentu supaya kelazatannya terjamin,'' katanya.
Selain hidangan patin masak tempoyak, restoran itu turut menyediakan pelbagai masakan lain termasuk ikan patin goreng dan nasi ayam.
Rabiah berkata, harga hidangan di restorannya yang dibuka setiap hari dari pukul 10.30 pagi hingga 7 petang adalah berpatutan.
“Kami juga menyediakan khidmat tempahan untuk majlis-majlis keramaian,” katanya.
Orang ramai yang berminat membuat tempahan atau mahu mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Pembantu Pengurus Restoran Claypot Patin Tempoyak, Noradzira Zainuddin di talian 012-9676536

Monday, July 20, 2015

RESTORAN HASLINDA SIM ABDULLAH-BB BANGI




TIDAK dinafikan, masakan Cina hari ini menjadi pilihan ramai untuk dinikmati. Selain rasanya yang enak, turut memenuhi cita rasa masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.
Disebabkan banyak permintaan dalam kalangan masyarakat hari ini terutama sekali orang Melayu yang beragama Islam, maka tidak hairanlah banyak restoran berasaskan masakan Cina yang diusahakan oleh Cina mualaf.
Salah sebuah restoran masakan Cina halal yang cukup popular hari ini ialah Restoran Haslinda Sim Abdullah.
Berasal dari Kuala Lumpur, Haslinda telah membuka restoran pertamanya di Desa Petaling, pada tahun 2001.
Setelah beroperasi sekian lama, akhirnya Haslinda bersama suami membuat keputusan menutup restoran tersebut dan membukanya semula pada sekitar Jun 2010 di Bangi, Selangor.
Sejak itu, restoran tersebut beroperasi sehingga ke hari ini dengan menyajikan pelbagai jenis hidangan masakan Cina yang menjadi pilihan ramai.
Haslinda membuat keputusan menguruskan restoran makan berasaskan masakan Cina tetapi halal apabila dia sendiri susah untuk menikmati sajian Cina setelah memeluk agama Islam.
Disebabkan alasan tersebutlah, Haslinda terfikir untuk membuka sebuah restoran dan pada masa yang sama ingin berkongsi keenakan masakan Cina dengan mereka yang gemar akan masakan tersebut.
Ternyata percaturannya tepat kerana sambutan yang diterima cukup baik dan menurut ibu kepada tiga orang cahaya mata ini kesemua bahan-bahan yang digunakan di restorannya merupakan bahan-bahan segar dan semestinya halal.
Bukan itu sahaja, kesemua sajian yang ditawarkan di restoran tersebut merupakan resipi Haslinda sendiri.
Dia sendiri yang mengajar tukang masak di restoran miliknya itu cara-cara menyediakan sesuatu hidangan, bagaimanapun Haslinda memberitahu dia juga mempunyai dua orang chef yang cukup berpengalaman.
“Di restoran ini, kami menawarkan 14 jenis kategori makanan di mana setiap kategori mengandungi antara lapan hingga 10 jenis masakan,” ujarnya ketika ditemui di restorannya yang terletak di No. 48, Jalan Medan Pusat 2C, Seksyen 9, Pusat Bandar Baru Bangi, Selangor.
Beroperasi setiap hari dari pukul 11 pagi hingga 11 malam, manakala Sabtu, Ahad serta hari cuti umum pada pukul 9 pagi, restoran ini mampu memuatkan sehingga 200 pelanggan pada satu-satu masa.
Menawarkan masakan panas yang hanya dimasak apabila menerima tempahan, Haslinda berkata, dia turut menyediakan dim sum, sajian yang cukup popular untuk pelanggannya.
Berbicara lebih lanjut, kebanyakan sos-sos yang disediakan dibuat sendiri dan tidak terkecuali pes-pes masakan yang lain.
Bukan tidak mempercayai kewibawaan chef serta tukang masaknya untuk menghasilkan setiap masakan yang ditempah pelanggan, menurut Haslinda, ia bertujuan menjaga kualiti serta rasa masakan di situ.
“Konsep yang ada di sini ialah menyediakan pes untuk setiap jenis masakan yang ditawarkan selain bahan-bahan basah yang lain diperoleh daripada pembekal tempatan.
“Ini adalah kerana saya ingin menjaga kualiti serta rasa setiap jenis masakan yang dihasilkan agar tidak lari,” tuturnya.
Ternyata sambutan yang diterima Restoran Haslinda Sim Abdullah di Bangi adalah di luar jangkaan. Disebabkan itu Haslinda bersama suami telah melebarkan lagi sayap perniagaan mereka dengan membuka cawangan di Bahau, Negeri Sembilan.
Telah beroperasi pada 28 April tahun lalu, waktu operasinya adalah sama seperti di Bangi tetapi restoran ini akan menutup operasinya setiap bulan pada minggu kedua dan ketiga hari Rabu.
Jadi kepada mereka yang berhajat untuk menikmati hidangan atau pun berbuka puasa di Restoran Haslinda Sim Abdullah, apa kata anda kunjunginya hari ini atau pun membuat tempahan terlebih dahulu terutama di hujung minggu di talian 012-9206983

Sunday, July 19, 2015

RESTORAN SURAYA SEAFOOD-RAWANG

Menjenguk ke dapur Restoran Suraya Seafood Rawang, Chef Sueha sedang menyediakan menu yang biasa dihidangkan semasa Hari Raya Aidilfitri. Bau harum bahan tumisan memang membuatkan perut penulis dan jurugambar semakin lapar.
Dalam masa tidak sampai setengah jam, Chef Sueha keluar dengan pelbagai hidangan seperti nasi himpit goreng dengan sambal ikan, nasi kerabu, ayam panggang suraya, makaroni cili kering, makaroni bersos tomato, spageti seafood, daging limau purut, asam pedas daging tetel dan ikan talapia masam manis bangkok.
Malah ada beberapa menu yang baru saja dicadangkan dua jam sebelum tiba, semuanya dapat disiapkan dengan segera walaupun Chef Sueha terpaksa keluar membeli beberapa bahan mentah untuk menyediakan hidangan.
Berpengalaman sebagai chef di Brunei dan beberapa buah hotel terkemuka di tanah air, Chef Sueha gemar mencuba dan mencipta resipi baharu. Misalnya resipi daging limau purut yang ringkas dan boleh disediakan tidak sampai setengah jam tetapi rasanya amat menyelerakan.
Tidak suka dengan pembaziran, Chef Sueha mencuba kelainan dengan menghasilkan nasi himpit goreng yang dihidangkan dengan sambal serunding ikan yang pada mulanya untuk makan sendiri dan kawan rapat. Tetapi apabila ramai yang memuji kelazatan nasi himpit goreng, beliau cuba memperkenalkan menu ini dan mendapat sambutan yang menggalakkan.
“Mulanya saya goreng nasi himpit kerana sayang makanan yang terbazir apabila sambal kacang dan rendang sudah kehabisan. Jadi saya cuba buat kelainan dan hasilnya memang menakjubkan. Semua orang suka sebab sedap dan mengelakkan pembaziran,” katanya.
Tapi hidangan istimewa di Restoran Suraya Rawang ialah masakan kampung pantai timur. Paling istimewa ialah nasi kukus serta pelbagai hidangan seperti pulut mangga yang menyelerakan.
Restoran yang dibuka pada pukul 8 pagi hingga 12 malam menyediakan hidangan untuk sarapan pagi, set nasi campur bagi makan tengahari dan ala carte pada waktu petang hingga malam.
Lebih istimewa bagi menghargai pelanggan yang sentiasa memberikan sokongan, mereka semua dijemput hadir ke Rumah Terbuka Restoran Suraya Seafood Rawang bagi merasai air tangan Chef Sueha bermula jam 10 pagi hingga 3.30 petang.
Restoran yang terletak berhampiran McDonalds Rawang mula dibuka 1 Mac tahun ini memperkenalkan pelbagai jenis menu yang boleh dipilih pelanggan dari Timur dan Barat malah bersedia menerima tempahan bagi katering untuk majlis rumah terbuka, majlis korporat atau persendirian.

Wednesday, July 15, 2015

OPERASI RAMADHAN 1436H/2015




CUTI RAMADHAN : 17 & 18 JUN 2015


OPERASI RAMADHAN: 19 JUN-15 JULAI 2015
KEMANGI JALAN BAKEK: 3 PM - 11 PM
KEMANGI KOTA EMAS: 3 PM - 5 AM


 TEMPAHAN MEJA BERBUKA
KEMANGI JALAN BAKEK: 012-9880972
KEMANGI KOTA EMAS: 017-6030972




Sunday, July 5, 2015

KELANTAN DELIGHTS CITTA MALL

NEGERI Pantai Timur sememangnya terkenal dengan makanan tra­di­sional mereka yang sedap dan unik. Nasi dagang, nasi kerabu, laksam dan nasi tumpang antara yang diminati ramai begitu juga kuih-muih mereka yang unik seperti jala mas, buah tanjung dan akok yang agak susah ditemui di tempat lain.
Bila menyebut masakan Pantai Timur, pastinya Restoran Kelantan Delights menjadi pilihan di sekitar Lembah Klang, diiktiraf antara pakar menyediakan hidangan tradisional tersebut yang bertaraf lima bintang.
Ujar Pengurus Besar Kelantan Delights Holding Sdn. Bhd., Azman Fitton, bersempena bulan Ramadan ini, Restoran Kelantan Delights yang terletak di Citta Mall, Ara Damansara memuaskan penggemar masakan Pantai Timur dengan hidangan bufet berbuka puasa sehingga lebih 80 jenis disediakan setiap hari.
Jangan risau, anda boleh menikmati sebanyak mungkin hidangan signatur mereka seperti nasi dagang, nasi kerabu iaitu nasi yang dimasak dengan air rebusan bunga telang yang turut dimasukkan bersama serai, halia, daun kunyit dan limau itu mencipta aroma yang harum sekali gus membangkitkan selera menunggu waktu berbuka.
Tidak lupa nasi dagang mereka yang sungguh istimewa. Beras perang yang dikukus bersama santan yang dimasak bersama halia, halba, bawang kecil, garam dan gula terlebih dahulu itu yang dimakan bersama gulai ikan tongkol, sungguh menyelerakan.
Begitu juga pelbagai masakan tradisional Malaysia lain. Daripada gulai ikan patin masak lemak tempoyak, siput sedut masak lemak, daging masak hitam, dan ikan tenggiri kari bendi dan banyak lagi, ia cukup untuk memuaskan selera anda.
Selain itu, pelbagai hidangan Thai yang unik turut dihidangkan seperti Miang Kam, iaitu daun kaduk yang dimakan bersama kacang, hirisan kelapa, herba dan cili serta dimakan bersama sos hitam khas, memberikan kelainan kepada tetamu.
Kelainan tahun ini, terdapat gerai masakan secara langsung disediakan di perkarangan Restoran Kelantan Delights seperti char kuayteow, kerang bakar, ikan bakar, gulai kawah, pelbagai jenis sup dan banyak lagi.
Setiap hari, kira-kira tiga hingga empat jenis bubur disediakan iaitu bubur pulut hitam, bubur kacang hijau, bubur cha cha, bubur pengat pisang dan bubur nangka.
Bufet berharga RM77 nett untuk dewasa manakala kanak-kanak dari empat hingga 11 tahun pula hanya RM38.50 seorang. Untuk keterangan lanjut dan tempahan, hubungi 03-78316152, 010-7984616, 013-2177001 atau 019-6716135.

Saturday, July 4, 2015

RAHSIA ULAM-ULAMAN

Generasi muda yang tahu makan ulam-ulaman mungkin boleh dibilang dengan jari. Hal itu membuatkan diet harian masyarakat Melayu sejak dahulu itu semakin terhakis daripada kehidupan masyarakat hari ini.
Ada diantara mereka yang tidak menyukai rasa, bau, warna malah merasakan makanan seperti itu tidak mengikut trend sekarang yang lebih bergantug dengan makanan tambahan seperti vitamin, pemutih dan sebagainya.
Mereka sebenarnyanya tidak mengetahui rahsia yang terkandung dalam ulam-ulaman ini yang mampu mencegah pelbagai jenis penyakit selain kebaikan lain seperti awet muda, baik untuk kulit dan sebagainya.
Ia juga adalah salah satu cara untuk kekal muda dan sihat secara alami selain daripada mengeluarkan perbelanjaan besar untuk membeli set makanan tambahan yang terdapat dipasaran.
Ulam boleh dikategorikan kepada keseluruhan tumbuhan iaitu dari pucuk, daun, batang, biji, buah, umbut dan sehinggalah ke bahagian bunga boleh dimanfaatkan dalam diet seharian.
Setiap dari bahagian itu punyai pelbagai khasiat yang mungkin kita tidak tahu tetapi boleh dikatakan menjadi penawar pelbagai penyakit sejak turun-temurun.
Untuk itu, mari kita kenali jenis-jenis ulam yang terdaat di negara ini. Di sini ada beberapa ulam yang popular dan terdapat banyak lagi ulam-ulaman yang boleh didapati dengan bacaan lain.
Jering
  • Ulam yang mempunyai bau yang kuat seperti petai tetapi mempunyai khasiat perubatan yang tinggi.
  • Kaya dengan protein, karbohidrat, lemak, serat, kalsium, fosforus, besi, dan vitamin A, B, C.
  • Ia dipercayai dapat membantu memberi rangsangan untuk memudahkan proses membuang air kecil.
Daun selom
  • Berkhasiat untuk mengubati demam panas dan mengawal penyakit tekanan darah tinggi.
  • Memberi kesan sebagai ejen antireumatik dan membantu menurunkan paras gula dan kolesterol pesakit diabetes.
Cekur
  • Mengandungi provitamin akarotena terutama pada daun yang baru dipetik.
  • Mengandungi vitamin B, C, protein dan mineral yang tersenarai di bawah keluarga halia tetapi kurang popular
  • Mengubati batuk, sakit tekak dan meredakan demam serta mempunyai bahan antibakteria, antikulat dan antikeradangan.
Ulam raja
  • Mengandungi protein, lemak dan karbohidrat serta kaya dengan kalsium dan vitamin A.
  • Bertindak sebagai pembersih darah, menguatkan tulang serta merangsang selera makan kerana rasa dan baunya yang unik.
Pucuk gajus
  • Daun gajus muda berwarna merah atau merah perang dan rasanya yang kelat dan masam.
  • Membantu mengubati masalah cirit-birit, mual dan muntah.
  • Daun tua yang dilumatkan boleh dijadikan ubat untuk kulit melecur atau penyakit kulit lain.
Daun kaduk
  • Mempunyai rupa seperti daun sirih tetapi daunnya lebih lembut dan pedas sedikit apabila dimakan secara dimasak atau mentah.
  • Ulam ini mempunyai khasiat untuk membantu menguatkan tulang, melegakan batuk, selesema dan sengal sendi.
Petai
  • Ulam dari jenis kekacang paling popular
  • Mengandungi protien, lemak, karbohidrat, kalsium, fosforus, zat besi, vitamin A, B1, B2 dan C
  • Mampu merawat penyakit jantung, kencing manis, mencuci buah pinggang
Pegaga
  • Sejenis tumbuhan suka menjalar.
  • Mempunyai kesan antioksida yang mampu memberikan kesihatan dan kecantikan buat wanita.
  • Kajian WHO mendapati pegaga mampu menjana kecergasan fikiran, melancarkan peredaran darah dan meningkatkan kesihatan kulit.

Thursday, July 2, 2015

SENAMAN RINGAN KETIKA BERPUASA

BERSEMPENA bulan Ramadan, ramai yang mengambil kesem­patan berpuasa selama sebulan untuk menguruskan badan agar kelihatan cantik dan segak meng­gayakan baju baru di hari raya.
Selain mengurangkan pemakanan dengan berpuasa, ada yang begitu berazam untuk kurus sehingga sanggup berhempas-pulas di dalam gim dengan melakukan senaman-senaman berat kerana mahu melihat hasil yang drastik.
Menurut pakar pemakanan dan jurulatih persendirian, Kevin Zahri, bulan Ramadan adalah waktu terbaik untuk merehatkan badan yang aktif sepanjang tahun dan membolehkan badan memperbaiki semula struktur otot. Namun jika masih mahu bersenam nasihatnya, lakukan senaman yang betul pada waktu tertentu.
“Waktu terbaik untuk membakar lemak adalah dalam tempoh satu jam sebelum berbuka dengan senaman intensiti rendah iaitu kadar degupan jantung tidak melebihi 65 peratus kadar maksimum seperti joging secara perlahan atau berjalan pantas mengikut kemampuan individu.
“Untuk memastikan anda berada dalam lingkungan 65 peratus kadar degupan jantung, pastikan ketika melakukan senaman, anda masih boleh bercakap dengan rakan di sebelah tanpa tercungap-cungap.
“Saya tidak menggalakkan senaman intensiti tinggi seperti HIIT, Tabata, competitive sports, atau kardio intensiti tinggi dalam keadaan berpuasa kerana senaman intensiti tinggi tanpa air sangat berbahaya dan boleh mengakibatkan pelbagai risiko kecederaan, pengsan, dan serangan jantung,” ujarnya ketika ditemui dalam sesi perkongsian Let’s Talk Constipation anjuran Dulcolax di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Jika masih mahukan senaman berat seperti HIIT atau angkat berat, Kevin menegaskan ia hanya boleh dilakukan selepas waktu berbuka. Nasihatnya, pastikan anda hanya mengambil makanan dan minuman yang mudah hadam, elakkan makanan pepejal, jangan makan banyak sangat dan tunggu dalam 10-20 minit sebelum memulakan senaman.
“Kalau anda berpuasa dengan makanan yang agak berat, anda boleh lakukan HIIT atau angkat berat dalam 60 hingga 90 minit selepas berbuka,” terangnya.
Tambahnya, ibadah sunat Solat Tarawih adalah senaman paling mudah boleh dilakukan bagi mereka yang berpuasa, kerana ia boleh membakar kalori dari 200 hingga 300 kcal bergantung kepada durasi dan suhu masjid atau surau. Namun tegasnya objektif utama bersolat tarawih bukanlah sebagai aktiviti kecergasan.
Di samping dapat mengumpul pahala, ibadat tersebut tetap membantu kesihatan jasmani dan rohani lebih-lebih lagi jika anda berjalan kaki ke masjid.