BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Thursday, June 14, 2012

KUASA SUAMI BUKAN SUATU KEISTIMEWAAN


SEJAK kebelakangan ini kita sering membaca di dada akhbar dan media massa tentang keruntuhan rumah tangga masyarakat Islam. Keruntuhan rumah tangga ini bukan sahaja berlaku di kalangan golongan bawahan malah golongan berada juga tidak dapat lari daripada permasalahan itu.
Ia juga tidak terhad di kalangan orang yang tidak mempunyai didikan agama malah orang yang mendapat pendidikan agama juga seringkali terjerat dalam polemik keruntuhan rumah tangga ini.
Walaupun umat Islam berlumba-lumba untuk mengerjakan kebaikan seperti bersedekah, membuat kebajikan dan mengambil berat kepada orang lain, tetapi sebahagian daripada kita alpa untuk mengerjakan kebaikan kepada orang yang hampir dengan kita.
Sebenarnya Rasulullah SAW lebih mengutamakan melakukan kebaikan kepada orang yang hampir kepada kita seperti keluarga, sanak saudara, jiran tetangga dan mereka yang berada di sekeliling kita.
Perkara ini dapat dilihat daripada beberapa potong hadis Rasulullah yang menerangkan peri pentingnya memperlakukan isteri dengan sebaik-baiknya.
Umpamanya, Rasullullah diriwayatkan bersabda kepada kaum lelaki yang bermaksud, "Ingatlah, terimalah wasiatku, pergaulilah wanita (isteri) dengan baik kerana sesungguhnya mereka adalah tanggungjawab di tangan kamu. Kalian tidak mempunyai apa-apa hak daripada mereka kecuali perkara itu melainkan jika mereka melakukan perbuatan yang menyimpang dan keji. Apabila mereka melakukan perkara tersebut, maka janganlah tidur bersama mereka dan pukullah mereka dengan pukulan yang tidak menyakitkan. Jika mereka patuh kepada kamu maka janganlah kalian mencari jalan menyakiti mereka. Ingatlah, sesungguhnya kamu mempunyai hak atas isteri-isteri kamu dan mereka mempunyai hak ke atas kamu. Adapun hak kalian ke atas isteri-isteri kalian adalah tidak mengajak orang yang kamu benci tidur di atas ranjang kalian dan tidak pula mengajak orang yang kamu benci masuk ke dalam rumah kamu. Dan hak isteri-isteri kamu ke atas kamu adalah memberikan pakaian dan makanan kepada mereka dengan baik."
Sabda Rasulullah di atas, jelas memberi panduan kepada kita tatacara bagaimana pergaulan antara suami isteri harus dilakukan. Ia juga menitikberatkan hak dan tanggungjawab bersama. Malah tanggungjawab mendidik isteri yang terletak di bahu suami juga diperincikan sehingga dalam keadaan isteri melakukan perkara yang menyimpang dan keji pun telah diberikan garis panduan bagaimana menanganinya.
Oleh yang demikian, melayani isteri dengan cara yang terbaik amatlah dituntut dalam Islam. Wanita dijadikan oleh Allah dari tulang rusuk kiri lelaki yang mempunyai signifikan yang amat besar. Tulang rusuk itu sebenar terlalu hampir dengan hati.
Oleh itu, wanita hendaklah sentiasa berada di hati lelaki (suami). Wanita tidak dijadikan dari kepala untuk dijunjung atau dipuja oleh lelaki, mereka juga tidak dijadikan dari kaki untuk dipijak atau dihina oleh lelaki. Inilah kedudukan istimewa wanita yang telah dinobatkan oleh Islam. Tulang rusuk yang bengkok itu pula perlu diluruskan dengan penuh hati-hati dan hikmah agar ia tidak patah semasa diluruskan.
Dalam hadis lain, Rasullullah juga dilaporkan sebagai berkata yang bermaksud, "Seorang mukmin yang imannya paling sempurna adalah yang akhlaknya paling baik. Dan sebaik-baik kamu adalah yang baik terhadap isterinya." Dalam hadis yang lain pula, Rasullullah bersabda maksudnya, "Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah isteri yang solehah."
Jelaslah daripada dua hadis di atas, ketinggian kedudukan isteri di samping suami. Hakikat ini perlulah disedari oleh golongan suami. Ini adalah kerana sebahagian suami yang mengambil mudah peranan isteri dan menganggap isteri perlu patuh kepada segala kehendak suami tanpa mengambil kira perasaan dan kehendak isteri itu sendiri.
Memanglah kuasa ketua keluarga itu diberikan kepada para suami namun kuasa tersebut hendaklah ditadbirkan dengan adil dengan mengambil kira kemampuan, kesusahan dan juga kehendak isteri.
Jika kuasa ini tidak dijalankan dengan sempurna sudah tentu ia akan mengundang polemik antara suami isteri tersebut dan suami yang tidak menjalankan kuasa dengan sempurna, sudah tentu akan dipertanggungjawabkan atas kegagalannya itu. Kuasa tersebut sebenarnya bukanlah suatu keistimewaan tetapi lebih kepada tanggungjawab yang hendaklah digalas dengan sempurna.

Monday, June 11, 2012

KRISTAL BANTU PECAHKAN LEMAK

SEJAK beribu tahun dulu bentuk badan ideal digambarkan sebagai memiliki potongan yang sempurna dan tidak gemuk.
Namun dengan gaya hidup dan pemakanan yang sukar dikawal ramai wanita kini berhadapan dengan kegemukan.
Paling menyedihkan walau pelbagai usaha telah dilakukan seperti bersenam dan mengawal makan, berat badan masih tidak berubah.
Ini kerana ada lelemak degil yang bukan senang untuk dihapuskan hanya dengan melakukan senaman. Pembedahan plastik atau sedut lemak memang menawarkan keputusan serta-merta, namun ia berisiko tinggi.
Dengan kecanggihan teknologi dan kajian yang terbukti berkesan, MCU Beautitudes memperkenalkan Coolsclupting by Zeltiq sebagai satu penyelesaian yang berkesan untuk masalah kegemukan.
Bagi memperkenalkan teknik terbaru yang selamat dan berkesan ini, Mary Chia, pakar kecantikan yang juga pengasas Mary Chia Holdings Limited mempertaruhkan pengalamannya serta ilmu terkini dalam bidang pengurusan berat badan.
Mary Chia memahami apa yang menjadi keutamaan wanita hari ini dan kemahuan mereka terhadap prosedur tidak invasif.
"Sepanjang saya terlibat dalam bidang kecantikan ini saya sudah melihat pelbagai tanggapan tentang bagaimana bentuk badan ideal dan pilihan bagi tiap wanita. Pada tahun 70-an hingga 80-an wanita mahukan bentuk badan seperti atlet dan menjelang 90-an pula mereka mahu lebih langsing seperti peragawati, tapi kini wanita mahukan bentuk tubuh yang 'berbentuk'," kongsi Mary Chia.
Tambah Chia lagi, wanita kini lebih realistik dan pendapat mereka tentang cantik mempunyai keseimbangan.
"Wanita hari ini meletakkan kesihatan dan bentuk tubuh sebagai keutamaan. Mereka bukan saja mahukan kulit yang licin sempurna dan kelihatan muda, malah mereka mahukan tubuh badan yang sihat, bentuk tubuh seperti jam pasir namun yang menjadi masalah ialah lemak degil yang ada pada bahagian tertentu yang sukar dihapuskan," katanya merujuk kepada lemak yang terdapat di bahagian perut, menggeleber dan penuh selulit.
Memang ramai yang mahu mengubah cara hidup mereka ke arah yang lebih baik dengan bersenam dan jaga pemakanan namun usaha tersebut dilihat sebagai satu usaha jangka panjang dan memerlukan komitmen yang tinggi.
"Sebab itu ramai yang memilih untuk menjalani prosedur sedut lemak dan ada juga yang sanggup membeli ubatan herba serta ubatan yang didakwa boleh mengurangkan berat badan.
"Inovasi yang dibawakan oleh MCU Beautitudes ini adalah satu prosedur tanpa invasif yang memberikan kesan pengurangan lemak secara kekal.
"Inovasi ini dihasilkan di Amerika Syarikat (AS) dan juga mendapat kelulusan dari FDA, teknologi ini telah dibangunkan oleh Dr. Dieter Manstein dan Dr. R. Rox Anderson yang keduanya merupakan saintis di University Harvard," katanya.
Untuk menambahkan lagi keyakinan pelanggan, Mary Chia mendapatkan perkhidmatan pakar estetik, Dr. Nicholas Lim yang akan memberikan nasihat dan perkhidmatan kepada pelanggan MCU Beautitudes.
"Saya tahu bahawa bentuk badan memainkan peranan yang penting dalam kehidupan setiap wanita, Coolsculpting by Zeltiq adalah pilihan terbaik yang kami tawarkan", kata Dr. Nicholas.
Kaedah tersebut menggunakan Cryolipolysis satu prosedur perubatan yang mematikan sel kegemukan secara kekal.
Ia memang ringkas, dan prosedur ini hanya membabitkan bahagian yang bermasalah sahaja.
Dr. Nicholas berkata, sel kristal yang digunakan dalam teknik ini akan secara perlahan-lahan memecahkan sel lemak tersebut dan mengeluarkannya dari tubuh.
Dalam masa yang singkat, sel lemak itu akan dipindahkan dan pelanggan pasti akan menyedari keadaan tersebut.
Dengan menggunakan teknik kawalan dan sasaran bentuk tubuh anda akan menjadi seperti diidamkan.
"Pelanggan tidak perlu takut akan pisau pembedahan, menerusi prosedur ini tiada ada istilah seperti masa pemulihan malah pelanggan boleh terus memulakan aktiviti harian mereka sebaik sahaja selesai rawatan," ujar Dr. Nicholas.

SENGSARA DIABETES


SEJAK tiga bulan kebelakangan ini Ahmad Hashim, seorang penghidap diabetes berumur 55 tahun kerap mengalami kehilangan rasa dan kekebasan di tangan dan kakinya. Perkara ini boleh berlaku pada bila-bila masa setiap hari. Puan Salmah, berumur dalam lingkungan empat puluhan pula kerap kali merasai seolah-olah kakinya panas seperti api. Dia tidak faham apa yang sedang berlaku atau mengapa dia mengalami keadaan ini. Seorang lagi penghidap diabetes, Johan Rais mengalami rasa berdenyut dan menjengkelkan di bahagian tangan dan kaki sejak setahun lalu.
Diabetes ialah penyebab paling biasa masalah saraf seperti ini. Jangan anda sekali-kali mengabaikan tanda kerosakan saraf yang disebabkan oleh paras gula darah yang tinggi.
Cara yang terbaik untuk mempastikan dan mencegah diabetes daripada menjadi tidak terkawal ialah mengambil ujian paras gula dalam darah secara berterusan. Daripada keputusan ujian ini anda dapat melakukan perubahan terhadap gaya hidup dan tabiat pemakanan. Jika hasil ujian itu menunjukkan paras dalam gula darah anda lebih tinggi daripada normal, ia menunjukkan pra-diabetes atau diabetes. Diabetes juga menyerang dalam senyap. Lebih lima puluh peratus penghidap diabetes tidak menyedari mereka menghidapi penyakit tersebut; ia merupakan salah satu penyebab utama kematian yang disebabkan oleh sesuatu penyakit di Malaysia.
Ramai orang buat pertama kalinya sedar mereka mempunyai masalah paras gula dalam darah yang tinggi sebaik sahaja mula mengalami kerosakan saraf atau salah satu komplikasi yang mengancam nyawa, seperti pemotongan kaki, kebutaan, penyakit buah pinggang, penyakit jantung dan strok.
Sekiranya berat badan anda berlebihan atau badan anda terlampau gemuk, ini boleh mempercepatkan kemunculan komplikasi diabetes. Diabetes dan segala komplikasinya boleh berlaku pada semua peringkat umur, tidak kira bangsa dan kumpulan etnik.
Menurut Kajian Kesihatan Nasional dan Mobiditi 2006 (National Health and Morbidity Survey 2006), yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan, seorang daripada tujuh warga Malaysia menghidapi diabetes. Namun, ini mungkin hanya satu petanda kecil sahaja bagi suatu masalah yang lebih besar. Ramai pakar yang terkemuka dalam masyarakat perubatan dan nutrisi di Malaysia kini mempercayai diabetes menimpa sejumlah besar penduduk; iaitu sehingga sebanyak 22 peratus daripada jumlah populasi negara ini. Ini bermakna seorang daripada lima orang dewasa di Malaysia adalah penghidap diabetes. Satu fakta yang sangat menakutkan.
Pemotongan anggotaPemotongan anggota merupakan satu kemungkinan besar komplikasi neuropati yang serius. Diabetes ialah salah satu penyebab utama pemotongan bahagian bawah kaki di seluruh dunia sehingga sebanyak 50 peratus daripada semua pemotongan. Risiko pemotongan kaki adalah 27.7 kali ganda lebih tinggi bagi orang yang menghidapi diabetes.
RawatanMenurunkan paras gula darah kepada paras normal adalah langkah rawatan yang pertama untuk mencegah kerosakan saraf daripada berterusan. Pemantauan paras gula dalam darah secara kerap, merancang pemakanan, kegiatan fizikal, mengambil ubat atau insulin, akan membantu mengawal paras glukosa dalam darah. Ini mungkin mengambil masa, tetapi umumnya gejala itu akan berkurangan apabila pengawalan glukosa dilakukan dengan baik. Pengawalan yang baik juga membantu mencegah atau melambatkan kemunculan masalah selanjutnya.
Para saintis Jepun kini telah mendapati saraf yang rosak boleh dipulihkan semula dengan mengambil sejenis suplemen yang mudah, dikenali sebagai "mecobalamin" atau "methylcobalamin", iaitu bentuk vitamin B12 yang aktif. Dalam pada itu, mecobalaminmerupakan bentuk Vitamin B12 yang aktif dari segi neurologi. Dengan adanyamecobalamin, hepar tidak perlu lagi menukarkan bentuk vitamin B12 yang tidak aktif (cyanocobalamin) kepada mecobalamin, kerana ia sudah pun aktif dari segi oral.Mecobalamin melindungi daripada penyakit neurologi (saraf) dan penuaan melalui mekanisme unik yang berbeza daripada terapi semasa. Sesetengah gangguan yang mungkin dapat dicegah atau dirawat dengan menggunakan terapi vitamin semula jadi ini termasuklah neuropati periferal. Ambil satu kapsul yang mengandungi 500 mcg tiga kali sehari untuk menggalakkan pertumbuhan saraf yang sihat dan melindungi daripada proses kemerosotan sistem saraf.

ANCAMAN LELAKI LEWAT USIA


KAJIAN menunjukkan lelaki sebenarnya terdedah dengan pelbagai risiko kesihatan dan penyakit. Jangka hayat lelaki kurang lima hingga enam tahun daripada wanita. Lelaki yang berumur 45 hingga 54 tahun tiga kali ganda lebih kerap mati akibat serangan sakit jantung berbanding dengan wanita.
Kadar kematian atas sebab penyakit kronik seperti sakit jantung, kencing manis, penyakit buah pinggang, strok dan kanser di kalangan lelaki juga lebih tinggi.
Antara penyakit yang menjadi risiko utama kaum lelaki kini ialah pembesaran prostat (BPH) dan kanser prostat. Ia merupakan antara pembunuh utama golongan lelaki, tetapi masih ramai di kalangan mereka tidak memiliki kesedaran dan pengetahuan mengenai bahayanya.
Prostat sering dipandang remeh dengan alasan bahawa simptom-simptomnya hanya berkaitan orang tua.
Namun, kanser ini digeruni oleh golongan lelaki kerana ia menduduki tempat teratas dalam carta jenis-jenis kanser yang 'dibenci' lelaki.
Mengapa begitu? Ini kerana prostat yang disifatkan sebagai organ dalaman kaum Adam yang paling berharga mungkin hilang nilai kualitinya apabila ancaman kanser menyerang.
Purata umur kaum lelaki yang kebiasaannya dikenal pasti menghidapi kanser prostat adalah lebih kurang umur 68 tahun.
Bagaimanapun, disebabkan kelenjar prostat mengalami pengembangan dan perubahan dari tahap baligh lagi, adalah digalakkan agar lelaki berumur 50 tahun ke atas menjalani pemeriksaan saringan kanser prostat setahun sekali.
Bagi kaum lelaki yang mempunyai sejarah kanser prostat di dalam keluarga, mereka dinasihatkan supaya membuat saringan tersebut pada usia 45 tahun.
Prostat merupakan kelenjar di pangkal pundi kencing lelaki dan mengelilingi salur kencing yang juga dikenali sebagai uretra.
Saiznya sebesar kacang walnut sementara fungsinya adalah menghasilkan cecair yang beralkali untuk air mani.
Kanser Kanser prostat terjadi apabila sel-sel prostat mengalami mutasi dan bertambah tanpa terkawal. Pada peringkat awal, kanser prostat tidak menyebabkan apa-apa tanda yang ketara berbanding BPH.
Di Malaysia, kanser prostat mewakili 7.4 peratus daripada kes-kes kanser di kalangan lelaki. Terdapat sejumlah 735 kes yang dilaporkan dan didaftarkan, menjadikannya jenis barah keempat paling biasa di kalangan kaum lelaki. Lazimnya, kanser ini membesar dengan perlahan.
Kajian bedah siasat menunjukkan bahawa ramai lelaki berumur (dan kadangkala lelaki muda juga) yang mati akibat penyakit-penyakit lain, juga menghidapi barah prostat yang tidak pernah mendatangkan masalah semasa hayat mereka .
Menurut Pakar Radioterapi dan Onkologi, Datuk Dr. Adel Zaatar, apabila saiz prostat bertambah, ia akan menyebabkan tanda-tanda yang serupa dengan BPH seperti kesusahan keluar air kencing, aliran kencing yang lemah atau kencing kerap.
"Dalam pada itu, mungkin akan terdapat darah yang keluar bersama air kencing pesakit. Pada ketika ini, kanser prostat boleh dikesan secara pemeriksaan dubur kerana ciri-ciri strukturnya yang berbiji-biji kasar serta keras," ujarnya.
Pada peringkat akhir, sel-sel kanser prostat boleh merebak melalui aliran darah ke organ-organ lain seperti tulang, terutamanya tulang paha, serta ke paru-paru.
Seseorang pesakit akan mengalami sakit pada tulang serta masalah bernafas. Sekiranya tulang belakang juga terlibat, tekanan terhadap saraf tunjang akan menyebabkan seseorang itu lumpuh pada kedua-dua kaki.
Tambah Dr. Adel, kanser ini boleh dirawat secara pembedahan dengan mengeluarkan seluruh kelenjar tersebut (radical prostatectomy).
Berdasarkan prosedur ini, radioterapi (sinaran X) juga boleh digunakan untuk merawat kanser prostat dengan memusnahkan sel-sel kanser .
Ia juga digunakan untuk merawat mereka yang mempunyai sel-sel kanser yang telah merebak ke tulang paha dan tulang belakang.
"Rawatan perlu dilakukan awal sebelum simptom menjadi parah. Justeru itu, pemeriksaan awal tentang kanser ini perlu dilakukan awal khususnya golongan lelaki yang berumur 50 tahun ke atas," katanya.
Dr. Adel menjelaskan, terdapat rawatan baru, Jevtana (cabazitaxel) yang digunakan bersama rawatan terapi hormon kanser prostat.
"Berbeza dengan ubat-ubat yang ada sebelum ini, ia menunjukkan kesan yang positif pada pesakit. Misalnya, pesakit lebih selesa selepas menjalani rawatan kimoterapi berbanding dahulu. Ini kerana kesan rambut gugur berkurangan dan pesakit boleh berjalan tanpa bantuan tongkat," ujar Dr. Adel.

Monday, June 4, 2012

IKAN BAKAR PETAI BB BANGI

PEMANDANGAN sebuah bangunan bersebelahan Balai Bomba Bandar Baru Bangi, Selangor itu bagaikan berpesta.Malah, lokasi itu dipenuhi deretan pelbagai jenis kereta di bahu jalan sehingga menyebabkan aliran trafik agak perlahan.Sebaik sahaja memasuki premis, pelbagai kelibat manusia dapat diperhatikan.Ada yang sedang menikmati makanan, kanak-kanak berlari riang di taman permainan malah ada yang bersolat di surau.Itu pemandangan biasa di Restoran Ana Ikan Bakar Petai.Kedatangan kru Jurnal pada Rabu lalu disambut baik oleh pengurus restoran iaitu Aiman Deraman , 37, yang berasal dari Kuantan, Pahang.Segak berkemeja, berseluar jean serta berkopiah beliau menjemput penulis dengan senyuman.
Suasana bising dengan pelanggan memilih makanan, pelayan restoran mengambil menu selain berbual-bual selepas perut kenyang menjadi perkara biasa di restoran ini.Terasa aroma bau petai yang sedang dibakar membuatkan penulis kecur liur.Memulakan bicara, Aiman memberitahu, perniagaan makanan itu bermula pada tahun 1996 di Tanjung Lumpur, Kuantan, Pahang."Mulanya arwah ayah dan ibu hanya berniaga secara kecil-kecilan menjual otak-otak dan satar."Kemudian ia berkembang dengan restoran makanan yang dimulakan dengan modal yang kecil," katanya.Ketika diajukan soalan mengapa petai yang menjadi ikon ikan bakar restoran itu, Aiman menjelaskan, petai merupakan ulam kesukaan kakaknya Zalina.Jelas Aiman, Zalina sering bereksperimentasi dengan pelbagai resipi sehingga menjadi menu kesukaan ramai di restoran itu.Ternyata, percubaan itu mendatangkan hasil yang lumayan sehingga perniagaan keluarga itu mengambil keputusan melebarkan sayapnya di Bangi, Selangor.Petai cukup popular digunakan sebagai ulam-ulaman terutama bagi masyarakat Melayu.

SOS istimewa membuatkan ikan bakar menjadi lebih enak.
Aiman memberitahu, mereka tidak meminjam daripada bank untuk membuka restoran itu. "Berniaga tidak semestinya perlu meminjam. Menyimpan keuntungan sudah mencukupi untuk membuka cawangan seterusnya," katanya.Tutur Aiman, selain petai, makanan laut yang dimasak di restorannya juga dicampur dengan sos istimewa dan dibungkus di dalam daun pisang."Ramuan sos sama seperti restoran ikan bakar lain dengan menggunakan halia, lengkuas, bawang kecil dan rempah ratus tetapi sukatan setiap bahan itu berbeza."Lucunya, ada pelanggan yang datang meminta petai dalam kuantiti yang banyak sehingga pernah mereka tidak datang ke restoran sebaik mengetahui bekalan ulam itu terputus stok untuk seketika," ujarnya.Bercerita mengenai ikan, kata Aiman, jenahak, merah dan siakap menjadi pilihan utama pelanggan.Cara masakannya pula boleh dibakar atau dimasak pedas, stim atau tiga rasa.
Tidak lengkap berbual dengan Aiman sekiranya tidak bertanya kuantiti daun pisang, petai dan makanan laut yang digunakannya dalam sehari."Sebanyak 300 kilogram (kg) pelbagai jenis ikan digunakan dalam sehari. Sotong pula 70kg, udang 40kg dan lala 50kg."Petai pula 7kg, arang 50kg serta daun pisang 5kg sehari," katanya.Selain makanan laut, satar yang merupakan perniagaan awal keluarga itu turut menjadi tarikan utama pelanggan.Dihasilkan daripada campuran ikan tumbuk, kelapa, gula, bawang, serai, halia, garam dan cili potong, satar sememangnya membuka selera apabila dihidangkan semasa masih panas.

DAUN pisang yang dibalut bersama ikan.
Kerana bahannya yang pelbagai, tidak hairanlah anda akan menikmati tiga rasa utama iaitu masam, masin dan pedas sekali gus sebaik lidah memecah rasa satar.Tidak cukup berbicara mengenai ikan bakar sekiranya tidak merasai sendiri kelazatannya.Penulis diberi peluang merasai kelazatan ikan pari dan ikan sebelah dimasak bersama petai.Uniknya, anda perlu membuka sendiri ikan bakar yang dibalut dengan daun pisang.Sebaik sahaja membukanya, aroma petai berisi sos terus menangkap selera dan membuatkan kecur liur.Ikan yang digunakan ternyata segar manakala teknik bakar menggunakan arang menjadikan makanan menjadi lebih enak.Ia bertambah lazat apabila dicicah dengan cili kicap atau kuah air asam sehingga menyebabkan ramai pelanggan memikirkan kuah air asam itu turut dicampur dengan buah kedondong tetapi sebenarnya tidak.































PETAI dikatakan mempunyai manfaat dari sudut kesihatan kerana mampu menurunkan suhu panas badan seseorang selain didakwa boleh mencerdaskan otak.
"Asam jawa yang digunakan agak berbeza kerana berkualiti tinggi dan diimport khas."Selain itu, sukatan yang digunakan berbeza selain diperam dalam tempoh tertentu," kata Aziz.Bagi seorang pelanggan, Yanty Md. Nur, 24, dia sememangnya seorang penggemar petai."Jika tidak makan petai sehari seperti tidak sempurna hidup rasanya, tetapi ini kali pertama saya makan ikan bakar yang dimasak dengan petai."Rasanya tidak mengecewakan," ujarnya.Shifudin Othman, 36, sanggup datang dari Batu Pahat, Johor untuk menikmati hidangan ikan bakar istimewa itu."Ternyata perjalanan yang agak jauh ke restoran ini agak berbaloi kerana masakannya sedap," katanya.Pendapatnya dipersetujui Khairul Nizam Mohammad, 32, dan Munzilah Md. Rohani, 30.

Saturday, June 2, 2012

SALASILAH KESULTANAN KEDAH

MENGIKUT Hikayat Merong Maha Wangsa, Kedah diasaskan oleh Merong Maha Wangsa dengan gelaran Sultan Mudzaffar Shah. Baginda memerintah dari tahun 1136 hingga 1179. Apabila menyentuh sejarah kesultanan yang panjang, ia pasti berkait rapat dengan salasilah keturunan diraja itu hingga ke hari ini.
Setelah dihitung dari kurun ke-11 hingga abad ke-20, Kedah mempunyai 28 Sultan dengan pemerintah ketika ini ialah Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.Baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-14 menggantikan Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 13 Disember lalu.Sebelum keberangkatan Tuanku Abdul Halim sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda berkenan melantik Jemaah Pemangku Sultan yang terdiri daripada adinda dan anakanda baginda.Jemaah itu dipengerusikan oleh adinda baginda Tunku Bendahara, Datuk Seri Tunku Annuar Sultan Badlishah.
Tiga lagi ahli jemaah ialah adinda baginda, Tunku Temenggong, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah, Tunku Laksamana, Datuk Seri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan anakanda baginda, Tunku Panglima Besar, Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim.Seri Paduka ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 11 April lalu secara gilang-gemilang di Istana Negara yang baharu di Jalan Duta, Kuala Lumpur manakala hari ini, 2 Jun, merupakan tarikh sambutan rasmi keputeraan Seri Paduka. Tuanku Abdul Halim dilahirkan pada 28 November 1927 di Istana Anak Bukit, Alor Setar.Tuanku Abdul Halim bertemu jodoh dengan Almarhumah Tuanku Sultanah Bahiyah pada Mac 1956 dan istiadat perkahwinan berlangsung di Istana Seri Menanti, Negeri Sembilan.
Almarhumah merupakan puteri sulung Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Abdul Rahman Muhammad yang juga Yang di-Pertuan Agong pertama Persekutuan Tanah Melayu.
Baginda berangkat ke England pada bulan Februari 1949 hingga 1955 bagi melanjutkan pelajaran di Wadham College, Oxford dalam bidang Sains Kemasyarakatan dan Pentadbiran Awam.Menurut tokoh sejarah Kedah, Datuk Wan Shamsuddin Mohd. Yusof, baginda berkenalan dengan Almarhumah ketika belajar di England.Katanya, proses perkahwinan baginda berdua mengikut adat istiadat silam yang dimulai dengan majlis merisik, meminang, hantar belanja dan mas kahwin, akad nikah seterusnya kenduri kahwin.
TUANKU Abdul Halim (dua dari kiri) bersama ayahanda dan bonda serta adik-beradik. Foto ini dirakam pada tahun 1930-an.
“Proses itu sama seperti kebiasaan yang dibuat rakyat dengan menghantar rombongan meminang. Seperti lazimnya, beberapa barang hantaran berupa cenderamata termasuk cincin dan tepak sirih berisi buah pinang melambangkan majlis meminang,” katanya.Wan Shamsuddin memberitahu, kemuncak istiadat ialah pada hari ketiga apabila berlangsung upacara mandi-manda iaitu aktiviti simbah-menyimbah air. Acara diadakan di pentas khas yang dipanggil Panca Persada.“Pada istiadat itu, baginda berdua saling menyiram air antara mereka selain turut dimeriahkan dengan kehadiran pembesar negeri dan rakyat jelata,” ujarnya membuat kajian tentang sejarah Kesultanan Kedah mulai tahun 1956.Hasil perkahwinan diraja ini, Tuanku berdua dikurniakan tiga puteri iaitu Tunku Soraya, Tunku Sarina (mangkat) dan Tunku Puteri Intan Safinaz.Pada 26 Ogos 2003, Tuanku Sultanah Bahiyah mangkat di Istana Kuala Chegar, Anak Bukit.
Istiadat perkahwinan
Pada 9 Januari 2004 telah berlangsung satu istiadat gilang-gemilang permasyhuran Che Puan Haminah Hamidun pula sebagai Sultanah Kedah yang baru dengan gelaran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah Kedah.Tuanku Sultanah Haminah dilahirkan di Bagan Serai, Perak dan berkahwin dengan Tuanku Sultan Abdul Halim pada 25 Disember 1975.Mengimbas perkahwinan ayahanda Tuanku Abdul Halim, Sultan Badlishah Sultan Abdul Hamid pula, baginda menikahi Tunku Sofiah Tunku Mahmud pada tahun 1943 di Istana Anak Bukit.Menurut Wan Shamsuddin, istiadat perkahwinan baginda berdua berlangsung penuh meriah selama tiga hari dengan dihadiri pembesar negeri dan rakyat jelata.
AYAHANDA bonda Tuanku Abdul Halim, Sultan Badlishah dan Tunku Sofiah.
“Istiadat perkahwinan baginda mengikut adat resam dan turun-temurun sejak Sultan Abdul Hamid. Upacara mandi-manda ini turut dibuat pada istiadat perkahwinan baginda berdua,” kata pengkaji sejarah berusia 79 tahun ini.Hasil perkahwinan Sultan Badlishah dan Tunku Sofiah, baginda dikurniakan tiga putera, Tunku Abdul Hamid, Tunku Abdul Halim dan Tunku Mansor selain dua puteri Tunku Hamidah dan Tunku Sakinah.Menurut salasilah Kesultanan Kedah, Tunku Sofiah adalah anak saudara Tunku Abdul Hamid kerana Tunku Mahmud merupakan adinda Tunku Abdul Hamid.Bagi Wan Shamsuddin, perkahwinan Tunku Sofiah dan Sultan Badlishah yang merupakan sepupu adalah bagi mengukuhkan hubungan dalam kalangan institusi kekeluargaan kerabat diraja Kedah.Sultan Badlishah juga pernah berkahwin dengan Tunku Asma Sultan Sulaiman iaitu kerabat diraja Terengganu dan dikurniakan tujuh anak iaitu Tunku Husna, Tunku Kamariah, Tunku Anuar, Tunku Bishariah, Tunku Badriyatul Jamil, Tunku Abdul Hamid Thani dan Tunku Salehuddin.
Lapan kali kahwin
Berlainan pula bagi nenda Tuanku Abdul Halim, Tuanku Abdul Hamid Halim Shah yang merupakan Sultan Kedah Ke-26 dalam institusi beraja Kedah yang memerintah dari tahun 1882 hingga 1943.Baginda adalah anakanda Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah atau Halim Shah yang merupakan Sultan Kedah Ke-24 yang memerintah dari tahun 1854 hingga 1879.Sultan Ahmad Tajuddin dicatatkan dalam salasilah mempunyai dua orang isteri iaitu Wan Jah Long Nik Abidin dan Wan Hajar Wan Ismail. Sultan Abdul Hamid adalah anak kepada Wan Hajar manakala Sultan Kedah yang Ke-25 ialah Sultan Zainal Rashid Muadzam Shah II (1879 hingga 1881) pula adalah anak Wan Jah.Menurut salasilah Kesultanan Kedah, Sultan Abdul Hamid berkahwin sebanyak lapan kali dengan menikahi wanita Siam dan keturunan Sharifah selain wanita bernama Che Sofiah.


TUANKU Abdul Halim Mu'adzam Shah bersama Tuanku Haminah Hamidun ketika berangkat pulang selepas sambutan penuh istiadat di Dataran Parlimen tahun lalu.
Isteri baginda ialah Che Spachendra, Che Laraseh, Che Samanirat, Che Manjalara, Sharifah Meriam, Sharifah Seha, Sharifah Fatimah dan Che Sofiah.Menurut Wan Shamsuddin, perkahwinan dengan wanita keturunan Siam merupakan perkahwinan politik bagi mengeratkan hubungan antara kerajaan Kedah dan Siam.Katanya, Sultan Abdul Hamid mempunyai 45 anak iaitu 23 putera dan 22 puteri. Sultan Badlishah merupakan anak daripada isteri baginda bernama Che Sofiah.“Menariknya dalam salasilah ini ialah Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang merupakan Perdana Menteri Malaysia pertama adalah adik-beradik Sultan Badlishah dan bapa saudara kepada Tuanku Abdul Halim sekarang.“Tunku Abdul Rahman merupakan anak Sultan Abdul Hamid daripada isteri baginda, Che Manjalara,” katanya.

Friday, June 1, 2012

PESAWAT TERBESAR DIDUNIA MAS A-380 TIBA




PUTRAJAYA 30 Mei - Pesawat baru milik Malaysian Airline System (MAS), Airbus A380 selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pukul 3.30 petang hari ini seperti yang dijadualkan.Pesawat tersebut yang berlepas dari Toulouse, Perancis semalam membawa delegasi terdiri daripada wakil-wakil Airbus dan pegawai kanan MAS diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Jauhari Yahya.Airbus A380 iaitu pesawat terbesar di dunia yang tiba hari ini merupakan salah satu daripada enam buah pesawat yang ditempah oleh MAS.Pegawai Perhubungan Awam MAS, Adlina Azharuddin berkata, MAS merupakan operator pesawat kelapan menerima pesawat bersaiz super jumbo itu.

 Pesawat pertama A380 MAS dijangka tiba di KLIA petang ini


Pesawat terbesar dan paling mesra alam di dunia, Airbus A380, yang kini menjadi milik Malaysia Airlines (MAS), dijangka mendarat di bumi Malaysia pada jam kira-kira 3.00 petang ini.
MAS telah menerima serahan pesawat pertama A380 itu, daripada enam yang ditempah, kelmarin dan kini menjadi pengendali ke-lapan pesawat penumpang itu. 
Ketua Pegawai Operasi Airbus Fabrice Brégier telah menyerahkan pesawat itu kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS Ahmad Jauhari Yahya di Toulouse.
Pesawat yang menggunakan enjin Rolls-Royce Trent 900, menyediakan ciri-ciri premium tiga kelas, yang boleh membawa seramai 494 penumpang. 
Antara ciri-ciri yang ditawarkan ialah tempat baring rata sepenuhnya dalam Kelas Pertama dan Perniagaan, serta tempat duduk lebih lebar yang baharu pada Kelas Ekonomi.
Tempat duduk dalam kesemua kelas dilengkapi dengan sistem hiburan individu dalam penerbangan, USB port dan kemudahan telefon satelit.
Ahmad Jauhari, yang membuat pemeriksaan bagi kali pertama pesawat itu, jelas  sangat teruja.
"Pesawat A380 ini akan menjadi pesawat perdana dengan menawarkan produk dan perkhidmatan premium terbaharu, yang menawarkan tahap keselesaan, kemewahan dan
kemudahan terbaharu bagi penerbangan jarak jauh," katanya.
Sejak memasuki perkhidmatan pada 2007, A380 mencatatkan rekod melangkaui jangkaan, dengan menerbangkan lebih ramai penumpang pada jarak lebih jauh dan pada kos yang lebih rendah, sambil mengurangkan pengeluaran karbon secara signifikan. 
A380 berupaya terbang sejauh 8,300 batu nautika atau 15,300 kilometer. Ini membolehkannya melakukan perkhidmatan tanpa henti dengan muatan penuh dari Kuala Lumpur ke mana-mana destinasi di Eropah atau perkhidmatan sehenti ke destinasi utama di Amerika Syarikat.
Kemunculan sulung pesawat komersil superjumbo itu dijadualkan pada 1 Julai mengikut jadual tiga kali seminggu pada laluan KL-London (MH002/MH003) sebelum melakukan perkhidmatan harian pada Ogos.
Malaysia Airlines akan turut memperkenalkan A380 pada laluan Sydney-Kuala Lumpur mulai 25 September pada perkhidmatan harian MH122/123, bagi menggantikan jadual semasa menggunakan pesawat Boeing 747-400.

Sementara itu dalam satu lagi kenyataan,MAS berkata, pada ketika ini, tidak berlaku sebarang perubahan pegawai dalam struktur pengurusan dan Lembaga Pengarah. 
ia berkata sekiranya berlaku sebarang perubahan kepada situasi semasa, satu pengumuman sewajarnya akan dibuat kepada semua pemegang saham berikutan sebarang keputusan yang dibuat. 
Ia membuat kenyataan ini berikutan satu laporan berita tentang kemungkinan berlaku perubahan pada peringkat pengurusan dan Lembaga Pengarah dalam Malaysia Airlines.