BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Wednesday, August 8, 2012

KAMBING ROSEMARY BERIANI MUAR


BERIANI kambing menu istimewa yang ditawarkan di JM Bariani.
SEPINGGAN nasi beriani gam ayam dengan ayam masak merah, acar buah dan kambing goreng rosemary melengkapkan iftar pada bulan Ramadan.JM Bariani House Sdn. Bhd. yang beribu pejabat di Seksyen 18, Subang Jaya dan 17 cawangannya di sekitar Lembah Klang dan Wilayah Perseketuan menawarkan hidangan beriani dengan pelbagai pilihan lauk-pauk seperti kambing, ayam dan daging. Antara menu sampingan yang turut disediakan di setiap cawangan ialah ayam masak merah, sayur, mi bandung, kuih-muih, rojak, tauhu bakar dan minuman air sirap bandung soda.Beroperasi sejak tahun 1993 di Subang Jaya selaku cawangan pertama JM Bariani, empayar masakan beriani Johor dari Muar ini cukup terkenal dalam kalangan penggemar beriani asli.Pengarah Urusan JM Bariani, Zulkarnain Mustapa berkata, bersempena bulan Ramadan, JM Bariani memperkenalkan hidangan istimewa iaitu kambing goreng rosemary dengan sos rosemary. "Lazimnya kambing dipanggang atau dimasak kari, tetapi buat pertama kali JM Bariani memperkenalkan resipi baharu iaitu kambing goreng rosemary. Ia merupakan satu lagi resipi menggunakan rempah-ratus asli dan bermutu," kata beliau ketika ditemui baru-baru ini.Harga bagi sepinggan kambing goreng rosemary untuk dimakan empat hingga lima orang dijual pada harga RM18.50 manakala makanan signatur JM Bariani iaitu beriani gam pula antara RM13.70 dan RM18 sepinggan.


ORANG ramai berpeluang menempah makanan berbuka secara bufet di JM Bariani di Subang Jaya.


Bagi memudahkan penjadualan, JM Bariani mengkhususkan hari Rabu untuk beriani gam ayam dan hari Sabtu untuk beriani gam kambing. Di Subang Jaya, JM Bariani turut menyediakan makanan secara ala carte seperti pelbagai jenis nasi goreng dan mi goreng.Sungguhpun restoran ini berkonsep ala carte, JM Bariani juga menerima tempahan untuk berbuka secara bufet. Harga yang ditawarkan ialah antara RM25 hingga RM40 bergantung kepada jumlah menu hidangan yang ditempah.Namun, hidangan bufet ini terhad di tingkat atas cawangan ibu pejabat JM Bariani di Subang Jaya sahaja.Zulkarnain menambah, sempena Aidilfitri, JM Bariani turut menjual biskut raya buatan sendiri. Ia boleh didapati di Subang Jaya.Biskut tersebut dihasilkan oleh keluarga Zulkarnain di Muar. Antara biskut yang menjadi pilihan pelanggan ialah tat nanas dan semperit. Biskut-biskut raya ini dijual pada harga antara RM18 hingga RM22.Outlet-outlet JM Bariani beroperasi seperti biasa dari pukul 12 tengah hari hingga 9.30 malam sepanjang bulan Ramadan.Untuk mengetahui lokasi-lokasi JM Bariani atau membuat tempahan boleh melayari laman web www.jmbariani.com.

TELADANI PUASA RASULULLAH

AL-QURAN sebagai kalamullah telah mengabadikan Rasulullah SAW sebagai utusan Allah dan penutup sekelian nabi. Sebagai nabi terakhir, baginda merupakanuswatun hasanah dan menjadi contoh teladan yang baik kepada umatnya.
Dalam ibadat puasa Ramadan, Rasulullah telah menunjukkan teladan yang terbaik untuk diikuti oleh umatnya. Rasulullah SAW telah bersabda dalam sebuah hadis baginda yang bermaksud: "Apabila seorang daripada kamu sekelian berpuasa, maka janganlah ia berkata kotor dan berteriak. Bila dicela orang lain atau dimusuhi, maka katakanlah, sesungguhnya aku ini sedang berpuasa.
Sebagaimana penjelasan baginda Rasulullah sendiri bahawa orang yang berpuasa itu pada hari kiamat nanti bau mulutnya akan lebih harum daripada bau kasturi.
Sama-sama kita renungi beberapa tatacara dan adab puasa yang telah diamalkan oleh baginda sebagai teladan dan iktibar untuk diikuti oleh semua umatnya.
Dalam penyempurnaan ibadat puasa Ramadan, beberapa langkah yang telah diambil oleh baginda antaranya ialah;

Memantapkan niat - Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang tidak menetapkan akan berpuasa sebelum fajar, maka tidak sah puasanya." (riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

Melaksanakan makan sahur - Anas bin Malik r.a. berkata telah bersabda Rasululla SAW yang bermaksud: Sahurlah kamu sekelian, sesungguhnya dalam sahur itu ada keberkatannya. (riwayat Muslim). Menurut Ibnu Hajar al-Asqalani yang dimaksudkan dengan berkat itu ialah ganjaran pahala daripada Allah. Sahur akan menguatkan lagi semangat dalam berpuasa serta dapat membantu seseorang itu untuk melakukan apa juga bentuk ibadat sepanjang ibadat puasa dilaksanakan.

Imsak Rasulullah - Rasulullah SAW bersabda: "Apabila salah seorang daripada kamu mendengar azan Subuh padahal bekas minuman masih di tangannya, maka janganlah ia meletakkannya sehingga dia menyelesaikan meminumnya. (riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah). Keadaan yang digambarkan oleh hadis tersebut ialah kepada seseorang yang terlewat ketika bangun untuk makan sahur.

Mempercepat berbuka - Sahl bin Saad berkata sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: Telah berfirman Allah Taala "hamba-hamba-Ku yang lebih aku cintai ialah mereka yang segera berbuka puasa bila tiba masanya" (riwayat Tirmizi dan Abu Hurairah).

Memperbanyak membaca al-Quran - Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Orang-orang yang berkumpul di masjid dan membaca al-Quran, maka kepada mereka Allah akan menurunkan kelemahan batin dan limpahan rahmat. (riwayat Muslim). Barang siapa yang membaca satu huruf al-Quran, maka pahala untuknya 10 kali ganda. Namun membaca dalam konteks hadis di atas adalah ketenangan dan limpahan rahmat akan lebih mudah dicapai bila tadarus diertikan dengan mempelajari, menelaah dan menikmati al-Quran.

Memperbanyak sedekah - Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadan. Bersedekah bukan hanya memberi wang tetapi termasuklah mengajak orang lain berbuka puasa di rumah kita terutama kepada golongan fakir miskin.
Orang yang berpuasa wajib meninggalkan akhlak yang buruk. Segala tingkahlaku mestilah mencerminkan budi yang luhur dengan menjauhi kelakuan tidak sopan seperti mengumpat, mengeji dan sebagainya sehingga membawa kepada Allah tidak menerima amalan puasanya itu.
Rugi rasanya jika kita membiarkan Ramadan yang sedang kita tempuhi ini berlalu begitu saja sedangkan ganjaran yang sedang menanti adalah terlalu banyak. Lakukan sesuatu yang terbaik di sisi Allah kerana pada setiap malan bulan Ramadan ada suara yang memanggil,
"Wahai orang yang melakukan kebajikan terus tingkatkan apa yang kamu lakukan itu. Wahai orang yang lalai, hentikanlah segera akan kelalaian yang sedang engkau lakukan. Mudah-mudahan Allah akan menunjukkan kita semua jalan yang lurus, menghapuskan dosa dan memasukkan kita dalam golongan manusia yang bebas dari api neraka."

Saturday, August 4, 2012

SINO MELAYU JADI TARUHAN TELUK BATIK RESORT


Sino Melayu jadi taruhan Teluk Batik Resort
Hidangan tiga kaum dalam menu Sino Melayu.
Sino Melayu jadi taruhan Teluk Batik Resort
Steamboat turut disediakan dalam hidangan bufet Ramadan.
Menggunakan konsep 1 Malaysia, bufet Ramadan 2012 di Teluk Batik Resort, Lumut kali ini memperkenalkan  garapan idea masakan dan hidangan tiga bangsa iaitu Melayu, Cina dan India, dengan tema Sino Melayu. Apa yang menarik dalam Sino Melayu? Chef-chef di Teluk Batik Resort mengguna pakai konsep penyatuan cara masakan tiga kaum yang digarap dalam satu menu. Bermula dengan hidangan meja utama seperti lauk-pauk dan sayuran.

Aneka kuih muih juga menggabungkan tiga budaya yang menghasilkan menu Sino Melayu.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, kambing panggang turut menjadi tarikan utama pengunjung untuk berbuka puasa di sini. Mereka yang merancang berbuka puasa di Teluk Batik Resort bakal menikmati pelbagai hidangan bufet Sino Melayu bersama kambing panggang dengan harga RM35 bagi dewasa dan RM20 untuk kanak-kanak.

Apa yang menarik, harga yang ditawarkan amat berpatutan kerana bufet Ramadan ini turut menyediakan steamboat dengan pilihan dua jenis sup.  Pakat ramai-ramai ke Teluk Batik Resort, pastikan anda menempah terlebih dahulu. Untuk keterangan lanjut hubungi 05-6835998.

RAMADHAN DAN KEMENANGAN UMMAH

Ramadan adalah bulan yang mulia disisi Allah SWT. Kehadiran Ramadan umat Islam diwajibkan berpuasa dan melaksanakan ibadah dengan penuh kusyuk semata-mata mencari keredhaan Allah SWT.

Namun begitu dibulan Ramadan ini juga mengandungi rahsia kejayaan Rasulullah SAW dan sahabat-sahabatnya dan juga para mujahid Islam dalam usaha untuk mempertahankan Islam dan mengembalikan balik kedaulatan Islam . Islam hanya mampu dihayati sepenuhnya apabila wujud Daulah Islamiah dan melaksanakan hukum-hukum Allah SWT di dalamnya.

Perlulah kita faham bahawa kewajipan berpuasa dengan kewajipan berjihad tidak ada bezanya. Malah puasa yang sedang umat Islam lakukan benar-benar menjadi penguat rohiyah yang jauh melebihi kekuatan fizikal. Semasa berpuasalah semangat jihad dan pengorbanan akan terbentuk didalam hati dan jiwa orang mukmin.

Terdapat beberapa peristiwa dalam sejarah Islam, kejayaan umat Islam berjaya dalam jihad dan peperangan ketika berhadapan dengan tentera kuffar ianya berlaku didalam bulan Ramadan. Peristiwa-peristiwa tersebut adalah seperti berikut :


Pertama : Perang Badar al-Qubra .

Dengan pertolongan Allah SWT Rasulullah SAW dan sahabat-sahabatnya telah berjaya mengalahkan pasukan kafir Quraish meskipun secara fizikal dan material memihak kepada Quraish.

Perang Badar al-Kubra adalah antara peristiwa penting dalam sejarah Islam yang berlaku pada bulan Ramadan. Perang itu berlaku pada 17 Ramadan tahun kedua hijrah, menyaksikan pertembungan antara tentera Islam yang disertai 313 orang dengan bala tentera kafir musyrikin seramai 1,000 orang.

Jumlah tentera yang tidak seimbang itu menyebabkan Rasulullah berdoa kepada Allah SWT sambil bermunajat: "Ya Allah! Ya Tuhanku! Perkenankan apa yang telah Engkau janjikan kepadaku. Ya Allah! Ya Tuhanku! Jika Jemaah Islam ini binasa, maka tidak akan ada lagi orang yang akan menyembah-Mu di bumi ini."

Baginda terus berdoa sehingga selendangnya jatuh daripada bahunya. Lantas datang Abu Bakar al-Siddiq mengambil selendang itu, lalu meletakkannya kembali pada bahu Baginda. Kemudian beliau berdiri di belakang Rasulullah SAW seraya berkata: "Wahai Nabi Allah! Cukuplah doamu itu kepada Allah. Mudah-mudahan Allah akan makbulkan permintaanmu dan akan penuhi janji-Nya kepadamu."

Selepas itu, turun wahyu yang bermaksud: "(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhan kamu, lalu Allah perkenankan permohonan kamu (dengan firman-Nya): 'Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) daripada malaikat yang datang berturut-turut."
(Surah al-Anfal ayat 9)

Kisah ini menggambarkan dengan jelas peranan doa dalam kehidupan muslim. Setiap muslim dituntut berdoa hanya kepada Allah SWT. Ia juga menunjukkan betapa manusia adalah makhluk lemah dan serba dhaif. Oleh itu, manusia berhajatkan kepada pertolongan Allah sebagai Pencipta alam semesta yang Maha Berkuasa. Kepada-Nya setiap muslim bergantung harapan dan memohon bantuan sebagaimana maksud daripada surah al-Fatihah yang diulang-ulang sekurang-kurang 17 kali sehari semalam maksudnya: "Engkaulah saja (Ya Allah) yang kami sembah dan kepada Engkaulah saja kami memohon pertolongan."
(Surah al-Fatihah, ayat 5)

Maka tidak hairan baginda sentiasa menggalakkan umat Islam agar tidak putus-putus berdoa kepada Allah SAW dalam semua keadaan tidak kira pada masa senang atau susah, kaya atau miskin dan seterusnya. Baginda pernah bersabda maksudnya: "Doa adalah senjata mukmin dan tiang agama serta sinaran cahaya yang menerangi langit dan bumi."
(Hadis riwayat Abu Ya'la)


Kedua : Perang Khandaq .

Pada bulan Ramadan tahun 5H pula, Rasulullah SAW dan para sahabat melakukan persiapan untuk Perang Khandak. Persiapan dilakukan dengan menggali parit (khandak) di sekeliling kota Madinah. Taktik yang diusulkan oleh Salman Al-Farisi ini tidak pernah digunakan oleh bangsa Arab sebelum ini. Peperangan Khandak akhirnya terjadi pada bulan Syawal dan berakhir pada bulan Dzulkaedah dengan kemenangan berpihak kepada kaum muslimin setelah Allah SWT menurunkan bantuan-Nya berupa angit ribut menghancurkan kekuatan tentera kafir Quraish.


Ketiga : Pembukaan Kota Mekah .

Satu lagi peristiwa penting berlaku pada 21 Ramadan 8H yakni Fathul (pembukaan) Mekah. Rasulullah SAW. keluar dari Madinah pada 10 Ramadan dan berpuasa, lalu diikuti para sahabat. Mereka berbuka di suatu tempat yang dipanggil Mukaddid (antara Asfan dengan Amjad). Mekah jatuh ke tangan kaum muslimin tanpa pertumpahan darah. Menurut Ibnu Ishaq, penaklukan itu terjadi pada 10 malam terakhir bulan Ramadan. Peristiwa penting ini telah menyaksikan berapa ramai dari para sahabat khasnya golongan muhajirin menitiskan air mata gembira kerana kejayaan mereka menawan¡ kembali kota yang dulunya menjadi tempat mereka dihina dan diseksa di dalam perjuangan menegakkan agama Allah.

Kisah yang terjadi pada 10 Ramadan tahun ke-8 Hijrah adalah Pembukaan Kota Mekah (Fathul Makkah) di mana umat Islam telah berjaya menakluki Mekah dan ia merupakan kejayaan yang terbesar kepada umat Islam apabila berjaya menguasai Mekah dan Madinah sekaligus menjadikan kedua-duanya sebagai pusat yang penting bagi Daulah Islamiah di bawah kepimpinan Rasulullah SAW.

Kejayaan umat Islam pada waktu itu bukan sahaja dapat menakluki Mekah, bahkan hasil penaklukan kota Mekah itu telah menyebabkan penduduk Mekah yang dahulunya kafir telah berbondong-bondong memasuki agama Allah SWT. Ini terkandung di dalam al-Quran.
Firman Allah SWT maksudnya : "Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Mekah) . Dan engkau melihat manusia berbondong-bondong masuk ke dalam agama Allah. Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampunan padaNya, Sesungguhnya, Dia Maha Penerima Taubat".(Surah an-Nasr ayat 1-3)

Ayat ini jelas menceritakan kisah Fathul Makkah (pembukaan Kota Mekah) dan dalam ayat ini juga, Allah SAW. menyeru agar hamba-hambaNya bertasbih kepadaNya apabila beroleh kemenangan sebagai tanda mensyukuri atas nikmat yang diberikan. Seperti yang kita sedia maklum, kita juga akan bertasbih, bertakbir dan bertahmid meraikan hari kemenangan seperti pada Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Aidil Adha khususnya.

Ibnu Qayyim Al-Jauzi telah berkata : "Ianya satu pembukaan teragung yang dengannya Allah SWT memuliakan agama-Nya, Rasul-Nya, tentera-Nya dan parti-Nya yang beramanah, dengannya juga Allah SWT telah menyelamatkan negeri-negeri-Nya dan rumah-Nya yang telahpun ditetapkan sebagai tempat hidayah untuk seluruh alam, menyelamatkan dari tangan-tangan kafir dan musyrikin, ianya pembukaan yang turut bergembira olehnya penghuni-penghuni langit, lanjutan kemuliaannya melimpah ke angkasa cakerawala hingga dengannya maka berduyun-duyunlah manusia menganut agama-Nya, hingga dengan-Nya wajah bumi terukir seribu senyuman mekar".


Keempat : Tentera Islam mendarat di Pantai Andalusia (Sepanyol).

Pada bulan Ramadan tahun 91H, pasukan tentera Islam mendarat di selatan Pantai Andalusia (Sepanyol) dan terus berjihad. Kemudian pada Ramadan tahun berikutnya Panglima Thariq bin Ziyad berjaya mengalahkan Raja Roderick.


Kelima : Salahuddin Al-Ayyubi mengalahkan tentera salib di Baitul Maqdis.

Pada Ramadan 584H pula menyaksikan Panglima Islam yang terkenal, Salahuddin Al-Ayyubi mendapat kemenangan besar ke atas tentera Salib. Tentera Islam menguasai daerah-daerah yang sebelumnya dikuasai oleh tentera Salib. Oleh kerana bulan Ramadan, penasihat-penasihat Salahuddin menyarankan agar dia berehat kerana risau ajalnya tiba, tetapi Salahuddin menjawab "Umur itu pendek dan ajal itu sentiasa mengancam". Kemudian tentera Islam yang dipimpinnya terus berperang dan berjaya merampas benteng Shafad yang kuat.



Keenam : Tentera Islam mengalahkan tentera Mongol .

Seterusnya dalam bulan Ramadan 658H, tentera Mongol berjaya dikalahkan di Ain Jalut dan Palestin kembali ke tangan kaum muslimin.
Banyak lagi peperangan lain yang berlaku di masa Rasulullah SAW dan juga para khalifah Islam semasa bulan Ramadan yang tidak dapat diungkapkan di sini. Catatan sejarah membuktikan kepada kita bahawa bulan Ramadan bukan sahaja dipenuhi dengan ibadah khusus tetapi juga penuh dengan perjuangan untuk menyebarkan agama Allah SAW dan meninggikan syiar Islam.

Beberapa peristiwa yang tercatat juga menunjukkan betapa Rasulullah SAW. dan para khalifah sentiasa berusaha menyebarkan rahmat Allah di muka bumi dengan jalan dakwah dan jihad meskipun mereka dalam keadaan lapar dan dahaga. Mereka tidak rela melihat dan membiarkan umat Islam terus berada di bawah kekuasaan musuh mereka. Mereka sentiasa memerangi kaum kuffar demi menjaga nasib umat Islam dari ditindas dan diancam oleh musuh Allah SWT.


Sahabat yang dimuliakan,
Oleh itu apakah kita sebagai umat Islam saat ini terfikir akan nasib yang menimpa saudara-saudara kita di Palestin, Iraq, Afghanistan, Khasmir,rohingya dan sebagainya yang sedang ditindas dan mereka menjalani kehidupan yang sukar dan terpaksa mempertahankan maruah diri untuk mempertahankan negara mereka yang diceroboh oleh tentera kuffar. Penderitaan ini yang datang berpanjangan adalah kerana umat Islam telah kehilangan Khalifah Islamiah sejak jatuhnya Khalifah Islamiyah di Turki pada 3 Mac 1924 hinggalah kini.

Sudah 83 tahun Khilafah Islamiyah (Daulah Islam) dihancurkan oleh musuh-musuh Allah dengan kerjasama oleh para pengkhianat dari pemimpin-pemimpin umat Islam sendiri. Sekarang ini, muncul pula para pengkhianat lain yang mewarisi dan mempertahankan negara masing-masing yang telah dihadiahkan oleh penjajah kuffar.

Mereka bersungguh-sungguh mempertahankan negara masing-masing walhal apa yang sepatutnya mereka pertahankan ialah Islam dan umatnya. Mereka takutkan musuh Allah, Amerika dan sekutunya, walhal apa yang sepatutnya mereka takutkan ialah Allah SWT dan azabNya. Mereka mencari perlindungan, kemuliaan dan kekuatan dari orang-orang kafir yang jelas-jelas merupakan musuh Allah dan musuh mereka sendiri, walhal sepatutnya mereka mencari kemuliaan dan kekuatan dari Allah. Mereka menjadi lemah dan pengecut dan tunduk kepada kaum kuffar, walhal Allah SWT. berfirman maksudnya : "Padahal kekuatan itu hanyalah bagi Allah, RasulNya dan bagi orang-orang mukmin, tetapi orang-orang munafik itu tidak mengetahui¡¨
(Surah Al-Munafiqun ayat 8).

Marilah kita mengambil iktibar di sini bahawa bulan Ramadan bukan sahaja dituntut kita mengerjakan ibadah puasa sahaja tetapi dan melahirkan hubungan iman kita dengan Allah SWT tetapi ibadah puasa juga bertujuan memberi keyakinan kepada kita bahawa perlu dikembalikan balik Daulah Islamiah dan meletakkan Islam sebagai satu kuasa yang dapat memerintah dan Islam pastinya akan beroleh kejayaan sekali lagi seperti zaman kegemilangannya sebelum ini. Hanya Allah SWT yang mengetahui masanya.

Alangkah indahnya jika kita dapat hidup mengikut syariat Islam di dalam semua kehidupan kita dan Islam dapat dikembalikan ditempatnya yang sebenarnya dan seluruh muka bumi Allah ini dimakmurkan dengan keadilan Islam.

NUZUL AL-QUR'AN



PENGENALAN

Allah SWT telah menurunkan al-Quran sebagai satu mukjizat yang membuktikan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. dan kewujudan Allah SWT dengan segala sifat-sifat kesempurnaannya. Membaca al-Quran serta menghayati dan mengamalkannya adalah satu ibadat. Ia merupakan satu kitab panduan hidup manusia dan rujukan utama di samping sunnah Rasulullah. Al-Quran dinukilkan kepada kita secara mutawatir, pasti dan qati dan ditulis mashaf yang hari ini lebih dikenali sebagai mashaf Uthmani. Adalah wajar bagi kita umat Islam mengkaji sejarah al-Quran dan perkara yang berkaitan dengannya. Penulisan ini akan mengemukakan satu perbincangan mengenai penurunan al-Quran (Nuzul al-Quran) salah satu aspek daripada pengajian Ulum al-Quran. Ilmu berkaitan Nuzul akan membicarakan mengenai cara-cara wahyu diturunkan, peringkatnya, tempat-tempat turunnya ayat-ayat al-Quran, masanya, awalnya dan akhirnya. Berdasarkan ilmu tersebut, kita dapat mengetahui ayat-ayat Makkiyah dan Madaniyyah dan juga mengetahui asbab al-nuzul.

PENGERTIAN NUZUL AL-QURAN

Daripada segi bahasa, perkataan Nuzul bererti menetap di satu tempat atau turun dari tempat yang tinggi. Kata perbuatannya nazala (نزل) membawa maksud dia telah turun atau dia menjadi tetamu. Sebenarnya penggunaan istilah Nuzul al-Quran ini secara majaz atau simbolik sahaja yang bermaksud pemberitahuan al-Quran. Tujuannya untuk menunjukkan ketinggian al-Quran. Secara teknikalnya Nuzul al-Quran bererti penurunan al-Quran dari langit kepada Nabi Allah yang terakhir. Perkataan Nuzul dalam pelbagai wajah sama ada kata nama, kata perbuatan atau lainnya digunakan dalam al-Quran sebanyak lebih kurang 290 kali. Sebagai contoh, Dia yang telah..menurunkan hujan. (al-Baqarah:22), Dialah.yang menurunkan Taurat dan Injil. (ali Imran:3) dan banyak lagi ayat-ayat lain.

CARA AL-QURAN (WAHYU) DITURUNKAN

Aishah isteri Rasulullah s.a.w. meriwayatkan sebelum Nabi Muhammad diangkat menjadi Rasul, beliau bermimpi perkara yang benar lalu beliau menyendiri di gua Hira beribadah kepada Allah SWT untuk selama beberapa tahun. Di gua berkenaanlah baginda menerima wahyu yang pertama. Harith bin Hisham, seorang sahabat Rasulullah s.a.w. pernah bertanya kepada Baginda bagaimana Wahyu diturunkan kepadanya. Rasulullah menjawab,Kadang-kadang wahyu datang kepada-ku dengan gema (desingan) loceng dan ini amat berat bagi-ku, dan sementara bunyi itu hilang aku mengingati apa yang disampaikan kepada-ku. Kadang ia datang dalam bentuk jelmaan malaikat kepada-ku merupai lelaki, bercakap dengan-ku dan aku menerima apa saja yang disampaikannya kepada-ku.

PERINGKAT PENURUNAN AL-QURAN

Para ulama menyatakan penurunan al-Quran berlaku dalam dua bentuk iaitu secara sekali gus, dan berperingkat. Walau bagaimanapun mereka berselisih pendapat tentang berapa kali berlakunya penurunan al-Quran secara sekali gus. Terdapat tiga pandangan mengenai hal ini, iaitu penurunan al-Quran dari Allah SWT ke al-Lauh al-Mahfuz; kali kedua, dari al-Lauh al-Mahfuz ke Bait al-Izzah di langit dunia; dan kali ketiga, Penurunan kepada Jibril a.s. dalam tempoh 20 malam. Al-Suyuti dalam kitabnya al-Itqan fi Ulum al-Quran berdasarkan tiga riwayat oleh Ibn Abbas, Hakim dan al-Nasai, hanya membahagikan kepada dua peringkat sahaja iaitu dari al-Lauh Mahfuz ke Bait al-Izzah dan dari Bait al-Izzah kepada Rasulullah s.a.w. melalui Jibril a.s.

1. Dari Allah SWT ke al-Lauh al-Mahfuz.

Penurunan ini berlaku sekali gus dengan tujuan untuk membuktikan ketinggian dan kekuasaan Allah SWT. Para Malaikat menyaksikan bahawa segala perkara yang ditentukan oleh Allah SWT di Luh Mahfuz ini benar-benar berlaku. Pendapat ini disandarkan kepada ayat 21 dan 22 surah al-Buruj yang berbunyi, بَلْ هُوَ قُرْآنٌ مجيد فِي لَوْحٍ مَحْفُوظ . (Sebenarnya apa yang engkau sampaikan kepada mereka bukanlah syair atau sihir), bahkan ialah Al-Quran yang tertinggi kemuliaannya; (Lagi yang terpelihara dengan sebaik-baiknya) pada Luh Mahfuz. (al-Buruj:21-22)

2. Dari al-Lauh al-Mahfuz ke Bait al-Izzah di langit dunia.

Penurunan kali kedua secara sekali gus dari al-Lauh al-Mahfuz ke Bait al-Izzah di langit dunia dipercayai berlaku berpandukan kepada tiga (3) ayat al-Quran sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas; Allah SWT berfirman, شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur. (al-Baqarah:185) Firman Allah SWT, إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُبَارَكَةٍ إِنَّا كُنَّا مُنْذِرِينَ Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab). (ad-Dukhan:3) Firman Allah SWT, إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar. (al-Qadr:1) Ibn Abbas juga menyatakan mengikut apa yang diriwayatkan oleh Said b. Jubayr: Al-Quran diturunkan sekali gus pada malam yang penuh berkat. Ikrimah pula meriwayatkan Abdullah bin Abbas berkata: Al-Quran diasingkan daripada al-Dhikr الذكر dan ditempatkan di Bait al-Izzah di langit dunia. Ibn Marduwayh dan al-Baihaqi mencatatkan perbualan antara Atiyyah bin al-Aswad dan Abdullah bin Abbas yang mana Atiyyah agak keliru mengenai penurunan ayat-ayat ini, Pada bulan Ramadhan al-Quran diturunkan, dan Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, ia juga diturunkan pada bulan Syawwal, Dhu al-Qaedah, Dhu al-Hijjah, al-Muharram, Safar dan Rabi al-Awwal.Kemudian Ibn Abbas menjelaskan: Al-Quran diturunkan pada malam Lailatul-Qadar sekali gus kemudiannya untuk diwahyukan kepada Rasulullah s.a.w. secara beransur-ansur selama beberapa bulan dan hari.

3. Dari Bait al-Izzah kepada Rasulullah s.a.w. (dalam masa 20 malam).

Penurunan di peringkat ini telah berlaku secara beransur-ansur. Al-Quran mula diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. sejak baginda dilantik menjadi Rasulullah s.a.w. dan selesai apabila baginda hampir wafat, iaitu dalam tempoh dua puluh tiga tahun. Tiga belas tahun di Makkah dan sepuluh tahun di Madinah al-Munawwarah. Mengikut pendapat ini, Jibril a.s. diberi Malam Lailatul-Qadar setiap tahun, dari mula turun wahyu hingga ke akhirnya sepanjang tempoh kenabian, sebahagian daripada al-Quran disimpan di Bait al-Izzah yang mencukupi baginya untuk disampaikan kepada Rasulullah s.a.w. dalam masa 20 malam. Pandangan ini dipegang kuat oleh al-Mawardi. Kritikan terhadap Pandangan atau Pendapat di atas. Mengenai pendapat pertama mengenai al-Quran diturunkan sekali gus dari Allah SWT ke al-Lauh Mahfuz tidak disokong oleh bukti yang jelas dan kukuh. Ayat dalam surah al-Buruj yang digunakan sebagai hujah tidak menunjukkan secara tersurat atau tersirat mengenai penurunan sekali gus. Para ulama hanya membuat tafsiran pada ayat ini. Maksud ayat ini menceritakan tentang al-Quran dipelihara daripada sebarang pencemaran. Ayat ini ditujukan kepada musuh-musuh Islam yang cuba menambah, mengurang atau mengubah ayat al-Quran tidak akan dapat berbuat demikian kerana ia akan tetap tulen dan selamat. Tafsiran ini disokong oleh para mufassir seperti Tabari, Baghawi, Razi dan Ibn Kathir. Pendapat kedua tentang penurunan sekali gus ke Bait al-Izzah berpandukan kepada ayat 2, surah al-Baqarah dan ayat 1, surah al-Qadr tidak menyatakan secara jelas mengenai al-Quran diturunkan sekali gus pada malam yang penuh berkat tersebut. Kenyataan al-Quran ini merujuk kepada masa ia diturunkan dan tidak mengenai bagaimana atau cara ia diturunkan. Ulama tabiin yang terkenal Amir al-Shaabi mengatakan: Sudah pasti penurunan al-Quran berlaku pada Malam Lailatul-Qadr pada bulan Ramadhan, dan terus turun dalam masa 23 tahun. Tidak ada Nuzul lain melainkan yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. Jumhur bersetuju yang ayat 1-5 daripada surah al-Alaq diturunkan di akhir Ramadhan 13 tahun sebelum Hijrah. Ketiga-tiga ayat yang dijadikan hujah di atas, tidak dinafikan, merujuk kepada ayat 1-15 surah al-Alaq. Cuma para ulama mentafsirkan ayat 185 surah al-Baqarah sebagai keseluruhan al-Quran. Para ulama, fuqaha, ahli hadith dan ahli tafsir semuanya bersetuju perkataan al-Quran merujuk kepada sebuah al-Quran atau sebahagian daripadanya. Malah ia dinyatakan dalam surah al-Araf, ayat 204, Allah SWT berfirman, وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنْصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat. Mengenai riwayat Ibn Abbas, ia merupakan pandangan beliau dan tidak ada dikaitkan dengan sebarang ucapan Rasulullah s.a.w. sebagai satu sumber menyokong pendapatnya. Suatu persoalan timbul mengapa perkara sepenting ini hanya disebut oleh Ibn Abbas sedangkan di kalangan sahabat yang diiktiraf sebagai pakar al-Quran seperti Abdullah Masud, Ubayy bin Kaab, Zaid bin Thabit dan Muaz bin Jabal tidak membicarakan perkara Nuzul al-Quran yang diturun sekali gus ke Bait al-Izzah. Al-Zarqani berpendapat tidak wajar untuk mempersoalkan atau tidak mempercayai Ibn Abbas kerana beliau dikenali sebagai orang yang tidak ada kaitan dengan cerita-cerita israiliyat serta pendiriannya sebagai sahabat, oleh itu beliau tergolong di bawah Hukm al-Marfu iaitu perkara yang ada hubungan dengan Rasulullah s.a.w. Sebahagian ulama berpendapat penurunan al-Quran hanya sekali sahaja iaitu daripada Allah SWT terus kepada Rasulullah melalui Jibril secara berperingkat dan bukannya tiga kali dari Allah SWT ke al-Lauh al-Mahfuz, ke Bait al-Izzah dan kepada Rasulullah. Penulisan ini tidak akan terbabit dalam perbahasan ulama mengenai jumlah penurunan dan juga mengenai riwayat Ibn Abbas bersandarkan kepada Rasulullah atau tidak. Penulis hanya menyampaikan adanya perbezaan pendapat di kalangan ulama mengenai jumlah Nuzul.

HIKMAT AL-QURAN DITURUNKAN BERANSUR-ANSUR

Al-Quran diturunkan sedikit demi sedikit supaya mudah dihafal, difahami dan dilaksanakan. Ia sebagai satu rahmat dan kurniaan yang sangat berkesan kepada hamba-hambaNya. Sekiranya al-Quran diturunkan sekali gus, sudah tentu ia akan menyusahi dan memberatkan, baik daripada segi hafalan, pemahaman dan pelaksanaannya dalam kehidupan. Al-Khudhari mengatakan tempoh al-Quran diturunkan ialah 22 tahun 22 bulan dan 22 hari, bermula daripada 17hb. Ramadhan tahun 41 kelahiran Rasulullah s.a.w. hinggalah 9hb. Zulhijjah, tahun ke 10 Hijrah. Dalam tempoh tersebut al-Quran dihafal oleh Rasulullah dan para sahabat serta dicatat oleh panitia penulis al-Quran kemudian dikumpulkan pada zaman Sayidina Abu Bakr r.a. dan disempurnakan pada masa Sayidina Uthman r.a. Antara hikmat utama Allah SWT merencanakan penurunan al-Quran kepada baginda Rasulullah SAW ini secara beransur-ansur adalah seperti berikut :

1. Untuk menetapkan jiwa Rasulullah s.a.w. dan menguatkan hatinya. Ini kerana dengan turunnya Jibril a.s. membawa wahyu secara berulang-ulang daripada Allah SWT kepada Rasul-Nya dapat menguatkan jiwa Rasulullah s.a.w. Baginda dapat merasakan pertolongan serta inayat Ilahi tersebut. Tanggungjawab sebagai Nabi adalah berat dan Rasulullah sebagai seorang manusia yang sudah tentu akan menghadapi pelbagai cabaran getir dalam menyampaikan risalah bukan sahaja menghadapi tekanan, sekatan, cercaan, maki hamun malah ancaman nyawa daripada kaumnya sendiri Quraisy dan juga dari kalangan Yahudi dan orang munafik. Tentulah beliau memerlukan belaian wahyu sebagai penenang kepada semua itu.

2. Untuk mendidik masyarakat waktu itu secara beransur-ansur. Ini akan memudahkan mereka untuk memahami al-Quran dan menghafaznya serta dapat beramal dengannya berdasarkan peristiwa-peristiwa yang berlaku di kalangan mereka. Oleh itu mereka dapat mengikis akidah amalan dan adat yang bertentangan dengan Islam secara beransur-ansur. Oleh itu sedikit demi sedikit ianya dapat dihapuskan.

3. Untuk menyesuaikan dengan peristiwa yang baharu berlaku iaitu apabila timbul sesuatu masalah di kalangan mereka, turunlah al-Quran menentukan hukum yang sesuai untuk menyelesaikan masalah tersebut. Contohnya, ayat mengenai persoalan roh dan seumpamanya.

4. Untuk menunjukkan bahawa sumber al-Quran itu Kalam Allah SWT semata-mata. Ia bukan ciptaan Nabi Muhammad s.a.w. atau makhluk lain.

AYAT PERTAMA DAN AKHIR DITURUNKAN

Ketinggian kedudukan al-Quran dan keagungan ajaran-ajarannya akan dapat merobah kehidupan manusia, menghubungkan langit dengan bumi, dan dunia dengan akhirat. Pengetahuan mengenai sejarah perundangan Islam daripada sumber utama iaitu al-Quran akan menggambarkan kepada kita mengenai pemeringkatan hukum dan penyesuaiannya dengan keadaan tempat hukum itu diturunkan yang memerlukan perbahasan mengenai apa yang pertama dan terakhir diturunkan.

1. Yang Pertama Diturunkan

Terdapat empat pendapat mengenai apakah yang mula-mula diturunkan mengenai al-Quran:-

i) Jumhur (Pendapat yang paling rajih atau sahih) bersetuju iaitu yang pertama diturunkan ialah lima ayat pertama daripada surah al-Alaq berdasarkan riwayat Aisyah yang dicatatkan oleh Imam Bukhari, Muslim dan al-Hakim dalam kitab-kitab hadith mereka. Aisyah r.a. menyatakan: Sesungguhnya permulaan wahyu datang kepada Rasulullah s.a.w. melalui mimpi yang benar di waktu tidur. Mimpi itu jelas dan terang bagaikan terangnya pagi hari. Kemudian dia gemar menyendiri dan pergi ke gua Hira untuk beribadah beberapa malam dengan membawa bekal. Sesudah kehabisan bekal, beliau kembali kepada isterinya Khadijah r.a., maka Khadijah pun membekalinya seperti bekal terdahulu sehinggalah beliau didatangi dengan suatu kebenaran (wahyu) di gua Hira tersebut, apabila seorang malaikat (Jibril a.s.) datang kepadanya dan mengatakan: Bacalah! Rasulullah menceritakan, maka aku pun menjawab: Aku tidak tahu membaca. Malaikat tersebut kemudian memeluk-ku sehingga aku merasa sesak nafas, kemudian aku dilepaskannya sambil berkata lagi: Bacalah! Maka aku pun menjawab: Aku tidak tahu membaca. Lalu dia memeluk-ku sampai aku rasa sesak nafas dan dilepaskannya sambil berkata: Bacalah! Aku menjawab: Aku tidak tahu membaca. Maka dia memeluk-ku buat ketiga kalinya seraya berkata: Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan. Menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah! Dan Tuhanmu yang Maha Pemurah! Yang mengajar dengan perantaraan kalam dan mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. Setelah berlaku peristiwa itu kembalilah Rasulullah s.a.w. kepada isterinya Khadijah (membawa ayat-ayat ini) dengan tubuh menggigil sehinggalah akhir hadith. (al-Hadith). Imam-imam yang lain seperti al-Hakim dalam al-Mustadrak, al-Baihaqi dalam al-Dalail dan al-Tabrani dalam al-Kabir mengesahkan ayat tersebut adalah yang pertama diturunkan.

ii) Pendapat lain mengatakan Surah al-Muddathir yang pertama kali diturunkan berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah seorang sahabat. Daripada Abu Salamah bin Abdul Rahman, dia berkata: Aku telah bertanya kepada Jabir bin Abdullah: Yang manakah di antara al-Quran mula-mula diturunkan? Jabir menjawab, يَا أَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ . Aku berkata, Atau اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ . Dia Jabir berkata,Aku katakan kepada-mu apa yang dikatakan Rasulullah s.a.w. kepada kami: Sesungguhnya aku berdiam diri di gua Hira. Maka ketika habis masa diam-ku, aku turun lalu aku susuri lembah. Aku lihat ke depan, ke belakang, ke kanan dan ke kiri. Lalu aku lihat ke langit, tiba-tiba aku melihat Jibril yang amat menakutkan. Maka aku pulang ke Khadijah. Khadijah memerintahkan mereka untuk menyelimuti aku. Mereka pun menyelimuti aku. Lalu Allah menurunkan: ْ يَا أَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ قُمْ فَأَنْذِرWahai orang yang berselimut; bangkitlah, lalu berilah peringatan. . Mengenai hadith Jabir ini, dapatlah disimpulkan iaitu pertanyaan tersebut adalah mengenai surah yang diturunkan secara penuh. Jabir menjelaskan yang surah Muddathir diturunkan secara penuh sebelum surah Iqra selesai diturunkan, karena yang turun pertama sekali daripada surah Iqra itu hanyalah permulaannya saja. Ini diperkuatkan oleh hadith Abu Salamah daripada Jabir yang terdapat dalam Sahih Bukhari dan Muslim. Jabir berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. ketika bercakap mengenai putusnya wahyu, beliau menyebut dalam percakapannya itu, Sewaktu aku berjalan, aku terdengar suara dari langit. Kemudian aku angkat kepala-ku, tiba-tiba aku ternampak malaikat yang mendatangi aku di gua Hira duduk di atas kursi antara langit dan bumi, lalu aku pulang dan aku katakan: Selimutkanlah aku! Mereka pun menyelimuti aku. Lalu Allah menurunkan ayat, يَا أَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ . Hadith ini menggambarkan peristiwa ini terkemudian daripada peristiwa di gua Hira, atau al-Muddathir adalah surah yang pertama diturunkan setelah terputusnya wahyu. Dapat disimpulkan ayat pertama untuk kenabian ialah Iqra dan surah pertama untuk risalah ialah surah al-Muddathir.

iii) Andaian ketiga ialah berdasarkan satu kenyataan yang diperakukan kepada Ali bin Abi Talib, disebut oleh Abi Ishaq daripada Abi Maisarah. Riwayat yang direkodkan oleh al-Wahidi menyebut: Apabila Rasulullah muncul (dari gua Hira) dan mendengar suatu suara menjerit, Wahai Muhammad, Rasulullah terus pulang ke rumah. Waraqah bin Naufal menasihatkan Rasulullah mendengar kepada suara tersebut. Oleh itu apabila Rasulullah kemudiannya mendengar suara tersebut, beliau menyahut; Suara itu berkata, Katakanlah, Aku bersaksi sesungguhnya tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Muhammad pesuruh Allah dan bacalah: الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ..(al-Fatihah: 1-7)

iv) Sebahagian ulama tabiin seperti al-Dhahhak bin Muzahim berpendapat ayat pertama ialah Bismillah. Dia menyebut Abdullah bin Abbas pernah berkata: Perkara pertama yang diturunkan oleh malaikat Jibril a.s. kepada Rasulullah s.a.w. dengan beliau mengatakan, Wahai Muhammad, aku berlindung dengan Allah Yang Maha Mendengar, Maha Mengetahui daripada Syaitan yang dilaknat, dan katakanlah: Bismillahir Rahmanir Rahim (Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang.) Al-Qadhi Abu Bakar al-Baqillani menyebutkan hadith ini sebagai munqati dalam kitabnya, al-Intisar. Menurut al-Zarkasyi di dalam kitabnya al-Burhan, sebahagian besar ulama menyatukan hadith riwayat Aisyah dan Jabir dengan menyimpulkan Jabir mendengar Nabi membicarakan peristiwa permulaan wahyu dan dia mendengar bahagian akhirnya sedang bahagian pertamanya dia tidak mendengar. Jadi Jabir menyangka surah yang didengarnya adalah yang pertama diturunkan, pada hal bukan. Ibn Hibban dalam sahihnya menyatakan tidak ada pertentangan antara kedua hadith tersebut kerana ketika turun kepada Rasulullah Iqra, beliau pulang ke rumah lalu berselimut; kemudian turunlah al-Muddathir. Surah-surah lain yang awal diturunkan termasuklah al-Masad (111), al-Takwir (81), al-Ala (87), al-Lail (92) dan al-Fajr.

Para ulama juga membicarakan ayat-ayat yang mula-mula diturunkan berdasarkan permasalahan atau persoalan tertentu. Di antaranya ia melibatkan

i) Pertama kali mengenai makanan-ayat 145 Surah al-Anam, ayat 145 Surah al-Nahl, ayat 173 Surah al-Baqarah dan ayat 3 Surah al-Maidah;
ii) Pertama kali mengenai minuman- ayat 219 mengenai khamar dalam Surah al-Baqarah, ayat 43 Surah al-Nisa dan ayat 90-91 Surah al-Maidah; dan
iii) Pertama kali mengenai perang iaitu ayat 39 Surah al-Hajj.

2. Yang Terakhir Diturunkan

Pelbagai pendapat mengenai yang terakhir diturunkan tetapi semua pendapat ini tidak mengandungi sesuatu yang dapat disandarkan kepada Rasulullah s.a.w., malah masing-masing merupakan ijtihad atau dugaan. Al-Qadhi Abu Bakar mengatakan mungkin mereka memberitahu apa yang terakhir kali didengar oleh mereka daripada Rasulullah s.a.w. ketika beliau hampir wafat. Antara pendapattersebut ialah:-

i. Pendapat Ibn Abbas-banyak riwayat yang dikaitkan dengan Ibn Abbas:

a. Amir al-Shabi meriwayatkan bahawa Abdullah bin Abbas pernah berkata: Ayat terakhir diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. adalah ayat mengenai riba. Firman Allah, يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَذَرُوا مَا بَقِيَ مِنَ الرِّبَا إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkanlah sisa riba - yang belum dipungut -. (al-Baqarah:278).

b. Ikrimah meriwayatkan bahawa Ibn Abbas menyebut: Ayat al-Quran terakhir diturunkan adalah, وَاتَّقُوا يَوْمًا تُرْجَعُونَ فِيهِ إِلَى اللَّهِ ثُمَّ تُوَفَّى كُلُّ نَفْسٍ مَا كَسَبَتْ وَهُمْ لا يُظْلَمُونَ Dan peliharalah diri-mu daripada azab yang terjadi pada suatu hari kamu semua dikembalikan kepada Allah. (al-Baqarah: 281)

c. Abdullah b. Utbah r.a. katanya, Abdullah bin Abbas berkata kepada saya: Adakah anda tahu ayat yang terakhir sekali turun? Jawab-ku tahu iaitu ِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ (Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan) (al-Nasr: 1). Berkata Ibnu Abbas: Kamu benar.d. Said bin Jubayr mengatakan orang-orang Kufah berselisih tentang ayat, وَمَنْ يَقْتُلْ مُؤْمِنًا مُتَعَمِّدًا فَجَزَاؤُهُ جَهَنَّمُ خَالِدًا فِيهَا وَغَضِبَ اللَّهُ عَلَيْهِ وَلَعَنَهُ وَأَعَدَّ لَهُ عَذَابًا عَظِيمًا Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah Neraka Jahanam, kekal dia di dalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknatnya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar. (Al-Nisa:93). Saya menemui Ibn Abbas dan bertanyakan ayat ini dan beliau berkata: Ayat ini adalah ayat terakhir diturunkan dan selepas itu tidak ada ayat yang menasakhkan ayat ini.

ii. Pendapat al-Bara bin Azib Berikut ialah dua kenyataan yang diriwayatkan oleh beliau:-

a. Abu Ishaq al-Sabiee meriwayatkan bahawa al-Bara mengatakan: Surah lengkap terakhir diturunkan ialah surah Baraah.Bukhari vol 3 Kitab al-Maghazi hadith 4364. b. Abu Ishaq al-Sabiee meriwayatkan bahawa al-Bara mengatakan: Ayat terakhir diturunkan ialah, يَسْتَفْتُونَكَ قُلِ اللَّهُ يُفْتِيكُمْ فِي الْكَلالَة Mereka (orang-orang Islam umat-mu) meminta fatwa kepada-mu (Wahai Muhammad mengenai masalah Kalalah). Katakanlah: Allah memberi fatwa kepada kamu di dalam perkara Kalalah itu(al-Nisa:176)


iii. Pendapat Ubay bin Kaab Yusuf

b. Mihran meriwayatkan daripada Abdullah bin Abbas yang Ubay bin Kaab mengatakan potongan ayat al-Quran terakhir diturunkan ialah, لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِنْ أَنْفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُمْ بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w) yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu dan dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman. (al-Taubah:128)

iv. Pendapat Abdullah bin Amru bin al-As Abu Abdul Rahman al-Halabi mendengar Abdullah b. Amru sebagai berkata: Surah terakhir diturunkan ialah Surah al-Maidah.

v. Pendapat Aishah Jubayr bin Nufayl berkata, Aku pergi menemui Aishah, yang bertanya kepadaku: Adakah kamu membaca Surah al-Maidah? Aku kata: Ya. Dia berkata: Inilah Surah terakhir yang diturunkan

vi. Pendapat Umm Salamah Mujahid b. Jabr mengatakan yang Umm Salamah berkata: Ayat terakhir diturunkan adalah ayat, فَاسْتَجَابَ لَهُمْ رَبُّهُمْ أَنِّي لا أُضِيعُ عَمَلَ عَامِلٍ مِنْكُمْ مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى بَعْضُكُمْ مِنْ بَعْضٍ فَالَّذِينَ هَاجَرُوا وَأُخْرِجُوا مِنْ دِيَارِهِمْ وَأُوذُوا فِي سَبِيلِي وَقَاتَلُوا وَقُتِلُوا لأكَفِّرَنَّ عَنْهُمْ سَيِّئَاتِهِمْ وَلأدْخِلَنَّهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأنْهَارُ ثَوَابًا مِنْ عِنْدِ اللَّهِ وَاللَّهُ عِنْدَهُ حُسْنُ الثَّوَابِ Maka Tuhan mereka perkenan doa mereka (dengan firmanNya): Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan.. (al-Nisa:195) vii. Pendapat Umar al-Khattab Abu Said al-Khudry meriwayatkan daripada Umar al-Khatab yang memberitahu ayat terakhir diturunkan ialah pengharaman riba (al-Baqarah:275) dan Rasulullah s.a.w. wafat beberapa hari selepas itu dan perkara riba tersebut tidak tertinggal tanpa penjelasan. viii. Pendapat Muawiyah bin Abi Sufiyan Amr Qais al-Kufi meriwayatkan Muawiyah mengatakan ayat berikut sebagai ayat terakhir diturunkan, قُلْ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ مِثْلُكُمْ يُوحَى إِلَيَّ أَنَّمَا إِلَهُكُمْ إِلَهٌ وَاحِدٌ فَمَنْ كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلا صَالِحًا وَلا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepada-ku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya. (al-Kahfi:110) Sekiranya kita menganalisis pendapat-pendapat di atas, kita akan menghadapi kesukaran untuk menentukan ayat terakhir diturunkan kepada Rasulullah disebabkan perbezaan pendapat tersebut.

Walau bagaimanapun kita boleh membuat rumusan berdasarkan logik; i. Ayat 275 hingga 281 surah al-Baqarah nampaknya diturunkan bersama kerana ayat ini membicarakan persoalan riba dan hukum berkaitannya. Umar dan Abdullah Ibn Abbas mengatakan ayat riba merupakan ayat terakhir diturunkan boleh dikatakan tepat memandangkan Rasulullah wafat 9 hari selepas ayat ini diturunkan sebagaimana yang diriwayatkan oleh Said bin Jubayr dan Ibn Jurayj mengenai ayat 281, surah al-Baqarah. ii. Pandangan Ibn Abbas mengenai ayat 93 surah al-Nisa ialah tentang ayat terakhir berhubung pembunuhan seorang Muslim, bukannya ayat terakhir al-Quran. Manakala pendapatnya mengenai surah al-Nasr tidak menjadi masalah. Surah al-Nasr kemungkinan merupakan surah pendek yang terakhir diturunkan, sementara surah al-Baraah merupakan surah panjang yang terakhir diturunkan. Ini tidak bercanggah dengan pandangan Aishah dan Ibn Amr yang mengatakan surah al-Maidah merupakan surah penuh terakhir diturunkan. Mereka bermaksud surah terakhir mengenai perkara halal dan haram. iii. Pandangan al-Bara tentang ayat 176 surah al-Nisa sebagai ayat akhir turun ialah ayat akhir tentang faraid. Apa yang diriwayatkan oleh Ubay bin Kaab mengenai ayat 128 hingga 129 surah al-Taubah adalah sebahagian daripada surah tersebut yang diturunkan secara keseluruhan sebagai surah panjang yang terakhir diturunkan. Riwayat Umm Salamah pula bukannya mengenai ayat terakhir tetapi lebih kepada jawapan kepada soalan beliau kepada Rasulullah mengenai kedudukan wanita dalam Islam. Pandangan Muawiyah pula jelas merujuk kepada yang terakhir diturunkan di Mekah melibatkan surah al-Kahfi termasuk ayat terakhirnya.

KESIMPULAN

Surah al-Taubah sebagai surah panjang terakhir turun; Surah al-Nasr surah pendek terakhir turun; dan ayat 275 hingga 281 Surah al-Baqarah merupakan ayat terakhir diturunkan.

Friday, August 3, 2012

KETAHUI PUNCA KERACUNAN MAKANAN



APABILA menyentuh  tentang pemakanan, apa yang terpahat di fikiran  adalah mengenai keenakan makanan tersebut. Tidak pernah kita dengar atau jarang sekali masyarakat mengendahkan samada makanan tersebut  selamat ataupun tidak untuk dimakan. Apa yang  penting makanannya sedap dimakan. Tabiat begini sebenarnya perlu diubah bagi mengelakkan keracunaan makanan.
Pernahkah anda mengalami keracunan makanan? Sekiranya pernah mengalami cirit-birit beberapa jam selepas makan bermakna anda telah mengalami keracunan makanan. Justeru,  anda perlu tahu tentang keselamatan makanan.
Keselamatan makanan bermaksud makanan itu bersih daripada kuman berbahaya, racun, toksin dan bersih daripada najis dan bahan buangan yang lain. Kemudaratan terjadi apabila berlaku pencemaran terhadap makanan/minuman yang seterusnya membawa kepada penyakit bawaan makanan seperti muntah & cirit-birit (diarrhea).
Sebenarnya, penyebab kepada penyakit bawaan makanan ini boleh dikategorikan kepada tiga iaitu secara biologi, secara kimia dan juga fizikal. Antara agen biologi adalah seperti bakteria, kulat, virus dan juga parasit. Walaupun 90% kes penyakit bawaan makanan disebabkan oleh bakteria, namun hanya 4% adalah bakteria berbahaya. Makanan mentah serta yang kurang masak adalah antara tempat di mana bakteria berbahaya ini sering dijumpai seperti salmonella, shigella dan Escherichia.coli (E.coli). Selain bakteria, kulat juga boleh menyebabkan penyakit jangkitan makanan. Kulat boleh menghasilkan toksin yang boleh menyebabkan ketoksikan makanan mudah dijumpai pada makanan seperti roti dan jem.
Tumbuhan seperti cendawan, makanan laut serta bahan kimia industri atau agrikultur adalah antara contoh agen kimia bagi penyakit bawaan makanan. Tumbuhan dan makanan laut menghasilkan toksin yang seterusnya menyebabkan keracunan seperti ikan buntal dan cendawan. Di samping itu, bahan-bahan seperti kaca, batu, kayu, besi, serangga dan lain-lain bahan asing di dalam makanan adalah dikategorikan sebagai bahan cemar fizikal.


Terdapat lima cara mudah bagi mengelak keracunan makanan:

Pertama adalah sentiasa mengekalkan kebersihan. Penyumbang utama kepada masalah penyakit bawaan makanan adalah disebabkan oleh pengurusan dan penyediaan makanan yang tidak bersih. Patogen yang boleh menyebabkan penyakit bawaan makanan bukan sahaja boleh merebak melalui air, dan makanan, tapi juga melalui orang yang mengendalikan makanan. Mengekalkan kebersihan bukan sahaja tertumpu kepada makanan malah turut meliputi individu yang menyediakan makanan. Bagi individu ini, haruslah sentiasa membasuh tangan sebelum dan selepas menyediakan makanan juga selepas menggunakan tandas bagi mengelakkan pencemaran bakteria. Disamping itu, kebersihan di dapur juga penting di mana segala peralatan dan permukaan yang digunakan semasa penyediaan makanan dicuci serta disanitasi. Kawasan dapur dan makanan hendaklah dilindungi daripada serangga, haiwan perosak dan haiwan-haiwan lain.

Kedua, makanan mentah dan yang telah dimasak hendaklah diasingkan terutama daging mentah, ayam dan makanan laut. Gunakanlah peralatan bagi penyediaan bahan mentah seperti pisau dan papan pemotong yang berasingan di samping menggunakan bekas penyimpan bagi menyimpan makanan untuk mengelakkan kontaminasi bersilang antara makanan mentah dan yang telah dimasak. Kontaminasi bersilang adalah pemindahan bakteria atau mikroorganisma lain dari satu makanan ke makanan yang lain.  Dengan bahasa mudahnya, pencemaran silang berlaku apabila bakteria dan virus daripada permukaan tercemar berpindah kepada permukaan yang tidak tercemar. Bakteria ini boleh datang daripada orang, permukaan kerja atau peralatan dan makanan lain.

Ketiga, bagi pencegahan penyakit bawaan makanan adalah, memasak dengan sempurna terutama bagi makanan yang mudah terdedah dengan bakteria seperti daging, ayam telur dan makanan laut. Proses memasak dengan sempurna bukan sahaja dapat menambah kelazatan, memudahkan penghadaman tapi juga bagi membunuh bakteria atau mikroorganisma lain pada makanan. Umumnya, memasak pada suhu didih selama 5 hingga 10 minit telah mencukupi untuk membunuh bakteria. Tetapi perlu dipastikan semua bahagian makanan yang dimasak terutama bahagian dalam makanan mencapai kepanasan yang secukupnya  iaitu, sekurang-kurangnya 73 °C selama 15 saat.

Keempat, makanan yang telah dimasak hendaklah dipanaskan dengan sempurna. Bagi memastikan makanan disediakan dan dimasak dengan sempurna, suhu memainkan peranan yang penting. Semasa menghidang, makanan hendaklah sentiasa panas (melebihi 60°C). Makanan yang telah dimasak tidak boleh ditinggalkan pada suhu bilik lebih dari 2 jam. Namun begitu, harus diingat, makanan yang disimpan di dalam peti sejuk tidak boleh disimpan terlalu lama atau melebihi 5 hari. Makanan beku tidak digalakkan dinyahbeku pada suhu bilik kerana amalan ini dianggap tidak selamat. Makanan yang perlu dinyahbeku boleh melalui 3 cara pilihan seperti berikut:

i.              Makanan yang disejuk beku hendaklah dialihkan dahulu ke bahagian dalam peti sejuk selama 5 jam sebelum digunakan .
ii.             Makanan yang disejuk beku hendaklah dalam bungkusan yang kalis air dan diletakkan di bawah air paip yang mengalir.
iii.            Makanan yang disejuk beku hendaklah dicairkan menggunakan ketuhar gelombang dan diikuti dengan masak secara terus.

Kelima, menggunakan air dan bahan mentah yang selamat. Air yang selamat adalah air yang telah dirawat dan membolehkan anda menggunakannya atau minum dengan selamat. Bahan mentah pula perlulah segar, berkhasiat dan selamat. Seperti yang diketahui sayur-sayuran dan buah-buahan adalah lebih berkhasiat sekiranya dimakan tanpa dimasak. Oleh  itu,  pastikan sayuran dan buah-buahan ini dibasuh sebelum dimakan. Bagi makanan terproses, pilihlah yang selamat seperti susu yang berpasteur selain memastikan makanan yang sudah melebihi tarikh luput tidak digunakan lagi.

 1.1 Suhu Makanan & pertumbuhan bacteria

74 hingga 100°C Suhu memasak membunuh kebanyakan bakteria.
63 hingga 74°C   Suhu hangat menghalang pertumbuhan tetapi sesetengah bakteria boleh hidup
5 hingga 63°C     ZON BAHAYA

Pertumbuhan pantas bakteria & penghasilan toksin
0 hingga 5°C        Peti sejuk, memperlahankan pertumbuhan sesetengah bakteria
-18 hingga 0°C    Pembekuan menghentikan pertumbuhan, tetapi bakteria masih hidup