BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Friday, October 15, 2010

MAKANAN BERASASKAN BELUT POPULAR DI KELANTAN

Belut atau nama saintifiknya Monopterus albus (foto hiasan The Star) termasuk kategori ikan dan berbentuk panjang dengan kepalanya yang bulat dan berinsang. Sungguhpun ramai yang tidak “sudi” makan belut, tetapi diakui, hidupan air tawar ini kaya dengan pelbagai khasiat.
Spesies belut mempunyai nilai pemakanan yang tinggi. Khasiatnya dikatakan setanding ikan tenggiri dan selar, mengandungi 18.6 peratus protein dan 15 peratus lemak.
Belut juga kaya dengan lemak, kalsium, vitamin B, Vitamin D dan zat besi.
Tidak hairanlah ramai yang percaya belut boleh membantu mengubati penyakit seperti buah pinggang, lelah, darah gemuruh, lemah tenaga batin dan penyembuhan luka pembedahan.
Spesies ikan ini jika diamalkan memakannya selalu, dikatakan boleh menguatkan daya tahan tubuh, menormalkan tekanan darah, menghaluskan kulit, mencegah penyakit mata, menguatkan daya ingatan dan membantu mencegah hepatitis.
Belut yang ditangkap lebih mahal
Walaupun tidak ada yang menternaknya secara komersil seperti ternakan ikan keli, belut tetap menjanjikan pulangan yang lumayan kepada penjualnya.
Bahkan, sehingga kini Rosli belum pernah menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan belut. Menurut beliau, restorannya memerlukan bekalan 15 hingga 20 kilogram belut sehari, dan pembekal tidak pernah gagal memenuhi keperluan tersebut.
Bagaimanapun, harga belut yang ditangkap lebih mahal berbanding belut yang diternak. Dikatakan belut liar lebih banyak khasiatnya kerana haiwan tersebut hidup di dalam air tawar dan habitat semulajadi.
Harganya boleh mencecah RM8.00 hingga RM11.00 sekilogram dan meningkat hingga ke RM14.00 sekilogram pada musim hujan. Manakala belut yang dibela harganya adalah RM6.00 hingga RM7.00 sekilogram.
Zaman dahulu, orang yang makan belut dianggap terlalu miskin hinggakan belut pun dibawa balik. Sedangkan hari ini, hidangan belut terutamanya sup belut sukar didapati dan harganya pula lebih mahal daripada sup biasa.
Dek kerana ramai yang telah menyedari khasiat istimewa belut, tidak hairanlah harganya meningkat di pasaran.
Tidak hairanlah gerai milik Rosli Hassan, 42, dari Tumpat ini begitu memukau perhatian ramai. Ada yang ingin mencuba dan ada juga sekadar melihat dengan reaksi yang pelbagai.
Gerai nombor 22 di Tapak Pesta Nasi 100 yang diadakan di padang Stadium Kota Baru baru-baru ini menggamit ramai pelawat.
Malah, Rosli juga pernah beberapa kali mengikut pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyertai pelbagai promosi yang melibatkan promosi hidangan belut ke seluruh Malaysia.
Melihat pengunjung yang berpusu-pusu ke gerai tersebut, pelawat lain juga turut terjenguk-jenguk dan terintai-intai. Apalah yang dijual di situ sehinggakan suasana di hadapan gerai padat dengan orang ramai.
Rupa-rupanya ada demonstrasi masakan. Kelihatan di atas dapur, seperiuk besar sup yang sedang menggelegak mengeluarkan aroma yang sungguh menyelerakan. Di atas meja pula terhidang beberapa jenis masakan daripada belut dan ikan keli Omega 3.
Menu yang tertera ialah nasi belut goreng, nasi paprik belut, nasi sup belut, nasi kerabu belut, nasi tom yam belut, nasi belut goreng ‘krispi’ dan nasi masam manis belut.
Laksa belut popular
Di antara 160 jenis nasi yang dipamerkan, Rosli tampil dengan hidangan menu nasi belut yang agak unik.
Menurut beliau yang telah lapan tahun membuka restoran di kawasan Pantai Seri Tujuh, Tumpat, hidangan belut pada awalnya dahulu kurang dikenali.
“Mungkin sebab ramai yang memikirkan belut adalah sama seperti ular. Tapi sebenarnya, tanggapan tersebut jauh menyimpang.
“Belut adalah spesies ikan. Malah, kalau di utara, laksa belut sangat popular. Di sini pula, saya cuba mempelbagaikan jenis masakannya supaya lebih banyak pilihan,” jelasnya.
Salah seorang pengunjung yang hadir, Hanisah Shahdan, 37, berpendapat hidangan belut bukan sekadar menyelerakan. Rasa isinya yang lembut dan manis seperti ikan keli terasa lebih enak jika dipelbagaikan masakannya.
“Walaupun baru pertama kali mencubanya, saya berpendapat belut yang dimasak paprik memang lazat. Kita sendiri perlu kreatif untuk mempelbagaikan menu belut ini.
“Pada saya, istilah geli tidak timbul kerana belut diakui sejak dahulu lagi adalah makanan yang banyak khasiat. Cuma kalau hendak memasaknya sendiri, mungkin tidak menjadi sebab belut agak sukar dibersihkan.
“Jika tidak kena caranya, mungkin hanyir dan berlendir,” sambung Hanisah yang turut membeli belut goreng krispi untuk anak-anaknya.
Seorang penangkap belut, Razali Mamat, menunjukkan hasil tangkapannya dari sawah-sawah terbiar di kawasan Atas Tol, Kuala Terengganu. (foto fail The Star)
Manakala pengunjung lain, Khairol Amri Usman, 39, pula memilih sup belut untuk hidangan tengah hari itu. Khairol berpendapat tekstur dan isi belut hampir sama seperti ikan keli, dan tidak menghadapi masalah untuk mencubanya.
“Hidangan belut memang patut dipromosi kepada orang ramai bagi berkongsi keenakan dan kelebihan khasiatnya,” katanya.

No comments:

Post a Comment