BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Wednesday, June 15, 2011

TANJUNG KUPANG- IMBAUAN 4 DECEMBER 1977


HUTAN bakau di Tanjung Kupang menjadi kawasan lapang selepas tragedi pesawat terhempas pada 4 Disember 1977.Penduduk Tanjung Kupang panik lihat Boeing 737 terbang rendah sebelum terhempas dalam hutan bakau.Jam menunjukkan sekitar 7.21 malam pada 4 Disember 1977 apabila pesawat Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) Boeing 737 MH653 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang menuju ke Kuala Lumpur sebelum meneruskan penerbangan ke Singapura.
Seramai 93 penumpang antaranya pelancong asing bersama tujuh krew penerbangan berada di dalam pesawat berkenaan. Hampir setengah jam kemudian, pesawat berkenaan melalui Batu Arang dan dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang (LTAS) di Selangor. Bagaimanapun, secara tiba-tiba menara kawalan LTAB menerima makluman daripada juruterbang pesawat bahawa terdapat situasi cemas yang berlaku di dalam penerbangan itu, kira-kira jam 7.54 malam.
Ketika pegawai petugas menara kawalan meminta penjelasan lanjut, juruterbang berkenaan segera membalas dengan menyampaikan satu makluman yang amat mengejutkan - pesawat berkenaan dirampas pihak tertentu!
Mendengar penerangan itu, segera menara kawalan menyediakan landasan untuk pesawat berkenaan mendarat.Pesawat berkenaan terbang semakin rendah untuk mencecah landasan tetapi belum pun sempat ia menjejakkan roda, tiba-tiba ia kembali terbang tinggi meninggalkan daratan.
Tanda tanya terus tercetus tatkala melihat tindakan aneh juruterbang tetapi ketika itu jugalah menara kawalan kembali dimaklumkan juruterbang pesawat berkenaan bahawa mereka akan meneruskan penerbangan ke Singapura.
Menara Kawalan Paya Lebar di Singapura terus dimaklumkan mengenai situasi cemas dihadapi penerbangan MH653 itu dan kelulusan untuk mendarat segera diberikan pihak berkuasa negara terbabit.
Akan tetapi, tidak lama selepas itu, secara tiba-tiba pesawat berkenaan terus hilang daripada radar menara kawalan. Segala usaha untuk mengadakan hubungan radio bagi menghubungi pesawat berkenaan juga gagal.
Runsing, cemas dan tanda tanya terus bercampur baur pada pihak berkaitan tatkala memikirkan kehilangan misteri pesawat terbabit daripada radar selain situasi cemas yang berlaku di dalam penerbangan berkenaan.
Sementara itu, malam yang tenang dan damai menyelubungi beberapa kampung di Tanjung Kupang yang terletak berhampiran Selat Tebrau kira-kira jam 8.30 malam.
Kebanyakan penduduk berada di dalam rumah masing-masing sambil berehat dan menonton televisyen manakala sebilangan lagi melepaskan penat lelah berikutan terdapat kenduri kahwin yang diadakan pada siangnya.
Tidak lama kemudian, satu bunyian aneh yang berdesing seakan bunyi wisel yang kuat mula menggemparkan penduduk kampung. Ada antara mereka yang berlari ke luar rumah untuk memastikan bunyi aneh apakah yang mencemari keheningan malam itu.
Ketika itulah mereka semua tersentak kekejutan - di hadapan mata mereka, kelihatan pesawat gergasi terbang dalam keadaan 'bergoyangan' dan amat rendah sehingga kelihatan seolah-olah berada betul-betul di atas pohon kelapa saja.
Kegemparan di jiwa penduduk masih belum hilang ketika pesawat berkenaan tiba-tiba terbang memutar dan hampir menegak. Satu letupan kuat kedengaran sebelum lampu pesawat itu terpadam dan kapal terbang itu terus terjunam ke satu lokasi berhampiran kampung berkenaan.
Pesawat berkenaan terhempas di permukaan tanah dan menggegarkan kawasan sekitar sehingga ada penduduk menyangka yang gempa bumi berlaku di kampung itu. Gegaran itu diiringi satu letupan teramat kuat dan api mula marak menjulang sehingga berpuluh meter ke udara.
Serentak itu juga banyak barang dan serpihan pesawat melayang bertebaran ke merata arah malah sehingga ke lokasi yang jauh.

Tidak lama kemudian, satu laporan diterima pihak polis berhubung tragedi kapal terbang yang terhempas di kawasan hutan bakau di Tanjung Kupang.
Laporan itu membawa berpuluh jentera bomba, ambulans dan kenderaan menyelamat bersama lebih 100 pihak berkuasa termasuk polis, tentera, bomba dan petugas hospital ke lokasi nahas sekitar jam 10 malam bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat.
Pengawasan helikopter dari udara mendapati hempasan pesawat menjangkau lokasi luas sehingga 2.5 kilometer persegi malah ada kawasan yang menjadi lapang seumpama 'padang jarak padang terkukur' apabila banyak pohon bakau di kawasan itu tercabut dan patah dilanda pesawat.
Gerakan mencari dan menyelamat segera dilakukan dan ketika itu jugalah pihak terbabit mula sedar bahawa pesawat berkenaan berkecai akibat terhempas dan tiada siapa yang terselamat daripada tragedi itu.
Kenyataan itu lebih menyeramkan tatkala pasukan penyelamat mendapati bukan saja tiada mangsa yang berjaya diselamatkan malah jasad semua mereka juga hancur berkecai malah ada yang hanya ditemui sekadar cebisan daging.
Pelbagai peralatan daripada pesawat termasuk buku, surat, gambar, pakaian dan barangan keperluan mangsa bertebaran ke merata arah di seluruh kawasan tragedi yang luas malah cebisan jasad mangsa dipercayai turut hilang akibat terjatuh di kawasan perairan.
Kawasan sekitar juga mula diselubungi bauan mayat serta minyak pesawat dan hari itu, satu tragedi pesawat terhempas yang paling tragik dan dahsyat dicatat dalam sejarah hitam negara.
SEKITAR jam 5.40 pagi selepas tragedi pesawat Boeing 737 MH653 terhempas, pihak MAS mula memaklumkan mengenai tragedi menyayat hati itu kepada ahli keluarga dan rakan penumpang yang menanti dengan penuh gelisah di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang (LTAS).
Pengumuman itu disambut dengan perasaan pilu dan sayu apabila ahli keluarga dan rakan yang menanti itu diberitahu bahawa tiada mangsa yang ditemui selamat berdasarkan gerakan mencari yang dilakukan.
Tanjung Kupang kemudian menjadi tumpuan media dan negara dikejutkan dengan tragedi antara paling tragik pernah direkodkan dalam sejarah negara.
Tragedi itu mengorbankan 73 rakyat Malaysia, tiga rakyat Australia, Inggeris (lima), Jerman (empat), Afghanistan (satu), India (tiga), Thailand (satu), Jepun (satu), Singapura (satu), Kanada (satu) dan tiga rakyat Indonesia, Amerika Syarikat (satu), Cuba (dua) dan Greece (satu). Menteri Pertanian ketika itu, Datuk Seri Ali Ahmad dan Setiausaha Politiknya, Hood Fadzil, adalah di antara penumpang yang dilaporkan terkorban.
Gerakan mencari yang tergendala kerana kesukaran mencari pada gelap malam diteruskan semula ketika mentari pagi mula menerangi kawasan tragedi.
Pelbagai penemuan sama ada barang keperluan dan komponen pesawat dipungut dan dikumpulkan pada suatu tempat. Jasad mangsa pula dikumpulkan di dalam beg plastik, ditanda sebelum dihantar ke rumah mayat.
Pihak berkuasa juga mengadakan pengawasan ketat di tempat kejadian malah kawat berduri dipasang bagi mengelakkan pihak yang tidak berkaitan memasuki lokasi nahas kerana dikhuatiri mengganggu kerja mencari dan menyiasat yang dijalankan.
Seterusnya, mayat semua mangsa yang ditemui dimasukkan dalam tujuh keranda dan dikebumikan di satu tapak perkuburan besar di Jalan Kebun Teh berikutan sukar untuk mengenalpasti identiti setiap mangsa.
Ribuan ahli keluarga dan sahabat termasuk mereka yang berasal dari luar negara membanjiri tanah perkuburan berkenaan pada hari pengebumian jenazah semua mangsa diadakan.
Tragedi itu juga memberi impak dan tamparan besar kepada operasi pesawat dan lapangan terbang berikutan ramai pihak beranggapan yang kemalangan itu berpunca daripada kurangnya kawalan keselamatan di lapangan terbang.
Satu kajian semula mengenai keselamatan di lapangan terbang dilakukan. Pengesan logam buat pertama kalinya dipasang di LTAS bagi mengelak kejadian sama berulang.
Bagasi milik orang kenamaan pula tidak lagi boleh dikecualikan daripada pemeriksaan dan pengawal peribadi mereka juga dikehendaki menyerahkan senjata api masing-masing kepada juruterbang sebelum menaiki pesawat.
Menyoroti punca nahas itu, ramai pihak percaya yang juruterbang pesawat berkenaan dipaksa pihak perampas untuk terbang terus ke Singapura dan tidak mendarat di Subang untuk mengisi minyak.
Perampas terbabit juga dipercayai turut menyeludup masuk bahan letupan di dalam pesawat menyebabkan tragedi itu menjangkau kawasan yang amat luas apabila terhempas.
Penemuan beg kecil bersama kelongsong peluru juga menimbulkan spekulasi bahawa kemungkinan berlakunya pergelutan antara pihak perampas dengan pengawal peribadi Datuk Seri Ali sejurus sebelum pesawat itu terhempas.
Analisis terhadap kotak hitam pesawat juga tidak banyak membantu untuk mengenalpasti siapakah perampas terbabit, motif mereka serta rentetan kemalangan berkenaan. Bagaimanapun, sehingga kini, tiada bukti kukuh mengenai kejadian sebenar yang berlaku ketika penerbangan berkenaan sekali gus meninggalkan punca tragedi itu kekal sebagai misteri sehingga kini.

7.21 pm: pesawat boeing MH 653 berlepas dari pulau pinang menuju ke kl
7.46 pm: berada di ruang angkasa Batu Arang setinggi 4000 kaki
7.47 pm: Kepten MH653 melaporkan kepada pusat kawalan penerbangan udara '653 going around' dan pusat menjawab '653 is cleared to land, surface wind calm'
Kapten kemudian melaporkan sekali lagi kpd pusat kawalan dgn berkata 'overshooting'. sebuah kapalterbang yg lain mencelah frekuensi komunikasi dan bertanya 'whats your problem' dan dijawab 'we have an emergency on board'
7.50 pm: pesawat MH653 memberitahu 'maintaining 3000 coming over kl (beacon) in two minutes, hijacker on board' .Pusat menjawab 'cleared to land on runaway 33 with no delay' tetapi dijawab kembali 'we are now proceeding to singapore' dan 'understand message receive'. pusat menjawab 'message received, understood'
8.05pm: pusat  mengarahkan pesawat MH653 menghubungi kawalan trafic singapore dengan radio frequency singapore.Pusat kawalan kl memberitahu pusat kawalan singapore mengenai perkembangan MH653 dan mereka membenarkan pesawat tersebut terbang setinggi 21000 kaki
8.12pm: pusat kawalan singapore membenarkan MH653 turun ke paras 7000 kaki sebelum pusat kawalan singapore terputus hubungan dengan pesawat MH653
8.30 pm: mengikut laporan polis kapalterbang tersebut berada di ruang udara tanjung kupang
Seorang polis dan orang ramai yg berada di kawasan tersebut melaporkan kapalterbang itu kelihatan terbakar lalu menjunam tetapi naik semula.. dan di saat itulah kapalterbang itu meletup.Selepas meletup di udara kapalterbang itu terhempas ke tanah dan meletup sekali lagi.

Jumlah korban adalah100 org, 93 penumpang, 7 org anak kapal antaranya pilot kapten G.K ganjoor, pembantu pilot kamarulzaman jalil, pramugara-karim tahir, onn jaafar dan pramugari- sharifah sidah syed  mohamad, azian borhanuddin
Antara penumpang yg terkorban:
Menteri Pertanian, Datuk Sri Haji Ali bin Haji Ahmad, lahir di Pontian pada 29 jun 1930.
Ketua Pengarah Jabatan Kerjaraya, Tan Sri Mahfuz Khalid,
Pengarah Kerjaraya bahagian tentera, Datuk Haji Khalid Mohamad
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Encik Abu Bakar Othman Merican
Setiausaha Politik Datuk Sri Haji Ali, Encik Hood Fadzil                      
Duta Cuba ke Malaysia, Mario Garcia Inchaustegui dan isterinya
 
Antara teori rampasan kapalterbang:
1. Dirampas oleh ahli tentera merah Jepun (dinafikan oleh menteri dalam negeri, Tan Sri Ghazali Shafie)
2. Dirampas militan Vietnam - Singapore telah menahan 3 org militan Vietnam berikutan rampasan kapalterbang DC 3 Air Vietnam sebelum kejadian rampasan. Perampas mungkin bertujuan ingin membebaskan kawan mereka.
3. Dirampas oleh penetang kerajaan Cuba..

CERITA DUKA TANJUNG KUPANG

MUKA depan Utusan Malaysia keluaran 6 Disember 1977. - PUSAT MAKLUMAT UTUSAN
SEHINGGA kini, punca nahas masih menjadi teka-teki. Tiada siapa tahu apa sebenarnya yang berlaku kerana kesemua 100 orang (93 penumpang bersama tujuh anak kapal) dalam penerbangan komersial tersebut terkorban.
Kisah pesawat Malaysia Airlines System Bhd. (MAS), Boeing 737 terhempas di hutan bakau Kampung Tanjung Kupang, Gelang Patah, Johor pada 4 Disember 1977, penuh tragis dan amat menyayat hati.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, pesawat malang tersebut dalam penerbangan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur.
Ia disifatkan sebagai nahas udara terburuk negara dan yang kedua berlaku di Malaysia dalam tempoh tidak sampai tiga bulan.
Kemalangan pertama berlaku pada 27 September 1977, membabitkan kapal terbang penumpang DC-8, kepunyaan Japan Airlines (JAL) yang terhempas di Ladang Elmina dekat Sungai Buloh, Selangor. Ia mengorbankan seramai 33 penumpang manakala 46 yang lain cedera.
Bagaimanapun, tragedi nahas di Tanjung Kupang banyak mendapat liputan berikutan ia membabitkan orang kenamaan. Antara yang terkorban ialah Menteri Pertanian ketika itu, Datuk Seri Ali Ahmad.
Paling mengerikan, kesemua mangsa ditemui dalam keadaan berkecai, tiada satu mayat pun dikebumikan lengkap anggota tubuh mereka.
Walaupun tiada saksi yang mampu menghuraikan teka-teki berdarah tersebut, pihak MAS telah mengesahkan pesawat itu dirampas. Siapa yang bertanggungjawab, itu gagal dipastikan secara rasmi.
Antara pihak yang sering dikaitkan atau didakwa terlibat dalam rampasan yang mengundang perdebatan berterusan itu ialah tentera merah Jepun, militan Vietnam dan kumpulan penentang kerajaan Cuba.
Kisah penuh duka ini turut mendapat perhatian seorang penulis, Dzul Karnain Ithnain apabila beliau menghasilkan sebuah novel berbahasa Melayu dengan tajuk Tragedi Empat Disember. Novel tersebut kini dijadikan buku rujukan pelajar bagi tahap Penilaian Menengah Rendah.

CEBISAN DAGING MANUSIA TERSANGKUT DI POKOK

SHAFIEE Rahmat menunjukkan lokasi kejadian kapal terbang terhempas di Tanjung Kupang pada malam 4 Disember 1977. Ketika itu, Shafiee berusia sembilan tahun.
"SAYA terus berlari ke pangkalan (jeti) tempat kapal terbang jatuh pada malam itu. Apa yang saya nampak, ada tanda MAS (Malaysia Airlines System Bhd.)," kata seorang nelayan, Shafiee Rahmat, 43.
Dalam keadaan orang ramai mula bertumpu ke kawasan itu, mata Shafiee yang ketika itu berusia sembilan tahun 'menangkap' sehelai seluar yang tersangkut di atas pokok.
''Saya tak pernah tengok seluar jean, tetapi saya tak berani nak ambil, saya cuma ambil RM10 yang saya jumpa, walaupun masa itu, banyak lagi wang kertas negara lain bertaburan di tanah.
''Ada duit negara lain yang saya jumpa, saya beri pada kawan. Saya cuma nak RM10. Ingat nak buat kenang-kenangan, akhirnya saya belanjakan juga," kata Shafiee ketika ditemui S2 baru-baru ini.
Perkara yang membuatkan Shafiee tergamam untuk mengambil seluar jean tersebut ialah apabila dia menyedari terdapat banyak cebisan daging manusia turut tersangkut di dahan atau ranting pokok di situ.
Dalam masa sama, dia tidak menafikan, ada antara mereka yang datang ke situ hanya untuk mengambil barangan berharga semata-mata.
Pengalaman hampir sama diceritakan oleh Ismail Mohd. Said, 62.
''Helikopter berkelayau (berlegar-legar) di ruang udara. Bila saya sampai, tempat itu sudah dikepung polis," katanya mengingati peristiwa tersebut.
Menurut Ismail, dia yang tinggal di Kampung Ladang, bersebelahan Kampung Tanjung Kupang, tidak pernah menyangka mangsa yang terkorban begitu ramai iaitu membabitkan sehingga 100 nyawa.
''Semasa kejadian, saya berada di Kampung Pendas. Saya terus berlari ke Kampung Tanjung Kupang. Apabila sampai, saya tengok anggota polis sudah ramai. Orang kampung tak dibenarkan masuk.
''Pagi esoknya, saya menyamar sebagai pekerja Jabatan Kerja Raya untuk masuk. Tempat itu berbau daging terbakar, keadaannya macam kena bom, berselerak. Yang saya tak dapat lupa ialah melihat banyak cebisan daging tersangkut di ranting-ranting pokok," katanya.
Menurut Ismail, ketika berada di kawasan larangan tersebut, dia terpaksa berhati-hati melangkah kerana tidak mahu terpijak cebisan-cebisan badan dan anggota manusia yang berselerak.
Selain itu, katanya, ada juga barangan milik mangsa ditemui tetapi kebanyakannya rosak dipercayai akibat letupan yang berlaku.
''Duit 10 sen yang saya jumpa berlipat dua. Bayangkanlah betapa kuatnya letupan yang berlaku. Ada juga orang kampung kata, bumbung rumah mereka bergegar semasa kejadian itu," kata Ismail.
Bagi Kassim Awang, 64, pula, peristiwa seorang rakan pengsan di depan mata akibat terkejut tidak dapat dilupakan sepanjang hayatnya.
Menurut bapa kepada 11 anak ini, ketika itu, dia bersama tujuh rakan lain berhasrat membantu mencari mangsa nahas yang mungkin masih bernyawa walaupun keadaan kapal terbang menunjukkan sebaliknya.
''Kami meredah hutan untuk sampai ke lokasi dalam satu kumpulan, hanya berbekalkan satu lampu picit. Di tempat kejadian, walaupun keadaan gelap, kami masih dapat melihat barang-barang berselerak.
''Salah seorang kawan ternampak ada baju-T dan cuba menariknya. Tiba-tiba yang 'keluar' adalah tangan putus. Disebabkan terkejut, dia pengsan di situ juga," kata Kassim.
Melihat situasi panik tersebut jelas Kassim, mereka terpaksa melupakan hasrat untuk membantu mencari mangsa nahas pesawat, sebaliknya mengusung rakan yang pengsan tadi terus pulang ke rumah.
''Kami dapat sampai awal ke kawasan kemalangan kerana jarak antara rumah dan lokasi kejadian tidak jauh iaitu kira-kira 700 meter.
''Tujuan kami, kalau ada orang masih hidup, dapatlah diselamatkan. Rupa-rupanya kena bantu rakan sendiri," ujarnya sambil mengakui 'tidak sedap hati' sebaik sahaja melihat tangan terputus itu.


RUMAH PENGANTIN BERGEGAR

KEJADIAN kapal terbang terhempas berlaku ketika pasangan pengantin, Hairudin Sawal dan Zainab Ahmad bersanding di atas pelamin di rumah pengantin lelaki di Tanjung Kupang.
SETIAP kali menyambut hari ulang tahun perkahwinan, pasangan Hairudin Sawal dan Zainab Ahmad pasti akan teringatkan peristiwa kapal terbang terhempas yang berlaku tidak jauh dari rumah mereka.
Ini kerana, tarikh tragedi tersebut sama dengan hari mereka disandingkan.
Kemeriahan majlis perkahwinan pasangan bahagia itu terganggu akibat kegemparan penduduk kampung apabila melihat sebuah pesawat sedang terbakar di udara, seolah-olah menjunam ke arah mereka.
Menurut Hairudin yang kini berusia 55 tahun, disebabkan sedang bersanding di atas pelamin, dia tidak mengetahui apa yang berlaku sehinggalah terdengar jeritan suara ibunya di halaman rumah.
''Emak menjerit - 'habislah keluarga kita' apabila terlihat sebuah kapal terbang terbakar di udara sedang menjunam ke arah rumah kami.
''Keadaan memang kelam kabut. Masa itu pula, irama zapin yang sedang dimainkan, serta-merta senyap. Semua tergamam dan panik," kata Pembantu Am Pejabat, Pusat Penyelidikan Ternakan Air Payau, Jabatan Perikanan Malaysia di Johor Bahru ini.
Jelas Hairudin, selama tiga bulan mereka terpaksa menghidu bau hanyir (hangit) mayat yang berkecai akibat tragedi tersebut.
''Rumah kami terletak kira-kira 500 meter sahaja dari tempat kejadian, jadi baunya memang sampai ke rumah sehinggalah pihak berkuasa sembur ubat menggunakan pesawat kecil," katanya.
Sementara itu, isteri Hairudin, Zainab Ahmad, 54, berkata, pengalaman yang dilalui akan kekal dalam ingatan sampai bila-bila.
''Tak mungkin kami dapat lupakan tarikh keramat ini kerana ia berlaku ketika kami sedang bersanding. Masa itu, persandingan di rumah pengantin lelaki," katanya tersenyum.


DISEMADI DALAM SUASANA PILU

MEMORIAL peringatan tragedi Tanjung Kupang di Jalan Kebun Teh dekat Johor Bahru. Di sinilah bersemadinya mangsa yang terbunuh dalam peristiwa yang berlaku pada malam 4 Disember 1977 di Tanjung Kupang.
SUASANA hening menyelubungi kawasan perkuburan di Jalan Kebun Teh, Johor Bahru, kira-kira 50 kilometer dari tempat kejadian sebenar kapal terbang terhempas di Tanjung Kupang. Di situ bersemadinya 100 mangsa kapal terbang malang tersebut.
Kelihatan beberapa kanak-kanak bermain bola sepak di kawasan tanah milik kerajaan seluas 10,000 kaki persegi itu (929 meter persegi).
Ketika kami menghampiri, kanak-kanak terbabit berhenti bermain, dan kemudian meninggalkan tempat tersebut.
Di kawasan perkuburan yang berpagar, tiada batu nisan kelihatan sebaliknya ia hanyalah sebuah padang hijau yang rata.
Terdapat sebuah batu memorial yang tertulis, ''Mengingati mereka yang terkorban di dalam nahas kapal terbang di Tanjung Kupang, Johor - 4 Disember 1977."
Pada majlis pengkebumian itu, cebisan mayat semua mangsa korban nahas kapal terbang terhempas telah ditempatkan di dalam tujuh keranda sebelum disemadikan bersama.
Perasaan pilu dan hiba mewarnai suasana sepanjang majlis pengkebumian yang diadakan selepas lima hari peristiwa itu berlaku.
Dalam satu laporan berita bertajuk Mangsa-mangsa jet MAS disemadi dalam suasana pilu oleh wartawan Shukor Ismail dan Shamsuddin Abu Bakar, antara lainnya menyebut, mayat mangsa nahas penerbangan MH 653 itu disemadikan dalam suasana mengharukan.
Apabila keranda mayat yang berisi cebisan daging dan tulang-tulang berkecai diturunkan ke liang kubur, beratus-ratus sanak saudara mangsa menangis teresak-esak kerana tidak dapat menahan kesedihan kehilangan orang yang tersayang.
Dalam menghadapi saat-saat mengharukan itu, kesemua mereka berkumpul dalam semangat penyatuan walaupun tidak dapat menentukan cebisan daging waris masing-masing.
Itulah kali pertama pengkebumian seumpamanya dalam sejarah negara. Daripada 100 mangsa nahas ngeri yang belum pernah terjadi tersebut, seramai 17 mereka beragama Islam.
Ribuan rakyat daripada pelbagai keturunan termasuk kira-kira 2,000 saudara mara mangsa nahas menghadiri upacara tersebut.
Bagi mangsa beragama Islam, dilakukan pembacaan talkin diketuai Imam Besar Masjid Abu Bakar, Mahat Mohd. Said. Pembacaan doa agama lain berlangsung mengikut cara masing-masing.
Keranda yang diselimuti kain putih itu diletakkan di atas permaidani merah diatur rapi sebelum dimasukkan ke liang lahad satu demi satu dengan iringan tangisan waris-waris.
Kebanjiran manusia yang mengelilingi kawasan khas pengkebumian sunyi sepi seketika dengan wajah penuh simpati sebaik sahaja tujuh keranda yang mengandungi cebisan mayat itu dibawa ke kawasan tersebut oleh para anggota Persatuan Bulan Sabit Merah.
Beratus-ratus kalungan bunga yang dibawa oleh sanak saudara, sahabat handai dan pertubuhan bukan kerajaan, telah diletakkan di atas pusara mangsa tebusan kapal terbang malang tersebut.
Hari ini, kawasan perkuburan itu dilihat semakin sepi seperti kisahnya yang telah dilupakan oleh kebanyakan rakyat negara ini.


"LEWAT SETENGAH JAM, SAYA MATI"

SEPERTI 34 tahun lalu, Sulaiman Othman, 64, atau lebih dikenali sebagai 'Raja Laut' dalam kalangan penduduk setempat, masih lagi seorang nelayan. Bezanya cuma, dia kini turut mengusahakan kelong tempat memancing bagi mereka yang gemar atau ingin cuba memancing.
Seperti anak jati Kampung Tanjung Kupang yang lain, Sulaiman juga menyimpan pengalaman berhubung nahas kapal terbang terhempas di kawasan paya kampung itu pada 4 Disember 1977.
Menurut Sulaiman, pada malam itu, seperti biasa, dia sibuk menjala udang. Sedang leka menjala, dia terdengar bunyi enjin rosak dan sesekali berdesing di udara. Sejurus selepas itu, satu dentuman kedengaran sebelum satu lagi letupan kuat memecah kesunyian malam.
Disebabkan jumlah udang yang luar biasa banyaknya pada hari itu, Sulaiman tidak menghiraukan bunyi-bunyi 'bising' yang didengari.
Sangkaannya, itu adalah bunyi pesawat tentera Singapura yang sering mengadakan latihan di kawasan tersebut. Dia terus menjala.
Tiba-tiba, dia ternampak duit kertas RM50. Hatinya berdetik, betul ke duit? Sulaiman mendekatinya dan mengambil wang tersebut.
Selang beberapa saat, matanya terpandang ke arah cebisan kertas tertera perkataan 'penerbangan Pulau Pinang'. Serta-merta dia terbayangkan kapal terbang milik Malaysia Airlines System (MAS).
Baru dia sedar, bunyi letupan yang didengarinya beberapa minit tadi adalah bunyi pesawat penumpang milik negara yang terhempas.
''Saya cuba mencari dua lagi rakan yang sama-sama turun menangkap udang pada malam itu, tetapi mereka tidak ada. Saya terus hidupkan enjin bot dan terus menuju ke darat untuk melihat apa yang berlaku," katanya.
Sulaiman mengakui, dia adalah antara individu terawal yang tiba di lokasi nahas pada malam itu.
''Sampai di pangkalan, saya nampak besi serpihan kapal terbang terpacak di tanah, duit-duit kertas pelbagai negara bertaburan.
''Saya tergamam. Dalam gelap malam tersebut, saya terbau benda hangit, rupa-rupanya kawasan itu dipenuhi ketulan-ketulan badan manusia yang kebanyakannya hangus kerana letupan," katanya.
Di sebalik perasaan terkejutnya, Sulaiman bersyukur kerana pada hari itu, dia turun ke laut lebih awal daripada biasa.
''Kawasan itu ialah pangkalan jeti tempat saya turun naik ke laut. Hari itu, tiba-tiba terasa nak turun cepat sikit, kalau lewat setengah jam, saya mungkin mati terkena serpihan," katanya lagi.
Pengalaman memilukan kata Sulaiman ialah menjumpai sebahagian tangan juruterbang yang terputus masih bersarung tangan.
''Saya juga jumpa macam-macam cebisan badan manusia tetapi semuanya dah hancur. Kaki dalam kasut pun saya jumpa," ujarnya.
Sulaiman mengakui, jika bukan kerana udang banyak (hanya dalam masa tidak sampai dua jam memperoleh 11 kati (enam kilogram) udang, dia mungkin berada di lokasi kemalangan lebih awal.
''Saya dapat tahu selepas itu, salah seorang rakan saya, Haji Giman, terus meninjau kawasan nahas sebaik sahaja terdengar letupan. Dan seorang lagi, arwah Kadir, meniarap ketakutan sebab dia sangka Singapura mengebom Malaysia," katanya tersenyum.
Jelas Sulaiman lagi, walaupun banyak wang kertas bertaburan di tempat berlakunya nahas, dia cuma mengambil duit RM50 yang ditemui di laut ketika menjala udang.
''Memang banyak orang cakap ada hantu, saya hari-hari lalu di situ. Memanglah ada bunyi macam orang menangis, tetapi bila saya suluh, saya pergi dekat tengok rupa-rupanya monyet," katanya

4 comments:

  1. yang paling banyak info yg saya jumpa sejak pagi tadi meng'google' pasal this story..thanks a lot..

    ReplyDelete
  2. Slh seorg mngsa Allahyarham Abdul Fattah b. Abdul Latiff adlh abg kpd guru skolah syg dan mmg berasal dri cne..Al-Fatihah

    ReplyDelete
  3. terpanggil untuk membaca kisah tragis ini dan terus google, dan dapat info yg terpanjang berbanding blog2 lain. terima kasih.

    ReplyDelete
  4. Arwah ayah saya turut terkorban dlm kejadian ini.
    Ketika itu saya berumur 7 tahun..tak mengerti ape ape
    tapi kini rasa sedih sering kali terbit apabila melihat gambar Ayah

    ReplyDelete