BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Tuesday, November 15, 2011

BANYAK MAKANAN PUNCA OBESITI

KUALA LUMPUR 15 Nov. – Masalah obesiti yang dihadapi oleh kebanyakan rakyat negara ini dipercayai berpunca daripada sumber makanan yang terlalu banyak dan mudah diperoleh orang ramai.
Ketua Jabatan Pemakanan dan Dietetik Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Norhaizan Mohd. Esa berkata, masyarakat di negara ini mempunyai budaya makanan tersendiri yang lazimnya mengambil sumber karbohidrat yang tinggi.
“Kebanyakan rakyat Malaysia mengambil hidangan nasi yang diiringi pelbagai lauk pauk. Selain itu, nasi lemak, teh tarik, roti canai dan makanan manis turut diambil secara berlebihan tanpa melakukan senaman dan aktiviti fizikal.
“Kita juga lihat terdapat pelbagai gerai yang menjual makanan di kaki lima yang memudahkan orang ramai mendapatkan makanan tanpa berfikir panjang mengenai kalori dalam juadah tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang memberitahu, Malaysia berada di tempat pertama kalangan negara ASEAN dan keenam di rantau Asia Pasifik yang rakyatnya menghadapi masalah obesiti.
Selain itu, Norhaizan berkata, golongan obesiti dalam kalangan pekerja meningkat kerana penggunaan teknologi serba moden yang menyebabkan tenaga tidak digunakan sepenuhnya.
“Kebanyakan pekerja kini duduk di hadapan komputer dan tidak bergerak aktif. Kanak-kanak juga tidak terkecuali untuk menghadapi obesiti kerana terlalu asyik dengan permainan komputer dan menonton televisyen.
“Ada juga yang membudayakan mengambil makanan ringan ketika menghadap skrin komputer. Walaupun dinamakan makanan ringan, kandungan kalorinya didapati tinggi berbanding nasi kerana mengandungi lemak dan pewarna yang tinggi,” jelasnya.
Sementara itu, Doktor Kesihatan Pekerja Hospital Pusrawi, Dr. Rosli Rahim berkata, pemakanan yang tidak terkawal dan gaya hidup tidak sihat perlu diubah segera bagi mengelak masalah kegemukan.
“Kesibukan bekerja dan tiada masa untuk melakukan senaman dan aktiviti riadah di samping mengambil makanan yang pelbagai tanpa mengira kalori, merupakan punca obesiti.
“Tubuh kita memerlukan makanan yang seimbang seperti mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran yang banyak.
Menurutnya, jika peningkatan obesiti dalam kalangan rakyat Malaysia semakin meningkat, ia akan memberi kesan buruk kepada individu dan juga negara.
“Kesan jangka panjang akibat masalah obesiti mengakibatkan masalah kesihatan lain termasuk penyakit jantung dan salur darah tersumbat.
“Tenaga kerja juga akan berkurangan kerana kekurangan kepakaran akibat masalah kesihatan yang dihidapi oleh rakyat,” katanya.

No comments:

Post a Comment