BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Friday, January 6, 2012

MALAYSIA VS SINGAPURA

Saya mengikuti perkembangan dan kemajuan hubungan 'benci tapi sayang' Malaysia dan Singapura sejak awal 1990-an lagi, selepas kedua-dua negara menandatangani dokumen Perkara-perkara Yang dipersetujui (POA) pada 27 November 1990. Dokumen yang dirundingkan (secara tertutup) oleh bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew terus 'menghantui' hubungan erat dan kerjasama padu kedua-dua negara.

Yakin dengan persetujuan-persetujuan yang dicapai di bawah POA 1990 itu, Malaysia melangkah setapak lagi dengan menawarkan penyelesaian kepada beberapa isu dan masalah lain dalam hubungan Malaysia-Singapura secara pakej iaitu POA akan dirunding secara bersama dengan masalah lain seperti bekalan air bersih kepada Singapura, kedudukan Tambak Johor, laluan udara untuk jet-jet perang Tentera Udara Singapura (SAF) dan caruman rakyat Malaysia dalam Kumpulan Wang Simpanan Pusat (CPF) Singapura. Namun, Malaysia menarik balik tawaran berkenaan selepas Singapura dilihat seperti 'Belanda mendapat tanah' dalam beberapa pusingan rundingan.

Dalam menganalisis hubungan itu, saya pernah menyifatkan hubungan Malaysia- Singapura itu sebagai hubungan 'abang dengan adik', memandangkan dalam banyak perkara, Malaysia (si abang dalam konteks sebuah keluarga penyayang) lebih mudah mengalah dan bersifat pemurah kepada Singapura (si adik). Namun, hubungan abang- adik ini tidak wajar disamakan dengan konsep big brother kerana Malaysia tidak pernah memaksa negara pulau itu tunduk kepada telunjuknya, malah dalam banyak isu serantau serta antarabangsa, Singapura mengambil sikap bertentangan dengan Malaysia.

Bagaimanapun, selepas 24 Mei 2010, saya mahu bertukar pendapat dan mengambil pandangan bahawa hubungan Malaysia-Singapura lebih sesuai dilihat dalam konteks hubungan 'satu pasangan suami isteri', yang akhirnya mencapai persetujuan dalam pembahagian 'harta- harta pusaka dan sepencarian' ekoran persetujuan 'bercerai' pada 9 Ogos 1965 (selepas 'berkahwin' pada 16 September 1963). Analogi ini boleh menjelaskan dengan lebih baik dinamika hubungan kedua-dua negara yang berkongsi 'anak-anak' (perkongsian sejarah, politik, wilayah, budaya dan masyarakat), sekali gus menyukarkan perpisahan yang aman dan tuntas.

Walaupun telah 'bercerai' selama hampir 45 tahun (pada tahap 'talak tiga' yang tidak mungkin kembali walaupun ada yang sanggup menjadi 'Cina buta'), 'pasangan' Malaysia-Singapura ini belum dapat menyelesaikan banyak isu dan masalah bersama yang diwarisi mereka secara muktamad.

Dalam konteks ini, POA 1990 dilihat sebagai satu jalan penyelesaian yang penting terhadap isu dan masalah bersama tersebut, khususnya kedudukan tanah landasan kereta api dan stesen kereta api yang diduduki Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di republik berkenaan.
Selama hampir 20 tahun, evolusi hubungan Malaysia-Singapura berkisar pada usaha-usaha kedua-dua pihak (peringkat perdana menteri, menteri dan pegawai kanan) merungkaikan kekusutan dan kekeliruan yang terkandung dalam POA yang 'ditelan mati emak, diluah mati bapa' itu. Kedua-dua negara, secara sedar dan tidak sedar, meletak prasyarat peningkatan kerjasama serta perkongsian antara mereka, khususnya dalam perdagangan dua hala (bilateral) seperti pelaburan Singapura di Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia (Iskandar Malaysia), melalui pelaksanaan persetujuan-persetujuan yang termaktub dalam POA tersebut. Ibarat permainan domino, setiap isu dalam POA dilihat akan terlerai jika satu isu dilaksanakan.
Namun hanya selepas 2008, setelah kedua-dua negara bertukar kepemimpinan negara sebanyak tiga kali (di Malaysia, daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada Tun Abdullah Badawi dan kini, Datuk Seri Najib Tun Razak, manakala Singapura pula, daripada Lee Kuan Yew kepada Goh Chok Tong dan kini, Lee Hsien Loong), penyelesaian masalah 'duri dalam daging' hubungan Malaysia-Singapura mula menampakkan 'cahaya di hujung terowong'. Pada 24 Mei lalu, 'kereta api legasi' yang membawa kedua-dua perdana menteri, Najib serta Hsien Loong semakin menghampiri destinasi penghujungnya. Mungkin di 'stesen penghujung' itu nanti, Malaysia dan Singapura boleh bertukar kaedah (mode) pengangkutan daripada 'kereta api legasi' kepada 'sistem transit laju' (RTS) pula.

Bagaimanapun, ada pihak berpendapat, Malaysia telah menanggung 'rugi' dalam penyelesaian yang dicapai dalam rundingan dua hari berkonsep pemukiman (retreat) di Singapura pada 23 hingga 24 Mei lalu itu. Ada yang berpendirian, sekali lagi Malaysia telah melepaskan 'hak dan kedaulatan' wilayahnya kepada Singapura semata-mata mencari penyelesaian yang 'sensasi' dan feel good di dada akhbar dan kaca televisyen.

Jika penyelesaian itu tidak benar-benar menguntungkan Malaysia, saya adalah antara orang pertama yang akan bersikap 'skeptikal' akan penyelesaian tersebut.
Dalam hal ini, analogi 'pasangan suami isteri bercerai' diyakini akan membolehkan hubungan kedua-dua negara melangkah maju dan berkembang luas selepas satu proses 'perceraian' yang pahit dan getir. Seperti juga 'pasangan' yang mahu mencari penyelesaian baik tanpa melalui tempoh permusuhan berterusan, Malaysia dan Singapura memutuskan bahawa mereka perlu mengelakkan keadaan yang mana 'menang jadi arang, kalah jadi abu'. Mereka bersetuju mencari penyelesaian akhir yang kedua-dua negara 'menang- menang' (win-win).



Persetujuan Malaysia untuk memindahkan stesen KTMB di Tanjong Pagar, Singapura ke Terminal Pemeriksaan Kereta Api Woodlands (WTCP) sebelum atau pada 1 Julai 2011 menunjukkan kesediaan negara ini menghormati wilayah dan sempadan negara pulau itu selepas berpisah dengan Persekutuan Malaysia pada 1965. Sebagai imbalannya pula, Singapura bersedia menghormati hak dan pemilikan tanah serta stesen KTMB di Singapura. Ibarat 'pasangan bercerai', si suami perlulah bersedia keluar rumah sebaik sahaja perceraian dengan si isteri disahkan atau dimuktamadkan. Takkan kita masih hendak kekal tidur di katil atau di rumah bekas isteri?

Sayugia diperjelaskan juga bahawa KTMB sebenarnya tidak memiliki secara langsung tanah landasan kereta api dan stesen kereta api, yang membahagikan negara pulau itu kepada dua bahagian. Tanah enam keping seluas 217 hektar dan sepanjang antara 20 hingga 30 kilometer dari utara hingga ke selatan pulau ini dipajakkan kepada KTMB melalui Perjanjian 1918 oleh kerajaan British Singapura bagi tujuan kereta api sahaja. Selagi tanah-tanah tersebut digunakan untuk tujuan perkhidmatan kereta api, maka tanah itu kekal di bawah hak milik KTMB. Jika sebaliknya, tanah tersebut perlu dikembalikan kepada kerajaan Singapura.
Dalam senario inilah, Malaysia enggan memindahkan stesen KTMB di Tanjong Pagar ke Kranji, Bukit Timah atau Woodlands sehingga isu pemilikan tanah KTMB itu diselesaikan, dengan menguntungkan kedua-dua pihak. Namun, satu breakthrough berlaku pada 2008. Menurut Hsien Loong, semasa berjumpa dengan Najib yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri, beliau menawarkan cadangan 'tukar ganti' tanah KTMB dengan tanah-tanah yang 'sama nilai' di bahagian-bahagian lain republik tersebut, yang bakal dimajukan secara usaha sama 60-40, yang mana Khazanah Nasional Bhd. menguasai 60 peratus ekuiti syarikat pemaju, M-S Pte. Ltd.

Mungkin inilah yang dikatakan takdir. Isu POA akan diselesaikan pada tahun ini ketika nilai semasa tiga keping tanah KTMB di Tanjong Pagar, Kranji dan Woodlands serta tiga lagi tanah tambahan di Bukit Timah diaudit oleh kedua-dua pihak pada harga 20 tahun selepas POA ditandatangani. Menurut sumber-sumber yang rapat dengan rundingan, harga keseluruhan tanah KTMB itu pada hari ini boleh mencecah hampir S$4 bilion atau RM10 bilion. Tanah-tanah itu, jika Malaysia bersetuju, boleh ditukar ganti dengan sekurang-kurangnya lima keping tanah - empat di Marina South dan satu di Ophir-Rochor yang terletak dalam daerah komersial dan perdagangan kota raya sibuk Singapura ini.

Justeru, saya mencadangkan kepada Khazanah, jika sebuah menara akan dibina di Marina South atau Ophir-Rochor, menara itu sewajarnya dikenali sebagai 'Menara KTM' sebagai simbol kehadiran dan sumbangan KTMB dalam menghubungkan kedua-dua ibu negara.
Sekali lagi, sumber-sumber yang rapat dengan rundingan menguar-uarkan bahawa Malaysia memperoleh 'untung' daripada tawaran 'tukar ganti' ini kerana tanah-tanah di Marina South dan Ophir-Rochor boleh dibangunkan secara bersama dan serentak, berbanding dengan tanah-tanah KTMB sedia ada, yang berselerak dari utara ke selatan republik ini dan terletak dalam zon-zon pembangunan yang berbeza. Bagaimana mungkin Malaysia membangunkan koridor tanah sepanjang 20 hingga 30 kilometer dan hanya selebar beberapa puluh meter yang menempatkan landasan kereta api KTMB secara menyeluruh dan bersepadu? Selain itu, koridor tersebut melalui zon-zon guna tanah yang digazetkan untuk kegunaan berbeza seperti kawasan perumahan, zon penampan kawasan hijau, kawasan taman rekreasi, kawasan industri dan tempat pembuangan sampah. Realitinya, tanah sedia ada KTMB tidak sesuai untuk pembangunan bernilai tinggi yang boleh memberi pulangan lumayan kepada Khazanah dan negara.



Selain itu, Malaysia juga menang apabila Singapura bersetuju dengan cadangan negara agar bangunan Stesen Kereta Api Tanjong Pagar dan Stesen Kereta Api Bukit Timah milik KTMB dipulihara sebagai tapak warisan memandangkan kedua-dua stesen itu mempunyai kepentingan dari segi sejarah dan pelancongan. Bagi rakyat Malaysia khasnya, Stesen Kereta Api Tanjong Pagar mempunyai sentimen nostalgia yang tinggi, apatah lagi stesen tersebut antara lokasi utama dalam beberapa filem terbitan seniman ulung negara, Tan Sri P. Ramlee. Pastinya, ramai masih ingat perjalanan menaiki kereta api Kassim Selamat (dan kemudian Osman Jailani) dari Pulau Pinang ke Singapura dalam filem Ibu Mertuaku.Kini stesen itu diabadikan untuk semua peminat filem Melayu selama-lamanya.
Satu lagi perkara yang diperakui pada rundingan pemukiman di Singapura 23 dan 24 Mei itu berhubung isu-isu POA yang disifatkan oleh Najib sebagai rundingan POA yang lebih baik (enhanced) ialah menjelang atau pada 2018, Malaysia mungkin mempertimbangkan perpindahan stesen KTMB di Woodlands ke Tanjung Puteri di Johor Bahru. Jika Malaysia memutuskan demikian, Singapura bersedia untuk memajukan secara bersama satu sistem transit laju (RTS) bagi menghubungkan stesen KTMB di Tanjung Puteri dengan stesen sistem Transit Rel Massa Singapura (MRTS) di republik itu yang bakal siap menjelang 2018 juga. Untuk memudahkan para pengguna RTS, Singapura juga bersetuju kemudahan Kuarantin, Imigresen dan Kastam (CIQ) kedua-dua negara ditempatkan di negara republik itu. Ini semua sebagai usaha meningkatkan lagi perhubungan (connectivity) antara rakyat.

'Pengunduran' KTMB dari Singapura ke Johor Bahru boleh dilihat sebagai satu 'kekalahan' bagi mereka yang melihat 'gelas berisi separuh air itu separuh kosong'. Tetapi bagi mereka yang berfikiran positif (gelas separuh kosong itu berisi separuh air), ia membuka peluang-peluang baru kepada Malaysia. Menurut sumber-sumber yang rapat dengan rundingan, Johor boleh merangka satu projek terminal rel bersepadu bagi KTMB, RTS serta sistem transit rel ringan (LRT) untuk Iskandar Malaysia.
Selain itu, jika projek Kereta Api Rentas Asia benar-benar direalisasikan kelak, ia bakal mengharumkan nama Malaysia kerana ia tidak lagi akan dikenali sebagai rangkaian rel Istanbul-Singapura dan Yunnan-Singapura, tetapi Istanbul-JB dan Yunnan-JB.
Sebagai kesimpulan: Apakah Malaysia berjaya mencapai penyelesaian 'menang-menang' dalam rundingannya dengan Singapura dalam isu POA? Dengan yakin, saya boleh berkata: "Ya!" Adalah menjadi harapan saya bahawa rundingan mesra dan akrab dalam menyelesaikan isu-isu dalam POA bakal diterjemahkan kepada rundingan-rundingan lain termasuk isu kedudukan Tambak Johor, laluan udara untuk SAF dan caruman rakyat Malaysia dalam CPF Singapura.

No comments:

Post a Comment