BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Saturday, August 18, 2012

ZAKAT NIAGA PONTIAN MENINGKAT SETIAP TAHUN


PONTIAN 17 Ogos - Pembayaran zakat perniagaan yang diterima di daerah ini didapati meningkat daripada setahun dan setahun sejak 2008, sekali gus menunjukkan perkembangan mengenai kesedaran dalam kalangan usahawan beragama Islam untuk menunaikan kewajipan masing-masing.
Pegawai Daerah Pontian, Muji Salimon berkata, ia juga secara tidak langsung menunjukkan jumlah usahawan dan ahli perniagaan muslim sudah meningkat dan sumbangan yang diberikan dapat membantu lebih ramai golongan memerlukan.
"Sebagai contoh pada tahun 2010, bayaran zakat perniagaan yang diterima oleh Baitulmal Daerah Pontian ialah sebanyak RM386,000 dengan 184 pembayar zakat berbanding RM592,000 pada tahun 2011 dengan 192 pembayar zakat.
"Baitulmal diharap dapat terus menjalankan kempen serta penerangan kepada ahli-ahli perniagaan muslim mengenai kepentingan membayar zakat perniagaan seperti mana yang dituntut di dalam Islam," katanya ketika berucap pada Majlis Pembayaran Zakat Perniagaan dan Penyerahan Bantuan oleh lima syarikat bumiputera di Tanjung Piai Resort, Serkat di sini semalam.
Bagi penerima, Hamdan Ahmad, 49, sumbangan RM10,000 daripada Syarikat Penjuru Benua akan digunakan untuk membiayai sebahagian daripada kos pembedahan jantung anaknya, Siti Nor Alisa Diana, 10, di Institut Jantung Negara (IJN) pada tahun lalu yang masih belum selesai dibayar.
Dia yang berasal dari Lorong Pinang di sini berkata, pendapatan kurang RM1,000 sebulan sebagai pengawal keselamatan tidak cukup untuk membayar kos tersebut, di samping keperluan mereka sekeluarga.
"Syukur selepas pembedahan itu, keadaan kesihatan Nor Alisa bertambah baik dan dapat menjalankan kehidupan seharian seperti mana kanak-kanak lain pada usia 10 tahun," katanya lagi.
Seorang lagi penerima, Farid Asraf Omar, 20, yang menerima RM900 daripada MZ Enterprises bagi membayar yuran pengajian di Universiti Teknikal Melaka yang belum dapat diselesaikan sepenuhnya.
Katanya, beliau merupakan anak kedua daripada tujuh beradik bersyukur dan berterima kasih kepada pihak yang telah memberikan sumbangan tersebut kerana dapat meringankan beban kewangannya dan berazam untuk mengikuti pengajian dengan bersungguh-sungguh bagi mengubah nasib keluarga dan menjadi contoh kepada adik-beradik lain.

1 comment: