BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Saturday, August 15, 2015

MEE UDANG WARUNG TOK MAT-TANJUNG BUNGAH, P.PINANG

Warung Tok Mat janjikan kepuasan
PULAU Pinang antara  sebuah negeri yang menjadi kunjungan utama buat penggemar mi udang.

Kesemua menu mi udang yang disediakan di sini mempunyai rasa tersendiri malah mampu menepati cita rasa penggemar mi berkenaan.

Di Warung Tok Mat Mi Udang, pemilik menyajikan menu mi udang sebagai santapan utama.

Menariknya udang di kedai berkenaan segar, mana tidaknya, pemilik kedai sendiri turun ke laut dan menangkap udang untuk dihidangkan kepada pelanggan di situ.

Pemilik, Rahmah Abdullah, 44, berkata, selain mi udang sebagai menu utama, terdapat pelbagai jenis masakan lain.

Menurutnya, ia termasuk udang masak mentega, udang masak merah, udang masak kunyit dan sebagainya.

“Untuk mi udang, harganya di antara RM13 hingga RM18 semangkuk bergantung kepada saiz udang,” katanya.

"Selain menu berasaskan udang, sotong goreng tepung antara menu pilihan pelanggan. Kami turut menyediakan mi ketam dan pelbagai jenis masakan panas," katanya.

Lebih menarik Rahmah bersama suaminya, Morad Mat, 49, adalah bekas chef di beberapa hotel terkenal.

“Jadi kesemua masakan di sini saya, suami dan anak sahaja yang masak, kami tidak menggunakan orang luar untuk memasak. Rasa pastinya masih kekal sama,” katanya.

Kedai yang mula dibuka pada 2005  ini terletak berhampiran dengan Masjid Terapung Tanjung Bungah yang dibuka dari jam 6 petang hingga 2 pagi.

Wednesday, August 12, 2015

50 KUBUR GHAIB DITELAN HAKISAN

50 kubur 'ghaib' akibat hakisan

PONTIAN - Tanah Perkuburan Rimba Terjun terus berisiko ditelan bumi berikutan hakisan tanah yang semakin serius berlaku setiap kali air pasang sejak empat tahun lalu.

Penduduk, Abdul Kamal Suboh, 66, berkata, akibat kejadian itu juga, hampir 50 kubur di tanah perkuburan berkenaan 'hilang'.

Menurutnya, masalah hakisan semakin kritikal walaupun benteng batu-bata telah dibina di kawasan berkenaan.

“Kalau tidak silap banyak kubur yang rosak kerana kedudukannya berhampiran dengan kawasan tali air yang berdekatan dengan laut.

"Hakisan di tanah perkuburan ini sudah lama berlaku dan kami amat bimbang sesuatu yang buruk terjadi," katanya.

Kata Abdul Kamal, masalah tersebut sudah diadukan kepada pihak berkaitan namun sehingga kini benteng batu tersebut masih belum ditinggikan dan hanya kubur lama yang retak dibaiki.

Tambahnya, melihat hakisansemakin teruk, penduduk membina benteng baharu dengan menggunakan bahan binaan terbiar yang ditinggalkan berhampiran kawasan perkuburan.

"Kita sangat berharap pihak bertanggungjawab datang ke sini dan melihat sendiri masalah berkenaan," katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Sementara itu, Mohd Ali Jahor, 53, pula mencadangkan supaya pihak berkaitan membina benteng lebih tinggi bagi mengelak hakisan tanah berlaku.

Katanya, langkah itu mungkin dapat mengurangkan risiko tanah runtuh yang boleh menyebabkan kawasan perkuburan semakin sempit.

"Kita bimbang makin banyak tanah yang runtuh, dan air pasang akan melimpah ke kawasan tanah perkuburan. Kalau berdiri di tepi benteng, kita boleh lihat makin banyak tanah yang runtuh dan mendap di dalam tali air," katanya.

Justeru itu, Mohd Ali berharap supaya pihak berkaitan mengambil langkah-langkah pengawalan dan pemantauan bagi memastikan tiada lagi kubur yang hilang di situ.

AURA WESTERN FOOD-TAMAN SRI RAMPAI KL

STIK daging dan chicken chop antara sajian masakan Barat yang sudah sebati dengan selera orang Timur. Popularitinya membuatkan semakin banyak restoran menawarkan menu Barat, dengan sentuhan cita rasa tempatan bagi memenuhi selera orang ramai.
Keenakan dan kelazatan masakan-masakan ini bertambah memikat dengan gabungan sos-sos yang cukup menyelerakan seperti sos lada hitam, sos barbeku, dan sos cendawan.
Antara yang masih dianggap baharu, ialah Aura Western Food, yang terletak di No. 13, Jalan Rampai Maju 1, Taman Sri Rampai, Kuala Lumpur.
Restoran ini dikendalikan oleh pasangan suami isteri, Nurul Hasfizah Hassan, 40, dan Tengku Amar Tuan Nasir, 42, dan tidak ketinggalan dua orang rakan kongsi yang merupakan chef di restoran tersebut.
Ketika ditemui baru-baru ini, jelas Nurul Hasfizah, restoran tersebut mula beroperasi pada 1 November tahun lalu.
Menawarkan lebih 50 menu, Nurul Hasfizah memberitahu, restorannya bukan 100 peratus berkonsepkan masakan Barat kerana turut menyelitkan menu-menu tempatan bagi memberi lebih pilihan kepada pengunjung, terutama mereka yang kurang menggemari masakan Barat.
“Kami sedar pengunjung yang datang ada pelbagai cita rasa. Malah dalam satu keluarga pun mereka menggemari makanan-makanan yang berbeza. Mungkin si bapa ingin makan makanan Barat, manakala emak dan anak mahukan hidangan tempatan.
“Disebabkan itu kami membuat keputusan untuk ‘menyelitkan’ menu-menu tempatan dalam usaha memberikan lebih pilihan kepada pengunjung,” ujarnya.
Beroperasi setiap hari dari pukul 3 petang hingga 12 tengah malam, Aura Western Food pastinya dapat memenuhi cita rasa semua kerana hidangan dimasak mengikut permintaan pelanggan.
Ini bermakna, pelanggan boleh meminta bagaimana daging atau ayam hendak dimasak seperti masak sepenuhnya atau separuh.
Antara menu yang ditawarkan di Aura Western Food ialah burger daging Jnr Carlos, Aust sizzling rib eye, sup cendawan, chicken chop keju, piza, mi hailam, dan nasi goreng Carlos.
Apa yang istimewanya di sini, sup cendawan serta sos-sos seperti sos lada hitam, sos cendawan, dan sos barbeku dimasak sendiri menggunakan resipi sendiri.
Menurut Nurul Hasfizah, pihaknya amat menitikberatkan soal kualiti dan kesemua bahan-bahan yang digunakan adalah bahan-bahan segar tidak kira bahan basah atau pun kering.
Pihaknya mengimport daging dari Australia dalam usaha mengekalkan keenakan rasa sebenar masakan Barat, selain hanya memasak makanan mengikut tempahan pelanggan.
“Di sini kami cukup menitik beratkan soal kualiti kerana kami sedar sekarang persaingan cukup sengit dan seboleh-bolehnya kami ingin membuat pengunjung mengunjungi lagi restoran kami pada masa akan datang.
“Pada masa yang sama kami sentiasa menilai kembali menu-menu yang disajikan dan akan turut mengambil perhatian segala komen yang diberikan pelanggan,” sambungnya lagi yang juga merupakan pegawai akaun syarikat.
Nurul Hasfizah berkata, dia dan suami dibantu seramai lapan orang pekerja di samping dua orang chef yang cukup berpengalaman.

Monday, August 10, 2015

KAMPACHI RESTAURANT-JLN SULTAN ISMAIL KL

Picture
Adakah anda penggemar makanan Jepun seperti teppanyaki, tempura, shabu-shabu atau wanko soba dan rindu untuk merasai masakan dari negeri matahari terbit itu yang kebanyakannya berasaskan makanan laut mentah?
Istimewanya makanan Jepun ialah hidangan yang disusun kemas dan cantik. Masyarakat Jepun sendiri berpendapat, “makan guna mata” ada benarnya. Bagi mereka, makanan yang enak itu perlu cantik dipandang.
Cantik dalam erti kata sebenar bukan setakat rupa, malah kesegaran dan kualiti bahan menjadi keutamaan. Tidak hairanlah masyarakat Jepun sanggup berbelanja besar semata-mata untuk mendapatkan makanan yang cantik dan elok.
Menurut Pengurus Pemasaran dan Jenama Kampachi Restaurants Sdn. Bhd., Diana Roslam, makanan Jepun ringkas dan mudah disediakan.
Selain itu, kebanyakan restoran Jepun menyediakan makanan yang segar.
“Di Kampachi, kami mempunyai ikan dan makanan laut yang diterbangkan dari Jepun. Walaupun harga mahal tetapi pelanggan berpuas hati kerana rasanya yang lazat dan segar.
“Kebiasaannya makanan Jepun dihidang mentah atau dimasak ringkas shoyu (kicap) dan lada sulah. Selain itu, terdapat juga hidangan yang digoreng bersama tepung, namun tetap mengekalkan kerangupan dan kesegaran bahan yang digunakan,” katanya.
Makanan yang menjadi kegemaran ialah myoga ohitashi (bunga mangkuk), teppayanki kuruma ebi, gindara saikyoyaki (ikan), soft kani maki (ketam lebut) dan sebagainya.
Menariknya, bahan mentah seperti ikan dan makanan laut perlu dimakan bersama wasabi (pes hijau pedas) dan pada pendapat orang Jepun, wasabi mampu membunuh bakteria yang terdapat di dalam makanan tersebut.
Boleh dikatakan kebanyakan makanan Jepun mempunyai banyak protein yang baik untuk kesihatan seperti mengurangkan serangan sakit jantung.
Kebanyakan hidangan juga disediakan dalam kuantiti yang kecil yang menggalakkan orang ramai makan dalam kuantiti terhad.
Kesemua hidangan Jepun ini enak dinikmati bersama teh hijau panas atau pun sejuk yang baik untuk proses penghadaman makanan.
Pengunjung Kampachi juga pasti tertarik kerana restoran ini mempunyai dekorasi moden tetapi masih mengekalkan citarasa tradisi makanan Jepun.

Friday, August 7, 2015

PERLU BALAI BOMBA DI KUKUP

Mahu balai bomba di Kukup

PONTIAN - Penduduk di beberapa kampung di Kukup merayu, agar sebuah balai bomba dibina di sini memandangkan jumlah penduduk makin bertambah, susulan pembangunan pesat hasil kewujudan kawasan industri pesisir pantai di Tanjung Bin.

Penduduk, Bachok Abdullah, 55, berkata, penduduk mengharapkan sebuah balai bomba baharu di Kukup yang mempunyai banyak kampung dan pekan kecil seperti Rambah, Penerok, Permas, Belokok, Telok Kerang, Tanjung Piai dan Kukup.

Katanya, kewujudan sebuah balai bomba baharu di situ amat membantu penduduk bagi menghadapi situasi getir terutama membabitkan kebakaran rumah dan sebagainya.

Selain itu, gerakan mencari dan menyelamat juga mudah dilakukan jika berlaku situasi tidak diduga seperti kehilangan nelayan dan pemancing di laut.

“Buat masa ini, terdapat sebuah pasukan bomba sukarela di Permas Kukup.

“Namun bagi kes-kes kebakaran besar, pasukan bomba dari bandar Pontian akan dipanggil, bagaimanapun jarak antara Pontian dan Kukup agak jauh iaitu kira-kira 20 minit masa perjalanan,” katanya.

Bagi Mohd Rusly Abas, 39, kebanyakan rumah di kawasan Kukup Laut masih dibina dengan kayu dan kedudukannya rapat berisiko tinggi terdedah kepada bencana tidak diduga seperti kebakaran.

“Kebanyakan rumah kayu dibina rapat, jika berlaku kebakaran api cepat merebak.

“Jika ada balai bomba, bantuan segera dapat diberikan, mungkin risiko tinggi dapat dielak," katanya.

Selain itu, katanya, penduduk tidak mahu kejadian kebakaran pada tahun 2009, mengakibatkan 11 rumah kedai terbakar berulang kembali pada masa depan.

Sunday, August 2, 2015

CHERITERA CAFE-UUM KAMPUNG BARU KL

MENGHIDANGKAN pelbagai makanan fusion iaitu gabungan­ makanan barat dan tempatan, Cheritera Cafe ternyata memenuhi cita rasa pelanggan.
Menurut pemiliknya, Haslinda­ Rahman, 37, dia dan suaminya, Agus Sany Ahmad, 38, memanfaatkan teknologi masa kini seperti Facebook dan Instagram untuk mengambil tempahan makanan.
“Boleh dikatakan 90 peratus tempahan yang diterima adalah melalui online. Kita menggunakan kaedah itu kerana lebih mudah dan menyenangkan pelanggan untuk memilih menu dan membuat tempahan.
“Menu juga tidak tetap kerana­ pelanggan boleh membuat pilihan mengikut bajet mereka termasuk yang berharga serendah RM10 untuk seorang,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut Haslinda, suaminya­ juga merupakan cef yang bertanggungjawab menyediakan makanan di kafe tersebut.
Selain itu, beliau berkata, kafe itu akan dibuka kepada pelanggan yang telah membuat tempahan awal bagi memastikan makanan yang disediakan sentiasa segar.
“Bagi memudahkan pelanggan, kami juga menyediakan perkhidmatan ­penghantaran makanan ke pintu rumah atau pejabat mereka,” ujarnya.­
Antara menu yang disediakan termasuklah ketam berempah,­ chicken parmaggiano ala’ato with safron potato dan wrappped beef shabushabu with asparagus.
Hidangan lain ialah asam pedas Mak Mina, ketam bunga masam manis pedas dan masak lemak tulang rusuk.
Merupakan pengusaha katering­ tetap bagi syarikat Shell Malaysia, kafe tersebut terletak di tingkat bawah bangunan­ Universiti Utara Malaysia kampus Kuala Lumpur, Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kampung Baru.
Untuk sebarang tempahan boleh hubungi Haslinda di talian 017-3389865 atau layari Facebook atau Instagram Cheritera­ Cafe.

Saturday, August 1, 2015

AB CAFE-JALAN AGRYLL P.PINANG

UNTUNGNYA apabila pemilik sebuah kafe juga merupakan seorang pereka fesyen. Ini kerana pelanggannya dapat menikmati pengalaman menjamu selera seperti di dalam sebuah butik. Itulah kelainan yang ditawarkan AB Cafe yang terletak di Jalan Agryll, Pulau Pinang.
Menjadikan restoran yang baru dibuka tahun ini lebih istimewa adalah pengusahanya, Aini Bakker turut menyelitkan elemen-elemen yang menjadi minatnya termasuk seni dan muzik. Kesemua elemen itu bersatu di dalam kafe ini sekali gus menjanjikan pengalaman menjamu selera yang unik dan berbeza dalam kalangan pelanggannya.
Kelainan seperti ini sangat penting, apatah lagi di negeri ini yang menyaksikan hampir setiap bulan kafe baharu dibuka memandangkan adanya sambutan menggalakkan daripada orang tempatan dan pelancong asing.
Namun lebih menjadikan AB Cafe ini istimewa adalah ia milik usahawan bumiputera, justeru tidak timbul isu status halal makanan yang disaji.
Bagi yang pernah ke negeri ini, pastinya cukup menyedari bagaimana sukarnya untuk mencari kafe yang halal kerana kebanyakannya diusahakan bukan Islam. Berikutan itu, kewujudan AB Cafe betul-betul di jantung bandar raya Georgetown memberi alternatif kepada pelancong Muslim untuk menikmati makanan dalam suasana santai tetapi eksklusif.
Berkecimpung lebih 15 tahun dalam dunia peragaan fesyen di bawah jenama Aini Bakker, memiliki kafe sendiri adalah impian yang tidak pernah terpadam dalam diri Aini. Rasa ingin berkongsi selera dan kecintaannya terhadap dunia masakan semakin tinggi apabila disahkan menghidap kanser payu dara kira-kira tujuh tahun lalu.
Katanya, dugaan itu mengajarnya untuk lebih mengambil berat soal pemakanan iaitu yang menekankan aspek kesihatan selari dengan keadaan dirinya sebagai penghidap kanser.
“Sebab itulah menu makanan yang ditawarkan di kafe ini adalah cetusan idea saya sendiri dan berdasarkan pengalaman saya sebagai penghidap kanser.
“Namun, itu tidaklah bermakna menu yang saya tawarkan kurang dari segi rasa, sebaliknya pelanggan mendapat kelebihan dari segi makanan yang lebih sihat,” katanya kepada S2 baru-baru ini.
Meskipun berstatus kafe yang menawarkan menu istimewa dari barat, namun harga yang ditawarkan AB Cafe adalah sangat berpatutan iaitu antara RM7 hingga RM25.
Setakat ini, terdapat kira-kira 15 menu ditawarkan AB Cafe dengan yang paling mendapat sambutan pelanggan adalah Smokey Meatball Bolognese (With Wedges). Turut menjadi pilihan pelanggan adalah dua jenis spageti iaitu bolognese dan meatball, selain lasagna dan pizza.
Menariknya, kesemua menu ini adalah hasil gabungan idea dan cita rasa Aini dan Cef Nazri Satari yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam dunia kulinari.
Menu Barat itu disajikan bermula pukul 6 petang hingga 11 malam, manakala antara pukul 3 petang hingga 6 petang pula, pelanggan boleh memilih pelbagai jenis kek dan kopi.