BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Monday, October 8, 2012

BAHAYA GULA BERLEBIHAN



BUKAN senang untuk menerima hakikat jika ibu atau bapa anda didiagnos menghidapi diabetes. Perkara pertama yang pasti diminta oleh doktor ialah menjauhi gula. Ia tidak senang dilakukan kerana mereka telah biasa dengan gula sepanjang hayat. Lagipun, rasa gula mencetuskan sejenis hormon dalam otak yang membuatkan kita berasa senang. Inilah yang menyebabkan mengapa ramai orang mendapati sangat susah hendak meninggalkan gula.
Bagi penghidap diabetes, gula akan meningkatkan paras gula darah yang seterusnya akan meningkatkan risiko komplikasi yang melibatkan saraf, mata, buah pinggang dan jantung.
Kini, Persatuan Jantung Amerika (American Heart Association (AHA)) telah meletakkan gula tambahan dalam senarai penyebab yang boleh menjejaskan jantung selain daripada pengambilan terlalu banyak garam, lemak, kolesterol dalam diet. Menurut AHA, pengambilan gula yang tinggi dikaitkan dengan kesihatan yang tidak baik, termasuk kegemukan (obesiti), diabetes, tekanan darah tinggi, radang, paras trigliserida tinggi, semuanya ini merupakan faktor risiko penyakit jantung dan strok.

Apakah itu gula?
Gula pasir putih, juga dikenali sebagai sukrosa adalah bentuk gula paling biasa, tetapi bukan satu-satunya jenis gula. Bentuk-bentuk lain termasuk gula perang, fruktosa, maltosa, gula melaka, glukosa, madu dan sirap mapel.
Adakah kita mengambil terlampau banyak gula?
Rakyat Malaysia pada amnya mengambil lebih kurang sebanyak 19 sudu teh (76 gram) gula tambahan setiap hari. Ini bermakna kira-kira 300 kalori daripada jumlah kalori harian anda datangnya daripada gula. Pakar kesihatan menganggap ini adalah jauh melebihi had. Kita sepatutnya mengambil gula tidak lebih daripada enam sudu teh (100 kalori) bagi wanita dan sembilan sudu teh (150 kalori) bagi orang lelaki( yang disyorkan oleh Persatuan Jantung Amerika).
Tahukah anda bahawa minuman 3-dalam-1 sarat dengan gula. Satu cawan minuman kopi putih dan malt coklat mungkin mengandungi tiga hingga empat sudu teh gula. Bayangkan, jika anda meminum hanya dua hingga tiga cawan minuman ini sehari. Anda pasti sudah melebihi had harian yang disyorkan oleh AHA. Ini belum lagi diambil kira beberapa jenis gula yang terkandung dalam makanan-makanan biasa anda.

Pemanis tiruan
Seperti yang anda ketahui, pemanis tiruan dikatakan'bebas gula' dan boleh menjadi satu pilihan baik untuk menggantikan gula. Persoalannya, adakah ia benar dan selamat? Munkin anda boleh melayari laman web untuk mengetahui lebih lanjut tentang 'aspartame; sucralose; side effects; dangers.'
Mungkin anda pernah terbaca bahawa makanan dan minuman, minuman berkarbonat, yogurt, makanan yang dimasak dengan ketuhar, malah minuman segera tiga dalam satu mengandungi pemanis tiruan. Sebelum membeli, periksa label makanan untuk mengesan sebarang pemanis tiruan yang tersembunyi.

Pemanis semula jadi - ekstrak stevia
Ia dikenali sebagai 'daun manis' atau stevia rebaudiana. Stevia 300 kali lebih manis daripada gula tetapi tidak mengandungi sebarang kalori. Ekstrak ini diperbuat daripada bahagian yang paling manis dalam daun stevia.
Di samping rasanya yang sedap, ekstrak stevia adalah selamat dan tiada kesan sampingan. Ekstrak stevia tidak mengandungi kalori dan tidak menaikkan paras gula darah. Oleh itu, ia adalah pilihan bijak bagi penghidap pra-diabetes, diabetes dan mereka yang mengambil berat tentang kesihatan.
Sebagai pemanis semula jadi, rasa stevia tidak seperti gula tetapi ia tetap menjadi pengganti gula yang terbaik.
Terkini, terdapat minuman segera tiga dalam satu bebas gula yang dimaniskan dengan ekstrak stevia di pasaran. Minuman ini bebas gula mengandungi tiga perisa iaitu putih, coklat malt dan oat dan bijirin (vanilla) dimaniskan dengan stevia, pemanis semulajadi. Minuman segera ini bebas gula ini disyorkan untuk anda dan pesakit diabetes untuk hidup lebih sihat.

MEE REBUS SITTI JUMAIDA



Sitti Jumaida Mundir menunjukkan mi rebus Johor hasil sajiannya.

























TIDAK keterlaluan sekiranya mengklasifikasikan Johor sebagai sebuah negeri yang kaya dengan pelbagai makanan yang enak.
Ini dapat dibuktikan apabila kebanyakan masakan yang terkenal hari ini datang dari negeri tersebut.
Antaranya termasuk nasi beriani, mi rebus, lontong, laksa Johor, dan juga soto.
Hari ini kebanyakan masakan-masakan tersebut boleh didapati di ibu negara yang sememangnya terkenal dengan jolokan 'syurga' makanan.
Untuk itu, bagi mereka yang ingin menikmati semangkuk mi rebus Johor terbaik apa kata kunjungi gerai makanan tersebut yang terletak di Restoran Hanna, No. 32, Jalan UP 1/7, UK Perdana 1, Ampang, Selangor.
Biarpun hanya beroperasi di gerai yang disewa di restoran tersebut, menurut pemiliknya, Sitti Jumaida Mundir (Sitti), 26, keistimewaan mi rebus yang diusahakannya itu terletak pada kuahnya yang pekat.
Tambahnya lagi, resipi yang digunakan adalah resipi turun temurun yang diperoleh daripada pemiliknya yang merupakan orang kelahiran Johor.
"Sebenarnya, resipi ini merupakan resipi turun-temurun yang diusahakan oleh pengusahannya di Johor.
"Saya mendapat resipi asli ini kira-kira 12 tahun lalu tetapi tidak pernah terfikir untuk berniaga.
"Bagaimanapun baru-baru ini saya mula terfikir apa salahnya berkongsi dengan mereka yang gemar makanan ini," ujarnya ketika ditemui di premis perniagaannya, baru-baru ini.
Yang pasti, walaupun baru beroperasi sekitar Mei lalu, Sitti memberitahu dia menyediakan kira-kira 20 kilogram (kg) mi setiap hari manakala untuk kuahnya pula Sitti memperuntukkan lima kg daging segar.
Berbicara mengenai bahan-bahan yang digunakan, Sitti memberitahu dia hanya menggunakan bahan-bahan segar dan sudah pasti kesemuanya adalah bahan tempatan.
Katanya, kuah mi dihasilkan dengan air rebusan daging dan hanya daging segar yang mampu menjadikan kuah mi rebusn manis serta pekat.
Sememangnya kelazatan mi rebus ini terletak pada ramuan kuahnya.
Gerai yang dibuka dari pukul 5 petang hingga 12 tengah malam itu juga menjadi pilihan penduduk setempat dan sekitar kawasan tersebut sehinggakan Sitti sendiri tidak menang tangan.
Menawarkan dua jenis mi rebus, biasa dan istimewa, harga yang ditawarkan Sitti cukup munasabah dan berbaloi, RM4.50 (biasa) dan RM5.50 (istimewa).
Menurut Sitti, apa yang membezakannya cuma mi rebus Johor istimewa akan disertakan dua ekor udang manakala yang biasa tidak disertakan udang.
Yang pasti, mi rebus di gerai Sitti diadun dengan betul dan rasanya juga cukup unik.
Mi rebus Johor ini turut disajikan dengan keropok, sebahagian daripada hidangan yang menyebabkan rasanya begitu berbeza.

RESEPI WARISAN NYONYA


Buku Resipi Warisan Nyonya hasil nukilan Florence Tan.

NAMANYA cukup sinonim dengan masakan Baba Nyonya. Malah kelincahannya menyediakan juadah keturunan tersebut cukup memikat hati sesiapa sahaja yang menonton rancangannya di kaca televisyen. Turut memiliki perwatakan yang ceria dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja, chef selebriti berketurunan Baba Nyonya ini juga tidak lokek untuk berkongsi resepi masakannya malah cukup berbangga dapat berbuat demikian.
Ini dapat dilihat apabila Florence Tan, 67, mengambil keputusan untuk menghasilkan buku resepinya sendiri. Bertajuk Resipi Warisan Nyonya yang dikeluarkan pada tahun 2000. Mengambil masa selama setahun untuk menyiapkan buku tersebut, Florance memberitahu masakan Nyonya sebenarnya satu masakan yang penuh dengan cita rasa unik, pedas, savuri, dan manis. Katanya lagi, walaupun masakan Baba Nyonya boleh diklasifikasikan masakan yang rumit tetapi ia sebenarnya masakan yang mudah sekiranya dilakukan dengan kaedah serta peraturan yang betul.
Buku yang mempunyai 128 muka surat ini juga tidak hanya terdiri daripada resipi-resipi Baba Nyonya tetapi turut menyenaraikan sukatan-sukatan lama kepada sukatan baru. Yang pasti buku ini turut memberikan pelbagai tip dalam masakan serta tidak ketinggalan gambar-gambar masakan yang begitu menarik untuk dikongsi bersama. Berbual lanjut mengenai buku resipi tersebut, ulas Florance, buku keduanya kali ini menampilkan 53 resipi dan rata-ratanya mudah disediakan.
"Buku ini merupakan kesinambungan daripada buku resipi yang pertama. "Walaupun buku sebelum ini turut menampilkan resipi Baba dan Nyonya, tapi percayalah resipinya masih banyak dan ada lagi yang belum dibukukan. "Yang pasti resipi-resipi di dalam buku ini merupakan resipi kegemaran dan disukai selain mudah disediakan dan juga hidangan yang ringkas," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran buku tersebut di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Selain menghasilkan buku Florence Tan juga kerap diundang dalam program-program masakan di televisyen.

Tambah beliau, kebanyakan resipi yang dimuatkan dalam buku tersebut merupakan resipi masakan warisan keluarganya. Menurut Florance, dengan terbitnya buku masakan tersebut, sekurang-kurangnya resipi masakan Baba Nyonya tidak pupus ditelan zaman. Beliau turut menyatakan ada di antara menu sajian yang ditonjolkan dalam buku tersebut diwarisi turun-temurun sejak 600 tahun lalu. "Apa pun kebanyakan resipi kali ini merupakan masakan harian yang saya sering masak untuk keluarga mahupun ketika menjamu rakan-rakan," katanya.
Ditanya apakah elemen utama yang menjadi signature dalam masakan Baba Nyonya, kata Florence, kebanyakan masakan ditumis terlebih dahulu.
Jelas Florance lagi, masakan Baba Nyonya yang terdapat di dalam buku ini mempunyai pengaruh Melayu, Cina, dan Barat. Selain itu, tambah 'sifu' masakan ini, masakan Baba Nyonya juga banyak menggunakan kicap pekat, kicap cair dan juga cendawan. Katanya, pembaca juga bertuah kerana selain resipi, turut diselitkan beberapa tip dan teknik yang betul dalam penyediaan masakan Baba dan Nyonya.
Buku ini boleh didapati di rangkaian kedai buku terkemuka dan ia juga boleh dibeli secara dalam talian. Hanya berharga RM42.90, peminat masakan boleh memiliki buku Resipi Warisan Nyonya dalam bahasa Malaysia manakala untuk edisi bahasa Inggeris buku ini berharga RM49.90. Bercerita mengenai perancangan masa depan, Florance memberitahu beliau kini dalam proses mengeluarkan buku resipi kek dan biskut. Katanya, kesemua resipi telah siap dan hanya tinggal proses terakhir untuk dicetak. "Harap semua sabar menanti keluaran buku kek dan biskut ini yang akan berada di pasaran tidak lama lagi. "Buku ini juga merupakan buku kedua untuk kek dan biskut dari saya," katanya sebelum mengakhiri bicara

MEE GORENG SOTONG POWER


Zainuddin Zainal Abidin berbangga dengan menu yang dihidangkan di gerainya.

SUKA makan, suka masak dan cerewet dengan rasa, itulah yang boleh dikatakan mengenai pemilik gerai Mee Goreng Sotong Power di Seksyen 2, Shah Alam, Zainuddin Zainal Abidin, 39.
Katanya, semasa bertugas di Pulau Mutiara, beliau selalu menjamu selera di Padang Kota dan salah satu menu kegemarannya mi goreng sotong.
"Apabila berpindah ke Shah Alam, saya memang teringin makan mi goreng sotong yang sama seperti dulu," katanya.
Justeru, beliau dan isteri cuba memasak sendiri beberapa kali sehingga mendapat rasa seperti di Padang Kota.
Mencicip mi goreng sotong power dengan sotong yang lembut diadun dengan sambal yang secukup rasa memang cukup menyelerakan.
Ditambah dengan perahan air asam limau nipis cukup membuka selera.
antara menu yang bakal membangkitkan selera pelanggan.

Zainuddin mengakui menghabiskan beribu Ringgit Malaysia hanya untuk uji rasa masakan yang dihasilkan.
"Setiap kali juga saya akan ajak kawan-kawan untuk merasai masakan saya dan saya terima semua kritikan bagi menjadikan masakan lebih enak," katanya.
Misalnya sotong yang digunakan direbus sehingga lembut, ini bukan saja dapat melembutkan sotong tetapi juga mengelakkan sambal cepat rosak.
Satu lagi resipi baru yang menjadi pilihan pelanggan, Crazy Tongue Chicken Rice juga mendapat sentuhan istimewa Zainuddin.
Selain itu gerainya juga menyajikan mi goreng ayam power, mi goreng telur mata dan mi goreng power, nasi ayam crazy tongue, mi rebus sempoi dan rojak tauhu.
Zainuddin menambah pihaknya juga menerima tempahan katering mi goreng sotong power dengan memasak sendiri di rumah pelanggan.
Apa lagi jomlah merasai mi goreng sotong power atau nasi ayam crazy tongue di Seksyen 2, Shah Alam, Selangor.

Friday, October 5, 2012

3 JENIS MAKANAN DALAM NERAKA



Neraka merupakan suatu tempat yang wajib diyakini oleh umat Islam sebagai satutempat pembalasan yang mempunyai kesengsaraan abadi setelah mati. Jika baik amal seorang manusia itu, dengan rahmat Allah, dia akan masuk ke syurga dan jika buruk amal seseorang manusia itu, dia akan dihumban ke dalam neraka dan diberi 3 jenis makanan yang mengerikan ini.Apakah 3 jenis makanan di neraka itu?

(1) ZAQQUM

Firman Allah swt: Sesungguhnya pohon zaqqum itu, makanan orang yang banyak berdosa. Ia bagaikan kotoran minyak yang mendidih di dalam perut, seperti mendidihnya air yang amat panas. (43 – 46 : ad-Dukhan)

Firman Allah swt: (Makanan surga) itukah hidangan yang lebih baik ataukah pohon zaqqum.? Sesungguhnya Kami menjadikan pohon zaqqum itu sebagai ujian bagi orang-orang yang zalim (samada mereka percaya atau tidak). Sesungguhnya ia adalah sebatang pohon yang tumbuh dari dasar neraka. Buahnya seperti kepala syaitan-syaitan. Maka sesungguhnya mereka benar-benar memakan sebagian dari buah pohon itu sehingga memenuhi perutnya dengan buah zaqqum itu. (62 – 66 : as-Saffat).

Ibnu Abbas berkata: “Sesungguhnya Nabi saw membaca ayat ini: “bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya; dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam.”
Rasulullah saw bersabda:


“Sekiranya setitis zaqum menitis ke dunia nescaya akan merosakkan seluruh kehidupan ahli dunia. Bagaimana keadaan orang yang setiap hari buah zaqum menjadi makanannya?”

Hadis riwayat Tirmizi, Nasaie, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban. Syekh Syuaib menyatakan sanad hadis ini sahih.
Imam Ibnu Kathir berkata: “Allah swt menyatakan mereka memakan pokok ini walaupun rupanya sangat buruk dan sangat hodoh. Tambahan lagi dengan rasanya yang tidak sedap dan bau yang busuk. Mereka terpaksa makan kerana tidak ada yang lain.”

(2) GISLIN

Firman Allah swt: Maka tiada seorang temanpun baginya pada hari ini di neraka ini Dan tiada (pula) makanan sedikitpun (baginya) kecuali dari darah dan nanah. Tidak ada yang memakannya kecuali orang-orang yang berdosa. (35-37 : al-Haqqah).

Ulama berselisih pendapat terhadap hakikat Gislin seperti berikut:

1~ Nanah ahli neraka yang keluar dari luka dan kemaluan mereka. (Ibnu Abbas)
2~ Pohon yang menjadi makanan ahli neraka. (Dahhak dan Rabie bin Anas)
3~ Air dari basuhan daging dan darah ahli neraka. (Akhfasy)

(3) DARIE’

Firman Allah swt: Mereka tiada memperoleh makanan selain dari pohon yang berduri. yang tidak menggemukkan dan tidak pula menghilangkan lapar. ( 6 dan 7 : al-Ghasiah)

Para Ulama berselisih pendapat terhadap Darie’. Diantaranya adalah seperti berikut:

1~ Tumbuhan yang berduri yang melata di tanah. (Pendapat Ikrimah, Mujahid dan kebanyakan ulama tafsir).
2~ Batu (pendapat Said bin Jubair).
3~ Tumbuhan hijau yang busuk. Ianya dilemparkan laut ke daratan. (pendapat Khalil).
4~ Pohon berasal dari api neraka. (Pendapat Ibnu Abbas)


Pendapat yang dipilih adalah seperti yang dinyatakan oleh Imam Qurtubi:
“Pendapat yang lebih jelas adalah ianya pokok yang berduri seperti ianya di dunia. Daripada Ibnu Abbas ra, Nabi saw bersabda: “ Darie adalah sesuatu yang ada dalam neraka. Ia meyerupai duri. Lebih pahit dari pokok lidah buaya. Lebih busuk dari bangkai. Lebih panas dari api. Allah swt namakannya sebagai Darie.” (Hadis riwayat Ibnu Mardawiyah – sanadnya lemah)

MAKANAN YANG SUKAR UNTUK DITELAN


Kerana sesungguhnya pada sisi Kami ada belenggu-belenggu yang berat dan neraka yang menyala-nyala. Dan makanan yang menyebabkan tercekik di kerongkong dan azab yang pedih. (12 – 13 : al-Haqqah)

Ibnu Abbas berkata:

“Makanan yang tidak boleh ditelan dan tersangkut di halkum. Tidak boleh turun ke perut dan tidak boleh dikeluarkan. Makanan ini adalah Gislin, Zaqqum dan Dharie.”

KELAPARAN YANG MENYEKSAKAN

Abu Darda berkata: Rasulullah saw bersabda: “ Dicampakkan rasa lapar kepada ahli neraka. Kelaparan yang mereka rasai menyamai azab yang mereka alami dalam neraka. Lalu mereka menjerit meminta tolong dan mereka pun diberikan Darie yang tidak menghilangkan kelaparan mereka. Lalu mereka menjerit meminta makanan dan mereka pun dibawa makanan yang menyebabkan mereka tercekik. Mereka teringat kalau tercekik didunia mereka hilangkan dengan air. Mereka pun meminta air minuman. Lalu mereka diberi air yang sangat panas dengan besi-besi panjang yang berkapala sabit. Muka mereka hangus terbakar apabila air ini menghampiri mereka. Segala isi perut terputus apabila masuk kedalam perut mereka.”

Hadis riwayat Tirmizi dengan sanad yang lemah. Kebanyakan apa yang disebut dalam hadis ini ada disebut dalam ayat Quran dan Hadis sahih yang lain.

RUJUKAN:
Tafsir Qurtubi, Tafsir Ibnu Kathir, Tuhfatul Ahwazi, Sunan Tirmizi tahqiq syeikh Syuaib, Muntaqa oleh Dr Yusuf Qardawi, Tazkirah oleh Qurtubi, Buhur Zahirah oleh Imam as-Safirani.

MURTABAK MAGGI


 Bahan-bahannya:-

3 bungkus Maggi kari (direbus dan ditoskan)
2 paket perencah kari (yang telah tersedia didalam paket)
2 biji telur
1/2 cawan daging cincang @buger @sosej
1 biji bawang besar (dicincang halus)
Sedikit minyak untuk memasak
Sedikit daun bawang @bawang goreng
Sedikit cili besar (dipotong kecil)

Cara-Caranya:

1. Rebus 3 paket Maggi hingga lembut dan toskan. Ketepikan.
2. Pukul telur bersama perencah kari Maggi, bawang, cili, daun bawang dan daging cincang.
3. Masukkan Maggi yang teleh dotoskan tadi.
4. Panaskan kuali dan letakkan sedikit minyak dan ratakan.
5. Sendukkan bahan yang telah dicampur tadi dan ratakan.
6. Biar seketika dan balikkan sehingga agak garing.
7. Hidangkan.Enak dimakan dengan sos cili.

BAKTERIA BOLEH MENGHASILKAN EMAS TULEN ?


Dua orang profesor, Adam Brown dan Kazem Kashefi di Michigan State University telah menemui bakteria yang boleh menghasilkan emas tulen 99.9% dalam eksperimen mereka. Mereka telah menggabungkan bakteria, metallidurans cupriavidus dan klorida emas untuk menghasilkan emas tersebut. Klorida Emas tidak mempunyai nilai sebenar dan ianya cecair kimia toksik yang ditemui dalam alam semula jadi dan apabila ia ditambah kepada bakteria, bakteria menelan semua toksin dan sisa cecair. Kemudian sepanjang minggu, bahan toksik menjadi pepejal 24-karat emas. Para penyelikdik tersebut percaya “magic” yang mereka ciptakan itu berlaku secara semulajadi tanpa gangguan manusia. Kashefi menamakan proses yang mereka gunakan untuk membuat emas “mikrob alkimia” adalah “mengubah emas dari sesuatu yang tiada harga ke logam pepejal yang berharga.” Kilang yang digunakan mereka adalah lebih kepada kerja seni sehinggakan mereka menamakan ia “The Great Work of the Metal Lover.” Kerja mereka juga telah mendapat sebutan terhormat di seni konvensyen siber, Prix Ars Electronica. Jika ianya dapat diusahakan secara besar-besaran kaya rayalah mereka ni dan turunlah harga emas 
nanti.