BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Friday, March 18, 2011

ISZA PENGUSAHA TAUHU BUMIPUTERA


UTUSAN MALAYSIA 18 MAC 2011
Oleh RAHIMAH MOHAMED
utusanjohor@utusan.com.my

NUSAJAYA 17 Mac – Keenakan tauhu memang diakui ramai sehingga menjadikannya makanan kegemaran pelbagai lapisan masyarakat sejak sekian lama.
Dibawa oleh peniaga China ke seluruh dunia, tauhu kekal menjadi makanan kegemaran termasuk di Asia Tenggara, khususnya Malaysia.
Menyedari potensi besar dalam perniagaan itu, usahawan bumiputera turut menceburi pembuatannya untuk memenuhi permintaan tauhu halal yang kian berkembang dan antara berani menyahut cabaran itu ialah Isza Food Enterprise di No. 54, Jalan Mini Stadium, Kampung Ulu Pulai, Gelang Patah dekat sini.
Pemiliknya, Azeliza Alik, 36, memberitahu, syarikat itu ditubuhkan pada awal 2008 dengan modal RM50,000 untuk membuat tauhu, air soya dan tauhu fa (tauhu manis),” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Menurut anak kelahiran Kampung Ulu Pulai ini, pihaknya menceburi bidang itu kerana fardu kifayah tidak ramai syarikat bumiputera menghasilkan tauhu sedangkan permintaan daripada umat Islam yang tinggi.
Katanya, dengan modal itu, dia mendirikan bengkel dan membeli mesin memproses bernilai RM30,000 dan kini mempunyai enam pekerja untuk membantunya menguruskan perniagaan tersebut.
Kini syarikat itu mampu menghasilkan 7,000 keping tauhu setiap hari dan pengeluaran ditambah sehingga empat kali ganda pada musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Aidiladha dan Tahun Baru Cina.
“Saya mendapat nasihat, tunjuk ajar serta pandangan daripada agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian, MARDI, Pertubuhan Peladang negeri, RISDA dan Sirim,” kata ibu kepada empat cahayamata ini.
Beliau memberitahu pada 2009 Pejabat Pertanian Daerah Pontian turut meluluskan geran untuk membeli mesin memproses bernilai RM20,000 kepadanya.
Sementara itu, adiknya, Azemizan, 29, yang juga penyelia di situ berkata, kini dengan kelengkapan mesin memproses yang lebih banyak, pengeluaran dapat ditingkatkan dua kali ganda daripada sebelumnya.
Malah, keupayaan syarikat itu menghasilkan produk berasaskan tauhu dan air soya turut menarik Pertubuhan Peladang Kawasan Pontian Timur meluluskan geran RM10,000 untuk membaik pulih dan membesarkan lagi bengkel memproses.
Menurutnya, produk mereka setakat ini dipasarkan di Gelang Patah, Nusajaya, Pekan Nanas, Pontian, Skudai, Senai, Kulaijaya dan pasar tani di sekitar kawasan berkenaan.
Seorang pekerja, Mohamad Ibrahim, 18, pula memberitahu, proses pembuatan tauhu bermula dengan merendamkan kacang soya selama kira-kira lima jam.
“Selepas itu, kacang dipecah dan dikisar lebih kurang 15 minit, sebelum ditapis dan dipisahkan hampas daripada patinya,” katanya.
Mohamad Afiq Abd. Munir, 18, pula berkata, pati air soya itu kemudian dimasak dan dimasukkan ke dalam acuan untuk dibekukan.
“Jika semua proses ini dilakukan dengan sebaiknya, nescaya tauhu yang dihasilkan juga akan baik, lazat dan bermutu. Untuk mengeras atau membekukan tauhu, kita letakkan cuka atau saiko,” katanya.
Orang ramai yang ingin berurusan dengan Isza Food Enterprise boleh menghubungi talian 013-7570006.

No comments:

Post a Comment