BANNER KEMANGI
FACILITIES
Sunday, December 11, 2011
JOHOR PREMIUM OUTLET(JPO)
KULAIJAYA - Gedung membeli belah yang menjual pelbagai barangan berjenama pada harga lebih murah pertama di Asia Tenggara, Johor Premium Outlet (JPO), di sini, dibuka secara rasmi kepada pengunjung, hari ini.
Majlis perasmian pembukaan pusat membeli belah dengan usahasama Genting Plantations Berhad dan Simon Property Group Inc itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Turut hadir, Menteri Besar Johor; Datuk Abdul Ghani Othman, Pengerusi Genting Group, Tan Sri Lim Kok Thay; Timbalan Pengerusi Genting Berhad, Tun Mohammed Hanif Omar; Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan Presiden Premium Outleys, John Klein.
Antara premis perniagaan berjenama yang ditawarkan di JPO adalah Burberry, Coach, Salvatore Ferragamo, Tumi, Ralph Lauren, Tommy Hilfiger, Armani, Evita Peroni, Timberland, Gap, Guess dan Ermenegildo Zegna.
Perdana Menteri dalam ucapan perasmiannya menyifatkan pembukaan JPO sebagai satu projek yang sungguh bermakna dalam sejarah Iskandar Malaysia.
Beliau berkata, status JPO sebagai sebuah pembangunan komersial yang pertama di Iskandar Malaysia dan premium outlet pertama di Asia Tenggara wajar dibanggakan.
"Saya memuji percambahan idea dan gandingan usaha gigih Kumpulan Genting yang berjaya mengikhtiarkan satu lagi mercu tanda kebanggaan negara. Kejayaan ini pastinya akan menempatkan perbandaran Kulaijaya di atas peta dunia.
" Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Iskandar Malaysia adalah sinonim dengan usaha bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemain ekonomi serantau.
" JPO merupakan satu daripada 131 projek Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) di bawah ETP yang terletak di kawasan strategik Iskandar Malaysia dan saya amat gembira di sini, melihat projek yang dirancang berjaya dibangunkan," katanya.
Menurut Najib, pusat membeli belah JPO mampu memainkan peranan penting dalam membantu menarik lebih ramai pelabur domestik dan asing ke rantau ini sekali gus bakal dikunjungi pengunjung tempatan dan antarabangsa dari seluruh Asia Tenggara mahupun Timur Tengah.
" Dalam Bajet 2012, kerajaan berhasrat mempromosikan negara sebagai 'syurga membeli belah' di Asia dengan menyediakan barangan berjenama pada harga yang kompetitif dan JPO boleh membantu merealisasikan visi ini.
"JPO bukan sekadar pusat membeli belah malah membantu menggalakkan pelancongan di negara ini dan mengurangkan jumlah rakyat Malaysia ke luar negara untuk membeli- belah," katanya.
Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukkan sebanyak RM100juta untuk melaksanakan fasa kedua JPO bagi mewujudkan 60 buah premis perniagaan tambahan, hotel, taman tema air serta pusat pameran dan konvensyen.
Labels:
LOKALITI
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment