BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Thursday, December 29, 2011

RASAI KEUNIKAN MAKANAN JOHOR

Harian Metro: Khamis 29 Desember 2011

SEJARAH makanan Melayu Johor bermula sejak abad ke-15 dengan kemasukan pengaruh dari Timur Tengah dan Asia.
Gabungan pelbagai budaya menjana era baru dalam masakan Johor seperti botok-botok, laksa Johor, mi rebus Johor, kacang Pool, beriani gam, mi bandung Muar, burasak, soto Johor, lontong kering dan lodeh asam pedas. 
Antara yang cukup popular ialah laksa Johor iaitu gabungan nyonya, bugis dan jawa.

Apabila bercerita mengenai masakan Johor, pasti ramai yang mengidamkan rasa hidangan yang pasti memukau hati.
Justeru, Tourism Malaysia Johor mengadakan Program Johor Food Trail bagi memberi peluang media dan orang ramai menikmati keenakan makanan Johor.

Makanan Johor pertama dihidangkan dalam jelajah itu ialah Laksa Johor. Walaupun namanya sama dengan laksa Pulau Pinang, ia berbeza dari segi rasanya selain menggunakan spageti. Selepas Laksa Johor, kami meneruskan pencarian dengan hidangan minum petang, tauhu goreng. Warung Saga yang dibuka pada 1986, antara lokasi tauhu goreng paling popular di Johor kerana resipinya diwarisi sejak tiga generasi. Kuahnya paling sedap dan membezakan tauhu goreng di tempat lain.

Untuk makan malam sempena program Johor Food Trail, kami dihidangkan makanan Arab iaitu Nasi Maqlubah.
Nasi Maqlubah atau nasi terbalik adalah makanan yang cukup popular di Jordan. Ia dimasak tanpa menggunakan minyak sapi. Apa yang menarik mengenai nasi Maqlubah di D’Buluh Cafe, Taman Merdeka itu ialah ialah nasinya di masak menggunakan rempah berlainan.

Pencarian diteruskan dan kami dijamu dengan Mi Rebus Hj Wahid di Plaza Angsana.
Kuahnya campuran pelbagai bahan iaitu kentang, serbuk kari, air, kacang soya masin, udang kering dan kacang tanah.

Hari kedua Johor Food Trail, kami menikmati sarapan Kacang Pool Medan Selera Lakin Bomba. Kacang Pool adalah satu lagi hidangan atau menu Arab yang diolah dan memenuhi cita rasa Melayu dan jawa. Hidangan kacang pool ini menggunakan kacang parang dan dimasak dengan campuran daging serta campuran rempah ratus yang dihasil sendiri pemiliknya, Makpol Kairon, 51, atau Haji Kacang Pool. Selain Kacang Pool, rojak buah, tauhu bakar, roti goreng dan nasi lemak membuatkan permulaan hari anda lebih bermakna.

Kami meneruskan perjalanan ke Homestay Kampung Seri Paya sebelum singgah untuk menikmati hidangan Otak-Otak Kempas. Terletak di Jalan Denai Utama, Kempas Baru, Otak-Otak Kempas ini sangat popular kerana ia menyediakan pelbagai jenis perisa.

Di Homestay Kampung Seri Paya, selain merasai sendiri kehidupan desa, kami dihidangkan pelbagai hidangan istimewa kampung terutama makanan jawa antaranya Asam Pedas Johor, Pecal Lele, Sambal Goreng dan Botok-botok.
Sesuatu yang menarik dihidangkan kepada kami ialah Nasi Ambeng iaitu makanan tradisional masyarakat jawa.

No comments:

Post a Comment