BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Monday, June 18, 2012

5 USAHAWAN TEKUN DIKTIRAF


PONTIAN 16 Jun - Seramai lima usahawan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) menerima pengiktirafan sebagai Usahawan TEKUN Cemerlang sempena program perjumpaan TEKUN Pontian di sini baru-baru ini.
Anugerah tersebut merupakan satu pengiktirafan atas daya usaha yang dilakukan oleh Sarinah Makin, Poniah Jais, Zaidi Hussin, Zainor Hisham Bahari dan Zakaria Omar bagi memajukan serta mengembangkan perniagaan sehingga berjaya pada hari ini.
Bagi Sarinah yang mengusahakan perniagaan bawang goreng, modal RM20,000 daripada TEKUN yang dipinjam 12 tahun lalu membolehkan perusahaannya berkembang walaupun berdepan cabaran pada peringkat awal dalam mendapatkan pasaran dan kepercayaan pengguna.
"Saya bersama suami dibantu oleh ahli keluarga yang lain terus berusaha untuk menebusi pasaran yang mempunyai banyak saingan daripada pengeluar yang lama bertapak dalam bidang tersebut. Alhamdulillah berkat kesabaran dan terbuka menerima teguran, bawang goreng kami dapat diterima orang ramai dan pengusaha restoran," katanya.
Majlis penyampaian anugerah tersebut dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Ir. Hasni Mohammad.
Sementara itu, Poniah dari Kampung Parit Sikom di sini tidak menduga menerima penghargaan tersebut selepas lebih 20 tahun menceburi perniagaan kuih bangkit dan pinjaman RM10,000 daripada TEKUN diambil sebagai modal pusingan bagi menambahkan pengeluaran.
Dia menyifatkan penghargaan tersebut sebagai menyuntik semangat untuknya meningkatkan lagi pengeluaran terutama di musim perayaan.
Zainor Hisham yang mengusahakan kulit popia pula berjaya menembusi pasaran antarabangsa bukan sahaja ke Brunei malah beberapa negara Arab bagi memenuhi keperluan negara Islam dan serantau.
"Modal permulaan RM15,000 yang dipinjam dari TEKUN mewujudkan peluang untuk saya berniaga dan memajukan perusahaan kecil ini, ia memang membantu peniaga bumiputera bagi memenuhi keperluan ekonomi semasa," katanya.

No comments:

Post a Comment