BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Monday, June 18, 2012

MAINJ BANTU BINA RUMAH MISKIN



AHMAD Maslan (tengah) menyampaikan replika kunci kepada seorang penerima bantuan rumah Baitumal MAINJ Daerah Pontian di Kampung Pengkalan Raja, Ayer Baloi, Pontian, baru-baru ini.

PONTIAN 17 Jun - Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) meluluskan pembinaan 10 buah rumah baru pada tahun lalu bagi membantu golongan fakir dan miskin dengan kos sebanyak RM354,400 di daerah ini.
Pegawai Tadbir Agama, Pejabat Agama Daerah Pontian, Mohd. Fauzi Bachok berkata, peruntukan itu melibatkan pembinaan lapan buah rumah tiga bilik dengan kos RM36,300 sebuah, manakala dua buah rumah dengan dua bilik dibina dengan kos RM32,300 setiap satu bagi membantu golongan berkenaan memilik rumah sendiri.
Selain membina rumah baru kata beliau, MAINJ turut meluluskan peruntukan RM88,000 bagi membaik pulih lapan rumah dengan setiap seorang menerima RM11,000.
"MAINJ Daerah Pontian sentiasa komited dan berusaha membantu mereka yang memerlukan bantuan perumahan sama ada yang mengalami bencana seperti kebakaran mahupun kes-kes yang lain," katanya pada majlis penyerahan rumah bantuan Baitumal kepada tujuh penerima yang disampaikan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan di Kampung Pengkalan Raja, Ayer Baloi, dekat sini semalam.
Turut hadir Penolong Pengarah Unit Agihan Zakat MAINJ, Mohd. Shafie Mustafa; Naib Ketua UMNO Bahagian Pontian, Mohd. Jahis Othman dan Penghulu Mukim Ayer Baloi, Zulkifle Tubee.
Mohd. Fuazi berkata, pada tahun lalu daerah Pontian mengutip sebanyak RM2.8 juta zakat harta dan fitrah daripada 1,678 pembayar zakat berbanding 505 orang pada 2010.
Menurutnya, peningkatan jumlah pembayar cukai harta adalah hasil sesi penerangan serta kempen yang dijalankan bagi menyedarkan umat Islam kewajipan membayar zakat harta bagi yang layak.
Sementara itu, Ahmad mengucapkan terima kasih kepada Baitulmal dan MAINJ kerana telah membantu menyelesaikan masalah penduduk yang tidak mempunyai kediaman sendiri.
"Ada dalam kalangan mereka telah lama menumpang di rumah keluarga dan telah sampai masanya mempunyai tempat berteduh yang kekal bagi masa depan anak-anak yang semakin membesar," katanya.

No comments:

Post a Comment