BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Saturday, June 23, 2012

LOGOLAND, PUTERI HARBOUR LONJAK INDUSTRI PELANCONGAN JOHOR

NUSAJAYA 21 Jun - Industri pelancongan Johor dijangka melonjak dengan pembukaan dua produk mega iaitu Legoland Malaysia dan Puteri Harbour Indoor Entertainment Park yang masing-masing dibuka mulai September dan Oktober ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Hoo Seong Chang (gambar) berkata, kerajaan negeri yakin dengan adanya kedua-dua produk tersebut di Iskandar Malaysia, di samping beberapa projek pelancongan baru di Desaru dan Mersing akan menyemarakkan lagi industri pelancongan di negeri ini.
"Kita juga yakin kewujudan produk pelancongan baru ini bukan sahaja meningkatkan jumlah pelawat atau pelancong ke negeri ini, tetapi turut memberi impak positif terhadap peningkatan ekonomi para pengusaha pelancongan sedia ada.
"Saya juga ingin memaklumkan produk pelancongan sedia ada iaitu Gunung Pulai 1 yang dibangkitkan sebelum ini telah mula dibuka kepada orang ramai pada Februari 2010.
"Bagaimanapun, kawasan berkenaan terhad di aras bawah dan pengunjung yang ingin melakukan aktiviti perkhemahan perlu mendapatkan permit daripada Jabatan Perhutanan," katanya semasa sesi penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini.
Menurutnya, jumlah kemasukan pelancong asing ke negeri ini bagi tempoh suku pertama tahun ini mencatatkan peningkatan sebanyak 18.32 peratus iaitu 4.7 juta berbanding empat juta pada tempoh yang sama tahun lalu.
Seong Chang berkata, bagi memastikan produk pelancongan sedia ada terus berdaya saing dan saling melengkapi dengan produk yang baru, kerajaan negeri memberi tumpuan untuk meningkatkan tahap keselamatan, kebersihan, kemudahsampaian dan keselesaan serta membangunkan fasiliti dan infrastruktur.
Menurutnya, hingga kini terdapat 226 projek pembangunan pelancongan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dengan 11 projek telah siap, manakala 15 lagi masih di peringkat pelaksanaan oleh pelbagai agensi yang dipantau Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Kementerian Pelancongan.
Beliau berkata, sebanyak 16 misi mempromosi dan memasarkan produk pelancongan berkenaan dengan 14 di peringkat domestik, manakala dua di Singapura telah dijalankan pihaknya dari Januari hingga Jun ini.
"Kita juga telah mengadakan 10 acara pelancongan bertaraf nasional dan antarabangsa, antaranya Festival Layang-Layang Antarabangsa Pasir Gudang, Kembara Mahkota Johor, Festival Chingay, Pertandingan Menembak Iskandar, Festival Air Papan Mersing dan Pertunjukan Kuda Antarabangsa Johor UTM.
"Usaha terkini yang dilakukan bagi memajukan industri pelancongan negeri adalah dengan menjalin kerjasama pintar bersama syarikat penerbangan Firefly dengan mengadakan fam-trip ke Pantai Timur menerusi perkhidmatan penerbangan terus ke Kota Bahru-Johor Bahru-Kota Bahru yang diadakan Ahad hingga Selasa lalu," katanya.

No comments:

Post a Comment