Jelasnya, pendekatan yang berbeza itu diambil bagi memberikan kepuasan kepada pelanggan di atas setiap bayaran berpatutan yang dikenakan kepada mereka.
“Saya mahu pelanggan makan nasi dengan kenyang dan berpuas hati dengan harga yang dibayar. Sebab itulah, saya menyediakan nasi tambah serta air sirap dan oren secara percuma. Ini kerana saya mahu mereka gembira menikmati hidangan berkenaan,” katanya kepada S2 baru-baru ini.
Mad Daud berkata, sebanyak 75 jenis lauk-pauk dan pelbagai jenis ulam-ulaman disediakan setiap hari untuk memikat selera pengunjung.
“Selain lauk-pauk biasa, saya turut menyediakan menu istimewa seperti daging rusa berempah, puyuh goreng, siput sedut masak lemak, gulai kawah, pelbagai jenis ikan bakar, udang, sotong dan ketam dengan masakan istimewa.
“Satu lagi keistimewaan di sini ialah semua masakan disediakan tanpa menggunakan perasa Ajinomoto dan gula,” katanya.
Kedai yang beroperasi setiap hari kecuali pada Isnin bermula pada pukul 8 pagi hingga 6 petang itu turut menyediakan nasi ayam dan roti benggali yang dicicah dengan sup kambing pada sebelah petangnya.
Mencungkil rahsia daripada tukang masak kedai makan Cili Merah, Norsiah Hashim, 52, berkata, dia tidak menambah sebarang perasa ke dalam masakan, sebaliknya menggunakan rempah ratus asli.
“Saya gunakan cili, bawang, halba, daun kari, halia, lengkuas, serai dan bahan-bahan yang asli. Selepas itu, saya kisar sendiri kesemua bahan-bahan tersebut dengan mesin pengisar dan apabila hendak dimasak, saya cukupkan rasa dengan asam keping, asam jawa dan sebagainya sehingga rasanya sedap dan enak dimakan,” kata tukang masak yang mempunyai pengalaman selama 13 tahun itu.
Menurutnya lagi, setiap hari, dia perlu memasak sebanyak 140 kilogram beras untuk 2,000 pelanggan yang berkunjung ke kedai makan Cili Merah.
Dalam pada itu, Mad Daud menjelaskan, kedai makan tersebut mempunyai 31 orang pekerja yang merupakan pelajar-pelajar tahfiz bagi membolehkan layanan mesra dapat diberikan kepada para pelanggan.
“Tenaga kerja yang ramai ini secara tidak langsung membolehkan pesanan pelanggan dibuat dengan cepat dan kami menggunakan walkie talkie bagi memudahkan pesanan diambil,” ujarnya.
Mengulas mengenai permulaan perniagaannya, dia telah mengusahakan kedai itu sejak September tahun lalu, dengan modal pusingan sebanyak RM4,000 untuk menyediakan lauk-pauk sahaja.
“Selain menyediakan makanan pada setiap hari, saya juga menerima tempahan untuk sebarang majlis dan acara dengan harga yang boleh dirunding mengikut kemampuan mereka yang menempahnya,” tambahnya.
Yang menariknya di kedai makan Cili Merah ini, Mad Daud sentiasa menjaga keselamatan pengunjung dan kenderaan mereka dengan menempatkan dua orang pekerjanya untuk menjaga lalu lintas.
Sementara itu, seorang pelanggan yang ditemui, Shazlin Samsudin, 32, berkata, cita rasa masakan kampung beserta ulam-ulaman amat memikat hatinya serta keluarganya untuk menjamu selera di situ.
“Saya amat mengemari masakan di sini. Paling penting rasanya amat sedap dan menepati selera walaupun tanpa menggunakan perasa Ajinomoto.
"Saya pasti akan datang ke sini lagi dengan mengajak rakan-rakan setugas kerana amat berpuas hati dengan layanan dan kami boleh menikmati sepuas-puasnya aneka juadah enak di sini," kata kakitangan awam itu.
Kedai makan Cili Merah sentiasa terbuka untuk menerima pelanggan-pelanggannya yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan kaum yang kebanyakannya orang-orang kampung, penjawat-penjawat awam dan swasta, sehinggalah orang kenamaan.
Selain orang-orang biasa, golongan kenamaan juga memilih untuk menikmati sajian enak di kedai makan Cili Merah, antaranya Kerabat Diraja Perak, Yang Mulia Raja Datuk Mudzafar Shah Raja Mokhtar.
"Saya selesa menjamu selera di sini, dan masakannya amat menepati cita rasa saya dan isteri serta sedap-sedap belaka.
“Saya pasti akan ke sini lagi dengan mengajak lebih ramai rakan-rakan seperjuangan untuk menjamu selera dan mungkin akan mengadakan majlis di sini nanti," kata Mudzafar Shah.