Menyediakan lebih 100 jenis masakan dan 60 buah makanan gril yang akan bertukar setiap hari mengikut cita rasa pengunjung, deria hati pula akan terpesona dengan panorama keindahan bot-bot kecil yang membawa penumpang (River Cruise) di Sungai Melaka, iaitu dilokasi yang bersebelahan dengan restoran ini.
Pemiliknya, Akmal Zaaba , 32, berkata, restoran ini boleh memuatkan 300 orang pelanggan pada satu-satu masa, dan beroperasi dari pukul 12 tengah hari hingga 12 malam.
Selain stimbot dan gril, restoran itu turut menghidangkan masakan istimewa negeri Melaka seperti asam pedas Melaka, rendang daging, ikan bakar Umbai, daging bakar, dan daging masak lemak.
Yang menariknya, pelbagai jenis air minuman dihidangkan buat tetamu tetapi air berkarbonat dan air panas boleh ditambah seberapa banyak yang dimahukan pelanggan. Kuih-kuih juga disediakan sebagai pencuci mulut termasuk ais krim kesukaan kanak-kanak.
Dibuka pada tahun 2012, berkonsepkan pelbagai pilihan makanan untuk semua pengunjung, bermakna restoran ini menyediakan segalanya dari nasi putih ke pasta, goreng-gorengan, sup ayam, tom yam, aneka bubur, mihun goreng dan lain-lain jenis mi.
Jika mahukan sesuatu yang berlainan sebagai kudap-kudapan terdapat kuih-kuih kampung seperti pelbagai jenis kuih loyang dan kuih talam, selain sate
“Restoran Api-Api selalu menjadi tempat kunjungan pertama pelancong dari dalam dan luar negara yang mahu mendapat masakan yang bersesuaian dengan cita rasa.
“Jika mahu yang sejuk, panas, segera, gril, stimbot, malah cita rasa kampung dan negeri, di sinilah tempatnya. Ada yang mengatakan sekiranya datang ke restoran ini seolah-olah sudah mengembara ke seluruh negeri Melaka kerana dapat merasai hidangan yang pelbagai.
“ Masa yang sibuk dengan pelanggan adalah selepas Maghrib sehinggalah 11.00 malam,” jelasnya yang memberitahu mempunyai 18 orang kakitangan dam lima orang chef berpengalaman.
Restoran ini berkonsepkan moden dengan warna hitam dan merah menjadi pilihan untuk memberikan keselesaan kepada semua pengunjung dan membawa kenangan manis yang dinikmati ketika berada santai di restoran ini yang boleh dihubungi talian 017-6788182.