Menyebut tentang kedai mamak, tidak lari daripada hidangan wajib seperti roti canai dan tosai yang dinikmati bersama teh tarik dan kopi panas.
Biasanya makanan tersebut dinikmati secara santai dalam suasana terbuka, namun keburukannya, pelanggan yang tidak merokok terpaksa menyedut asap rokok pelanggan lain.
Bagi wanita, khususnya mereka yang mempunyai anak kecil mungkin suasana makan di kedai mamak tidak begitu sesuai, tetapi disebabkan mahu menikmati sajian yang diingini, mereka tiada pilihan.
Justeru, bagi mereka yang ingin menjamu selera dengan hidangan yang sama ditawarkan di kedai mamak malah menyediakan suasana yang selesa, berhawa dingin serta persekitaran yang bersih dan santai, Teh Tarik Place (TTP)mungkin pilihan yang tepat.
Menggunakan tagline From Malaysia With Love, restoran tersebut bukan sahaja menghidangkan menu yang biasa terdapat di kedai mamak, malah membawa pelbagai pilihan makanan tradisi dan warisan.
Diusahakan oleh tiga sahabat baik, Khuzairee Ibrahim, 33, Mohd. Syahar Azizan, 33, Mohd. Arif Dadzlee Arifin, 33, TTP yang baharu dibuka di IOI City Mall, Putrajaya, beberapa bulan lalu itu menyediakan selera mamak kontemporari.
Menurut Khuzairee, mereka memilih untuk membuka TTP yang merupakan restoran francais yang diusahakan oleh individu tempatan, kerana tertarik dengan konsep serta pilihan menu yang ditawarkan.
Konsep kedai mamak moden yang diketengahkan pemilik restoran berkenaan, sangat menepati kehendak dan minat rakyat di negara ini yang gemar menikmati makanan dalam keadaan suasana yang santai dengan pilihan makanan yang ringan dan pastinya enak.
Dekorasi TTP yang ringkas serta menggunakan struktur kayu memberi suasana yang nyaman dan selesa kepada pelanggan, malah mereka tidak perlu bimbang tahap kebersihan kerana menggunakan konsep dapur terbuka.
“TTP memperkenalkan konsep mamak moden dengan menyediakan hidangan seperti roti canai, tosai, roti boom, roti planta dan roti telur, serta tidak dilupakan teh tarik, milo dinasour dan cham, namun kesemua hidangan itu boleh dinikmati dalam suasana yang lebih selesa serta berhawa dingin.
“Bukan itu sahaja, hidangan popular di mamak itu akan dimasak segar dan panas-panas, misalnya roti canai akan ditebar dan digoreng sebaik sahaja pelanggan memesannya dengan kuah juga dihidang panas kepada pelanggan.
“Teh terik kita juga lain rasanya daripada kedai mamak kerana kita menggunakan teh sendiri, malah kita juga menggunakan susu pekat berkualiti bagi memberi rasa yang enak dan lemak,” katanya.
Istimewanya, TTP bukan sahaja menyediakan juadah yang terdapat di kedai mamak, malah juadah yang popular di pasar malam juga dijadikan menu ‘mewah’, antaranya murtabak, tauhu sumbat dan popia goreng.
Jarang sekali dapat menikmati murtabak di pusat beli-belah, namun pilihan menu yang disediakan sangat bersesuaian apabila juadah itu merupakan antara menu kegemaran pilihan pelanggan.
“Ada segelintir pelanggan kita sangat gemar menikmati murtabak di sini walaupun sedar harga murtabak di pasar malam lebih murah. Alasan mereka, di sini murtabak dihidang kemas, mempunyai rasa yang sangat sedap dengan isi daging yang tebal, malah kuahnya juga mempunyai rasa rempah yang cukup,” jelasnya.
Tidak hanya menyediakan menu yang ringkas, sebaliknya hidangan yang lebih berat seperti nasi lemak dengan pelbagai pilihan lauk seperti sambal sotong, sambal ayam, rendang daging dan rendang ayam, turut ditawarkan.
Sementara itu, menurut Mohd. Syahar, selain murtabak, mi goreng mamak serta nasi goreng ayam juga merupakan antara menu yang sering menjadi pilihan pelanggan.
Bagi memberi kelainan, mi goreng mamak disediakan segar dengan rasa yang cukup enak, kepedasan sederhana serta digoreng sedikit basah dan rasa bahan-bahannya yang amat sebati, malah meletakkan udang sebagai lauk utama.
“Mi goreng mamak di sini merupakan hidangan patut cuba kerana rasanya yang amat sesuai dengan selera masyarakat di negara ini, malah ada pelanggan yang datang hanya kerana mahu menikmati hidangan itu.
“Nasi goreng ayam juga menjadi pilihan pelanggan kerana mempunyai saiz hidangan yang besar bersama seketul ayam goreng rangup, udang serta keropok goreng. Kesemua makanan ini ditawarkan dengan harga yang sangat berpatutan,” jelasnya.
Memahami faktor kewangan pekerja-pekerja di pusat beli-belah itu yang terhad, TTP turut menyediakan hidangan combo dengan harga mampu bayar.
Jelas Mohd. Syahar, pelanggan boleh menikmati set combo makan tengah hari berupa nasi putih, ayam masak merah, sayur dan papadom serta air sirap dengan harga serendah RM10.80.
“Ini merupakan set makanan tengah hari paling murah di pusat beli-belah ini dengan bayaran serendah itu pelanggan boleh menikmati hidangan lengkap untuk makanan tengah hari,” ujarnya.
Jelas Mohd. Syahar, TTP di IOI City Mall merupakan cawangan kedua yang diusahakan tiga sahabat itu selepas di Bangi Gateway dani Quill City Mall, Jalan Sultan Ismail.
“Kita merancang untuk menambah cawangan di lebih banyak kawasan lagi jika ada rezeki, selain menambah pelbagai jenis menu warisan,” katanya.
TTP beroperasi setiap hari bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam dengan kapasiti tempat makan yang mampu memuatkan pelanggan seramai 100 orang pada satu masa