Maka tidak hairanlah, ada segelintir ibu bapa yang sanggup berbuat apa sahaja agar anak-anak mereka cepat berjalan. Antaranya, menanam kaki anak di pasir pantai dan tidak kurang juga membawa anak berjalan di atas rumput pada waktu pagi sambil memukul perlahan bahagian kaki anak-anak dengan pohon hutan kerana percaya embun yang segar pada tumbuhan dapat merangsang otot mereka.
Begitulah pentingnya perkembangan dan kemampuan kanak-kanak berjalan kepada ibu bapa. Pada asasnya, perkembangan fizikal kanak-kanak yang sihat dapat dilihat apabila mereka melalui proses pergerakan motor kasar seperti meniarap, mengesot, bertatih, berjalan, berlari dan melompat serta perkembangan motor halus seperti menggenggam jarinya, memegang objek, melukis dan menulis.
Pastinya, melihat anak-anak dapat berjalan merupakan impian yang dinanti-nantikan ibu bapa, malah merupakan satu langkah yang besar atau permulaan untuk mereka pula berdikari dan meninggalkan gelaran sebagai bayi.
Justeru, kebolehan berjalan sering dianggap satu perkara yang penting kepada ibu bapa, malah ada ibu bapa yang menjadikan kemampuan berjalan sebagai alat pengukur kepintaran kanak-kanak berkenaan.
Kemampuan kanak-kanak berjalan dengan cepat dan pada waktu sepatutnya adalah salah satu indikasi yang menunjukkan yang perkembangan fungsi otot-otot kanak-kanak tersebut adalah pada tahap normal
Oleh itu, kelewatan kanak-kanak berjalan perlu diambil serius oleh ibu bapa agar perkembangan mereka tidak lewat dan membantutkan keseluruhan perkembangan otot-otot lain yang dibimbangkan membawa kepada masalah yang lebih buruk.
Menurut Ketua Pusat Perkembangan Kanak-kanak Hospital Canselor Tuanku Muhriz Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Juriza Ismail, secara amnya kanak-kanak mula berjalan di antara umur sembilan hingga 18 bulan.
Menurutnya,proses perkembangan motor kasar kanak-kanak adalah menurut urutan yang tertentu. Pada usia enam mereka mampu untuk meniarap, kemudian duduk, merangkak dan seterusnya cuba berpaut untuk berdiri apabila mencecah usia sembilan bulan.
Pada usia sepuluh bulan dan ke atas, bayi akan mula bertatih dengan berpaut kepada orang dewasa atau perabot di sekelilingnya.
“Pada usia itu, ibu bapa perlu memberi rangsangan kepada anak-anak mereka untuk berjalan dengan kaedah memimpin kanak-kanak berkenaan, bermula dengan memimpin kedua-dua belah tangan dan kemudian memimpin sebelah tangan.
“Cuba galakkan mereka berdiri sendiri dan melangkah setapak demi setapak ke hadapan dengan meletakkan barang-barang mainan di hadapan mereka sebagai tarikan. Tidak mengapa jika mereka terjatuh sekali–sekala kerana itu adalah proses untuk menguatkan otot-otot dan juga mengimbangkan diri.
“Kanak-kanak akan berjalan dengan sendirinya apabila mereka mempunyai keyakinan dan keseimbangan, jadi ibu bapa perlu peka dengan kebolehan anak-anak melalui pemerhatian ketika mereka mula berjalan,” katanya.
Lazimnya, bagi membantu kanak-kanak memudahkan mereka berjalan, ibu bapa lebih gemar memperkenalkan kanak-kanak dengan penggunaan walker.
Hakikatnya, walaupun walker dapat membantu mereka berjalan dengan cepat tetapi tidak tidak dapat membantu otot-otot kanak-kanak menjadi kuat.
Malah, di Amerika Syarikat penggunaan walker diharamkan kerana membahayakan kanak-kanak. Risiko kemalangan adalah tinggi terutamanya mendapat kecederaan bahagian otak jika kanak-kanak terjatuh ketika menggunakannya.
“Pakar tidak menggalakkan ibu bapa meletakkan anak-anak di dalam walker sebagai satu kaedah mempercepatkan anak-anak berjalan kerana tidak membantu menguatkan tulang dan otot kanak-kanak.
“Apabila kanak-kanak itu terlalu bergantung kepada walker, otot-otot di bahagian pinggul tidak digunakan kerana telah disokong oleh alat tersebut. Ini akan menyebabkan mereka mengalami masalah koordinasi apabila mereka berjalan tanpa walker tersebut.
“Sikap ibu bapa yang gemar mendukung atau tidak memberi ruang anak berdikari juga menjadi antara sebab kanak-kanak lewat berjalan,” katanya.
Jelas Dr. Juriza, kelewatan kanak-kanak berjalan tidak boleh diambil mudah.
Jika ibu bapa mendapati anak-anak mereka masih tidak dapat berjalan atau tidak berjalan dengan betul selepas 18 bulan, mereka perlu merujuk anak kepada doktor agar boleh diperiksa apa masalah kanak-kanak berkenaan.
“Ini kerana, punca kelewatan berjalan berkaitan dengan masalah otot, tulang dan saraf dan otak. Ini juga merupakan tanda kepada masalah seperti sindrom Down, serebral palsy, distrofi otot, congenital hip dysplasia serta penyakit-penyakit lain.
Tambah beliau,kelewatan berjalan juga boleh merupakan sebahagian dari kelewatan perkembangan global (GDD) di mana kanak-kanak itu mengalami kelewatan perkembangan dalam dua atau lebih bidang perkembangan seperti kelewatan perkembangan motor halus, pendengaran, pertuturan dan kemahiran sosial.
Ini disebabkan oleh masalah perkembangan otak, masalah kecelaruan genetik dan masalah inborn error of metabolism.
“Di hospital kita akan memeriksa kanak-kanak ini secara terperinci dan daripada situ kita akan kenal pasti punca kanak-kanak berkenaan lambat berjalan dan memastikan sama ada kelewatan berjalan adalah satu masalah yang tersendiri atau sebahagian dan kelewatan perkembangan global.
“Ujian-ujian yang berkenaan akan dijalankan untuk mendapatkan diagnosis yang tepat supaya kaedah rawatan yang bersesuaian dapat diberi kepada pesakit.
“Jika disebabkan masalah otot secara amnya kita akan menyarankan rawatan fisioterapi dan penggunaan alat sokongan. Pembedahan hanya di jalankan dalam kes-kes tertentu seperti rawatan congenital hip dysplasia, tendon tumit (archilles tendon) yang terlalu ketat dan sebagainya,” jelas Dr. Jusriza.