BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Friday, February 8, 2013

MEE KICAP, TAMAN DAGANG AMPANG



Zarina Abdam Suleman (kiri) dan Azian Nurul Liza Abu Bakar berbangga dengan hidangan beraneka jenis mi di kios mereka di Taman Dagang, Ampang, Selangor.

BAGI yang berasal dari Ipoh, Perak, pasti pernah mendengar atau menikmati makanan kegemaran iaitu mi Ipoh.
Mi ini yang juga dikenali sebagai mi kicap, enak dimakan bersama sup dan kari disertakan sekali dengan beraneka bebola ikan dan pes cili masam.
Masakan ini biasanya disediakan oleh kaum Cina dan merupakan salah satu makanan yang paling mendapat sambutan dalam kalangan mereka seperti juga mi wantan.
Kini, kepada penggemar mi Ipoh, tidak perlu lagi ke bandar raya itu untuk memesan hidangan yang menjadi idaman mereka.
Ini kerana di Kuala Lumpur juga telah tersedia satu-satunya kios yang menjual hidangan mi ini dan disediakan secara halal.
Menurut pengusaha mi Ipoh atau mi kicap, Zarina Abdam Saleman, 41, cara penyediaan mi kicap ini adalah ringkas iaitu menggunakan dua jenis kicap, kicap manis dan pekat digaul bersama minyak bijan dan disediakan bersama kari atau pun sup.
''Pelanggan boleh memilih sama ada bahan mi itu terdiri daripada kuetiau, mi kuning atau pun bihun mengikut cita rasa mereka dan digaul sebati dengan kicap dan dimakan bersama sup atau kuah kari tadi.
''Selain pilihan mi Ipoh, pelanggan juga boleh memilih hidangan aneka mi lain seperti mi rebus, mi sup atau mi kari untuk makanan mengikut cita rasa mereka pada hari itu," katanya yang berasal dari Ipoh.
Zarina menambah, di Ipoh, mi ini dimakan pada waktu pagi untuk sarapan. namun di Kuala Lumpur mi ini di waktu pagi tidak mendapat sambutan sebagaimana hidangan nasi lemak atau roti canai.
''Kami telah membuka kios ini pada waktu pagi namun tidak mendapat sambutan. Sebaliknya orang ramai akan meminta mi ini pada sebelah petang hingga ke malam sedangkan pada asalnya mi ini dimakan pada waktu pagi sebagai hidangan sarapan ringan," katanya.
Berbalik kepada kios yang menjual pelbagai aneka mi ini, Zarina menambah, dia pernah membuka gerai mi di Ipoh. Apabila berpindah ke ibu kota mengikut suami dan anak-anak, dia terpaksa menutup gerai di sana dan mewujudkan kios baharu di Medan Selera, Taman Dagang, Ampang, Selangor, sejak dua bulan lalu.
Sementara itu, chef bagi hidangan mi Ipoh ini, Azian Nurul Liza Abu Bakar, 43, memberitahu, resipi mi Ipoh ini diperoleh daripada bapanya yang juga mengusahakan hidangan sama dan pelbagai jenis mi lain di Ipoh.
''Penggemar makanan mi seperti ini pasti sukakan yang berkuah dan mi Ipoh memang menyediakan kuah yang banyak untuk dihirup oleh pelanggan.
''Biarpun pelanggan di sini meminta hidangan mi ini pada waktu petang, ada juga pelanggan kami yang memang berasal dari Ipoh datang ke kios kami pada waktu pagi kerana telah terbiasa dengan keadaan di Ipoh," katanya.
Azian Nurul Liza memberitahu, setakat ini ramai pelanggannya yang terdiri daripada kamu Cina mencuba resipi mi kicap di kios itu dan menyatakan pembuatannya seenak yang dimasak oleh kaum mereka.
Kios Mi Ipoh yang dibuka dari pukul dua petang hingga ke malam memang mudah dicari di medan selera tersebut.
Kepada mereka yang mahu mencuba mi Ipoh boleh menghubungi talian             019-324 6878       untuk membuat tempahan.

Wednesday, February 6, 2013

PINEWOOD STUDIO DIJANGKA TARIK RM 3.8 BILLION

JOHOR BAHARU - Pinewood Iskandar Malaysia Studios (PIMS) dijangka menarik projek produksi antarabangsa dengan bajet berjumlah RM3.8 bilion menjelang 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif PIMS Michael Lake berkata, bajet itu akan termasuk kira-kira 9,500 pekerja filem sepenuh masa dan bebas dalam tempoh itu, penggunaan ruang studio, kelengkapan produksi filem, logistik, makanan dan minuman, penginapan, pembelian bekalan pejabat dan pembinaan dan perkhidmatan lain.

"Kira-kira RM1.9 bilion akan dibelanjakan dalam ekonomi tempatan termasuk bagi upah pekerja tempatan," katanya dalam taklimat media mengenai perkembangan PIMS, di sini, hari ini.

PIMS yang terletak di tapak seluas 20 hektar di kawasan pembangunan perdana Iskandar Malaysia, dijangka siap pada Mei dan akan menampilkan kemudahan produksi studio filem dan televisyen canggih bertaraf dunia di rantau Asia Pasifik. 

Ia akan menawarkan kepada pengeluar filem dan televisyen antarabangsa satu daripada kemudahan produksi filem dan televisyen terbesar di rantau ini.    

"Bagi menyokong fasa pertama pembangunan PIMS, sejumlah 1,500 tenaga kerja diperlukan pada akhir tahun ini," kata Lake.

Bagi mendapatkan tenaga kerja yang diperlukan, Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA) Datuk Ismail Ibrahim mengumumkan pemulaan program Pembangunan Tenaga Kerja Industri Kreatif Iskandar Malaysia.

"Tujuh kursus 'Train the Trainers' pertama di bawah program pembangunan itu akan bermula pada Mac dan merupakan kursus intensif lapan hingga 12 minggu bagi menyediakan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan oleh profesional, jurulatih dan pekerja industri filem Malaysia untuk berintegrasi dengan syarikat produksi filem antarabangsa yang lebih besar," kata Ismail.

Sasaran program itu ialah mendapatkan kira-kira 1,300 pekerja pada akhir tahun ini untuk mengembang dan mengukuhkan asas kemahiran profesional dan teknikal bagi industri filem, terutamanya untuk menyokong PIMS.

Beliau berkata, kursus-kursus itu akan dikendalikan oleh pakar antarabangsa yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang masing-masing dan akan membolehkan pelatih menimba pengetahuan amalan terbaik antarabangsa dalam produksi filem.

Tujuh kursus yang ditawarkan ialah latihan dandanan rambut, mekap, pengurusan kostum, perakaunan produksi, pembinaan set, grip dan jabatan elektrik. 

Ismail berkata, 17 lagi kursus akan diumumkan dalam masa terdekat. 

Permohonan bagi mengikuti kursus itu kini dibuka dan akan ditutup pada 12 Februari. Bagi yang berminat boleh melayari laman web www.iskandarmalaysia.com untuk mendapatkan maklumat lanjut.

YOB SIPUT BAKAR, GELUGOR P.PINANG


SOTONG kangkung juga antara menu tambahan di Yob Siput Bakar.
MENYAJIKAN hidangan yang berbeza daripada gerai makan biasa, gerai Yob Siput Bakar mampu menambat selera penggemarnya.
Kedai milik Abdul Rahim Omar, 47, di Jalan Akuarium, Gelugor, Pulau Pinang itu amat istimewa kerana hanya menyajikan siput sebagai menunya.
Antaranya siput sudu, siput unam, kerang bulu, siput duri dan juga kerang yang dibakar atau rebus.
Hidangan makanan laut eksotik yang segar itu disajikan dengan air asam dan kuah rojak yang membuatkan penggemarnya kecur air liur sama ada diratah begitu sahaja atau dimakan bersama nasi putih.
Guna tempurung
Kedudukan gerai yang tersorok dari jalan utama menyebabkan ramai pengunjung yang datang pertama kali agak sukar mencarinya.
Bagaimanapun rasa lelah itu hilang sebaik hidangan siput yang dibakar menggunakan tempurung kelapa bagi menggantikan arang itu tersaji di depan mata.
Abdul Rahim yang merupakan penggemar siput sejak kecil berkata, beliau mula berniaga siput bakar di kampungnya di Parit Buntar, Perak sepanjang bulan puasa sejak beberapa tahun lalu.
Katanya, gerai Yob Siput Bakar dibuka sejak tiga bulan lalu setelah melihat sambutan baik daripada pelanggan.
“Ini merupakan makanan tradisi orang Perak yang cukup popular ketika bulan puasa lalu saya terfikir mungkin ia mendapat sambutan sekiranya dihidangkan kepada penggemar siput di di sini pula.
“Bekalan siput diperoleh setiap hari dari Bagan Tiang bagi memastikan kesegarannya.
“Purata saya menjual antara 30 hingga 40 kilogram siput pelbagai jenis, tetapi adakalanya bekalan sukar diperoleh misalnya siput duri,” ujarnya.
Waktu operasi kedai Yob Siput Bakar bermula pukul 5 petang hingga 12 tengah malam dan ditutup pada hari Ahad.
Jelas Abdul Rahim lagi, teknik membakar siput menggunakan tempurung kelapa di dapur menyebabkan siput lebih cepat masak dan rasanya juga sedap.
Selain siput, Rahim turut menyediakan hidangan sampingan seperti sotong kangkung yang menggunakan sos resipi keluarganya dari Perak.
“Harga sepinggan siput ialah RM5 bagi setiap setengah kilogram (kg) manakala bagi sotong kangkung pula RM10 sepinggan.
“Kebanyakan pelanggan yang datang ke gerainya pula terdiri daripada masyarakat setempat termasuk dari luar Pulau Pinang dan berbilang bangsa. Ramai daripada mereka menggemari siput dibakar,” katanya.
Sementara itu, seorang pelanggan, Mohd. Yatimi Khairy, berkata dia kini menjadi pelanggan tetap Yob Siput Bakar dan tidak akan melepaskan peluang menjamu selera di situ jika mempunyai urusan kerja di Pulau Pinang.
Beliau yang menetap di Kedah memberitahu, pertama kali ke gerai itu bulan lalu setelah diperkenalkan rakannya.
“Sudah empat kali saya ke gerai ini kerana sukar memperoleh makanan itu di tempat lain. Memang saya cukup berpuas hati dengan makanan serta harganya yang berpatutan,” ujarnya.
Pendapat sama juga disuarakan pelanggan, Mohd. Khairul Annuar yang memberitahu sajian di gerai tersebut memang memenuhi cita rasa semua orang khususnya penggemar makanan laut.
“Kalau ke pantai pun bukan senang untuk kita cari siput itu pun jika bernasib baik. Gerai ini bukan sahaja lain daripada yang lain, tetapi pesanan juga cepat diterima pelanggan,” katanya.

SEPARUH PENDUDUK DUNIA GEMUK


Pengambilan makanan yang tidak sihat antara punca obesiti.

Obesiti atau berat badan berlebihan bukan lagi masalah individu. Sebaliknya telah menjadi wabak di peringkat global apabila diramalkan lebih daripada separuh penduduk dewasa di dunia mengalaminya dalam tempoh dua dekad akan datang.
Pendedahan terbaru oleh kumpulan pakar dalam bidang kesihatan, nutrisi dan kecergasan mendorong isu itu turut di bincangkan ketika Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland baru-baru ini.
Kumpulan pakar tersebut mengesa agar langkah-langkah segera diambil, bukan hanya sekadar menyalahkan individu-individu terbabit yang tidak bersungguh-sungguh untuk menangani masalah ini.
Mereka berkata, krisis obesiti yang semakin meningkat dan membawa maut perlu ditangani dengan kesungguhan di peringkat pembuat dasar sebagaimana mereka memerangi gejala merokok selama ini.
Dengan keadaan makanan yang semakin hari semakin tidak sihat serta gaya hidup bersenang-senang (sedentary) yang semakin meningkat, jawapan segera perlu dicari bagi krisis yang telah membawa kepada peningkatan kes diabetes dan serangan jantung.
Krisis obesiti sendiri telah membunuh 2.8 juta orang dewasa setiap tahun.
Dekan School of Public Health di Universiti Columbia Amerika Syarikat, Linda Fried, berkata, perangkaan terbaru menunjukkan 1.4 bilion individu dewasa di seluruh dunia mengalami berat badan berlebihan.
"Jumlah itu dijangka meningkat dari setahun ke setahun dan dalam tempoh 20 tahun lagi jika terus meningkat seperti corak sekarang, kemungkinan besar 50-60 peratus penduduk dewasa dunia adalah individu yang berat badannya berlebihan.
"Jika ini (obesiti) adalah penyakit berjangkit kita sudah boleh isytiharkan ia sebagai wabak. Ini bukan lagi masalah serantau, sebaliknya global kerana meningkat dengan begitu cepat dan berterusan. Semua itu adalah definisi asas bagi istilah wabak," katanya.
Para pakar sepakat menyatakan bahawa langkah pertama bagi menyelesaikan krisis ini adalah dengan mengubah tanggapan orang ramai terhadap obesiti iaitu dengan menyalahkan mereka yang obes, bukannya keadaan persekitaran mereka.
"Dalam tempoh 30 tahun, peratus penduduk dunia yang berlebihan berat badan atau obes telah meningkat dua kali ganda.
"Setakat ini tidak ada bukti secara global bahawa ia berpunca daripada kurang keazaman atau kesungguhan individu terbabit.
"Sebaliknya kesalahan patut diletakkan pada makanan berkalori tinggi yang mudah diperolehi dan secara relatifnya murah.
"Selain itu proses urbanisasi yang meningkat di seluruh dunia juga telah membawa kepada gaya hidup kurang aktif," katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Nike bagi Akses untuk Sukan, Lisa MacCallum Carter, berkata, obesiti dikaitkan dengan krisis hidup tanpa aktiviti, hasil daripada proses urbanisasi.
Beliau berkata, jumlah waktu untuk senaman harian terutama pergerakan yang tidak secara langsung (seperti berjalan kaki) telah berkurang dengan begitu ketara.
Sebagai contoh katanya, masyarakat hari ini lebih mudah menghantar emel daripada berjalan ke pejabat di seberang jalan untuk berbual dengan rakan sekerja mereka.
Pada masa sama, makanan yang diambil juga semakin kurang sihat dengan produk yang kandungan lemak dan garamnya tinggi, serta makanan tiruan, semakin mudah dihasilkan dan dipasarkan.
"Cara pasaran yang kita lihat sekarang turut membantu meningkatkan trend ini dengan lebih cepat," kata Marc Van Ameringen, Pengarah Eksekutif Global Alliance for Improved Nutrition (GAIN).
Katanya, sesetengah negara, seperti AS, turut menggalakkan senario ini dengan memberi subsidi kepada industri pengeluaran makanan seperti pengeluaran sirap jagung.
Siap jagung digunakan secara meluas dalam penyediaan makanan sebagai pemanis dan pemekat makanan.
"Lihat saja wang yang mengalir dalam industri pengeluaran produk jagung dan sirap jagung berbanding subsidi yang diberi bagi pengeluaran buah-buahan dan sayur-sayuran," katanya.
Begitu pun Fried berkata, sesetengah pembuat dasar telah mengambil langkah yang menggalakkan dalam memerangi obesiti seperti yang dilakukan oleh Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg terhadap penduduk bandar raya itu.
Perjuangan Bloomberg menentang makanan rapu telah menyaksikan pihak berkuasa bandar itu mengharamkan penjualan minuman ringan karbonat bersaiz besar dan mengehendaki restoran-restoran makanan segera meletakkan maklumat kandungan kalori dalam menu mereka.
Para pakar berkata, langkah seperti menguatkuasakan undang-undang melabelkan kalori, mengehadkan saiz sesuatu makanan dan meningkatkan cukai ke atas makanan yang dikategorikan tidak sihat sedikit sebanyak
"Ini adalah satu isu kesihatan yang mencemaskan dan bersifat global yang memerlukan pandangan dari sudut dimensi yang besar. Ia boleh diselesaikan jika semua orang bekerjasama," kata Fried.

Sunday, February 3, 2013

HOT PINDANG KITCHEN, SEKSYEN 10 SHAH ALAM


Hot Pindang Kitchen
Hot Pindang Kitchen
nasi kampung
Set nasi kampung
gulai salai
Set gulai salai
Hidangan masak pindang sangat popular di negara ini. Ada sesetengah negeri seperti Kelantan dan Terengganu menamakan ia sebagai singgang.
Masak pindang merupakan diet yang cukup sihat kerana ia tidak melibatkan sebarang minyak atau sebagainya. Ia cukup direbus bersama air dan rempah ratus serta herba tempatan seperti lengkuas, bawang putih serta sebagainya.

Golongan berusia lebih menggemari masakan tradisional ini. Rasa masam dan pedas menjadikannya ia sangat sedap dinikmati dengan nasi panas.

Kini, masak pindang bukan hanya hidangan semata-mata, malah tidak keterlaluan jika dikatakan ia menjadi makanan tradisi rakyat negara ini.

Menyedari keistimewaan dan keunikan masak pindang, Norhana Abu Bakar, membuka restoran Hot Pindang Kicthen yang menjadikan masak pindang sebagai signature dishnya.

Walaupun rakan-rakannya tidak bersetuju menjadikan masak pindang sebagai menu utama, Norhana tetap optimis dengan idea tersebut.

“Sebenarnya, pada mulanya saya sendiri pun kurang berkeyakinan, namun selepas maklum balas positif daripada pelanggan, saya tidak menoleh ke belakang lagi,” katanya.

Mengakui terkejut dengan sambutan yang diberikan pelanggannya, beliau tidak menyangka, masak pindang bukan sahaja diterima oleh orang berusia, namun golongan muda juga menggemarinya.

“Ada sekumpulan pelajar yang datang ke sini dan memesan ikan masak pindang, dan saya terus bertanyakan kepada mereka mengenai hal itu.

“Pada mereka, hidangan ringkas ikan masak pindang bukan setakat diet sihat, tetapi enak dinikmati dengan nasi,” katanya.

Bahan mentah segar

Ikan masak pindang merupakan kegemarannya sejak kecil lagi dan semua orang boleh menikmatinya.

“Wanita dalam pantang, orang sakit, orang sihat, kanak-kanak, dewasa pendek kata semua golongan peringkat umur boleh menikmati masak pindang ini,” katanya.

Menurutnya, antara ikan yang digunakan untuk masak pindang adalah kembung, senangin dan juga tenggiri.

“Terpulang kepada pelanggan yang ingin menikmatinya. Kami akan lakukan yang terbaik untuk mereka yang menjamu selera di Hot Pindang Kitchen,” katanya.

Beliau berkata, setiap bahan mentah yang digunakan adalah segar dan diambil dari pembekal di Pasar Seksyen 6, Shah Alam.

“Siapa yang tinggal di kawasan Shah Alam tahu mengenai pasar ini. Ia dikategorikan sebagai pasar orang kaya. Sebenarnya ia bukan untuk orang kaya, tetapi ikan dan bahan mentah yang dijual di sini sangat segar, jadi harganya sedikit tinggi berbanding
pasar-pasar lain yang ada,” katanya.

Selain set ikan masak pindang, restoran ini juga menawarkan special Hot Pindang.

“Ia mempunyai nasi seakan  nasi Arab atau beriyani dan ayam pindang. Kami gunakan bahan rempah ratus masak pindang kemudian memerapkan pada potongan daging ayam sebelum digoreng,” katanya.

Norhana berkata, Special Hot Pindang merupakan antara menu yang disukai oleh pelanggan-pelanggannya.

“Jika mereka teringin untuk menikmati nasi Arab yang mempunyai kelainan, Special Hot Pindang adalah pilihan tepat,” katanya.

Selain itu, kuew tiaw goreng turut menjadi pilihan pelanggan yang tidak mahukan set nasi.

“Saya berasa bangga apabila ada pelanggan yang memuji kuew tiaw goreng ini jauh lebih sedap daripada yang popular di Taiping, Perak. Saya sendiri tak penah merasai kuew tiaw sana, tapi ia adalah penghormatan buat saya dan seluruh warga kerja Hot
Pindang Kitchen,” katanya.

Sukatan tepat jamin kualiti hidangan

Menurutnya, setiap resipi adalah hasil daripada air tangannya dan ibunya sendiri.

"Walau saya tidak lagi ‘masuk dapur’, namun tukang masak perlu mematuhi setiap jumlah bahan yang digunakan.
“Sukatan perlu tepat supaya rasanya tidak lari dari yang asal. Perkara ini amat dititik beratkan oleh saya dan pekerja,” katanya.

Di sini pengunjung bukan hanya dapat menjamu selera, namun dekorasi dan susun atur ruang restoran menjadikan masa makan anda lebih berkualiti.

“Saya jadikan ruang restoran tampak santai supaya pelanggan dapat menghayati hidangan mereka. Kesemua idea dekorasi ini datangnya daripada saya.

“Untuk mendapatkan hasil sebegini, saya banyak membuat kajian di internet dan melihat lukisan-lukisan menarik untuk dicetak dan dihiasi di dinding supaya ia tidak nampak terlalu kosong,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan Hot Pindang Kitchen, ibu kepada tiga orang anak ini berhasrat menambahkan beberapa menu kegemaran masyarakat Malaysia dalam masa terdekat.

“Saya ingin jadikan restoran ini tempat makan yang sesuai untuk semua,” katanya.

Selain ingin mengukuhkan kedudukan restoran ini, beliau juga berhasrat untuk membuka cawangan.

“Saya belum meletakkan tempohnya lagi kerana ingin memberi tumpuan sepenuhnya kepada restoran ini. Namun, ada permintaan daripada pelanggan yang mahukan restoran ini bertambah,” katanya.

Friday, February 1, 2013

TRANSFORMASI LANSKAP HALAL MALAYSIA


Penguatkuasaan Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 berkaitan halal bakal memberi impak yang positif, sekali gus mengembalikan keyakinan pengguna terhadap industri halal negara. - Gambar hiasan

DALAM seminar penguatkuasaan halal anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), penghujung tahun lepas, ada peserta mengajukan soalan berbunyi; "Adakah Jakim terus menguatkuasakan Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 berkaitan halal ini selepas dentuman mercun detik 12 tengah malam 2013?" Walaupun bunyinya agak lucu tapi bagi penulis ia memberikan isyarat penting bermulanya transformasi landskap halal di Malaysia yang telah difahami oleh industri dan pengguna.
Industri halal Malaysia sebenarnya telah maklum bahawa bermula 1 Januari 2012 telah dikuatkuasakan APD 2011 berkaitan halal untuk produk di pasaran, sama ada produk tempatan mahupun import.
Bagaimanapun APD 2011 ini memberikan tempoh peralihan selama setahun yang berakhir 31 Disember 2012 lalu, untuk tidak menggunakan logo atau ungkapan halal di pembungkusan produk.
Jakim yakin tempoh tersebut memadai untuk industri menghabiskan pembungkusan mereka, malangnya ada juga industri yang tidak peka malahan beranggapan Jakim akan terus memanjangkan tempoh tersebut.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustafa telah mengeluarkan kenyataan pada 28 Disember tahun lalu bahawa Jakim akan menguatkuasakan APD 2011 melalui Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011 bermula 1 Januari 2013 untuk produk pula, setelah premis bermula Julai tahun lalu.
Oleh itu, mana-mana individu yang memperakukan, mengeluarkan, menggunakan perkataan atau ungkapan halal seperti "halal", "Makanan orang Islam", "Ditanggung Halal" atau apa jua objek atau lambang Islam atau sebarang jenis logo halal selain logo halal Malaysia yang dikeluarkan oleh Jakim atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dikira telah melakukan kesalahan.
Ada pemain industri halal bertanya: "Apakah pula tindakan kepada orang yang mengeluarkan sijil halal?" Sebenarnya APD 2011 ini juga memperuntukan orang yang mengeluarkan sijil atau pengesahan halal juga boleh disabitkan kesalahan. Jika sabit kesalahan-kesalahan tadi maka mereka itu boleh dikenakan denda sehingga RM200,000 untuk kesalahan pertama dan RM500,000 bagi kesalahan kedua.
Pun begitu, bukan denda itu yang hendak diuar-uarkan tapi yang penting adalah aspek kesedaran dan tanggungjawab semua bagi menyahut transformasi halal ini.
Hebahan melalui media hikmah dan pintar telah diusahakan Jakim sebaiknya. Lantaran itu, budaya "tidak tahu", "tidak dapat maklumat" tidak boleh dijadikan alasan jika tindakan diambil.

Kesan penguatkuasaan

Kesan penguatkuasaan APD 2011 ini telah menambahkan bilangan permohonan. Walaupun hebahan dibuat sejak 2011 lagi tapi budaya orang Malaysia tetap diteruskan dengan membuat permohonan pensijilan halal di saat-saat akhir.
Inilah yang menyebabkan Jakim memproses permohonan tiga kali ganda daripada biasa, akhirnya industri menyalahkan Jakim kerana lambat memproses.
APD 2011 ini juga mengawal penggunaan logo halal untuk produk import. Ini bermakna ia juga berjaya mentransformasikan landskap halal dunia. Hanya logo halal dari badan pensijilan halal diiktiraf Jakim sahaja dibenarkan berada di pasaran.
Sehingga kini sebanyak 71 badan Islam dan autoriti diiktiraf Jakim. Pengguna tidak perlu menghafal atau mengecam setiap logo halal kerana hanya produk yang menggunakan logo halal diiktiraf sahaja dibenarkan masuk ke Malaysia.
Malah pengguna perlu tanamkan dalam minda "Carilah produk yang ada logo halal." Pasar raya juga boleh memainkan peranan supaya tidak lagi menjual produk yang menyalahi APD 2011 ini dirak-rak pameran mereka.
Oleh itu, dengan pemantauan dan penguatkuasaan oleh Jakim sepenuhnya, ia bakal memberi impak yang positif dari aspek pematuhan undang-undang berkaitan penggunaan logo dan ungkapan halal dan mengembalikan keyakinan pengguna terhadap industri halal ke arah menjadikan Malaysia sebagai hab halal antarabangsa.

ASAM PEDAS KOMANDO, AMPANG SELANGOR


Yusliza Nor membantu ibu dan bapanya di kios Asam Pedas Komando.

DIBANTU empat orang pekerja dan empat daripada lima anaknya menjelang tengah hari, ternyata masakan Asam Pedas Komando memenuhi setiap cita rasa pelanggan yang hadir.
Menurut Alimah masakan asam pedas Melaka yang bermula di kios sejak tujuh tahun lalu itu, bukan sahaja jadi tumpuan penggemar masakan asam pedas Melaka, bahkan mereka yang baru pertama kali ingin mencuba masakan tersebut.
Lebih menarik ia turut dikunjungi oleh pelanggan daripada semua bangsa termasuk pelancong asing.
‘‘Alhamdulillah, ramai pelanggan yang berpuas hati dengan masakan asam pedas mak cik sehinggakan mereka yang datang dari Melaka pun, mereka akan singgah ke sini untuk merasai asam pedas yang dikatakan mereka tiada tandingannya.
‘‘Ramai juga pelanggan yang datang meminta agar dilebihkan kuah asam pedas untuk dihirup, ada juga yang membeli pes asam pedas untuk membuat sendiri di rumah atau membeli kuahnya sahaja," katanya yang berasal dari Bukit Piatu, Melaka.
Memberitahu lanjut, Alimah yang dibantu oleh anak perempuannya, Yusliza Nor, 32, berkata, masakan Asam Pedas Komando di kiosnya dihidangkan di dalam periuk tanah (claypot) secara panas-panas agar aromanya sebati dengan nasi putih yang dihidangkan bersama.
Bukan itu sahaja, sekiranya pelanggan memilih hidangan secara set, selain asam pedas dengan pelbagai pilihan ikan, turut dihidangkan sekali ialah nasi putih, telur masin, sambal belacan dan ulam-ulaman.
Setakat ini katanya, asam pedas ikan pari adalah hidangan yang paling digemari pelanggan.
Ikan lain yang turut jadi pilihan seperti jenahak, terubuk, tenggiri, kembung, kepala ikan dan sebagainya serta daging tetel dengan harga bagi satu set hidangan adalah serendah RM7.00 sahaja.
Bagaimanapun, bagi asam pedas kepala ikan harganya berbeza sedikit dan pada hari Ahad ada disediakan hidangan sup.
Pelanggan juga boleh memesan hidangan sampingan seperti sayur goreng, ayam berempah atau masak kunyit dan ikan masin atau telur dadar serta mi rebus sebagai peneman kepada masakan Asam Pedas Komando ini.
Manakala air jambu mata asam boi, air asam boi dan teh tiga lapis adalah minuman istimewa di kios ini.
Apabila ditanya apakah resipi rahsia yang menjadikan asam pedas yang dimasak begitu sedap, Alimah berkata, tiada apa yang menjadi rahsia cuma apabila memasak, dia memasak dengan ikhlas.
‘‘Bagi makcik sekiranya masakan ini sedap, bolehlah beritahu dengan kawan-kawan kalau tidak, beritahu makcik," katanya yang juga bekas guru masakan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).
Alimah akan mula menyediakan bahan-bahan tumisan asam pedas pada sebelah petang dan pada keesokan paginya, dia akan mula menumis kuah mengikut cita rasa dan kepekatan yang dimahukan pelanggan.
‘‘Kuah memang telah tersedia dan pelanggan akan memilih hanya ikan-ikan yang segar di sini untuk dijadikan hidangan makanan mereka pada hari itu," katanya.
Kios di medan selera ini dibuka dari 10.30 pagi hingga 10.30 malam setiap hari dan waktu puncak ialah antara 12.00 tengah hari sehingga 2.30 petang.
Apabila ditanya bagaimana dengan nama gelaran komando yang diletakkan pada asam pedas ini, Hussain pula menjelaskan, dia adalah seorang pesara komando sejak tahun 1983.
Selepas bersara dia sempat bekerja di beberapa tempat sebelum bersama isterinya mengelolakan masakan yong tau fu dan nasi lemak secara kecil-kecilan di Pandan Indah, Ampang, Selangor.
Memandangkan isterinya mempunyai kebolehan memasak asam pedas, mereka pun memulakan perniagaan berkenaan dan sambutan yang didapati sangat menggalakkan.
Bercakap mengenai harga, Hussain yang berasal dari Pulau Pinang menambah, harga hidangan yang ditawarkan kepada pelanggan tidak pernah berubah sejak kios ini dibuka.
Dia juga berpuas hati dengan lokasi medan seleranya itu yang berhampiran dengan pejabat dan senang dicari pelanggan.
Sekiranya anda peminat tegar asam pedas Melaka, apa kata mencuba masakan Asam Pedas Melaka Komando ini di No. 5, Medan Selera, Taman Dagang Avenue, Ampang, Selangor atau hubungi             017-371 9943       untuk pertanyaan lanjut.