BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Friday, February 1, 2013

TRANSFORMASI LANSKAP HALAL MALAYSIA


Penguatkuasaan Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 berkaitan halal bakal memberi impak yang positif, sekali gus mengembalikan keyakinan pengguna terhadap industri halal negara. - Gambar hiasan

DALAM seminar penguatkuasaan halal anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), penghujung tahun lepas, ada peserta mengajukan soalan berbunyi; "Adakah Jakim terus menguatkuasakan Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 berkaitan halal ini selepas dentuman mercun detik 12 tengah malam 2013?" Walaupun bunyinya agak lucu tapi bagi penulis ia memberikan isyarat penting bermulanya transformasi landskap halal di Malaysia yang telah difahami oleh industri dan pengguna.
Industri halal Malaysia sebenarnya telah maklum bahawa bermula 1 Januari 2012 telah dikuatkuasakan APD 2011 berkaitan halal untuk produk di pasaran, sama ada produk tempatan mahupun import.
Bagaimanapun APD 2011 ini memberikan tempoh peralihan selama setahun yang berakhir 31 Disember 2012 lalu, untuk tidak menggunakan logo atau ungkapan halal di pembungkusan produk.
Jakim yakin tempoh tersebut memadai untuk industri menghabiskan pembungkusan mereka, malangnya ada juga industri yang tidak peka malahan beranggapan Jakim akan terus memanjangkan tempoh tersebut.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustafa telah mengeluarkan kenyataan pada 28 Disember tahun lalu bahawa Jakim akan menguatkuasakan APD 2011 melalui Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011 bermula 1 Januari 2013 untuk produk pula, setelah premis bermula Julai tahun lalu.
Oleh itu, mana-mana individu yang memperakukan, mengeluarkan, menggunakan perkataan atau ungkapan halal seperti "halal", "Makanan orang Islam", "Ditanggung Halal" atau apa jua objek atau lambang Islam atau sebarang jenis logo halal selain logo halal Malaysia yang dikeluarkan oleh Jakim atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dikira telah melakukan kesalahan.
Ada pemain industri halal bertanya: "Apakah pula tindakan kepada orang yang mengeluarkan sijil halal?" Sebenarnya APD 2011 ini juga memperuntukan orang yang mengeluarkan sijil atau pengesahan halal juga boleh disabitkan kesalahan. Jika sabit kesalahan-kesalahan tadi maka mereka itu boleh dikenakan denda sehingga RM200,000 untuk kesalahan pertama dan RM500,000 bagi kesalahan kedua.
Pun begitu, bukan denda itu yang hendak diuar-uarkan tapi yang penting adalah aspek kesedaran dan tanggungjawab semua bagi menyahut transformasi halal ini.
Hebahan melalui media hikmah dan pintar telah diusahakan Jakim sebaiknya. Lantaran itu, budaya "tidak tahu", "tidak dapat maklumat" tidak boleh dijadikan alasan jika tindakan diambil.

Kesan penguatkuasaan

Kesan penguatkuasaan APD 2011 ini telah menambahkan bilangan permohonan. Walaupun hebahan dibuat sejak 2011 lagi tapi budaya orang Malaysia tetap diteruskan dengan membuat permohonan pensijilan halal di saat-saat akhir.
Inilah yang menyebabkan Jakim memproses permohonan tiga kali ganda daripada biasa, akhirnya industri menyalahkan Jakim kerana lambat memproses.
APD 2011 ini juga mengawal penggunaan logo halal untuk produk import. Ini bermakna ia juga berjaya mentransformasikan landskap halal dunia. Hanya logo halal dari badan pensijilan halal diiktiraf Jakim sahaja dibenarkan berada di pasaran.
Sehingga kini sebanyak 71 badan Islam dan autoriti diiktiraf Jakim. Pengguna tidak perlu menghafal atau mengecam setiap logo halal kerana hanya produk yang menggunakan logo halal diiktiraf sahaja dibenarkan masuk ke Malaysia.
Malah pengguna perlu tanamkan dalam minda "Carilah produk yang ada logo halal." Pasar raya juga boleh memainkan peranan supaya tidak lagi menjual produk yang menyalahi APD 2011 ini dirak-rak pameran mereka.
Oleh itu, dengan pemantauan dan penguatkuasaan oleh Jakim sepenuhnya, ia bakal memberi impak yang positif dari aspek pematuhan undang-undang berkaitan penggunaan logo dan ungkapan halal dan mengembalikan keyakinan pengguna terhadap industri halal ke arah menjadikan Malaysia sebagai hab halal antarabangsa.

No comments:

Post a Comment