BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Wednesday, June 17, 2015

RAMADHAN 1436H



Kepada sekelian muslimin & muslimat, pihak pengurusan Restoran Kemangi mengucapkan selamat menyambut kedatangan Ramadhan Al-Mubarak 1436H. Semoga amalan dipertingkatkan dibulan suci ini disamping menagih penuh keredhaan daripada Allah s.w.t, insyaallah.

Friday, June 12, 2015

DIET BERSESUAIAN CEGAH BATU KARANG

RASA sakit dan sengal-sengal dari bahagian bawah abdomen ke bahagian belakang pinggang mungkin petanda anda mengalami penyakit batu karang.
Batu karang terbentuk daripada kombinasi sebatian garam mineral yang terdapat dalam air kencing. Jika kepekatan garam itu terlalu tinggi atau berlebihan, ia boleh bertukar menjadi kristal kecil. Bagaimanapun lama-kelamaan kristal tersebut boleh menjadi semakin keras dan membentuk ketulan yang dipanggil ‘batu.’
Pakar Perunding Urologi Pusat Perubatan Tropicana, Dr. Muhilan Parameswaran berkata, golongan lelaki berusia antara 20 hingga 45 tahun lebih berisiko untuk menghidap penyakit batu karang berbanding wanita.
Katanya, faktor itu mungkin dipengaruhi diet tinggi protein yang diamalkan sebahagian besar kaum Adam itu.
“Pemakanan yang tinggi kandungan protein dipercayai boleh meningkatkan risiko mendapat batu karang. Pada masa sama, diet kurang serat seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin turut menyumbang kepada masalah ini,” katanya.
Menurut Muhilan, terdapat empat jenis batu karang iaitu batu kalsium, batu asid urik, batu struvite dan batu cystine.
Katanya, penyakit batu karang yang biasa dihidapi rakyat di negara ini ialah batu karang asid urik dan batu karang kalsium yang berpunca daripada pembentukan garam seperti oksalat dan fosfat.
Mengulas lanjut, Muhilan berkata, batu karang boleh ditemui di bahagian atas saluran kencing meliputi buah pinggang dan ureter, selain boleh terbentuk di pundi kencing.
“Pesakit batu karang akan mengadu sakit di tempat di mana batu itu berada. Rasa sakit yang teramat sangat ini akan berlanjutan untuk beberapa jam tetapi jelas ia bukan akibat pergerakan atau masalah otot.
Kencing berdarah
“Pesakit juga mungkin mengalami tanda-tanda lain seperti demam, kencing berdarah, jangkitan kuman pada salur kencing dan lebih teruk kegagalan buah pinggang,” jelasnya.
Secara umum, pembentukan batu karang boleh dicegah menerusi pengambilan air masak dalam kuantiti yang banyak.
“Bagi individu dengan purata berat 50 hingga 70 kilogram, mereka perlu mengeluarkan kencing antara 2 hingga 2.5 liter sehari. Ini bermaksud, urin mestilah jernih seperti air dan tidak berbau,” jelasnya sambil memberitahu, penyakit itu juga boleh dielakkan dengan tidak mengambil minuman beralkohol dan bergas kerana kedua-duanya mengandungi asid fosforik yang mempengaruhi pembentukan batu karang.
Bertutur lanjut, Muhilan menjelaskan, perubahan dalam pemakanan dengan diet rendah protein diperlukan untuk mencegah pembentukan batu karang.
Katanya, pesakit batu karang jenis oksalat dinasihatkan untuk menghindari makanan seperti tomato, kentang, keledek, bendi, bayam, daging kambing, coklat, kekacang, tempe dan tauhu.
Minum jus lemon
“Makanan tersebut kaya dengan oksalat dan pengambilannya hanya akan memudaratkan keadaan. Pesakit sebaliknya digalakkan meminum campuran air masak dengan perahan jus lemon kerana ia bermanfaat untuk menghalang pembentukan batu karang.
“Bagi pesakit dengan batu karang jenis fosfat, mereka digalakkan meminum banyak jus kranberi. Ini kerana, urin pesakit mempunyai pH yang tinggi (beralkali), jadi minuman berkenaan dapat meneutralkan air kencing dengan meningkatkan tahap keasidan urin,” jelasnya.
Bagi pesakit batu karang jenis asid urik, Muhilan berkata, mereka tidak boleh mengambil makanan yang tinggi protein purine seperti telur, daging merah, makanan laut dan organ dalaman termasuk lidah, hati, limpa dan sebagainya.
“Berlainan dengan pesakit batu karang kalsium fosfat, pesakit batu karang asid urik tidak boleh mengambil jus kranberi, sebaliknya hanya boleh minum air masak dan air campuran lemon,” katanya sambil menambah, jus limau gedang juga tidak baik untuk semua jenis batu karang.
Tambahnya, makanan yang mengandungi kalsium organik seperti susu dan keju tidak menyumbang kepada pembentukan batu karang.
“Ia sebenarnya bagus kepada pesakit batu karang kerana kalsium dalam saluran pencernaan mengikat oksalat daripada makanan dan menyimpannya daripada memasuki darah, dan kemudian saluran kencing di mana batu terbentuk.
“Suplemen kalsium dalam apa jua bentuk bagaimanapun bertindak sebaliknya. Kalsium jenis ini boleh meningkatkan risiko mendapat batu karang,” tegas Muhilan.

THE FOODIES CAFE-PUTRA HEIGHT

Melangkah masuk ke The Foodies Cafe yang terletak di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor, sungguh menenangkan bak berada di sebuah rumah berkonsepkan moden kontemporari.
Dengan dinding dilatari warna yang membangkit semangat seperti hitam, merah dan putih, menjadikan kafe keluarga itu sesuai sebagai lokasi melepaskan penat dan lelah setelah bekerja seharian.
Tidak mahu terlalu berkonsepkan restoran biasa, pemiliknya memilih untuk membuat dekorasi kafe itu lebih santai dengan memberi fokus kepada ruang penyediaan minuman atau lebih tepat untuk barista-barista mereka ‘beraksi’ di tengah-tengah ruang dalam kafe berkenaan.
Ruang penyediaan minuman yang ditempatkan di tengah-tengah ruang kafe itu memberi pandangan sudut 360 darjah kepada pelanggan sama ada mereka memilih untuk duduk di bahagian luar atau dalam kafe.
Selain pilihan tempat duduk dengan meja dan kerusi kayu, pemiliknya turut menyediakan ruang santai dengan meletakkan sofa lembut serta meja rendah bagi membolehkan pelanggan yang gemar menikmati hidangan sambil berborak.
Menyediakan lebih 35 jenis hidangan yang rata-ratanya dari negara-negara di Eropah serta 38 jenis minuman, The Foodies Cafe turut tidak ketinggalan menghidangkan menu tradisional terutama kuih-muih Melayu.
Kafe yang mendapat sentuhan pasangan suami isteri, Harlizan Hasan, 42, dan Dr. Norhanim Dewa, 42, serta adik mereka, Siti Hanis Dewa,35, telah beroperasi sejak Disember tahun lalu bagi membolehkan masyarakat di kawasan kejiranan itu menikmati sajian yang enak tanpa perlu keluar jauh ke bandar.
Menurut Dr. Norhanim, The Foodies Cafe tidak memfokuskan makanan tertentu tetapi lebih kepada makanan yang mudah, enak dan cepat dengan kombinasi hidangan fusion dan rustic.
Katanya, kesemua hidangan yang disediakan adalah resipi yang telah mendapatkan sentuhan mereka bertiga bagi memberi kelainan cita rasa kepada pelanggan.
“Mungkin ada sebahagian menu yang kita sediakan di kafe ini seperti biasa didengar, tetapi rasanya mungkin berbeza kerana kami memberi sedikit cita rasa keluarga kami pada setiap makanan.
“Oleh kerana, saya merupakan peminat teh manakala adik saya peminat kopi, jadi di sini kami menyediakan pelbagai pilihan teh dan kopi yang rata-di import,” katanya.
Antara pilihan teh yang disediakan seperti African solstice, green mango peach, organic white ginger pear, organic cucumber mint, green tea sunshine, granny’s garden, chamomile dan english breakfast, manakala bagi pilihan kopi pula seperti espresso, dopio, flat white, long black, cappucino, caramel latte, macadamia latte dan mocaccino.
Selain teh dan kopi, bagi penggemar ice blended, mereka boleh mencuba resipi unik seperti java chocalate chips, red velvet crumbs, green pink eye matcha, dan salted caramel ‘n’ cream.
Untuk hidangan utama pula, antara hidangan yang mendapat sambutan seperti salmon teri-teri yaki, grilled chicken mushroon consomme, chicken run, foodies lamb shank dan seafood spagetti marinara.
Namun, paling menarik perhatian ialah mi banjir dan nicoise beef yang merupakan antara menu istimewa berasaskan sup daging yang dimasak perlahan sehingga lembut.
“Mi banjir ini seperti mi sup tetapi supnya dihasilkan dengan air rebusan daging segar yang dimasak perlahan dan dihidangkan bersama tauge, bawang goreng, cili api dan bebola ikan. Rasanya sungguh unik kerana daging yang kita gunakan sangat berkualiti tinggi.
“Nicoise beef pula makanan dari Eropah, namun kami olah sedikit agar mempunyai rasa tempatan. Hidangan ini menggunakan daging batang pinang yang dipanggang dengan herba khas dan dihidangkan dengan telur separuh masak, sos cendawan, salad campur serta kentang goreng,” katanya.
Kafe yang dibuka setiap hari daripada pukul 9 pagi hingga 11 malam, turut menerima tempahan majlis keraian, acara korporat dan majlis-majlis sambutan hari lahir dengan pakej serendah RM10 untuk seorang.
Bagi mereka yang ingin menikmati hidangan enak The Foodies Cafe yang terletak di 17G, Jalan Putra Mahkota 7/6B, Putra Point 2, Putra Heights, Subang Jaya, Selangor

Monday, June 8, 2015

LADS & LASSIES CAFE-SEKSYEN 9 SHAH ALAM

MELANGKAH masuk buat pertama kali ke dalam Lads & Lassies, sudah cukup untuk menggambarkan kelainan yang ada dalam kafe tersebut. Keadaan itu membuatkan pengunjung berasa tidak sabar untuk menikmati hidangan yang disediakan oleh kafe yang diusahakan dua beradik, iaitu Shereena Saini dan Mohamed Danial.
Meskipun tiada pengalaman atau latar belakang dalam industri makanan dan minuman tetapi disebabkan minat, mereka memberanikan diri membuka kafe tersebut yang terletak di Seksyen 9, Shah Alam.
Mungkin menu ala Barat di situ sama seperti yang disajikan di kafe atau restoran lain. Namun apa yang istimewa adalah daging yang digunakan dalam masakan dikisar sendiri.
“Hidangan di sini adalah resipi keluarga yang diajar oleh ibu kepada kami. Menu istimewa adalah burger dan kopi.
“Daging burger dikisar setiap hari, hasil adunan daging lembu tempatan dan daging lembu yang diimport dari New Zealand serta dicampur dengan herba khas,” kata Shereena ketika ditemui di kafe tersebut yang baru beroperasi penghujung Januari lalu.
Disebabkan keistimewaan rempah-ratusnya, tidak dinafikan rasa hidangan di situ berbeza dengan yang terdapat di kafe-kafe lain.
Meskipun berkonsepkan makanan Barat, elemen-elemen tempatan seperti rasa pedas tidak dilupakan bagi disesuaikan dengan masyarakat Malaysia.
Antara menu yang perlu dicuba ialah Kachang Phool, Sloppy Blue Cheese Burger, Machalo Moa dan Big Fat Juicy Burger.
Tidak ketinggalan pemanis mulut seperti Harsh Brownies dan Lemon Pineapple Cheesecake yang seperti tidak puas-puas dijamah.
Menurut Shereena, kebanyakan pengunjung terdiri daripada eksekutif muda dan pelajar institusi pengajian tinggi yang singgah selepas habis waktu bekerja atau kuliah.
Bagi golongan berkeluarga pula jelasnya, mereka selalunya singgah ke situ untuk menikmati makan malam.
“Ada juga pengunjung yang datang untuk melepak kerana suasana di dalam Lads & Lassies tidak sesak. Memang sengaja kami tidak menyediakan banyak kerusi dan meja supaya pengunjung berasa selesa.
“Disebabkan suasana yang sedikit tenang, mereka boleh meminjam buku yang disediakan sama ada untuk dibaca di sini atau dibawa pulang,” ujarnya.
Dari segi hiasan dalaman, apa yang ada di situ mempunyai kaitan dengan minat atau hobi Shereena dan Mohamed Daniel termasuk koleksi peribadi mereka.
Ditanya mengenai perancangan masa depan, Shereena memberitahu, mereka berhasrat untuk membuka ruang niaga berkonsepkan butik di tingkat atas yang boleh disewa oleh sesiapa sahaja.
Bagi penggemar makanan Barat, apa kata singgah di Lads & Lassies yang menawarkan kelainan dan keunikan tersendiri, bukan sahaja pada menu malah suasananya.

Thursday, June 4, 2015

PINANG MASAK CAFE-TTDI KL

MASAKAN Melayu atau masakan kampung sering menjadi pilihan utama ramai orang semasa makan tengah hari.
Bagaimanapun, tidak banyak restoran yang benar-benar menyediakan masakan kampung tulen. Mungkin ada yang telah diubah suai atau tidak memenuhi selera seseorang lebih-lebih lagi jika seseorang itu sememangnya seorang yang pandai memasak.
Jika anda seorang yang rajin untuk mencuba masakan kampung dan teringin menikmati masakan kampung yang sebenar, penulis menyarankan supaya berkunjung ke Restoran dan Kafe Pinang Masak yang terletak di Jalan Tun Mohd Fuad 1, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.
Di sini anda akan rambang mata untuk memilih bermacam-macam masakan kampung yang disediakan dan pastinya membuatkan anda tidak tahu hendak memilih yang mana.
Gulai daging salai lemak cili api dengan hirisan mangga muda, gulai cili api ikan sembilang salai dengan pucuk paku, gulai nangka muda, ikan goreng bercili, pelbagai pilihan sayur-sayuran, ulam-ulaman, sambal dan banyak lagi.
Namun jangan tidak dicuba masakan istimewa dan menjadi signatur restoran ini, iaitu asam pedas Melaka yang dimasak di dalam periuk tanah dan dimasak sejurus selepas mendapat pesanan pelanggan.
Pelbagai jenis ikan boleh dipilih seperti ikan merah, kepala ikan merah, ikan jenahak, tenggiri, terubuk, parang dan kembung.
Pelanggan boleh memilih sendiri ikan yang dikehendaki dan tukang masak akan terus memasak dan pelanggan boleh melihat sendiri proses memasak asam pedas tersebut.
Dalam masa tujuh minit sahaja, asam pedas panas-panas boleh dinikmati bersama nasi putih dan pilihan lauk lain.
Menurut pemilik Restoran dan Kafe Pinang Masak, Hamzanah Makrof atau ringkas dengan panggilan Ana, gulai asam pedas yang disediakan di restoran ini merupakan resipi tradisi yang diwarisi daripada ibunya sendiri.
“Bahan-bahan yang digunakan diproses sendiri menggunakan bahan-bahan seperti cili kering kisar, bawang ros kecil, belacan bakar, kelapa bakar, bunga kantan, daun kesum, air asam jawa dan sebagainya.
“Tukang masak menyediakan bahan-bahan ini segar setiap hari dan tidak disimpan untuk beberapa hari. Ikan-ikan segar menambah lagi rasa ‘manis’ kuah asam pedas ini. Selain ikan, saya turut menyediakan asam pedas daging tetel yang turut menjadi kegemaran ramai.
“Pelanggan boleh meminta untuk dimasak lama atau sekejap sahaja. Biasanya ikan yang menjadi kegemaran pelanggan ialah ikan merah, kepala ikan merah, anak ikan pari dari Sabah yang lembut dan manis. Harga untuk satu periuk tanah asam pedas ini di antara RM12 hingga RM18 mengikut saiz dan jenis ikan,” kata Ana yang baru tiga bulan membuka restoran ini.
Tambahnya, satu lagi hidangan lazat dan menjadi pilihan ramai pelanggan di restoran ini ialah laksa Johor, yang dikatakan terbaik di Kuala Lumpur.
Laksa Johor ini mendapat pujian daripada ramai pelanggan sehingga pernah disiarkan di dalam majalah makanan Time Out.
Ujar Ana lagi, selepas menikmati hidangan nasi dan lauk-pauk, pelanggan boleh pula menikmati hidangan pencuci mulut seperti kuih-muih Melayu, ubi rebus kelapa, ubi rebus bersira gula Melaka, goreng pisang dan aneka bubur. Semuanya disediakan benar-benar mengikut cara penyediaan ibu di rumah.
Dibuka daripada pukul 7 pagi hingga 11 malam setiap hari, apa yang menariknya sambil menikmati hidangan, pelanggan juga boleh menjamu mata dengan lukisan-lukisan yang tergantung di dinding.
“Semua lukisan ini adalah untuk dijual. Saya menggalakkan pelukis-pelukis yang mempunyai bakat melukis untuk meletakkan lukisan mereka di sini dan secara langsung dapat menjual lukisan mereka,” kata Ana.
Sempena bulan puasa ini, jelasnya, Restoran dan Kafe Pinang Masak turut menyediakan hidangan bufet berbuka puasa selama sebulan dengan menyediakan lebih 200 sajian Melayu yang akan ditukar setiap hari.
Harga untuk dewasa ialah RM39.90++ sementara untuk kanak-kanak RM15.90++ manakala pelanggan yang ingin membeli lauk-pauk untuk dibawa pulang ke rumah boleh membelinya bermula pukul dua petang. Jika ingin membuat tempahan, hubungi 03-77334030

Tuesday, June 2, 2015

PENYAKIT ANGIN PASANG UNDANG BAHAYA

Penyakit angin pasang sering dikaitkan dengan golongan lelaki dewasa, namun sebenarnya penyakit ini juga sering berlaku kepada bayi dan kanak-kanak sama ada lelaki atau pun perempuan.
Bayi atau kanak-kanak lelaki lebih cenderung menghidap penyakit angin pasang berbanding bayi dan kanak-kanak perempuan.
Dalam kalangan bayi baru lahir pula, bayi pramatang lebih cenderung menghidap angin pasang berbanding bayi cukup bulan.
Angin pasang atau nama saintifiknya inguinal hernia, mempunyai satu simptom unik iaitu terhasilnya bonjolan di bahagian kelangkang (inguinal)atau kantung zakar (lelaki) atau labia (perempuan) sewaktu pesakit meneran atau menangis.
Bonjolan ini akan hilang apabila pesakit berhenti meneran atau menangis atau ketika sedang tidur. Kejadian bonjolan yang sekejap ada dan sekejap tiada inilah yang dirujuk sebagai ‘angin pasang’.
Sebenarnya terma ini adalah tidak tepat kerana bonjolan tersebut bukanlah seketul angin, sebaliknya adalah sebahagian daripada usus kecil atau besar anak-anak yang keluar dari abdomen dan terperangkap di luar abdomen.
Menurut Ketua Surgeri Pediatrik Hospital Canselor Tuanku Mukhriz Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) merangkap Senior Konsultan Pediatrik dan Surgeri UKM, Prof. Madya Dr.Dayang Anita Abdul Aziz, angin pasang berlaku apabila selaput dalaman badan yang dipanggil process vaginalis kekal terbuka selepas bayi dilahirkan.
Selaput process vaginalis ini merupakan selaput yang membentuk lorong laluan testis dari dalam abdomen ke kantung zakar untuk bayi lelaki.
Sebaik bayi dilahirkan, jika testis (buah zakar) telah turun ke dalam kantung zakar, laluan ini sepatutnya hilang dengan sendiri. Sekiranya laluan ini kekal, boleh menjadi tempat laluan usus (maka terjadinya hernia) atau laluan cecair dalam badan (dipanggil sebagai hydrocoele)
“Jika disahkan hydrocoele tidak mengapa, tetapi jika bonjolan itu adalah inguinal hernia, itu yang perlu dibimbangkan,” katanya.
Inguinal hernia boleh membawa komplikasi bahaya jika bonjolan usus tersebut tidak surut.
Dalam hal ini, usus tersebut mungkin telah tersumbat atau berpintal menyebabkan kanak-kanak berkenaan dalam kesakitan serta disusuli muntah hijau dan kembung perut yang semakin teruk.
Jika tidak dirawat, usus yang tersumbat ini boleh pecah dan membahayakan nyawa kanak-kanak tersebut.
Jelas Dr. Dayang Anita lagi, patologi angin pasang orang dewasa dan kanak-kanak adalah berbeza, maka rawatannya juga adalah berbeza.
Tambah beliau, punca angin pasang dewasa disebabkan kekuatan lapisan otot abdomen yang kurang kukuh, manakala punca pada kanak-kanak adalah kejadian selaput processus vaginalis yang tidak boleh mengecut.
“Oleh sebab patologinya tidak sama, kaedah rawatan juga berbeza. Untuk hernia orang dewasa kita kukuhkan semula otot tapi hernia untuk kanak-kanak, laluan selaput perlu ditutup (dibuat secara pembedahan lubang kunci) atau laluan selaput diputuskan terus (dilakukan melalui pembedahan konvensional) seberapa segera.
“Untuk kes hydrocoele kita tidak akan menjalankan pembedahan sehingga kanak-kanak itu berusia dua tahun, itu pun cuma memperbaiki keadaan fizikal supaya bonjolan tidak menjejaskan rupa alat kemaluan
“Dua-dua kaedah pembedahan konvensional dan lubang kunci adalah selamat asalkan pembedahan tersebut dilakukan oleh pakar bedah kanak-kanak yang bertauliah.
“Pada bayi lelaki misalnya, pembedahan perlu dibuat secara berhati-hati agar agar saluran vas deferens lelaki tidak tercedera.
Pakar bedah yang tidak bertauliah untuk pembedahan kanak-kanak boleh menyebabkan kecederaan ke atas struktur ini yang boleh membawa kemandulan bila dewasa atau pun menyebabkan masalah hernia datang semula kerana laluan selaput tidak dipisahkan sepenuhnya.
Ditanya tentang kaedah rawatan tradisional, Dr. Dayang Anita menegaskan, bahawa kejadian angin pasang tidak boleh dirawat dengan urutan di kawasan kantung zakar atau ke atas bonjolan tersebut.
“Sebenarnya, urutan hanya bertujuan menghilangkan bonjolan yang memang akan surut dan pasang, tetapi urutan tidak membawa apa apa kesan ke atas selaput process vaginalis yang menjadi punca hernia.
“Malah, urutan ini akan hanya mengundang lebih banyak komplikasi, risiko bahaya apabila dibimbangkan menyebabkan usus bersimpul dan mematikan salur darah kepada usus tersebut, ini boleh mematikan usus tersebut” katanya

Monday, June 1, 2015

KANAK-KANAK LAMBAT BERJALAN

Tempoh kanak-kanak mampu berjalan sering menjadi perkara yang penting kepada ibu bapa memandangkan pada persepsi mereka, lagi cepat kanak-kanak boleh berjalan bermakna kanak-kanak itu cerdik.
Maka tidak hairanlah, ada segelintir ibu bapa yang sanggup berbuat apa sahaja agar anak-anak mereka cepat berjalan. Antaranya, menanam kaki anak di pasir pantai dan tidak kurang juga membawa anak berjalan di atas rumput pada waktu pagi sambil memukul perlahan bahagian kaki anak-anak dengan pohon hutan kerana percaya embun yang segar pada tumbuhan dapat merangsang otot mereka.
Begitulah pentingnya perkembangan dan kemampuan kanak-kanak berjalan kepada ibu bapa. Pada asasnya, perkembangan fizikal kanak-kanak yang sihat dapat dilihat apabila mereka melalui proses pergerakan motor kasar seperti meniarap, mengesot, bertatih, berjalan, berlari dan melompat serta perkembangan motor halus seperti menggenggam jarinya, memegang objek, melukis dan menulis.
Pastinya, melihat anak-anak dapat berjalan merupakan impian yang dinanti-nantikan ibu bapa, malah merupakan satu langkah yang besar atau permulaan untuk mereka pula berdikari dan meninggalkan gelaran sebagai bayi.
Justeru, kebolehan berjalan sering dianggap satu perkara yang penting kepada ibu bapa, malah ada ibu bapa yang menjadikan kemampuan berjalan sebagai alat pengukur kepintaran kanak-kanak berkenaan.
Kemampuan kanak-kanak berjalan dengan cepat dan pada waktu sepatutnya adalah salah satu indikasi yang menunjukkan yang perkembangan fungsi otot-otot kanak-kanak tersebut adalah pada tahap normal
Oleh itu, kelewatan kanak-kanak berjalan perlu diambil serius oleh ibu bapa agar perkembangan mereka tidak lewat dan membantutkan keseluruhan perkembangan otot-otot lain yang dibimbangkan membawa kepada masalah yang lebih buruk.
Menurut Ketua Pusat Perkembangan Kanak-kanak Hospital Canselor Tuanku Muhriz Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Juriza Ismail, secara amnya kanak-kanak mula berjalan di antara umur sembilan hingga 18 bulan.
Menurutnya,proses perkembangan motor kasar kanak-kanak adalah menurut urutan yang tertentu. Pada usia enam mereka mampu untuk meniarap, kemudian duduk, merangkak dan seterusnya cuba berpaut untuk berdiri apabila mencecah usia sembilan bulan.
Pada usia sepuluh bulan dan ke atas, bayi akan mula bertatih dengan berpaut kepada orang dewasa atau perabot di sekelilingnya.
“Pada usia itu, ibu bapa perlu memberi rangsangan kepada anak-anak mereka untuk berjalan dengan kaedah memimpin kanak-kanak berkenaan, bermula dengan memimpin kedua-dua belah tangan dan kemudian memimpin sebelah tangan.
“Cuba galakkan mereka berdiri sendiri dan melangkah setapak demi setapak ke hadapan dengan meletakkan barang-barang mainan di hadapan mereka sebagai tarikan. Tidak mengapa jika mereka terjatuh sekali–sekala kerana itu adalah proses untuk menguatkan otot-otot dan juga mengimbangkan diri.
“Kanak-kanak akan berjalan dengan sendirinya apabila mereka mempunyai keyakinan dan keseimbangan, jadi ibu bapa perlu peka dengan kebolehan anak-anak melalui pemerhatian ketika mereka mula berjalan,” katanya.
Lazimnya, bagi membantu kanak-kanak memudahkan mereka berjalan, ibu bapa lebih gemar memperkenalkan kanak-kanak dengan penggunaan walker.
Hakikatnya, walaupun walker dapat membantu mereka berjalan dengan cepat tetapi tidak tidak dapat membantu otot-otot kanak-kanak menjadi kuat.
Malah, di Amerika Syarikat penggunaan walker diharamkan kerana membahayakan kanak-kanak. Risiko kemalangan adalah tinggi terutamanya mendapat kecederaan bahagian otak jika kanak-kanak terjatuh ketika menggunakannya.
“Pakar tidak menggalakkan ibu bapa meletakkan anak-anak di dalam walker sebagai satu kaedah mempercepatkan anak-anak berjalan kerana tidak membantu menguatkan tulang dan otot kanak-kanak.
“Apabila kanak-kanak itu terlalu bergantung kepada walker, otot-otot di bahagian pinggul tidak digunakan kerana telah disokong oleh alat tersebut. Ini akan menyebabkan mereka mengalami masalah koordinasi apabila mereka berjalan tanpa walker tersebut.
“Sikap ibu bapa yang gemar mendukung atau tidak memberi ruang anak berdikari juga menjadi antara sebab kanak-kanak lewat berjalan,” katanya.
Jelas Dr. Juriza, kelewatan kanak-kanak berjalan tidak boleh diambil mudah.
Jika ibu bapa mendapati anak-anak mereka masih tidak dapat berjalan atau tidak berjalan dengan betul selepas 18 bulan, mereka perlu merujuk anak kepada doktor agar boleh diperiksa apa masalah kanak-kanak berkenaan.
“Ini kerana, punca kelewatan berjalan berkaitan dengan masalah otot, tulang dan saraf dan otak. Ini juga merupakan tanda kepada masalah seperti sindrom Down, serebral palsy, distrofi otot, congenital hip dysplasia serta penyakit-penyakit lain.
Tambah beliau,kelewatan berjalan juga boleh merupakan sebahagian dari kelewatan perkembangan global (GDD) di mana kanak-kanak itu mengalami kelewatan perkembangan dalam dua atau lebih bidang perkembangan seperti kelewatan perkembangan motor halus, pendengaran, pertuturan dan kemahiran sosial.
Ini disebabkan oleh masalah perkembangan otak, masalah kecelaruan genetik dan masalah inborn error of metabolism.
“Di hospital kita akan memeriksa kanak-kanak ini secara terperinci dan daripada situ kita akan kenal pasti punca kanak-kanak berkenaan lambat berjalan dan memastikan sama ada kelewatan berjalan adalah satu masalah yang tersendiri atau sebahagian dan kelewatan perkembangan global.
“Ujian-ujian yang berkenaan akan dijalankan untuk mendapatkan diagnosis yang tepat supaya kaedah rawatan yang bersesuaian dapat diberi kepada pesakit.
“Jika disebabkan masalah otot secara amnya kita akan menyarankan rawatan fisioterapi dan penggunaan alat sokongan. Pembedahan hanya di jalankan dalam kes-kes tertentu seperti rawatan congenital hip dysplasia, tendon tumit (archilles tendon) yang terlalu ketat dan sebagainya,” jelas Dr. Jusriza.