BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Saturday, August 27, 2011

TAK PERLU RAGU STATUS HALAL DAGING IMPORT

  GURUN: Umat Islam di negara ini tidak perlu meragui status halal daging import yang dibawa masuk untuk memenuhi keperluan bekalan daging sempena sambutan Aidilfitri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata ini kerana semua pengimport daging terbabit sudah dikenal pasti mematuhi syarat kelulusan status halal sebelum dibenar berbuat demikian.

"Daging import adalah daging yang dikenal pasti daripada pengimport yang mematuhi tanda aras dan juga sijil halal yang sudah dikeluarkan.
"Jadi tidak timbul keraguan umat Islam yang akan menyambut Aidilfitri beberapa hari yang akan datang ini berkenaan bekalan daging, selain jaminan daripada pihak KPDNKK (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan)," katanya kepada pemberita, di sini semalam.

Beliau yang ditemui pada majlis berbuka puasa bersama Umno Bahagian Jerai di Kompleks Sukan Modenas berkata kerajaan juga mengimport bekalan dari pusat penyembelihan yang memiliki sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

"Termasuk juga tentang sembelihan itu, kita import daripada tempat yang mendapat kebenaran sijil daripada pihak JAKIM," katanya.

Katanya JAKIM sentiasa memantau pihak yang berkaitan untuk tujuan pembekalan serta pematuhan tanda halal yang telah diletakkan kerajaan: BERNAMA

Friday, August 26, 2011

MERDEKA DARI PERSPEKTIF AL-QURAN

Apa makna kemerdekaan bagi kita? Sebagai bangsa dan negara Malaysia, umat Islam dapat ambil makna kemerdekaan tersebut dari al-Quran - ditunjukkan berbagai kisah kemerdekaan umat terdahulu yang dapat mengilhamkan kita, bagaimana seharusnya menjadi bangsa merdeka dan berdaulat pada era globalisasi.

Pertama, dapat diambil dari kisah Nabi Ibrahim a.s ketika beliau membebaskan dirinya dari orientasi asasi yang keliru dalam kehidupan manusia. Dalam surah al-An’am, ayat 76-79 dikisahkan perjalanan spiritual Nabi Ibrahim dalam mencari Allah SWT daripada penyembahan berhala. Bagi Ibrahim penyembahan berhala merupakan kesalahan besar sebab manusia telah melakukan penghambaan yang boleh menjatuhkan martabat diri.

Bentuk penghambaan seperti itu juga terjadi pada era moden. Penghambaan terhadap materialisme dan hedonisme - membawa manusia moden untuk melakukan korupsi atau rasuah tanpa perasaan bersalah.

Kedua, dapat dipetik dari kisah Nabi Musa a.s ketika membebaskan bangsanya dari penindasan Firaun. Kekejaman dan keangkuhan rejim Firaun mendorong Musa tergerak memimpin bangsanya untuk membebaskan diri dari penindasan, dan akhirnya meraih kemerdekaan sebagai bangsa bermartabat (rujuk QS : al-A’raf, 127, al-Baqarah, 49, Ibrahim, 6).

Seperti kisah kejayaan Nabi Musa dan Nabi Ibrahim, kemerdekaan kita pada 31 Ogos 1957 hakikatnya juga momentum yang mengakhiri episod keangkuhan dan penindasan rejim kolonial yang menjajah bangsa kita - membuat kita miskin dan terhina selama ratusan tahun.

Namun jangan lupa, berakhirnya keangkuhan dan penindasan rejim kolonial tidak serta-merta bebaskan bangsa kita dari keangkuhan dan penindasan rejim lain dalam bentuk berbeza. Tugas terberat dari sebuah bangsa merdeka sesungguhnya adalah bagaimana mempertahankan kemerdekaan dirinya sebagai bangsa merdeka, serta bebas dari hegemoni internal dan eksternal yang menindas. Merdeka dari mereka bererti bebas daripada penguasa-penguasa peribumi yang bertingkah laku seperti penjajah asing.

Kita memerlukan pemerintahan yang sayang dan cinta kepada bangsanya sendiri. Tidak hanya sayang setakat di bibir, namun juga mencintai dan menyayangi dalam bentuk dan tindakan nyata.

Ketiga, kisah kejayaan Nabi Muhammad SAW mengembangkan misi profesinya di muka bumi (rujuk QS : Al-Ma’idah, 3), menjadi sumber ilham yang tak pernah habis bagi bangsa kita untuk memberikan erti kemerdekaan secara holistik dan integral.

Ketika diutus 14 abad silam, Baginda menghadapi sebuah masyarakat yang mengalami tiga penjajahan sekali gus iaitu, disorientasi hidup, penindasan ekonomi, dan kezaliman sosial.

Disorientasi hidup diertikan dalam penyembahan berhala atau patung oleh masyarakat Quraisy. Rasulullah berjuang hebat mengajar umat manusia untuk menyembah Allah Yang Maha Esa dan meninggalkan “tuhan-tuhan” yang menurunkan martabat dan derajat manusia (rujuk QS : Yusuf, 108, az-Zariyat, 56, al-Juma’ah, 2).

Penindasan ekonomi itu dilukiskan al-Quran sebagai sesuatu yang membuat kekayaan hanya berputar pada kelompok-kelompok tertentu sahaja (rujuk QS : al-Hasyr, 7). Rasulullah mengkritik orang-orang yang mengumpulkan dan menghitung-hitung harta tanpa menghiraukan kesejahteraan sosial dan keadilan ekonomi bangsa.

Rasulullah membebaskan perhambaan, persamaan lelaki dan perempuan serta kesederajatan bangsa-bangsa.

Apa makna kemerdekaan bagi kita? Sebagai bahagian terbesar dari bangsa kita, umat Islam dapat mengambil makna kemerdekaan tersebut dari al-Quran.

Alangkah indahnya jika bangsa kita mampu mengerti kemerdekaan itu seperti yang diilhamkan oleh al-Quran. Rakyat merasakan kemerdekaan ekonominya dan meraih kesejahteraan bersama. Tegasnya tidak ada penyelewengan ekonomi, oleh peribumi mahupun pihak asing. Seluruh warganegaranya sama kedudukannya di bidang hukum dan perundangan serta pemerintahan. Tidak ada lagi tawar menawar hukum dan perlakuan istimewa bagi kaum elit dan sebagainya dalam proses peradilan.

Kemerdekaan tidak hanya dirasakan oleh manusia-manusia tertentu sahaja, namun oleh semua lapisan masyarakat harus dapat merasakan nikmat kemerdekaan itu.

Tuesday, August 23, 2011

IKAN KELI HALAL, IKAN KELI HARAM

 Haram (Ikan yang diternak orang bukan Melayu, diberi makan perut ayam, bahan buangan, bangkai dan organ dalaman b*b*)

1· Kepala berbentuk 'V'

2· Bentuk badan mirip torpedo

3· Badan berwarna hitam berkilat

4· Bahagian bawah badan berwarna putih melepak

5· Bahagian antara bawah kepala dan badan berwarna kuning

6· Apabila digoreng akan meletup kerana banyak lemak

Halal (diberi makan palet halal iaitu campuran beras hancur, tepung ikan, kepala ikan bilis, minyak sawit, bahan buangan kelapa sawit, kiambang dan vitamin)

1· Kepala berbentuk 'U'

2· Bentuk badan tirus

3· Berwarna hitam kelabu dan tidak berkilat

4· Bahagian bawah badan berwarna putih kelabu

5· Tiada warna kuning kelihatan di bahagian antara bawah kepala dan badan

6· Digoreng tidak meletup

Monday, August 22, 2011

OZON-ALTERNATIF RAWAT PENYAKIT


TERAPI ozon kini semakin mendapat tempat di kalangan pesakit yang ingin mencuba rawatan alternatif. Ramai telah mendapat manfaat daripada terapi tersebut.
Malah, ada juga individu yang tidak berpenyakit menjalani terapi ozon semata-mata merawat darah supaya sentiasa ‘muda dan sihat’.
Dr. Rushmini Maris Ismail dari Klinik Penawar Semenyih, Selangor antara pengamal perubatan yang menawarkan terapi ozon sejak setahun lalu. Diminta mengulas lanjut tentang terapi yang bertapak di Malaysia sejak sepuluh tahun lalu, katanya, ozon merupakan bahan semula jadi yang tercipta sebagai satu khasiat daripada Allah SWT kepada manusia.
‘‘Ozon terdapat di sekeliling bumi. Ia menghalang sinar X dan bahan toksik masuk ke atmosfera bumi. Bahan ini apabila bertindak dengan ozon, maka ia akan di musnahkan.
‘‘Apabila ribut berlaku, ozon di langit akan jatuh ke laut dan sungai dan ini membantu kehidupan menjadi lebih sihat,’’ katanya.
Menurut Dr. Rushmini di dalam darah pula ozon bertindak sebagai bahan yang menghapuskan kuman dan menyegarkan sel-sel tubuh.
Menyingkap sejarah terapi ozon, katanya, ia mula digunakan sebagai kaedah perubatan pada tahun 1898 di Berlin. Kandungan ozon yang terdiri daripada tiga atom oksigen berjaya dicipta dan digunakan dengan selamat oleh seorang doktor di Berlin.
Apabila ozon masuk ke dalam darah, atom-atom oksigennya bercerai dan membentuk oksigen yang sangat tinggi serta baik bagi darah. Ia berkitar dalam darah membunuh sel-sel kuman dan memberi kesegaran kepada tisu-tisu tubuh.
Mesin ozon
Ciri-ciri mesin ozon yang terkini iaitu Eboo Safe memberi kelebihan kepada pengguna. Ia dilengkapi penapis yang mampu menyingkirkan secara langsung plak kolestrol menjadikan paras kolestrol berkurangan dan pemakanan ubat boleh dikurangkan. Umum mengetahui bahawa kebanyakan ubat anti kolestrol mempunyai kesan sampingan, oleh itu kaedah ini mampu membantu kita.
Ozon juga meningkatkan imuniti dan menjadikan sel darah lebih anjal dan mudah masuk ke tisu dalam tubuh. Ada penemuan penyelidikan mendapati ozon mempunyai pelbagai kebaikan dan langsung tiada keburukan kerana ia merupakan sejenis super oksigen yang diperlukan tubuh.
Ditanya tentang perbezaan ozon dan dialisis, Dr. Rushmini memberitahu, kedua-duanya berbeza.
‘‘Ozon bukannya rawatan pesakit buah pinggang sebaliknya sesuai digunakan oleh pesakit diabetes, obesiti, masalah kulit, imuniti dan bagi mereka yang ingin memudakan sel dalam tubuh,’’ katanya.
Di Eropah, katanya, Ozon digunakan dengan meluas bagi membersihkan air minuman. Mereka membina jana kuasa ozon yang besar kerana selain membunuh kuman, air bercampur ozon adalah selamat dan sesuai diminum.
Di Rusia pula teknologi ozon digunakan dengan luas dalam bidang perubatan. Aplikasinya sangat besar sehingga mereka menubuhkan hospital yang menggunakan ozon untuk pelbagai jenis rawatan. Penyelidikan yang berterusan adalah penting bagi membolehkan kita melihat lebih banyak potensi kebaikan rawatan ozon.
Dr. Rushmini berpeluang pergi ke beberapa negara untuk melihat amalan terapi ozon di peringkat antarabangsa. Katanya, di India dan Thailand, beliau melihat sendiri hospital dan klinik di sana mengadakan seksyen khas bagi rawatan alternatif seperti ozon, herba, akupuntur dan sebagainya.
‘‘Ini memberikan banyak pilihan kepada pengguna dan membawa kebaikan kepada pesakit,’’ katanya.
Mekanisme
Teknologi terkini sistem generator ozon perubatan membolehkan darah ditapis. Proses penapisan itu akan menyingkirkan sel lemak, kolesterol, asid urik dan bahan buangan. Hasilnya rawatan ini dengan cepat membantu menurunkan paras kolestrol dalam darah.
Prosedur
* Pemeriksaan paras gula, tekanan darah dan sejarah ringkas kesihatan pesakit diambil.
* Ubat-ubatan yang diambil seperti aspirin, warfarin, ubat jantung dan kolestrol perlu diberitahu kepada doktor sebelum memulakan rawatan.
* Branula (jarum kecil) dimasukkan ke vena kiri dan kanan. Satu sebagai tempat mengalirkan darah keluar dan satu lagi sebagai saluran darah yang diozonkan masuk ke dalam badan.
* Proses ozon dijalankan hampir sejam dan hampir satu liter darah dibersihkan.
* Proses ini selamat, berkesan, mudah dan tiada kesan sampingan.
* Selepas ozon darah diperiksa, pelanggan berehat selama 30 minit dan dibenarkan pulang

Friday, August 19, 2011

JAKIM TIDAK PERNAH KELUAR SIJIL HALAL MENTEGA IMPORT

KOSMO: Jumaat 19 Ogos 2011



KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak pernah mengeluarkan sebarang persijilan tanda halalnya kepada mana-mana mentega yang diimport ke negara ini.
Pemangku Pengarah Hab Halal Jakim, Hakimah Mohamad Yusuf (gambar) berkata, setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang permohonan sijil halal daripada pengeluar mentega luar negara.
"Produk mentega yang diimport memang tidak mendapat sijil halal Jakim tetapi mendapat persijilan halal daripada badan persijilan luar negara yang diiktiraf oleh Jakim.
"Setakat ini, terdapat beberapa produk mentega luar negara yang sedang dipantau dan diteliti," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan jumlah mentega import yang mendapat sijil halal tersebut.

2 PRODUK KOSMETIK DIKESAN MENGANDUNGI RACUN


Utusan Malaysia: Jumaat 19 Ogos 2011


KUALA LUMPUR 19 Ogos – Orang ramai dinasihatkan agar mengelak daripada menggunakan dua produk kosmetik dari luar negara yang dikesan mengandungi racun berjadual.
Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Eisah A. Rahman berkata, produk tersebut yang dinamakan Krim Derma-Rx dan Krim Arbutin-R mengandungi racun hydroquinone dan tretinoin.
“Racun tersebut boleh menyebabkan kulit pengguna mengelupas, mengalami kemerahan dan ketidakselesaan serta hipersensitif kepada cahaya matahari,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Menurut Eisah, pengguna juga berisiko untuk menghidap penyakit kanser kulit kerana racun hydroquinone boleh mengurangkan perlindungan kepada kulit daripada pancaran ultra ungu.
“Pihak kami turut mengarahkan syarikat yang bertanggungjawab terhadap produk itu, DRx Aesthetic Sdn. Bhd. untuk menarik balik dan memberhentikan penjualan serta merta dalam tempoh 72 jam,” katanya.
Tambah beliau, produk itu melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 manakala individu yang terlibat boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara 5 tahun, manakala syarikat akan didenda sehingga RM100,000.
Pengguna dinasihatkan untuk menghubungi Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) ditalian 03-78835532 atau 03-78835534 untuk mendapatkan maklumat lanjut. - Utusan

PONTIAN:PENYEMBELIHAN 60,000 AYAM SEGAR DIRAGUI


Utusan Malaysia: Jumaat 19 Ogos 2011

Pegawai-Pegawai Jabatan Agama Islam Johor dan agensi penguatkuasaan memeriksa ayam yang telah disembelih dalam operasi penyalahgunaan logo halal di Pontian, semalam.

PONTIAN 19 Ogos – Operasi bersepadu pihak berkuasa ke atas tiga buah pusat pemprosesan ayam mendapati dua daripadanya melakukan aktiviti penyembelihan yang tidak menepati syarak serta menggunakan logo halal yang tamat tempoh sejak empat tahun lalu.
Serbuan oleh Pejabat Kadi daerah Pontian, Pejabat Kesihatan Pontian, Jabatan Alam Sekitar negeri serta Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri itu dilakukan bermula pukul 12 tengah malam sehingga 4 pagi, melibatkan dua pusat penyembelihan ayam di Pekan Nanas dan sebuah lagi di bandar Pontian.
Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan Unit Halal Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Samsudin Paimi berkata, serbuan dibuat kerana timbul keraguan terhadap status halal kira-kira 60,000 ayam segar di pasaran sekitar negeri daripada 200,000 yang dikeluarkan setiap hari, berikutan pelanggaran piawaian JAIJ.
“Dalam serbuan tersebut, pihak PPDNKKK negeri mengambil tindakan menyita bilik sejuk premis terbabit dan akan membawa kes tersebut ke mahkamah.
“Kita bimbang sekiranya aktiviti seperti ini dibiarkan, ayam yang diragui statusnya ini akan terus dijual kepada restoran dan pengguna beragama Islam di negeri ini apatah lagi menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Turut sama menyertai operasi tersebut ialah Pegawai Tadbir Agama Daerah Pontian, Mohd. Fauzi Bachok.
Jelasnya, ramai peniaga kecil-kecilan mengambil kesempatan mengaut untung dengan menggunakan plastik pembungkus memaparkan logo halal tamat tempoh untuk mengaburi mata pengguna sedangkan JAIJ sudah mewajibkan penggunaan label pada bahagian kepak ayam yang mengandungi maklumat penyembelihan dan status halal.
Kata Samsudin lagi, penguatkuasaan Rang Undang-Undang Perlindungan Pengguna (pindaan) 2010 pada tahun depan akan mengenakan denda sehingga RM5 juta bagi kesalahan pertama dan maksimum RM10 juta untuk kesalahan kedua jika didapati bersalah menipu sijil halal.


Harian Metro: Jumaat 19 Ogos 2011


JOHOR BAHARU: Daripada 200,000 bekalan ayam segar yang dikeluarkan di Johor setiap hari, kesucian 30 peratus daripadanya diragui kerana ada pengusaha pusat penyembelihan tidak mengikut piawaian yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Johor (JAJ).
Penolong Pengarah Penyelidikan Unit Halal JAJ, Samsudin Paimi, berkata terdapat beratus-ratus peniaga yang memasarkan kira-kira 60,000 ayam segar setiap hari yang kesuciannya diragui. 
"Malah ada penyembelihan dilakukan di tempat terbuka yang turut dimasuki anjing dan binatang lain," katanya kepada pemberita selepas serbuan terhadap dua premis penyembelihan dan pemprosesan di Jalan Kampung Sawah dan Jalan Pontian-Johor Baharu di Pontian awal hari ini.

Dalam serbuan dari 1 pagi hingga 3 pagi itu, JAJ mendapati premis terbabit masing-masing tidak melakukan proses penyembelihan dengan kaedah ditetapkan manakala logo halal sudah tamat tempoh sejak empat tahun lalu.



Samsudin berkata JAJ khuatir dengan pertambahan permintaan terhadap ayam segar menjelang Aidilfitri, pengusaha kecil seperti itu semakin berani untuk mengaut keuntungan dengan berselindung di sebalik logo halal tamat tempoh selain tidak mengikut piawaian JAJ.


Turut membimbangkan JAJ, katanya, ialah ramai pengusaha tidak memiliki tauliah penyembelihan selain mempraktikkan kedah penyembelihan dan pemprosesan ayam sambil lewa.

"Kita tidak mahu pengguna terus tertipu dan mereka seharusnya diberi kesedaran untuk hanya memilih ayam yang disahkan halal dan suci," kata Samsudin.

Beliau berkata pemeriksaan akan terus dilakukan bagi melindungi kepentingan pengguna.

Samsudin berkata JAJ sudah mewajibkan pengusaha ayam di Johor membuat label yang akan diletakkan di kepak ayam yang mengandungi maklumat mengenai penyembelihan serta status halalnya.

Mengikut Undang-undang Perlindungan Pengguna (Pindaan) 2010 yang akan dikuatkuasakan bermula tahun depan, syarikat yang didapati bersalah menipu sijil halal boleh dikenakan denda sehingga RM5 juta bagi kesalahan pertama dan denda sehingga RM10 juta bagi kesalahan kedua. - Bernama



KOSMO: Jumaat 19 Ogos 2011
KEADAAN pusat penyembelihan ayam di Pekan Nanas, Pontian, Johor yang menjijikkan.

JOHOR BAHRU - Percaya atau tidak, beratus-ratus peniaga di negeri ini kini menjual kira-kira 60,000 ekor ayam segar yang amat diragui status halal dan kesuciannya setiap hari.
Jumlah tersebut meliputi 30 peratus daripada bekalan ayam di negeri itu setiap hari yang berjumlah 200,000 ekor.
Masalah tersebut berpunca daripada sikap segelintir pengusaha pusat penyembelihan yang menjalankan kerja-kerja penyembelihan tanpa mengikut prosedur ditetapkan.
Penolong Pengarah Penyelidikan Unit Halal, Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Samsudin Paimi berkata, pihaknya bimbang pengusaha kecil kini semakin berani untuk mengaut keuntungan berikutan permintaan yang tinggi daripada umat Islam berikutan sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
"Pengusaha kecil seperti itu semakin berani untuk mengaut keuntungan dengan berselindung di sebalik logo halal tamat tempoh selain tidak mengikut piawaian JAIJ,'' katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas serbuan terhadap dua premis penyembelihan dan pemprosesan di Jalan Kampung Sawah dan Jalan Pontian-Johor Bahru di Pontian awal pagi semalam.
Dalam serbuan dari pukul 12 tengah malam sehingga pukul 4 pagi itu, JAIJ mendapati premis terbabit tidak melakukan proses penyembelihan dengan kaedah ditetapkan manakala logo halal sudah tamat tempoh sejak empat tahun lepas.



Turut membimbangkan JAIJ, katanya, ialah ramai pengusaha tidak memiliki tauliah penyembelihan selain mempraktikkan kaedah penyembelihan dan pemprosesan ayam sambil lewa.
Menurutnya, JAIJ sudah mewajibkan penggunaan label pada bahagian kepak ayam yang mengandungi maklumat penyembelihan dan status halal namun mereka tidak mematuhinya.
"Kita tidak mahu pengguna terus tertipu dan mereka seharusnya diberi kesedaran untuk hanya memilih ayam yang disahkan halal dan suci," kata Samsudin.
Beliau berkata, pemeriksaan akan terus dilakukan bagi melindungi kepentingan pengguna.
Samsudin berkata, JAIJ sudah mewajibkan pengusaha ayam di Johor membuat label yang akan diletakkan di kepak ayam yang mengandungi maklumat mengenai penyembelihan serta status halalnya.
Mengikut Undang-undang Perlindungan Pengguna (Pindaan) 2010 yang akan dikuatkuasakan bermula tahun depan, syarikat yang didapati bersalah menipu sijil halal boleh dikenakan denda sehingga RM5 juta bagi kesalahan pertama dan denda sehingga RM10 juta bagi kesalahan kedua.