BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Friday, August 19, 2011

PONTIAN:PENYEMBELIHAN 60,000 AYAM SEGAR DIRAGUI


Utusan Malaysia: Jumaat 19 Ogos 2011

Pegawai-Pegawai Jabatan Agama Islam Johor dan agensi penguatkuasaan memeriksa ayam yang telah disembelih dalam operasi penyalahgunaan logo halal di Pontian, semalam.

PONTIAN 19 Ogos – Operasi bersepadu pihak berkuasa ke atas tiga buah pusat pemprosesan ayam mendapati dua daripadanya melakukan aktiviti penyembelihan yang tidak menepati syarak serta menggunakan logo halal yang tamat tempoh sejak empat tahun lalu.
Serbuan oleh Pejabat Kadi daerah Pontian, Pejabat Kesihatan Pontian, Jabatan Alam Sekitar negeri serta Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri itu dilakukan bermula pukul 12 tengah malam sehingga 4 pagi, melibatkan dua pusat penyembelihan ayam di Pekan Nanas dan sebuah lagi di bandar Pontian.
Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan Unit Halal Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Samsudin Paimi berkata, serbuan dibuat kerana timbul keraguan terhadap status halal kira-kira 60,000 ayam segar di pasaran sekitar negeri daripada 200,000 yang dikeluarkan setiap hari, berikutan pelanggaran piawaian JAIJ.
“Dalam serbuan tersebut, pihak PPDNKKK negeri mengambil tindakan menyita bilik sejuk premis terbabit dan akan membawa kes tersebut ke mahkamah.
“Kita bimbang sekiranya aktiviti seperti ini dibiarkan, ayam yang diragui statusnya ini akan terus dijual kepada restoran dan pengguna beragama Islam di negeri ini apatah lagi menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Turut sama menyertai operasi tersebut ialah Pegawai Tadbir Agama Daerah Pontian, Mohd. Fauzi Bachok.
Jelasnya, ramai peniaga kecil-kecilan mengambil kesempatan mengaut untung dengan menggunakan plastik pembungkus memaparkan logo halal tamat tempoh untuk mengaburi mata pengguna sedangkan JAIJ sudah mewajibkan penggunaan label pada bahagian kepak ayam yang mengandungi maklumat penyembelihan dan status halal.
Kata Samsudin lagi, penguatkuasaan Rang Undang-Undang Perlindungan Pengguna (pindaan) 2010 pada tahun depan akan mengenakan denda sehingga RM5 juta bagi kesalahan pertama dan maksimum RM10 juta untuk kesalahan kedua jika didapati bersalah menipu sijil halal.


Harian Metro: Jumaat 19 Ogos 2011


JOHOR BAHARU: Daripada 200,000 bekalan ayam segar yang dikeluarkan di Johor setiap hari, kesucian 30 peratus daripadanya diragui kerana ada pengusaha pusat penyembelihan tidak mengikut piawaian yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Johor (JAJ).
Penolong Pengarah Penyelidikan Unit Halal JAJ, Samsudin Paimi, berkata terdapat beratus-ratus peniaga yang memasarkan kira-kira 60,000 ayam segar setiap hari yang kesuciannya diragui. 
"Malah ada penyembelihan dilakukan di tempat terbuka yang turut dimasuki anjing dan binatang lain," katanya kepada pemberita selepas serbuan terhadap dua premis penyembelihan dan pemprosesan di Jalan Kampung Sawah dan Jalan Pontian-Johor Baharu di Pontian awal hari ini.

Dalam serbuan dari 1 pagi hingga 3 pagi itu, JAJ mendapati premis terbabit masing-masing tidak melakukan proses penyembelihan dengan kaedah ditetapkan manakala logo halal sudah tamat tempoh sejak empat tahun lalu.



Samsudin berkata JAJ khuatir dengan pertambahan permintaan terhadap ayam segar menjelang Aidilfitri, pengusaha kecil seperti itu semakin berani untuk mengaut keuntungan dengan berselindung di sebalik logo halal tamat tempoh selain tidak mengikut piawaian JAJ.


Turut membimbangkan JAJ, katanya, ialah ramai pengusaha tidak memiliki tauliah penyembelihan selain mempraktikkan kedah penyembelihan dan pemprosesan ayam sambil lewa.

"Kita tidak mahu pengguna terus tertipu dan mereka seharusnya diberi kesedaran untuk hanya memilih ayam yang disahkan halal dan suci," kata Samsudin.

Beliau berkata pemeriksaan akan terus dilakukan bagi melindungi kepentingan pengguna.

Samsudin berkata JAJ sudah mewajibkan pengusaha ayam di Johor membuat label yang akan diletakkan di kepak ayam yang mengandungi maklumat mengenai penyembelihan serta status halalnya.

Mengikut Undang-undang Perlindungan Pengguna (Pindaan) 2010 yang akan dikuatkuasakan bermula tahun depan, syarikat yang didapati bersalah menipu sijil halal boleh dikenakan denda sehingga RM5 juta bagi kesalahan pertama dan denda sehingga RM10 juta bagi kesalahan kedua. - Bernama



KOSMO: Jumaat 19 Ogos 2011
KEADAAN pusat penyembelihan ayam di Pekan Nanas, Pontian, Johor yang menjijikkan.

JOHOR BAHRU - Percaya atau tidak, beratus-ratus peniaga di negeri ini kini menjual kira-kira 60,000 ekor ayam segar yang amat diragui status halal dan kesuciannya setiap hari.
Jumlah tersebut meliputi 30 peratus daripada bekalan ayam di negeri itu setiap hari yang berjumlah 200,000 ekor.
Masalah tersebut berpunca daripada sikap segelintir pengusaha pusat penyembelihan yang menjalankan kerja-kerja penyembelihan tanpa mengikut prosedur ditetapkan.
Penolong Pengarah Penyelidikan Unit Halal, Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Samsudin Paimi berkata, pihaknya bimbang pengusaha kecil kini semakin berani untuk mengaut keuntungan berikutan permintaan yang tinggi daripada umat Islam berikutan sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
"Pengusaha kecil seperti itu semakin berani untuk mengaut keuntungan dengan berselindung di sebalik logo halal tamat tempoh selain tidak mengikut piawaian JAIJ,'' katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas serbuan terhadap dua premis penyembelihan dan pemprosesan di Jalan Kampung Sawah dan Jalan Pontian-Johor Bahru di Pontian awal pagi semalam.
Dalam serbuan dari pukul 12 tengah malam sehingga pukul 4 pagi itu, JAIJ mendapati premis terbabit tidak melakukan proses penyembelihan dengan kaedah ditetapkan manakala logo halal sudah tamat tempoh sejak empat tahun lepas.



Turut membimbangkan JAIJ, katanya, ialah ramai pengusaha tidak memiliki tauliah penyembelihan selain mempraktikkan kaedah penyembelihan dan pemprosesan ayam sambil lewa.
Menurutnya, JAIJ sudah mewajibkan penggunaan label pada bahagian kepak ayam yang mengandungi maklumat penyembelihan dan status halal namun mereka tidak mematuhinya.
"Kita tidak mahu pengguna terus tertipu dan mereka seharusnya diberi kesedaran untuk hanya memilih ayam yang disahkan halal dan suci," kata Samsudin.
Beliau berkata, pemeriksaan akan terus dilakukan bagi melindungi kepentingan pengguna.
Samsudin berkata, JAIJ sudah mewajibkan pengusaha ayam di Johor membuat label yang akan diletakkan di kepak ayam yang mengandungi maklumat mengenai penyembelihan serta status halalnya.
Mengikut Undang-undang Perlindungan Pengguna (Pindaan) 2010 yang akan dikuatkuasakan bermula tahun depan, syarikat yang didapati bersalah menipu sijil halal boleh dikenakan denda sehingga RM5 juta bagi kesalahan pertama dan denda sehingga RM10 juta bagi kesalahan kedua.

No comments:

Post a Comment