BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Monday, April 4, 2011

KLUANG RAIL COFFEE PERLU MINTA MAAF


SINAR HARIAN-Isnin 4 April 2011



KLUANG - Sebanyak 11 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sekitar Kluang membuat laporan polis semalam berhubung isu kedai kopi Kluang Rail Coffee yang serbuk kopinya mengandungi gelatin babi seperti disahkan oleh Jabatan Agama Johor (JAJ) baru-baru ini.
Laporan tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang semalam dan dihadiri lebih 50 orang.
Antara NGO yang terlibat ialah Persatuan Pengguna Bumiputera Daerah Kluang, Persatuan Kontraktor Melayu Daerah Kluang, Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Cawangan Kluang, Dewan Perniagaan Melayu Daerah Kluang, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) daerah Kluang, Persatuan Teksi dan Pemandu daerah Kluang, Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) daerah Kluang, Persatuan Persara Daerah Kluang, Komuniti Radio Amatur Daerah Kluang dan Jemaah Malabar Muslim Negeri Johor.
Pengerusi Persatuan Pengguna Bumiputera Daerah Kluang, Zolkefli Mohd Noor berkata, laporan polis dibuat oleh kesemua NGO ini adalah berhubung isu serbuk kopi mengandungi gelatin babi dan makanan beralkohol yang dijual kepada umat Islam oleh pengusaha kedai kopi Kluang Rail Coffee yang sudah sekian lama di daerah Kluang dan cawangannya.

“Malah kesahihannya juga telah terbukti melalui laporan pemeriksaan di Kluang Rail Coffee yang telah dijalankan bahagian Penyelidikan Agama Johor dan kenyataan yang telah dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor pada 25 Mac lalu serta kenyataan daripada Jabatan Agama Johor.
“Kenyataan tersebut meyakinkan seluruh umat Islam di Kluang bahawa isu ini adalah benar dan bukannya sabotaj. Kami mewakili seluruh umat Islam merasa kesal dan terhina dengan apa yang sudah berlaku serta pengusaha tersebut langsung tidak sensitif kepada Umat Islam,” katanya kepada Sinar Harian.
Zolkefli berkata, laporan polis yang dibuat bertujuan menggesa pihak berkuasa membuat pemeriksaan seterusnya kepada premis yang menjual makanan khususnya pengusaha bukan Islam supaya membuat permohonan sijil halal.
“Saya mewakili NGO yang ada menyeru seluruh umat Islam supaya tidak berkunjung ke restoran-restoran yang tidak mempamerkan sijil halal yang sah.
“Kami juga mendesak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM) menamatkan penyewaan premis di Kluang Rail Coffee dan ditenderkan semula atau diberi peluang pula kepada pengusaha Islam,” katanya.
Selain daripada itu, Zolkefli berkata, mereka juga mempertikaikan kewajaran Jabatan Agama Johor (JAJ) menyamak peralatan yang digunakan di tiga premis tersebut sebelum sijil halal dikeluarkan.
Malah beliau berkata, proses yang dilakukan itu ditakuti mengelirukan umat Islam di daerah Kluang.
“Kami juga mahu mengetahui apakah tindakan kerajaan dalam isu yang mengguris perasaan seluruh umat Islam supaya perkara ini tidak akan berlaku lagi.
“Bukan itu sahaja, kami juga mahu menggesa pengusaha Kluang Rail Coffee memohon maaf secara terbuka di dalam akhbar dan media elektronik kepada seluruh umat Islam kerana sudah menipu masyarakat Islam di Kluang,” katanya.

No comments:

Post a Comment