BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Sunday, April 17, 2011

JAKIM: ANTARA PELUANG DAN TANGGUNGJAWAB

UTUSAN MALAYSIA-Isnin 18 April 2011



 BARU-BARU ini Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah mengadakan misi perdagangan di tiga negara Eropah sekali gus iaitu Jerman, Austria dan Perancis.
Seperti misi-misi lain, kedatangan MITI dan rombongannya adalah untuk menarik pelaburan asing langsung ke Malaysia, selain turut membawa hajat syarikat-syarikat tempatan untuk memasarkan produk tempatan ke pasaran-pasaran tersebut.
Dalam tempoh seminggu itu, macam-macam isu dan perkara-perkara berbangkit berhubung perdagangan antara negara-negara tersebut dengan Malaysia dibincangkan.
Namun dalam kepelbagaian perkara yang dibincangkan, isu halal merupakan antara agenda yang paling menarik terutama ketika di Perancis.
Mengikut statistik 2007, jumlah populasi Muslim di Kesatuan Eropah adalah sekitar 16 juta dan di seluruh Eropah adalah sebanyak 53 juta (tidak termasuk Turki).
Statistik itu menunjukkan betapa potensinya produk halal di pasaran Eropah dan misi perdagangan yang diketuai oleh Datuk Seri Mustapa Mohamed merupakan peluang terbaik bagi Malaysia untuk mengambil kesempatan menawarkan produk-produk halal keluaran negara di pasaran Kesatuan Eropah (EU).
Hasil daripada pertemuan itu, Perancis telah mempersoalkan bagaimana cara untuk memenuhi piawaian pensijilan halal memandangkan tidak terdapat satu badan pun yang boleh mengeluarkan sijil tersebut di peringkat global.
Sebelum ini, difahamkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah beberapa kali mengunjungi Perancis untuk meninjau sendiri produk yang ingin mendapatkan status halal.
Namun amat mendukacitakan apabila Jakim tidak mahu berkongsi keputusan tinjauan mereka dan ia menyukarkan pihak pengeluar produk dari EU untuk mendapatkan status halal.
Produk-produk halal tidak semestinya hanya untuk kegunaan Muslim sahaja tetapi ia untuk semua, tidak kira agama dan bangsa.
Untuk mendapat pensijilan halal, pengeluar dan pengilang perlu memenuhi beberapa kriteria termasuk cara pemprosesan, tahap kebersihan, selain aspek-aspek lain.
Nampaknya kegagalan membentuk satu badan khas yang diiktiraf di peringkat sejagat perlu diambil perhatian sewajarnya oleh semua pihak.
Dan, Malaysia sebenarnya mampu menjadi pemangkin dalam usaha ini dan ia perlu dilakukan oleh Jakim memandangkan piawaian pensijilan halal oleh agensi itu adalah tinggi.
Peranan ini mampu digalas oleh Jakim, selari dengan peranan dan tanggungjawab Malaysia yang begitu agresif mempromosikan negara sebagai hab halal dunia.
Bagi merealisasikan hasrat itu, Jakim sendiri perlu bersungguh-sungguh memainkan peranan dan tanggungjawab - bukan sahaja untuk Malaysia tetapi demi kesejahteraan Islam sejagat.

No comments:

Post a Comment