BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Wednesday, October 12, 2011

PONTIAN-KUKUP: RM 4.4 JUTA DIPERUNTUKKAN

KUKUP - Laluan utama yang menghubungkan Pontian ke Kukup Laut bakal berubah wajah tidak lama lagi apabila kerja-kerja menaik taraf jalan berkenaan sedang giat dijalankan. 

Adun Kukup, Datuk Md Othman Yusof berkata, Kerajaan Persekutuan baru-baru ini telah meluluskan peruntukan sebanyak RM4.4 juta bagi kerja-kerja menaik taraf jalan tersebut.

Menurutnya, memandangkan hampir 20 tahun jalan tersebut tidak diperbaiki, beberapa bahagian telah mengalami kerosakan dan menimbulkan keadaan tidak selesa kepada pengguna jalan raya termasuk pelancong.

Katanya, peruntukan tambahan sebanyak RM15.6 juta masih diperlukan bagi kerja-kerja memperbaiki Jalan Pontian-Kukup Laut yang merupakan laluan utama destinasi pelancongan ke daerah Pontian.

“Secara keseluruhannya, jalan Pontian-Kukup Laut sejauh 20 kilometer itu memerlukan peruntukkan sebanyak RM20 juta bagi memastikan ianya tidak menimbulkan masalah kepada orang ramai,” katanya ketika ditemui di Kukup, baru-baru ini.

Md Othman berkata, jalan tersebut juga merupakan laluan penting ke projek pembangunan di Tanjung Bin yang kini memasuki fasa terbaru dengan pembinaan kompleks petrokimia berhampiran stesen jana kuasa arang batu di sana.

Menurutnya, sekiranya tiada tindakan segera diambil, dikhuatiri kerosakan akan bertambah teruk dan boleh menjejaskan kedatangan pelancong ke Kukup Laut, Taman Negara Tanjung Piai dan sebagainya.

“Memandangkan jalan ini merupakan satu-satu jalan penghubung ke Tanjung Bin, adalah wajar Kerajaan Pusat mengambil kira keperluan tersebut bagi memastikan kelancaran pembangunannya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap kerja-kerja pembinaan jalan Pekan Nanas ke Tanjung Bin yang kini sedang dalam pembinaan dapat disiapkan tahun hadapan bagi memberikan kemudahan selesa kepada pengguna.

Katanya, pembinaan jalan tersebut akan mendekatkan perjalanan orang ramai dari Pekan Nenas ke selatan Pontian tanpa melalui bandar Pontian Kecil serta pekan-pekan lain.

“Dengan siapnya jalan tersebut, akan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi bagi empat mukim yang terlibat iaitu Mukim Jeram Batu/Pengkalan Raja, Sungai Karang, Air Masin dan Serkat,” katanya.

Md Othman berkata, kawasan tersebut juga merupakan jajaran yang termasuk di dalam kawasan Iskandar Malaysia dengan tumpuan juga diberikan kepada aktiviti pelancongan berasaskan alam sekitar di samping pembangunan industri di Tanjung Bin.

No comments:

Post a Comment