BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Saturday, September 8, 2012

585 PREMIS AKAN DICAT SEMULA


PONTIAN – Sebanyak 585 premis perniagaan di bandar ini akan terlibat dengan program mengecat bangunan di bawah peruntukan Majlis Daerah Pontian (MDP) yang akan bermula pada 16 September dan berakhir 15 Oktober ini.
Yang Dipertua Majlis Daerah Pontian (MDP), Miswan Yunus berkata, langkah mengecat semula premis perniagaan ini diambil bagi mengindahkan daerah ini yang telah dimasukkan ke dalam kawasan Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia (Irda).
Menurutnya, untuk menjayakan program tersebut, MDP telah melantik beberapa pengusaha cat bagi memudahkan pemilik premis perniagaan mendapatkan bekalan cat.
“Pihak MDP juga akan memilih warna yang bersesuaian bagi setiap blok bangunan bertujuan memudahkan setiap blok-blok ini dikenal pasti mengikut warna.
“Kita ambil contoh seperti di Melaka, Tangkak, Muar dan beberapa tempat lain yang menggunakan konsep warna bagi blok-blok premis perniagaan bagi memudahkan pelancong mengenal pasti bangunan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di MDP di sini, kelmarin.
Menurutnya, bagi memastikan program tersebut berjaya, MDP akan melakukan pemantauan dengan bantuan bahagian penguatkuasaan MDP sendiri.
Katanya, walau bagaimanapun, premis-premis perniagaan yang mempunyai warna korporatnya sendiri seperti bank dan bangunan-bangunan jabatan kerajaan tidak perlu mengikut spesifikasi warna yang telah ditentukan MDP.
“Namun premis tersebut perlu mengecat bangunan mereka mengikut warna korporat masing-masing,” katanya.
MDP juga katanya, turut melibatkan persatuan Peniaga Tiong Hua Pontian, bagi menjayakan program terbabit.
“Pihak MPD juga bercadang untuk memperluaskan lagi program mengecat semula bangunan ke pekan-pekan kecil lain selepas kawasan bandar,” katanya.
Jelasnya, beliau amat berharap program ini akan mendapat sambutan dalam kalangan pemilik premis perniagaan memandangkan program seumpama ini pernah dilakukan sebelum ini.
“MDP amat mengharapkan sokongan daripada pemilik premis bagi mengindahkan kawasan bandar dengan mengecat bangunan mereka sepanjang program mengecat semula bangunan berlangsung,” katanya.
Sementara itu, bagi Pengerusi Persatuan Peniaga Tiong Hua Pontian, Boo Sang Hui berkata, seramai 250 ahli persatuan dijangka akan terlibat di dalam program mengecat semula bangunan itu.
“Kita akan bekerjasama dengan pihak MDP bagi mengindahkan lagi kawasan bandar di dalam daerah Pontian yang sememangnya mempunyai pelbagai daya tarikan untuk dikunjungi pelancong,” katanya.

No comments:

Post a Comment