BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Sunday, September 9, 2012

BERDEKATAN SINGAPURA: LEGOLAND DAPAT KELEBIHAN

Pembukaan Legoland pada September ini menjadikan Johor pemegang status ibu kota keriangan dan taman tema Malaysia

SINGAPURA - Terletak berdekatan dengan Singapura di penghujung selatan wilayah Iskandar di Nusajaya, Johor, Malaysia, telah menjadikan Legoland sebagai satu daya tarikan pelancong antarabangsa, kata Pengurus Besar Legoland Malaysia Siegfried Boerst.
"Legoland Malaysia adalah satu projek yang benar-benar menarik bagi kami kerana ia merupakan peluang hiburan yang kami cari di Asia.
"Iskandar Malaysia menyokong kami dan kami mempunyai peluang baik kerana berdekatan dengan Singapura dan terletak di penghujung selatan Malaysia di sini benar-benar menjadikan kami destinasi pelancongan antarabangsa," katanya kepada Bernama pada hari previu keluarga media Legoland Malaysia baru-baru ini.
Boerst berkata taman itu mencatatkan kemajuan sangat baik dan " kami amat gembira mempunyai pengunjung di taman ini untuk melatih kakitangan kami bersiap sedia bagi pembukaan kepada orang ramai pada 15 September ini.
Beliau berkata syarikat itu telah menjual pas tahunan menerusi Internet bagi pasaran pengunjung dari Singapura dan Malaysia.
"Kami juga telah menjual tiket harian kepada rakan kongsi perjalanan kami dan pengusaha pelancongan atau di jerayawara kepada tetamu individu.
"Kami telah mengadakan jerayawara di Singapura dan Johor sejak beberapa bulan lepas.
Beliau berkata jualan pas tahunan mendapat sambutan baik dan Legoland akan meneruskan jualan pas seumpama itu.
"Lebih 35 peratus pas telah dijual di Singapura, jadi kami melihat Singapura sebagai pasaran residen kami bersama dengan Johor.
"Kami sangat dekat hanya 10 minit daripada Pusat Pemeriksaan Imigresen Tuas. Sangat mudah untuk datang ke sini bagi warga Singapura," katanya.
Oleh kerana Singapura dan Johor adalah pasaran residen kami, Boerst berkata:"Kami menumpukan banyak aktiviti bagi pasaran-pasaran ini."
Selain daripada pasaran residen ini, beliau berkata "kami mempunyai pelancong domestik yang terdiri daripada sesiapa sahaja dari Malaysia termasuk dari Lembah Klang, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak".
Dari segi pelancong antarabangsa, beliau berkata Legoland menyasar pelancong antarabangsa yang telahpun datang ke Malaysia atau Singapura.
Terletak di bahagian selatan Malaysia, katanya, Legoland boleh menarik pelancong yang datang ke Singapura atau ke Kuala Lumpur terutamanya di masa depan apabila Lapangan Terbang Senai memulakan lebih banyak penerbangan terus antarabangsa.
Apabila ditanya mengenai sasaran pengunjung, Boerst berkata:"Buat permulaan ini kami menyasar terutamanya orang yang telah datang ke Malaysia dari negara Asean seperti Indonesia, Thailand dan Filipina."
Tetapi sekarang, katanya, terdapat potensi besar mendapatkan pengunjung dari India, China dan juga Hong Kong.
"Kami ada ramai rakan Facebook...sebagai contoh Hong Kong merupakan bilangan ketiga terbesar yang berminat dengan projek itu (Legoland).
"Oleh itu kami juga boleh melihat ada potensi besar bagi pasaran-pasaran tersebut terutamanya dengan strategi destinasi resort Legoland untuk menambah taman air dan hotel tahun depan," katanya.
Menerusi projek taman air dan hotel, katanya "ia akan membolehkan kami menarik lebih ramai pelancong yang mahu tinggal beberapa hari dan yang sedang bercuti singkat di Johor.
"Kami sedang membina hotel itu dan ia sepatutnya siap dan dibuka kepada orang ramai awal 2014," katanya.
Pembinaan taman air yang terletak bersebelahan taman tema itu, akan bermula bulan ini dan dijangka siap separuh kedua 2013.
Beliau berkata kos taman air dan taman tema itu bersama-sama dengan semua kemudahan adalah sebanyak RM720 juta.
Dari segi sasaran pengunjung, Boerst berkata: "Bagi tahun pertama, sasaran kami ialah lebih satu juta pengunjung, tetapi dengan melihat sambutan setakat ini, kami amat yakin memperoleh lebih ramai lagi.
Bagi warga Singapura yang membeli pas tahunan, penggunaan Malaysia Automated Clearance System (MACS), sudah tentunya amat baik kerana ia akan membantu mereka memudahkan perjalanan merentas sempadan.
Beliau berkata Legoland bekerjasama rapat dengan Imigresen dan telah mengadakan perbincangan dengan mereka beberapa bulan lepas.
"Mereka (pihak Imigresen) berusaha membantu kami bagi memudahkan proses merentas sempadan," katanya.
Menjadi taman tema antarabangsa pertama di Malaysia dan Legoland pertama di Asia, Boerst berkata Legoland berusaha keras untuk melatih kakitangannya.
"Bagaimanapun kebanyakan mereka tidak pernah bekerja di taman tema, itulah sebabnya mengapa kami membuat pelancaran tidak rasmi sekarang dengan menjemput tetamu khas (pihak media) untuk merasai sendiri pengalaman di taman ini (yang sekaligus) menjadi asas latihan baik kepada kakitangan kami," katanya.
Menyentuh mengenai kemudahan untuk pergi ke taman itu bagi warga Singapura, beliau berkata Legoland telah menyediakan bas-bas khas untuk membawa pengunjung ke taman tema itu.
"Terdapat bas kuning (Causeway Link) dari Jurong East yang akan membawa pengunjung ke Malaysia terus ke Legoland.
Beliau berkata ada juga bas pengantara dari Singapore flyer di mana pengunjung boleh menempah bagi perjalanan balik.
"Bas akan mengambil mereka di Singapore flyer dan menghantar terus ke Legoland.
"Oleh itu sekiranya pengunjung tidak mempunyai kereta mereka masih boleh datang ke Legoland," katanya.
Perkhidmatan Bas Causeway Link akan bermula minggu ini dan perkhidmatan di Singapore flyer akan bermula bersempena dengan pembukaan rasmi Legoland pada 15 September, katanya.
Legoland, yang diuruskan oleh Merlin Entertainment Group, pengendali daya tarikan pengunjung kedua terbesar dunia itu menampilkan tujuh kawasan bertema dengan lebih 40 permainan, pertunjukan dan daya tarikan.
Boerst berkata: "Kami merupakan satu-satunya taman tema yang benar-benar menyasar kepada keluarga dan kanak-kanak dan berharap mereka akan berseronok merasai pengalaman ini."

No comments:

Post a Comment