BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Sunday, September 9, 2012

THE LOAF: CAWANGAN BERTAMBAH SEIRING MUTU



ANEKA pilihan roti, kek dan pastri yang enak serta segar menggamit pengunjung ke cawangan The Loaf.


THE LOAF, kedai bakeri dan pastri berkonsepkan Jepun terus melebarkan sayapnya di negara ini. Bermula dengan hanya sebuah premis di Marina Telaga Harbour, Langkawi, Kedah pada tahun 2006, The Loaf terus gah melalui pembukaan cawangan yang kesembilan di Paradigm Mall, Kelana Jaya, Petaling Jaya.
Pengarah Urusan M&M Consolidated Resources Sdn. Bhd., Jiro Suzuki berkata, pembukaan cawangan terbaharu itu adalah bagi memenuhi permintaan banyak pihak yang menggemari kualiti roti jenama itu.
“Ketika pembukaan cawangan pertama di Langkawi kira-kira enam tahun lalu, kami menerima sekitar 7,300 pengunjung sahaja.
“Kini dengan sembilan cawangan, kedai kami dikunjungi purata 2,400 pelanggan sehari dengan jualan mencecah RM1.2 juta sebulan,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah mantan Perdana Menteri dan juga Pengerusi M&M Consolidated Resources Sdn. Bhd., Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.
Tambah Jiro, syarikat itu akan membuka tiga buah cawangan baharu menjelang hujung tahun ini dengan salah satunya terletak di Pantai Chenang, Langkawi.

DR. MAHATHIR (tengah) dan Jiro (kiri) menunjukkan kebolehan membuat roti sebagai gimik pelancaran pembukaan The Loaf di Paradigm Mall, Kelana Jaya, baru-baru ini. Aksi kedua-duanya turut disaksikan oleh Dr. Siti Hasmah.


“Pada tahun 2013, kami turut merancang untuk membuka dua buah cawangan lagi bagi menjadikan jumlah keseluruhannya 14 cawangan termasuk sebuah dapur utama.
“Kami menyasarkan untuk membuka cawangan di kediaman ekspatriat kerana permintaan bagi roti-roti berkualiti tinggi begitu tinggi dalam kalangan mereka,” ujarnya.
Jelasnya, antara kunci kejayaan The Loaf ialah sokongan tidak berbelah bahagi yang diberikan oleh Dr. Mahathir, selaku ‘orang kuat’ di sebalik jenama roti dan pastri itu.
“Dr. Mahathir seorang yang penuh dengan aspirasi dan inspirasi serta wawasan untuk membawa The Loaf ke satu peringkat terbaik dalam industri makanan dan minuman (F&B) di Malaysia.
“Beliau sentiasa berpandangan jauh dan tidak pernah kering dengan idea yang inovatif demi memastikan The Loaf terus berkembang pada masa hadapan,” katanya lagi.
Selain itu, Jiro berkata, roti yang dihasilkan di The Loaf mengekalkan ciri-ciri pembuatan roti secara tradisional di Jepun iaitu tidak menggunakan bahan-bahan awet dan kimia.
Lebih daripada itu, bahan-bahan utamanya juga diimport khas dari luar negara seperti gandum dari Kanada, mentega dari Belgium dan garam dari Pergunungan Himalaya.
“Kami amat menitikberatkan soal kualiti dan bahan-bahan yang digunakan demi kepuasan pelanggan,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment