BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Tuesday, December 4, 2012

ISKANDAR MALAYSIA SEDIA JADI RANTAU RANCAK


JOHOR BAHARU 4 Dis. - Pertumbuhan Iskandar Malaysia sejak pengenalannya enam tahun lepas telah melepasi jangkaan dan koridor raya itu telah bersedia untuk menjadi rantau yang paling rancak dan menarik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.
Bercakap kepada media di luar acara Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) yang kelapan di sini, beliau berkata para tetamu yang menghadiri forum itu amat kagum dengan pembangunan rancak Malaysia.
"Mereka begitu kagum dengan apa yang mereka lihat di Iskandar Malaysia. Kita telah membawa mereka melawat dengan menggunakan helikopter dan mereka berkata Iskandar Malaysia telah melepasi jangkaan.
Dengan tarikan seperti Taman Tema Keluarga Puteri Harbour, Johor Premium Outlet dan Legoland Malaysia, Iskandar Malaysia telah bersedia untuk mencapai matlamatnya," kata Najib yang juga merupakan Menteri Kewangan.
Perdana Menteri berkata terdapat beberapa perkembangan menarik di Iskandar Malaysia yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
"Contohnya, lebih ramai rakyat Singapura kini memilih untuk tinggal di Johor dan berulang setiap hari dari sini ke republik itu.
"Pelajar juga berulang alik setiap hari dari republik itu untuk menghadiri sekolah di Marlborough College di Nusajaya.
"Secara amnya, seiring dengan pembangunan antara kedua-dua negara, kita lihat Singapura terus menjadi hab untuk pembangunan komersil dan kewangan, dan kawasan-kawasan Iskandar Malaysia, akan menjadi kawasan kehidupan berkualiti tinggi untuk mereka (rakyat Singapura).
"Ini adalah situasi menang-menang (manfaat bersama), Johor akan mendapat manfaat daripada kebanjiran orang, bakat serta aliran masuk modal. Ia baik untuk masa hadapan Johor," kata beliau.
Ditanya sekiranya pertukaran dokumen hari ini untuk enam kerjasama di Iskandar Malaysia dengan jumlah nilai anggaran RM28 bilion bermakna jumlah pelaburan di koridor ekonomi itu telah melebihi RM100 bilion.
Najib berkata satu majlis khas akan diadakan pada 11 Dis untuk beliau mengumumkan angka terbaru untuk jumlah pelaburan kumulatif Iskandar Malaysia.
"Angka-angka itu nampak amat menggalakkan tetapi saya simpan dulu pengumuman saya itu. Satu majlis khas akan diadakan pada 11 Disember, eksklusif mengenai Iskandar Malaysia," kata beliau.
Antara perjanjian yang dimeterai hari ini ialah antara Sunway City Sdn Bhd dan Iskandar Asset Sdn Bhd untuk memajukan Sungai Pendas, berdekatan Medini, dengan nilai pembangunan kasar RM12 bilion.
Lain-lain memorandum persefahaman ialah antara UEM Land Bhd dan Chinamall Holdings Private Ltd untuk memajukan China Mall, sebuah pusat perdagangan dan pameran di Nusajaya.
UEM Land, Iskandar Investment Bhd dan Telekom Malaysia Bhd turut memeterai perjanjian untuk menyediakan infrastruktur komunikasi dan ICT bagi merealisasikan aspirasi Nusajaya yang Pintar dan Terhubung.
UEM Land, pemaju induk Nusajaya, turut memeterai perjanjian usaha sama dengan Fastrack Autosport Pte Ltd, yang dikuasai oleh bilionair Singapura, Peter Lim, untuk memajukan Motorsport City bernilai RM3.5 bilion di Gerbang Nusajaya.

No comments:

Post a Comment