BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Thursday, May 1, 2014

RM 33 BILLION SUNTIKAN TERBARU PIPC

Mohd. Yazid Jaafar menyampaikan taklimat pada majlis taklimat media mengenai 
pelaksanaan projek Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang di Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 30 April - Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) bakal menerima pelaburan baharu dianggarkan bernilai RM33 bilion sekiranya usaha menarik beberapa konsortium antarabangsa melabur di situ berjalan lancar.
Ketua Pegawai Eksekutif Johor Petroleum Development Corporation Bhd. (JPDC), Mohd. Yazid Ja’afar berkata, usaha menarik beberapa konsortium antarabangsa itu sedang giat dijalankan sekali gus yakin ia dapat direalisasikan.
Tanpa mahu mendedahkan konsortium antarabangsa yang dimaksudkan, beliau memaklumkan, satu daripada pihak terlibat kini dalam proses perbincangan, manakala dua lagi sedang menjalankan kajian kebolehsaknaan projek di kawasan berkenaan.
“Buat masa ini kita tidak boleh mendedahkan lebih lanjut berhubung perkara tersebut, namun kita akan membuat pengumuman bila sampai waktunya," katanya pada sesi taklimat media berhubung perkembangan projek PIPC di sini hari ini.
Projek pembangunan PIPC melibatkan pembangunan tanah seluas 8,000 hektar dengan potensi pelaburan dijangka mencecah lebih RM170 bilion dengan impak kepada Pendapatan Kasar Negara (GNI) mampu mencapai RM48 bilion apabila siap kelak.
Buat masa ini, Petronas bakal membangunkan projek milik syarikat itu di atas tanah seluas 2,520 hektar manakala pembangunan terminal laut dalam oleh Pengerang Independent Terminal Sdn. Bhd. (PITSB) melibatkan tanah seluas 538 hektar.
Mohd. Yazid berkata, usaha menarik konsortium antarabangsa terlibat dibuat susulan usaha menarik sebuah syarikat dari Taiwan untuk melabur di situ tidak berjaya kerana dipercayai berminat untuk membuat pelaburan di tempat lain.
Biarpun laporan mengenai penarikan syarikat Taiwan tidak memberi gambaran baik, namun beliau percaya Pengerang menerusi projek PIPC mampu menarik minat pelabur lain terutama dengan pelbagai kelebihan yang dimiliki di kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, beliau berkata, pengumuman Petronas meluluskan Keputusan Pelaburan Akhir (FID) pembangunan Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) bernilai RM89 bilion dilihat mampu memberi keyakinan kepada pelabur lain.
“Kita menerima banyak pertanyaan beberapa pihak yang berminat untuk terlibat dalam projek PIPC selepas pengumuman Petronas itu, sekali gus kita yakin ia dapat membantu untuk kita menarik pelabur lain ke situ," katanya.

No comments:

Post a Comment