BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Thursday, May 1, 2014

UTAMAKAN PENGHASILAN PRODUK HALAL


PEKERJA PPMSB mengasingkan bahagian ayam untuk dibungkus.

KLUANG 30 April - Sebut sahaja tentang halal, terus terbayang tentang aspek pemakanan, khususnya bagi umat Nabi Muhammad SAW kerana perkara itu merupakan satu tuntutan dalam agama Islam.
Keperluan dunia terhadap pemakanan halal kian meningkat dan Malaysia merupakan peneraju dan penggerak terhadap pe­ngenalannya lebih dikenali sebagai ‘Halalan Toyyiban’ iaitu halal, bersih dan selamat dimakan atau digunakan.
Hakikat itu dapat dilihat ke­rana sejak sedekad lalu, Malaysia menjadi tumpuan 600 perwakilan merangkumi pakar industri halal, pemimpin kerajaan, industri dan pengeluar dari seluruh dunia semata-mata untuk menghadiri Persidangan Halal Sedunia yang sering diadakan di negara ini.
Salah sebuah syarikat yang amat mementingkan aspek halal adalah Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) yang mengeluarkan pelbagai produk makanan halal berasaskan ayam seperti telur, ayam proses dan produk hiliran berasaskan ayam menerusi anak syarikatnya, PPNJ Poultry & Meat Sdn. Bhd. (PPMSB) sejak lebih 10 tahun lalu di kawasan Perindustrian Makanan Peladang, Machap.
Pengurus Besar PPMSB, Dr. Rosnizam Abdul Rahman berkata, semua aspek pemprosesan dan produk hiliran berasaskan ayam di kilang tersebut berlandaskan konsep halal.
“Maknanya, dalam menterjemahkan konsep Halalan Toyyiban, kami memang tidak bertolak ansur malah ada sesetengah kaedah itu kita lebihkan sedikit apa yang dibenarkan oleh Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia).
“Sebagai contoh, penyembelihan yang disarankan Jakim adalah tiga setengah minit, tapi kita buat tujuh minit sebab kita mahu proses pe­nyembelihan dan pendarahan berlaku dengan sempurna," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Selain itu, PPMSB turut memperoleh Sijil Kesihatan Veterinar (VHM) yang dikeluarkan Jabatan Per­khidmatan Veterinar (JPV) pada 2005 iaitu perakuan dan pengikti­rafan bahawa kilang ayam milik PPNJ itu mematuhi semua prosedur yang ditetapkan oleh jabatan berkenaan.
Dr. Rosnizam berkata, antara langkah proaktif yang diambil oleh syarikat untuk mendapatkan sijil tersebut adalah memastikan setiap proses yang rumit dan memerlukan penelitian rapi dilakukan bermula dengan penerimaan ayam hidup, seterusnya proses penyembelihan sehingga daging ayam tersebut dijual dalam pasaran.
“Sebagai contoh, air yang diperlukan untuk memproses seekor ayam adalah 23 liter, maknanya kita tidak menggunakan air yang dikitar semula.
“Suhu badan ayam yang siap diproses mestilah di bawah empat darjah Celsius bagi mengelakkan pembiakan kuman dan bakteria yang boleh menjejaskan kualiti ayam yang dihasilkan," katanya.
Menurutnya, bagi memastikan semua prosedur VHM dipatuhi, pihaknya mempunyai eksekutif kawalan kualiti yang diketuai Faranorlia Abd. Rahman dan Bahagian Halalan Toyyiban dikendalikan oleh Anuar Mohd. Kusasir.
Beliau berkata, usaha mendapat sijil VHM dan halal bukan semata-mata untuk mengejar nilai komersial, malah untuk memenuhi tuntutan fardu kifayah bagi menyediakan produk yang halal, bersih dan selamat untuk dimakan.

No comments:

Post a Comment