BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Sunday, May 11, 2014

PUSAT JUALAN IKAN SEGAR DI JETI SUNGAI RAMBAH

PONTIAN 11 Mei - Jeti Sungai Rambah dekat ini yang sinonim dengan keenakan mi udang akan mempunyai tarikan tambahan dengan cadangan membina pusat jualan ikan segar yang diusulkan kerana mengambil kira kedatangan orang ramai yang ingin mendapatkan bekalannya pada setiap hari.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Suhaimi Salleh berkata, walaupun Persatuan Nelayan Rambah menyediakan ruang untuk nelayan melakukan urusan jual beli, namun ia perlu dinaik taraf dari segi kemudahan serta ruang yang lebih besar.
“Dengan kedudukan di laluan utama pelancongan Pontian, pusat jualan segar boleh menarik pelawat yang datang ke Pontian termasuk warga Singapura terutama pada hujung minggu. Kami akan memajukan cadangan ini kepada pihak berkenaan bagi membangunkan sebuah pusat jualan ikan segar termasuk hasil laut lain.
“Turut disediakan ialah kemudahan menyimpan ikan selain menawarkan perkhidmatan pembungkusan bagi hasil-hasil laut supaya ia sentiasa segar bagi perjalanan yang jauh," katanya kepada pemberita selepas melawat sebahagian jeti yang runtuh di sini semalam.
Yang turut hadir Pengerusi Persatuan Nelayan Rambah, Mohamad Marto; Ketua Kampung Kawasan (4) Mukim Rimba Terjun, Sanusi Parto dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Tanjung Piai, Zarina Mohd. Bain.
Menurut Suhaimi, pembangunan secara bersepadu kelak mampu memberikan nilai tambah kepada kawasan Sungai Rambah yang turut mempunyai tarikan Muzium Bugis manakala kawasan pantainya sering dikunjungi bagi melihat matahari terbenam.
“Pihak persatuan perlu mengenal pasti ahli-ahli untuk menyertai pusat jualan ikan segar bagi membantu mereka menjual terus hasil tangkapan. Bagi mereka yang bergantung kepada peranan orang tengah disebabkan masalah hutang, usaha perlu dilakukan dengan bantuan dari agensi seperti Tekun, Bank Agro dan sebagainya," ujarnya.
Menyentuh mengenai jeti yang runtuh itu, Suhaimi memberi jaminan untuk membaikinya dalam tempoh sebulan menggunakan peruntukan di bawah projek kecil pembangunan Pejabat Daerah Pontian.
Oleh itu katanya, beliau akan berbincang dengan Pegawai Daerah Pontian bagi membolehkan satu peruntukkan khas disalurkan bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan jeti tersebut

No comments:

Post a Comment