Ditambah pula apabila sajian yang dihidangkan menyelerakan dan menepati cita rasa.
Garden Cafe yang terletak di Taman Ramal Suria, Kajang, Selangor, menyajikan suasana tersebut kepada pengunjung yang inginkan ketenangan ketika sedang menikmati hidangan kegemaran mereka.
Walaupun lokasinya sedikit tersorok, pelanggan sudah dapat merasai kesegaran suasana sebaik menjejakkan kaki ke restoran tersebu.
Deretan tumbuhan menghijau yang ditanam di bahagian pintu utama sudah cukup untuk menyuntik mood tenang.
Lebih menarik dengan kehadiran beberapa deretan motosikal berkuasa tinggi daripada jenama terkemuka seperti Harley Davidson, Titan dan sebagainya, pasti mengusik mata pelanggan.
Pemiliknya, Mukhsin Selamat, 45 mengakui idea untuk membuka restoran berkonsep taman timbul apabila dia sendiri gemar mengunjungi restoran seumpama untuk menjamu selera.
“Kebiasaannya tempat yang menjadi kegemaran saya dan keluarga untuk menjamu selera adalah restoran yang berkonsep dalam taman.
“Namun, bukan semua restoran betul-betul memenuhi kepuasan dan konsep tersebut. Jadi bagi memenuhi kepuasan diri sendiri dan minat orang ramai, saya telah mengambil keputusan membuka Garden Cafe menggunakan idea dan pelan rekaan sendiri,” ujarnya yang juga seorang pensyarah sambilan dalam bidang landskap di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Tambah Mukhsin, penggunaan pokok-pokok hijau dan reka bentuk restoran memainkan peranan untuk menimbulkan suasana segar serta nyaman kepada pelanggan.
Di ruang pintu masuk utama, dia sengaja menggunakan pokok buluh. Selain berfungsi sebagai pokok hiasan, ia juga berperanan menyerap bunyi bising, habuk dan asap daripada kenderaan yang lalu-lalang.
“Ruang bahagian dalam kawasan restoran pula saya tanam beberapa pokok besar seperti pokok pulai dan pokok rhu yang berfungsi sebagai teduhan.
“Kombinasi pohon renek pula ditanam bagi menaikkan mood Garden Cafe yang berkonsep moden dan Barat.
“Pada ruang pejalan kaki yang menghubungkan pelanggan untuk ke tempat menjamu selera, ditanam dengan rumput dan dihiasi batuan granit,” katanya.
Ujar penggemar dan pengumpul koleksi motosikal berkuasa tinggi itu, persekitaran segar dan hijau yang disediakan kepada pelanggan diharap memberikan kepuasan semasa mereka menjamu selera.
Apa pun Mukhsin percaya, seindah mana pun hiasan sesebuah restoran, kekuatannya tetap pada sajian makanan yang bukan saja enak bahkan pada harga berpatutan.
Untuk dia memilih masakan asli Johor seperti mi bandung Muar, soto, mi kari, mi rebus, dan nasi ambeng, sebagai menu untma Garden Cafe.
“Resipi mi bandung menggunakan resipi asli dari Muar, Johor. Kebanyakan pelanggan yang menikmatinya mengakui rasanya asli dan harganya juga tidak mahal hanya RM6.
“Selain itu, aneka masakan Barat dan Thailand turut disediakan berdasarkan permintaan pelanggan,” katanya.
Restoran tersebut turut dilengkapi dengan kemudahan surau, tandas, tempat untuk persembahan muzik dan bilik mesyuarat kecil yang boleh menempatkan sekurang-kurangnya 15 hingga 20 orang dalam satu masa.
“Di sini kami turut menyediakan perkhidmatan tempahan perkahwinan dalam taman, katering dan acara-acara kecil kepada pelanggan yang inginkan konsep dalam taman,” jelasnya.
Dalam pada itu, kesemua koleksi motosikal berkuasa tinggi yang dipamerkan di bahagian depan Garden Cafe turut dibuka untuk sewaan bagi tujuan pemanduan sendiri atau digunakan untuk majlis perkahwinan.
Harga yang ditawarkan bermula dari RM380 hingga mencecah RM800 untuk sehari.
Garden Cafe boleh dikunjungi di alamat no 10. Jalan Ramal Suria 2, Taman Ramal Suria, Kajang Selangor. Jika berminat untuk membuat tempah layari facebook The Garden de Excel Touch Cafe.