BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Thursday, October 9, 2014

RESTORAN AMYRA TOM YAM-BAHAU N.S

HIDANGAM tom yam kelapa ala Thai antara menu yang menjadi pilihan pengunjung di Restoran 
Amyra Tom Yam dekat pekan Bahau.

Apabila menyebut tentang makanan yang enak dan sedap di daerah Bahau, Negeri Sembilan, penduduk sekitar pasti terbayangkan sebuah restoran yang menunya akan membuatkan orang ramai mahu kembali ke situ lagi bagi menikmati sajian enak yang dihidangkan.
Ini kerana restoran Amyra Tom Yam sentiasa mempelbagaikan cita rasa dalam sajian yang ditawarkan setiap hari termasuk menampilkan menu yang penuh dengan ‘kejutan' yang pastinya menjanjikan kelazatan tersendiri.
Sambutan baik yang diterima daripada pelanggan membuatkan pemiliknya, Normah Mohd. Zin, 49, tidak pernah gentar untuk mencipta resipi baharu kerana yakin minat rakyat negara ini terhadap konsep kelainan rasa pada setiap hari adalah begitu tinggi.
"Kadangkala pelanggan yang datang mudah merasa jemu dengan resipi yang sama dihidangkan setiap hari. Sebab itulah, kami sentiasa menukar menu demi memenuhi pelbagai cita rasa termasuk menambah perisa agar dapat memikat pengunjung untuk kembali menjamu selera di restoran ini," katanya.
Normah memberitahu, terdapat lebih 10 menu istimewa di restoran tersebut yang bukan sahaja menjanjikan rasa yang enak, malah ditawarkan pada harga berpatutan.
"Antara masakan yang sering menjadi pilihan pelanggan adalah Tom Yam Kelapa ala Thai yang dijual pada harga RM15. Tom Yam ini dimasak khas dengan menggunakan air kelapa dan dihidangkan bersama kelapa dan ketam.
"Menu lain adalah Ayam Haji Hussin iaitu sejenis masakan ayam halia yang dijual pada harga RM5. Hidangan Ayam Kaseh Kejora iaitu ayam yang disalut dengan tepung juga murah iaitu RM5, manakala sup ekor berharga RM8 untuk hidangan seorang," katanya.
RESTORAN Amyra Tom Yam di Bahau sering menjadi tumpuan pelanggan untuk menjamu selera.

Tambah Normah, dia memilih nama-nama unik bagi setiap menu sebagai tarikan dan supaya sentiasa menjadi bualan serta pertanyaan pelanggan yang datang ke restoran ini.
Menurutnya lagi, buat masa ini, dia mempunyai dua buah restoran di pekan Bahau iaitu berhampiran Balai Polis Bahau serta berdekatan Pasar Borong Bahau.
"Di restoran ini, kami juga menawarkan sajian ‘ikan dada terbuka' dan masakan daripada ikan siakap yang mana masing-masing dijual pada harga RM40 beserta sambal pelbagai rasa dengan harga RM3.50," ujarnya.
Katanya, antara rahsia restorannya sering menjadi kunjungan orang ramai adalah disebabkan penghasilan resipi yang pelbagai, selain gabungan beberapa menu untuk diadun sebagai menu terbaharu yang lebih menyelerakan.
"Kami buka restoran ini dari pukul 3.30 petang sehingga 2.30 pagi setiap hari, selain menerima tempahan pelanggan yang datang dari luar pekan Bahau.
"Pelanggan saya bukan sahaja terdiri daripada orang Melayu tetapi turut dikunjungi oleh masyarakat pelbagai kaum. Baru-baru ini, saya telah melancarkan menu baharu iaitu kuey teow lakna dan mi dengan hanya RM5.
"Menu baharu ini juga mendapat tempahan ramai pelanggan. Kalau hendak rasa menu baharu ini dan lain-lain, datanglah ke Amyra Tom Yam," ujarnya.

INFO

Restoran Amyra Tom Yam
Lokasi: Berdekatan Balai Polis Bahau dan Pasar Borong Bahau, Negeri Sembilan.
Istimewa: Tom yam kelapa ala Thai
Menu lain: Ikan dada terbuka, masakan daripada ikan siakap
& kuey teow lakna
Waktu operasi: 3.30 petang - 2.30 pagi, setiap hari
Harga: RM3.50 - RM40
Tempahan: 019-6298399 atau 019-6989201

No comments:

Post a Comment